CLICK n GO

Saturday, June 30, 2012

Buku Badiuzzaman Said Nursi

Alhamdulillah saya telah khatam sebuah buku bertajuk BADIUZZAMAN SAID NURSI Pejuang Dan Pemikir Islam, karya penulis novel sejarah no.1 di Malaysia iaitu Abdul Latip Talib yang diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn Bhd cetakan 2012.

Badiuzzaman Said Nursi lahir pada tahun 1877 adalah tokoh hebat Turki yang menggadaikan seluruh riwayat hidup beliau untuk mempetahankan iman dan akidah umat Islam ketika mana Turki di jajah oleh pemerintahan sekularisma di bawah Mustafa Kamal Antartuk setelah menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah. Syeikh Badiuzzaman menjadi tokoh yang sangat digeruni pemerintah kerana ketokohannya hingga diberi pelbagai tekanan dan sekatan yang melampau.

Tika itu Undang2 Islam diganti dgn undang2 barat dan pemerintah mengharamkam semua syiar Islam. Al-Qur'an diharamkan, masjid dan sekolah agama ditutup, tulisan arab dan pemakaian hujab dilarang, dan kegiatan dakwah disekat.

Dalam bidang pelajaran diwajibkan mempelajari bahasa Inggeris, huruf arab diganti dengan huruf latin, pelajaran agama Islam diharamkan diajar di sekolah, wanita disuruh berpakaian barat, lelaki disuruh memakai topi koboi dan dilarang memakai serban. Al-Qur'an diterjemahkan ke bahasa Turki dan seruan azan juga dalam bahasa Turki.

Syeikh Baiduzzaman punyai puluhan ribu pengikut. Arus ajaran terutamanya karya agung Badiuzzaman Said Nursi iaitu Risalah al-Nur tersebar di seluruh pelusuk Turki secara sembunyi. Ia menjadi bahan bacaan utama pabila kerajaan sekular mengharamkam Al-Qur'an dan kitab2 agama.

Dalam bidang pendidikan beliau berpendapat perlunya penyatuan antara pendidikan agama dengan sains. Daripada sudut politik pula, beliau berjuang menegakkan sistem pemerintahan yang berlandaskan syariaat Islam. Pada era pemerintahan selepas Kamal Atartuk iaitu di bawah Adnan Manderas Risalah al-Nur diberi kebebasan bagi disebarkan.

"Selama 28 tahun saya ditahan dan dipenjara dengan azab penindasan. Adakah itu masih tidak mencukupi?" kata Said Nursi kepada polis yang menghalangnya bersalaman dengan orang ramai pada bulan Dec 1959.

Mengkaji Risalah al-Nur menyebabkan manusia lupa pada manusia, dan membawanya kepada suasana ilmu ketuhanan. Ia mengadun dan membentuknya dalam cahaya dan misteri al-Qur'an. Ia mampu mengeluarkan sifat2 buruk daripada dalam diri dan mengikat manusia kepada Rasulullah, al-Qur'an dan Allah yang Maha Besar.

"Bukannya aku yang sakit, tetapi umat dan negara yang sakit. Aku datang ke sini bagi mengubati penyakit mereka, dengan harapan dapat menyelamatkan mereka."

"Sesungguhnya punca kemunduran dan buruknya situasi yang kita hadapi adalah kerana tidak memelihara syariaat."

Jam 3 pagi, hari Rabu 23 Mac 1960, 25 Ramadan 1379H, Badiuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah menetap di alam kekal abadi.

@@@

Friday, June 29, 2012

Manisnya Hidup Bersyariaat

Alhamdulillah kerana berkesempatan untuk mengikuti Karnival Ceramah Perdana di Masjid Al-Azim pada hujung minggu lepas. Saya ingin berkongsi beberapa ilmu yang saya dapat untuk manfaat kita bersama.

Manusia ini adalah sebaik-baik kejadian. Seluruh makhluk yang Allah ciptakan ini ialah untuk berkhidmat kepada makhluk terbaik ini iaitu manusia. Kita lihat makhluk yang bernama lembu. Sebanyak mana sangat lembu ini di baham oleh harimau berbanding dengan lembu yang di makan oleh manusia? Namun jangan bangga sebagai makhluk yang paling hebat, bijak dan cerdik. Kerana hakikat kejadian makhluk terbaik iaitu manusia ialah untuk menyembah Allah, patuh kepada segala perintah Allah.

Organ yang paling hebat ialah hati dan hati yang paling hebat ialah yg dipenuhi dengan iman. Maka jangan disia2kan iman kurniaan Allah ini. Orang yang hebat akan mangakui diri ini tidak punyai apa2. Segala yg dia dapat dikembalikan kepada Allah dengan bersyukur. Kalau tak dapat pun dia bersyukur. Kalau dapat maka dia menzahirkan kesyukurannya iaitu orang lain pun boleh tumpang sama nikmat tadi.

Sifat manusia ialah terburu-buru dalam hidup, semua nak cepat. Tapi mati nak lambat. Hidup ini kenalah ikut syariaat. Apa itu syariaat? Syariaat ialah agama iaitu peraturan hidup. Rupanya hidup kita ini kena ikut peraturan. Peraturan mana? Peraturan Allah, peraturan agama Islam. Kerana Islam itu adalah agama yg diperakui Allah sebagai agama yang sempurna. Kehidupan ini kena ingat Allah. Tidak salah hiburan kerana ia sesuai dengan naluri manusia namun kenalah ikut batas dan peraturannya.

Tidak salah bersukan tapi kena ikut peraturan Allah. Ikut peraturan Allah dulu baru ikut peraturan sukan itu. Contoh pakai pakaian sukan yang menutup aurat, jaga solat, jaga pergaulan. Renang itu sunnah tapi kerana tidak ikut peraturan Allah maka jadi punah.
Hidup orang beriman dan bertakwa pasti bersyariaat. Manisnya hidup dengan syariaat.


Pabila ruh2 Islam tiada maka terdapat gap atau kekosongan yang akan di isi oleh ruh2 barat atau lain. Maka sebagai seorang muslim kita ini tiada pilihan melainkan kena ikut syariaat. Bila kita cinta pada agama maka tiada alasan untuk tidak hidup mengikut syariaat. Usah cari alasan. Bila tidak ikut syariaat maka bala pasti akan tiba.

Solat yang tidak khusyuk itu ialah pabila hati berjalan kita berhenti dan bila hati berhenti kita berjalan. Lain pula dengan jantung. Jantung berjalan kita berjalan, jantung berjalan kita boleh berhenti, tapi bila jantung berhenti maka kita boleh mati.

Ulama berpesan agar cucikan hati dari tiga sifat ini iaitu sombong, kedekut dan suka hina orang. Allah sembunyikan wali-Nya di kalangan hamba-Nya. Orang yang berilmu itu tidak rasa berilmu, malah selalu rasa kurang ilmu. Bila tahu kurang ilmu maka kena belajar kena mengaji kena menadah kitab. Bila ada ilmu maka kena beramal. Kadang2 dah tahu tapi masih tidak beramal. Kena betulkan ini.

Maka ushakan agar jiwa bersih, bersih akal dan bersih hati. Allah benci kepada orang fasik. Allah lagi benci orang berilmu yang fasik. Allah benci orang yang kedekut. Allah lagi benci orang kaya yang kedekut. Begitu juga Allah benci orang sombong. Allah lagi benci orang miskin yang sombong. Maka berjanjilah untuk tidak tergolong di kalangan manusia yang fasik, kedekut dan sombong ini.

Antara amalan kebaikan yang sangat tinggi nilaiannya ialah bersedekah. Duit sedekah atau derma itu kekal menjadi milik kita dan akan mengeluarkan dividen keuntungan saban masa walaupun jasad sudah tertanam di lubang kubur. Duit yang dalam poket atau dalam bank pula belum tentu milik kita. Ia boleh jadi milik fomen kereta, milik TNB, milik Syabas, milik doktor, milik anak2, milik isteri, milik Celcom, milik peniaga, dan macam2 lagi. Menyedari hakikat itu maka jangan kedekut untuk berderma, bersedekah dan infaq di jalan Allah. Sedekah dulu baru mohon pertolongan. Kenduri dulu baru minta hajat.

Persiapan untuk mati kita tidak cukup. Kena gandakan usha untuk mencari bekalan mati. Ibadah solat itu kenalah dimulakan dengan mengosong hati dan jiwa daripada sifat2 tercela dan mazmumah, dan di isi dengan sifat2 terpuji dan mahmudah. Amalkan solat malam yang mana ganjarannya 100x solat siang. Solat malam itu boleh menjadi teman penerang kubur.

Tidur itu mati yang sementara. Pabila terjaga dari tidur maknanya dikembalikan ruh kedalam jasad iaitu dihidupkan semula. Maka jangan amalkan sangat tidur yang lama atau menghabiskan masa dengan tidur. Afdal untuk kurangkan tidur dan bangun malam mendirikan solat dan bermunajat kepada Allah dalam kegelapan dan kesunyian. Segala bisikan hati dan yang dilafazkan oleh lidah diiring titisan airmata keinsafan itu sungguh tinggi nilaiannya, insyaAllah.

Ulama berpesan jika ingin lena tidur di alam kubur nanti tanpa gangguan azab kubur, maka istiqamahlah untuk bangun dari tidur di dunia ini untuk solat malam. Semoga mati iaitu kehidupan di alam kubur itu akan terasa sebentar cuma iaitu persis berada antara pejam dan celik. Bukan hidup yang panjang dan tersiksa oleh azab kubur yang dahsyat.

Jadilah manusia minoriti yang celik akhirat. Usahlah jadi manusia majoriti yang bodoh akhirat dan di hijab oleh hiburan dan lara dunia. Bercita-cita untuk menunaikan sunnah itu adalah wajib hukumnya. Semoga kita tergolong dalam kelompok manusia yang menang besar di akhirat bukan sekadar mencari menang besar di dunia semata.

@@@

Friday, June 22, 2012

Kematian Seorang Insan

Rosli meninggal pagi tadi. Itulah panggilan yang saya terima dari kampung sesampainya saya di ofis. Tarikh 2 Syaaban, di hari Jumaat yang mulia ini saya kehilangan seorang insan yang saya kasih. Sepupu saya ini meninggal setelah mengidap penyakit buah pinggang yang kronik. Arwah sudah terlantar di hospital KB dalam keadaan tidak sedar agak lama juga. Doa saya dari kejauhan kepada Allah ialah sekiranya ada sisa umurnya maka sembuhkanlah dia dari penyakitnya dan ringankan segala ujian yang ditanggungnya, manakala sekiranya sudah sampai ajalnya maka permudahkanlah pemergiannya ke alam barzakh. Arwah pergi pada usia 49 tahun. Marilah kita sedekahkan pahala bacaan surah2 al-Qur'an kepada arwah. Saya doakan semoga ruh arwah ditempatkan Allah bersama kelompok manusia beriman yang mendapat keampunannya. Semoga kehidupannya di alam yang baru ini akan selesa dan bahagia. Selamat jalan saudaraku.

@@@

Wednesday, June 20, 2012

Rejab Pergi, Syaaban Di Hati, Ramadan Menanti

Selamat pergi Rejab yang penuh hikmah. Syaaban datang lagi untuk bermain di hati. Hati yang bakal di siram ilmu dan hakikat. Untuk bersedia menerima tetamu agung Ramadan yang setia menanti.

Semua yang ada pada kita pemberian Allah belaka. Kita tiada apa. Maka Allah yang berhak dipuji. Untuk yang tak berhak dipuji, kalau dipuji pun maka pujian pada kurniaan yang Allah bagi. Kita memuji kepintaran dan kecerdikan seorang anak. Yang hakikatnya kita sebenarnya kena puji kurniaan Allah pada anak kita itu. Kepintaran dan kecerdikan itu ialah kurniaan Allah.

Semuanya yang kita ada ini akan kembali kepada pemiliknya yang hak iaitu Allah. Tidak kira kita ini bangsa apa atau keturunan mana pun, yang penting kita ini hamba Allah dan kita ini umat Rasulullah SAW. Bangsa atau keturunan bukan nilaian di sisi Allah. Allah jadikan manusia ini pelbagai bangsa dan keturunan untuk kita berkenal-kenalan dan bersiratulrahim.

Perjalanan israk itu ialah dari masjid ke masjid, iaitu rumah Allah ke rumah Allah. Cintai rumah Allah agar hubungan dengan Allah terus intim dan kukuh. Di Perang Badar tentera Islam yang hanya berjumlah 314 orang dapat menewaskan tentera kafir yang berjumlah 10,000 orang kerana apa? kerana pertolongan Allah. Tentera Islam yang berjumlah 10,000 orang di Perang Hainan tewas kepada musuh kerana pergantungan kepada Allah tidak mantap lagi kerana merasakan jumlah tentera yang ramai dapat menewaskan musuh. Sedangkan kemenangan itu anugerah Allah bukan pergantungan kepada makhluk.

Menang bukan sebab senjata yang canggih. Tentera Israel yang punyai senjata tercanggih di dunia masih tidak dapat menghapuskan pejuang Palestin yang sedikit. Maka benarlah kemenangan bukan kerana senjata tetapi kerana izin Allah. Umat Palestin terus dilindungi Allah untuk kekal kuat dan tabah hidup di bumi barokah.

Ibarat besi yang keras, akan lembik dan cair dek api. Api yang panas menjadi sejuk dek air. Air pula diserap menjadi awan. Awan di tolak ke hulu ke hilir oleh tiupan angin. Angin pula terhalang oleh bukit-bukau. Bukit-bukau pula kita lihat di sana-sini musnah di tangan manusia, di bakar dan digondolkan sesuka hati. Manusia yang merasa dirinya hebat itu dimusnahkan oleh hawa nafsu. Sejahat hawa nafsu berjaya dipatahkan dan ditewaskan oleh keimanan yang utuh. Keimanan menjadi raja apabila keyakinan yang tidak berbelah bagi kepada Allah SWT.

Dada Rasulullah SAW dibelah oleh Jibrail yang diperbuat daripada cahaya. Maka benarlah teknologi bedah menggunakan cahaya sebagaimana diamalkan di dunia perubatan hari ini sesuatu yang logik dan memang terbukti pada peristiwa israk wal mikraj 1,435 tahun dulu lagi. Dada Rasulullah SAW yang dibedah tadi dimasukkan ilmu dan hikmah serta dikuatkan dengan iman. Itulah persediaan kepada sebuah perjalanan hebat menuju Allah. Kita kena taubat dan sucikan dosa supaya dapat kekuatan untuk perjalanan di jalan yang benar mencari redha Allah.

Rasullullah di iring oleh malaikat Jibrail dan Mikail dalam peristiwa israk wal mikraj. Di sana Jibrail telah menunjukkan dirinya dengan izin Allah dalam rupanya yang sebenar. Jibrail begitu besar dan mempunyai 600 sayap yang jika dibentangkan dua sayapnya nescaya boleh meliputi seluruh bumi ini. Besar sungguh saiz malaikat jibrail ini. Tapi ada yang lebih besar dan kuat iaitu malaikat Israfil yang bakal meniup sangkakala untuk kemusnahan dunia. Satu sayapnya sahaja dapat menenggelamkan 600 sayap Jibrail. Besar sungguh malaikat Israfil ini. Namun ada lagi malaikat yang lebih besar iaitu malaikat yang menanggung Arash. Sungguh hebat ciptaan Allah. Maha Besar kekuasaan Allah.

Kalau kita melawat Planetrium Negara dan melihat model planet2 di cakerawala maka jelas kelihatan betapa kecilnya bumi ini. Saiz matahari saja 600 kali ganda besarnya daripada bumi. Bumi ini kecil sangat kalau nak dibandingkan dengan planet2 lain di alam semesta milik Allah ini. Kecilnya bumi sehinggakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh itu lebih baik dari seisi dunia. Tidak salah untuk memiliki kekayaan dunia namun gunakanlah kekayaan ini untuk lebih dekat kepada Allah. Manusia ini lemah, tak ada yang hebat pun.

Sepatutnya iman kita lebih mantap di zaman ini kerana pelbagai keterangan & bukti sudah terbentang di depan mata. Kalau dulu Rasulullah SAW berdepan fitnah yang besar dan cabaran yang kronik untuk meyakinkan bangsa arab perihal israk wal mikraj, hingga ramai di kalangan orang Islam sendiri yang jatuh murtad. Terbukti kini kelajuan jet supersonic yg melepasi tahap kelajuan cahaya, teknologi pancaran melalui gelombang udara pada sistem komunikasi dan TV, dan teknik pembedahan menggunakan laser. Semuanya ini sudah dirangkumkan dalam peristiwa israk wal mikraj itu.

Nak ambil dunia boleh. Tapi jangan takabbur dan jangan lari dari hakikat untuk mencari redha Allah. Kena jadi orang yang faham agama iaitu dengan usha sungguh2 memperuntukkan masa untuk mendengar di majlis2 ilmu, menadah kitab mengaji daripada guru2 mursyid, rajin berbincang dan bermuzakarah pada ilmu yang dipelajari, dan akhirnya sampaikan balik ilmu bermanfaat untuk kebaikan umat.

Jadilah Abu Bakar As-Siddiq yang membenarkan belaka segala ajaran Rasulullah SAW dengan penuh yakin terpahat kukuh bersama iman yang utuh. Sebaliknya jangan jadi seperti Abu Jahal penjenayah terkutuk yang mendustakan segala kata-kata Rasulullah dan kekal menjadi manusia durjana yang kufur sehingga ke akhir.

Marilah kita berdoa, "Ya Allah, ampunilah aku, sayangilah aku, dan terimalah taubatku." Aku mesti bertindak hari ini, 1 Syaaban ini untuk bergerak maju berhijrah menjadi hamba Allah yang baik di sisi Allah. Rejab sudah berlalu pergi. Syaaban kini di hati. Dan di sana nanti Ramadan setia menanti. Semoga kita masih belum mati jasad dan lebih-lebih lagi jangan jadi mayat bernyawa kerana hati yang sudah mati. Teruskan mujahadah, pengorbanan dan kesungguhan ibadah di Syaaban yang mulia ini.

@@@

Tuesday, June 19, 2012

Keutamaan Amalan Sunat - Satu Pencerahan

Ideally speaking, kita nak yang terbaik dalam mengumpul bekalan amal baik ke Akhirat pada baki usia yang masih tersisa ini dan kemampuan yang juga sangat terbatas ini. Untuk itu saya telah utarakan enam persoalan untuk di muzakarah kepada dua orang sahabat yang pada saya boleh membantu memberi pencerahan sewajarnya untuk manfaat kita semua, insyaAllah.

Sunat diertikan pada syara' apabila dikerjakan mendapat pahala dan apabila ditinggalkan tiada siksa/dosa. Ianya sangat penting dan signifikan sebagai usha untuk pengumpulan dana pahala bagi bekalan kehidupan yang kekal di akhirat. Ibadat sunat ialah amalan soleh yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Contohnya berzikir, membaca Al-Qur'an, bersedekah, mendirikan solat2 sunat, mengerjakan umrah, dan berpuasa sunat. Ibadah sunat juga mampu menampung kekurangan pada ibadah2 fardu. Istilah sunat pada orang yang taqwa adalah ia apabila dikerjakan mendapat pahala/manfaat/redo Allah dan apabila ditinggalkan tersangat rugi.

Kemusykilan kali ini ialah perihal ibadah2 sunat ini, apakah ada senarai keutamaan atau prioriti bagi melakukannya dari segi nilaian dan ganjaran pahala daripada Allah SWT? YA, dan ia bergantung kepada keadaan seseorang, suasana, kemaslahatan. Umumnya yang ikhlas, istikqamah dan lebih menekan nafsu adalah yang terbaik. WauAllahua'lam

Tanggapan umum saya ialah hakikatnya ganjaran pahala ini hanya hak Allah dan dalam pengetahuan Allah semata. Justru pada pegangan orang awam, adakah pahala amalan2 sunat ini setara belaka atau satu level belaka? Maksudnya jika saya bersedekah dapat 1 poin pahala, dan jika saya puasa sunat pun dapat 1 poin pahala? Jika saya buat ibadah umrah dapat 1 poin pahala, jika saya buat ibadah korban pun dapat 1 poin pahala? Bergantung harap sajalah pada Allah.

Enam persoalan yang dimuzakarahkan ini ialah:

1. Pabila berkunjung ke Masjid - yang mana lebih afdal antara mendirikan solat sunat tahayatul masjid? Solat sunat wuduk? Atau solat sunat qobliah? dalam masa terhad menunggu iqamat.

Sunat Tahiyyatul Masjid patut diutamakan - selain keutamaan dan fadhilatnya, solat sunat wudhu' dan qabliyyah sebenarnya boleh je nak diselesaikan di rumah lg. Sunat Tahiyyatul masjid hanya sah dibuat di dalam masjid - bukan di rumah.

Sebaiknya datanglah awal, maka dapatlah dikerjakan semua sunat2 yang tuan nyatakan itu, susunan amalan sunat2 itu adalah sebagai galakan supaya kita datang awal dan menuggu waktu solat di saf2 masjid/surau. Manakala dalam masa terhad menunggu iqamat solat sunat qobliahlah yang aula/utama. WauAllahua'lam

2. Seorang Pak Haji berumur 70an saban tahun mengerjakan ibadah umrah dan ziarah. Apakah lebih afdal untuk nya bersedekah jariah wang RM10k yang akan dibelanjakan untuk ibadah umrah pada tahun ini kepada dana projek pembinaan surau baru di taman perumahannya?

Kita amat dituntut untuk melakukan ibadah umrah dan ziarah. Pun begitu manfaatnya adalah lebih bersifat peribadi dan habis di situ. Adapun membelanjakan pada jalan Allah, apatah lagi yang bersifat jariah; manfaatnya adalah untuk orang ramai dan pahalanya berterusan walaupun sesudah kita mati.

Pada umumnya kedua2 perkara sunat itu adalah baik dan mempunyai keistimewaan yang berbeza/tersendiri, tetapi sebahagian ahli agama menyatakan (pada situasi soalan ini) infaq pembinaan surau/masjid adalah lebih baik/bijak, bukan suatu hukum tapi saranan. Bagi kita orang luar yang memerhatikan perkara ini hendaklah lahirkan perasaan sangka baik dengan mengatakan mungkin Pak Haji berumur 70an itu mengerjakan ibadah umrah dan ziarah NAZAR pada setiap tahun/tahun yang tertentu . (Bila nazar yang sunat jadi wajib)

3. Hajah Halimah sudah 3 kali mengerjakan ibadah Haji dan berhajat untuk mengerjakan haji lagi pada tahun ini, apakah lebih afdal jika dia sponsor jirannya atau saudaranya yang masih belum mampu dari segi kewangan untuk menunaikan ibadah Haji ?

Begitu juga dengan haji. Yang wajibnya sekali sahaja, dan selebihnya adalah sunat semata2. Maka, selain daripada membelanjakannya dgn sponsor mereka yang belum/tidak mampu; saya mencadangkan adalah lebih baik beliau membelanjakan pada jalan Allah yang bersifat jariah. Sekali lagi, untuk amalan jariah pahalanya berterusan dan manfaatnya dirasai ramai. Adapun, sponsor orang yang tidak/belum mampu manfaatnya hanya/lebih untuk beliau sahaja. Juga perlu disedari bahawa hukum asalnya, memang tak wajibpun pergi kalau tidak mampu (tanpa menafikan adalah amat baik untuk bersedeqah kpd mereka yang belum mampu). Maka adalah lebih awla/utama dengan menderma pada jalan Allah spt Jihad dsbgnya yang kadang2 tuntutannya macam sampai ke peringkat wajib.

Memang betul dan adalah afdal jika dia sponsor jirannya atau saudaranya yang masih belum mampu dari segi kewangan untuk menunaikan ibadah Haji. Bagi kita orang luar yang memerhatikan perkara ini hendaklah lahirkan perasaan sangka baik dengan mengatakan mungkin ia buat BADAL Haji untuk ahli keluarganya yang telah meninggal dunia sebelum sempat menunaikan Haji. (Syarat Badal Haji ialah dikerjakan oleh mereka yang telah menunaikan Haji wajibnya dahulu)

4. Yang mana lebih besar nilainya antara solat sunat Dhuha atau solat sunat Tahajjud misalnya?

Masing2 besar fadhilatnya. Cuma Sunat Tahjjud jelas ditekankan dalam al-quran sejak awal nabi s.a.w diangkat menjadi rasul.

Buatlah kedua2nya adalah lebih baik, kita tak tahu yang mana satu kita kerjakan yang Allah sangat suka, yang pastinya mana satu yang susah/menekan nafsu, maka itulah yang lebih baik. Pada umumnya kedua2 solah sunat itu adalah baik dan mempunyai keistimewaan yang berbeza/tersendiri dan ia bergantung kepada keadaan seseorang, suasana, kemaslahatan. Umumnya yang ikhlas, istikqamah adalah yang terbaik. WauAllahua'lam

5. Yang lebih besar nilaiannya di sisi Allah antara puasa sunat Isnin/Khamis berbanding dgn puasa sunat 1 Rejab misalnya?

Puasa sunat isnin & khamis jelas disebut nabi s.a.w dalam hadis sahihnya; sedangkan untuk berpuasa pd 1 rejab secara specific masih ada perbahasan ulama' tentang tuntutannya. (boleh dan baik sgt utk puasa di bulan rejab tp kekuatan dalil lebih jelas dan ketara kepada puasa sunat isnin & khamis - isu 'kekuatan' hadis')

Pada umumnya kedua2 puasa sunat itu adalah baik dan mempunyai keistimewaan yang berbeza/tersendiri, tetapi sebahagian ahli agama menyatakan (pada situasi soalan ini) puasa sunat Isnin/Khamis dalam bulan rejab medatangkan dua pahala iaitu pahala puasa bulan rejab + pahala puasa isnin/khamis serentak. (2 in 1)

6. Yang mana lebih utama antara menggunakan wang RM400 yang ada untuk ibadah aqikah anak atau ibadah korban?

Ikut masa; kalau situasinya berlaku pd musim raya haji - afdhal buat ibadah korban sbb tak sah bulan atau masa lain. Aqiqah amat dituntut juga, tp boleh dibuat sepanjang tahun.

Aqikah dan Qurban adalah dua perkara yang berbeza, Aqikah adalah tuntutan penyembelihan tanda kesyukuran yang perlu dilaksanakan pada jangkamasa tertentu (tak kira hari) oleh bapa/ayah kepada bayi dan sunat sekali sahaja dalam seumur hidup. Manakala qurban di sunatkan kepada setiap individu, setiap tahun pada yang mampu dalam bulan haji iatu pada 10-13 Zulhijjah sahaja. Jika belum buat Aqikah, maka buatlah aqikah dahulu dan ini lebih utama, walaupun anda telah mencapai umur tua tetapi tiada maklumat yang bapa/kelurga pernah mengaqikahkan kita. (Dari segi hukum sunatnya Aqikah adalah tanggungjawab BAPA)


Kesimpulannya;





  • Memang amalan sunat ada tingkatan dan keutamannya.


  • Pertamanya, perlu dilihat dari sudut jenis amalan sunat tersebut itu sendiri dan yang keduanya situasi yang sedang berlaku untuk 'menghukum' dengan lebih adil dan tepat.


  • Secara asasnya, persoalan yang dibangkit ini termasuk di bawah kategori memahami "Feqh Al-Awlawiyat" atau "Memahami Keutamaan/priority di dalam Islam".


  • Rujukan terbaik yang boleh saya cadangkan ialah buku Fiqh Keutamaan karangan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi.


  • Kalau mengikut perbahasan dan kupasan dalam buku tersebut memang agak panjang, tetapi cukuplah saya katakan bahawa Fiqh Keutamaan ini lebih melihat dan menilai dari sudut memahami tujuan dan matlamat sesuatu ibadah khususnya dari sudut aplikasinya.


  • Amalan kita diakhirat nanti akan DI TIMBANG DAN BUKAN DI HITUNG, yang memberatkan amalan kita adalah KEIKHLASAN DAN RAHMAT ALLAH sahaja, oleh itu berusahakan untuk mendapatkan keikhlasan dengan istikamah menunaikan semua amalan baik dan kerjakan apa saja yang Allah dan Rasul suka bagi memperoleh rahmat Allah, jangan lupa disertakan dengan doa/menangis harap pada Allah dan adukan kelemahan yang kita ada dan minta Allah ampun dan kesian pada umat manusia yang lain juga.


  • Pada pandangan saya yang daif ini maksud timbang ialah meletakkan semua amalan baik dan jahat pada neraca yang tertentu bagi mengetahui yang mana lebih berat, manakala hitung adalah jumlah atau angka yang di campur2 dan ditolak untuk mendapat jawapan atau bakinya.


  • Pada umumnya semua perkara/amalan sunat bolehlah kita beratkan pada diri KITA sendiri sahaja, manakala pada orang lain cukup sekadar memberi GALAKAN yang berterusan dengan cara yang penuh hikmah dan baik tanpa menyakiti/mengingung hati sesiapa. Allah lah sebaik2 tempat mengadu dan pemberi balasan. Bersangka baiklah pada semua orang dan pandanglah keburukan yang ada pada kita walaupun ianya tersangat kecil/remeh.


Komen/Jawaban di berikan oleh:





  1. Tulisan Biru: Ust Nushi Dato’Mahfodz (Pendakwah bebas, Pensyarah KUIS)


  2. Tulisan Merah: Hj Munir Mufti (Pendakwah bebas, Pengurus MHS Aviation)



@@@

Sunday, June 17, 2012

Kitab Kifayah al Muhtaj

Kandungan kitab yang masih memakai tajuk asalnya, Kifayah al Muhtaj ini, pada asalnya diterjemahkan oleh al Allamah Sheikh Daud ibn AbduLlah al Fatoni ra dari sebuah risalah yang bertajul al Ibtihaj fi al Kalam 'ala al Isra' wa al Mi'raj karangan al Allamah al Muhaddith al Musnid Najmuddin Abi al Mawahib Muhammad ibn Ahmad ibn Ali ibn Abu Bakar al Sakandari al Ghaiti yang wafat pada tahun 981Hijrah dan syarahnya, karangan Syeikh Ahmad Syihabuddin al Qalyubi.

Alhamdulillah saya, isteri dan anak sulong saya bersama 45 org ahli jamaah yang lain hari ini telah berjaya khatam 70 m/s kitab ini dengan pengajian bersanad bersama Ust Hazri Hashim di Masjid BS dengan pengajian bermula selepas subuh tadi dan berakhir tepat pukul 3:30ptg.

Sudah lama tidak menadah kitab secara marathon begini. Yang akhirnya memberi kepuasan berbeza dengan pengajian secara kuliah maghrib atau forum khas israk mikraj. Kitab ini mengupas secara terperinci perjalanan Rasulullah menuju Allah. Yang juga merupakan persediaan iman bagi umat Islam Mekah untuk misi Hijrah ke Madinah nanti yang begitu mancabar yang akan berlaku setahun kemudian.

InsyaAllah malam ini akan diadakan pula Forum Perdana Israk Mikraj yg ahli panelnya terdiri daripada Ust Fauzan Ali dan Ust Hazri Hashim dengan moderatornya Ust Abu Bakar Yang. Semoga majlis ini diberkati Allah dan dapat menaikkan tahap ketakwaan kita.

Rasulullah pergi dan balik ini dengan ruh dan jasad secara fizikal dalam satu malam sahaja. Peristiwa ini begitu mencabar minda dan iman orang arab dan ujian besar untuk orang beriman. Al-Aqsa adalah pelusuk paling jauh yang orang arab pernah sampai kala itu, maka dengan itu terbayang jelas kemustahilannya oleh Abu Jahal dan orang kafir quraish untuk mentertawakan dan mendustakan Rasulullah.

Orang Islam sendiri ramai yang memilih untuk murtad. Sebaliknya Abu Bakar RA berdiri teguh membenarkan segala yang diceritakan oleh Rasulullah perihal perjalanan ini. Israk Mikraj adalah mukjizat terbesar Rasulullah selepas mukjizat Al-Qur'an.

Beberapa impak teknologi dapat kita lihat dalam peristiwa israk mikraj ini. Pembedahan dada Rasulullah oleh Jibrail sebelum di israkkan menunjukkan teknologi pembedahan melalui cahaya (laser) kerana Jibrail dijadikan daripada cahaya.

Jibrail memprojekkan image Masjidil Aqsa untuk rujukan Rasulullah ketika di tanya tubi oleh orang kafir quraish perihal profil Masjid Al-Aqsa, membuktikan teknologi pancaran atau projection via cahaya dan gelombang udara.

Teknologi pengangkutan udara (jet supersonic) yang laju dibuktikan oleh tunggangan Burak tika israk. Setiap lonjakan Burak itu sejauh mata memandang iaitu kira2 14km jaraknya.

Teknologi lift turun naik, tika mikraj Rasulullah menggunakan tangga yang ditegakkan oleh Jibrail pada setiap lapisan langit. Tangga ini ialah tangga ruhani bukan pandangan zahir, yang diturunkan dari Syurga Firdaus.

Dan semestinya kelajuan cahaya yang memang sepantas kilat, sudah diakui untuk sekian lama. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa melakukan segalanya.

Adakah Rasullullah mendirikan solat sebelum peristiwa israk mikraj? YA, semenjak mendapat wahyu pertama lagi, pabila Jibrail sendiri mengajar Rasulullah untuk berwudhuk dan bersolat. Cumanya solat Rasulullah dua rakaat satu di awal pagi dan satu lagi di awal malam. Solat ini jugalah yang diamalkan oleh nabi-nabi terdahulu.

Solat lima waktu difardukan selepas peristiwa israk mikraj ini. Nabi Musa menasihati Rasulullah untuk mengadap Allah memohon dikurangkan jumlah solat fardu daripada 50 hingga menjadi 5 waktu seperti sekarang ini. Maknanya Rasulullah terpaksa berulang-alik sebanyak 9 kali untuk bertemu Allah kerana setiap pertemuan itu Allah telah mengurangkan 5 waktu (5 x 9 trip = 45). Namun 5 waktu solat fardu yang di wartakan itu bersamaan pahalanya dengan 50 waktu.

Minuman susu yang pilihan Rasulullah sebanyak dua kali iaitu sekali kala israk dan sekali kala mikraj memberi simbolik lambang kepada fitrah kejadian yang suci, kerana susu ini terhasil dan keluar antara kewujudan darah dan najis.

Juga dinyatakan bahawa 70,000 manusia akan masuk syurga tanpa hisab. Dan setiap seorang itu pula akan membawa masuk 70,000 manusia lain masuk syurga tanpa hisab. Maknanya 70,000 x 70,000 = 4,900,000,000 = 4.9 Bilion umat manusia akan masuk syurga tanpa hisab. Mungkin fakta ini perlu disahkan dengan lebih lanjut. Berapa Billion umat manusiakah yang wujud sepanjang umur dunia ini?Wallahu'alam.

@@@

Saturday, June 16, 2012

Life Begin At 40

Umat Nabi Muhammad SAW purata hidupnya sekadar 60-70 tahun. Maknanya tidaklah lama hidup seseorang itu. Walaupun apa status, pangkat atau jawatan dalam masyarakat. Ajal maut itu sudah termaktub. Pelbagai asbab dihubungkaitkan dengan sesebuah kematian. Ada yang mati dalam tidur, sakit tua, ramai yang mati asbab pelbagai penyakit atau kemalangan jalanraya.

Umur ini pada hakikatnya setiap detik semakin pendek. Setiap pagi bangun daripada tidur, sehari lagi kurang umur dari sisa umur yang tinggal. Untuk bagi jelas saya bagi contoh, jika ditakdir hayat umur Mek Jenab ialah 46 tahun dan umurnya sekarang katalah 41 tahun 4bulan 13 hari, maka sisa umur Mek Jenab yg tinggal ialah hanya 4 tahun 7 bulan 17 hari sahaja lagi. Ibaratnya begitulah. Setiap hari semakin pendek umur kita. Walau sehebat mana pun kita.

Minggu lepas kawan anak saya (rujuk posting terdahulu) meninggal asbab kemalangan motosikal. Umur arwah baru 21 tahun. Sudah tersurat sebenarnya bahwa umur arwah tarikh luputnya ialah pada 12/6/12, 10:15am. Maka life begin at 40 tidak menjadi kenyataan buat arwah. Yang menjadi kenyataan ialah life di alam barzakh begin at 21 for him. Maka ajal maut tidak mengenal umur. Orang yang bijaksana sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian.

Frasa life begin at 40 memberi implikasi bahawa kita enjoy dulu dan jadi baik bila umur sudah meningkat 40 tahun. Jika sekitar umur 40 tahun itu karektor seseorang itu agak positif maka harapan cerahlah untuk dia terus menjadi seorang manusia yang baik. Itulah tanggapan kita. Atau itulah agaknya yang terpahat diminda. Benar atau salah, Wallahu'alam.

Agak malang bila melihat seseorang yang semakin berusia semakin lara, semakin tidak minat untuk ke masjid atau duduk di majlis2 ilmu. Semakin tua dia semakin suka memancing sepanjang hari, bermain golf setiap hujung minggu, hobi moto besar atau sobek kereta, atau makin gila bola. Solat berjemaah di masjid atau tempat azan di azankan tiada dalam agenda. Yang disibukkan ialah mencari duit, mengumpul harta, dan sibuk berniaga atau bekerja tidak kira siang dan malam. Kalau dulu agak alim orangnya tapi semakin tua semakin jahil jadinya.

Maka jangan lupa untuk menadah tangan berdoa setiap selepas solat supaya pengakhiran hidup yang baik, hidup dalam iman dan mati juga dalam iman. Bukan hidup dalam iman tapi di penghujung usia mati dalam kesesatan. Amat malang sekali.

Ujian kemewahan hidup atau kesenangan harta benda adalah satu ujian yang berat sebenarnya daripada Allah SWT. Ramai manusia yang kecundang. Ramai yang sudah jadi riak atau sombong sesama manusia malah turut lupa untuk taat pada Allah. Manusia di hijab oleh istidraj. Semakin kaya dia maka semakin dia lupa Allah. Dia rasa Allah sayang dan kasih pada-Nya, atau dia rasa bahawa dia tidak perlu kepada Agama lagi kerana dia sudah ada segalanya. Istidraj adalah bala yang besar sebenarnya.

Life begin at 40 sepatutnya memberi transformasi positif ke arah manusia yang semakin bertakwa. Manusia yang cinta dan rindu ke Rumah2 Allah setiap masa. Manusia yang rasa manis dan lazat untuk menghadiri majlis2 ilmu, menadah telinga dan kitab pada setiap kuliah maghrib, kuliah subuh dan ceramah2 perdana. Manusia yang berdakwah dan mengajak manusia kepada mentaati Allah pada setiap kesempatan. Manusia yang mengisi masa bukan dengan tidur atau seronok bermain PS3 tetapi petah mengaji Qur'an, mentelaah tafsirnya, membaca buku2 ilmu, meneroka internet mencari lubang2 ilmu dan teknologi bermanfaat. Manusia yang tidak segan untuk azan dan iqamat. Manusia yang bersedia mengimami solat. Manusia yang basah bibir dengan zikrullah dan kata2 yang berfaedah. Manusia yang rasa rugi jika masa yang ibarat jongkong emas itu terbuang tanpa hala tuju.

Life begin at 40. Ayuh kita jadi manusia yang berada di jalan yang benar di jalan yang betul untuk menuju objektif dan destinasi hakiki iaitu mencapai redha Allah.

@@@

Friday, June 15, 2012

Doa Selepas Solat

Tadi saya menunaikan solat jumaat di masjid Keramat. Selepas saja imam memberi salam, sebahagian jamaah terus angkat punggung untuk keluar masjid. Tidak dapat meluangkan sedikit masa pun untuk zikrullah dan berdoa kepada Allah. Sibuk hendak kemana sebenarnya? Hendak pergi makan, merokok atau pulang ke ofis? Manusia disibukkan ke tahap maksima oleh rehnah dunia yang entah bila penghujungnya.

Allah sangat suka hamba2-Nya berdoa kepada-Nya memohon segala hajat dan keperluan dan Allah mampu menunaikan segala hajat dan permintaan itu. Allah Maha Berkuasa. Tapi masih ramai yang sekadar percaya tapi tidak yakin. Sebab itulah manusia2 ini terus berlalu tanpa mau mengangkat tangan berdoa bergantung harap kepada Allah untuk meminta segala keperluan hidup samada keperluan dunia apatah lagi keperluan hidup kekal abadi di Akhirat nanti.

Makhluk tidak dapat memberi manfaat secubit pun melainkan dengan izin Allah. Maka Allah adalah objektifnya bukan makhluk. Tapi yang berlaku dihadapan mata saban masa ialah manusia tetap mahu bergantung harap kepada makhluk. Alangkah ruginya. Sedang setiap detik yang berlalu maka sisa hayat umur terus berkurang menjadi semakin pendek. Insaflah.

Suatu hari Ibrahim bin Adham ingin membuang air kecil, lalu dia pun pergi ke tandas awam. Apabila dia ingin masuk ke dalam, seorang lelaki penjaga tandas menegurnya, “Wahai orang tua, bayarlah dulu sebelum masuk.” Mendengarkan sapaan lelaki itu, air mata Ibrahim bin Adham pun bercucuran keluar dari matanya.

Lelaki tadi terkejut dan berkata, “Wahai orang tua, andai kata kamu tiada wang untuk dibayar, masuklah secara percuma. Janganlah menangis kerana ini.” Ibrahim bin Adham menjawab, “Wahai pemuda, aku menangis bukan kerana aku tiada duit tetapi aku terfikir jika tempat sejijik ini pun harus dibayar untuk dimasuki, bagaimana pula dengan syurga Allah? Berapakah bayaran yang harus aku sediakan untuk masuk ke dalamnya?

Susah benarkah kita hamba yang lemah dan tiada daya dan upaya ini untuk meluangkan masa sejenak setiap selepas solat untuk beristighfar, berzikir dan manadah kedua belah tangan dengan penuh pengharapan berdoa kepada Allah SWT untuk diampunkan segala dosa, bertaubat atas segala kesalahan, mohon keampunan Allah, mohon pembebasan dari api neraka Allah, dan mohon dilayakkan diri menjadi salah seorang daripada kelompok manusia yang mendapat redha Allah dan layak mendapat nikmat syurga Allah. Susah benarkah?

Apakah manusia mengharapkan syurga Allah tanpa apa2 bayaran, pengorbanan dan kepayahan? Tiada yang percuma hatta masuk ke jamban untuk berak pun dikenakan bayaran. Tengok wayang pun kena bayar untuk beli tiket. Nak makan kena bayar, nak barang pun kena bayar, nak kahwin pun kena usha wang hantaran. Lagi besar kemewahan yang diidamkan maka lagi besar usaha harga yang perlu dibayar.

Kita tiada upaya melainkan dengan kudrat dan iradat Allah. Maka keluarkan sedikit bayaran untuk mendaki masuk perjalanan yang jauh menuju ke syurga Allah. Bermula dengan duduk sejenak menadah tangan berdoa penuh ikhlas dan harapan kepada Allah SWT pada setiap kali selepas solat samada solat2 fardhu atau solat2 sunat. Tiada Ringgit Malaysia yang dikenakan Allah SWT untuk berdoa. Mulai hari ini istiqamahlah berdoa penuh kasih dan harap.

@@@

Salahkan Diri Sendiri

“Along kenapa langgar gelas Abah ni. Along tak nampak ke gelas yang sikit punya besar ni?” marah Abah kepada Along pada suatu pagi minggu tika Abah santai di ruang tamu sedang baca The Star.

Pada suatu hari minggu yang lain, “Along kenapa pi letak gelas kat tengah balai ni? Kok ye pun nak ber facebook kat sini, Along letak le gelas minuman ni kat tepi sikit,” jerit Abah selepas tersepak gelas minuman Along di ruang tamu.

Along fikir dan rewind balik. Kedua-dua kes di atas agak sama senerionya. Berlaku di tempat yang agak sama dengan situasi yang lebih kurang sama juga. Cuma watak utamanya berbeza, tapi yang disalahkan ialah pelakon yang memainkan watak anak. Yang salah bukan aku. Yang silap orang lain. Yang tak betul orang lain, bukan aku.

Pernah Rasulullah SAW pulang ke rumah Aisyah di lewat malam setelah selesai segala urusan. Rasulullah SAW memberi salam namun tiada jawapan. Rasulullah memberi salam namun masih tiada jawapan. Kali ketiga Rasulllah memberi salam namun masih sunyi sepi, tiada yang menyambut salam itu. Maka Rasulullah bersangka baik bahawa Aisyah lelap tidur dan tidak mendengar seruan salam Rasulullah SAW. Maka Rasulullah terus berbaring melelapkan matanya di luar pintu rumah Aisyah.

Di awal pagi itu pabila Aisyah membuka pintu rumah dan mendapati Rasulullah tidur disitu, maka terus Aisyah memohon maaf kerana tidak menyedari kehadiran Rasulullah kerana tidurnya yang lelap. Namun Rasulullah terus menyatakan, “Saya yang bersalah.” Aisyah terus berkata, “Tidak ya Rasulullah, saya yang bersalah.” Dan dialog berulang untuk beberapa ketika.

Menunjukkan contoh kepada kita bahawa jangan mudah untuk menuding jari mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Sebaliknya tudingkan ibu jari ke muka sendiri, untuk muhasabah dan perbaiki diri sendiri.

Salahkan diri sendiri dan ambil tindakan proaktif untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik. Segala yang berlaku itu kemungkinan besar asbab daripada kesilapan dan kekurangan diri sendiri. Kekurangan pada anak2, kemungkinan besar berpunca daripada kelemahan saya sebagai bapa atau saya sebagai ibu?

Patahkan ego diri dengan belajar mengakui kelemahan diri. Bersihkan penyakit2 hati dengan mengimplementasikan sifat rendah diri dalam kehidupan ini. Nafsu dalam diri sentiasa mengajak manusia kepada sifat2 mazmumah atau agenda2 yang tidak baik belaka. Maka menjadi tugas penting untuk manusia melawan kehendak hawa nafsu ini.

Jika nafsu mengajak saya untuk menengking anak saya atas kesilapan yang dilakukannya, maka saya kena melawan kehendak nafsu amarah dalam diri ini dengan beristighfar dan menggantikan tengkingan yang menyakitkan telinga dan boleh melukakan hati itu kepada sebuah teguran berhemah yang penuh kasih sayang. Itu sebenarnya yang lebih terkesan di hati anak itu sebenarnya. Lembut tetapi keras, ibarat setitik air yang jatuh ke batu keras hingga lama2 melekukkan batu yang pejal dan padat itu.

Jika Allah hendak muliakan seseorang maka tiada makhluk yang boleh menghinakan orang itu. Begitulah sebaliknya jika Allah hendak hinakan seseorang maka tiada makhluk yang berupaya untuk memuliakan orang itu. Begitulah lemahnya manusia dan hebatnya Pencipta manusia. Renung2kan dan selamat beramal.

@@@

Tuesday, June 12, 2012

Time Management

Jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia. Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi. Sehingga 2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.

Ketepatan masa Al-Rajhi menjalani wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa, lapur wartawan bertugas. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”

Ibadah solat dalam Islam itu sendiri sebenarnya menerapkan konsep 'time management' yang menarik. Waktu solat itu kalau kita perhatikan sentiasa bergerak dan tidak tetap. Ia mengajak kita untuk peka dan sensitif dalam soal menepati masa. Jika seseorang itu memberi ketaatan dan betul2 mengikuti detik masa yang menentukan secara tepat waktu solat dengan mengamalkan solat berjamaah dan solat di awal waktu maka ia melatih diri untuk menepati masa sebenarnya yang mengukuhkan integriti seseorang.

Solat untuk berdiri mengadap Allah yang Maha Agung itu kita berjaya untuk lakukan on-time dan penuh khusyuk dan fokus, maka tidak peliklah kalau kita boleh mempraktikkan dalam hidup untuk on-time dalam urusan kerja pula. Masalahnya kita tidak menghayati apa yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada hamba2-Nya. Allah ingin melatih orang Islam untuk menepati masa dan mengurus masa dengna efisyen. Kalau solatpun sudah tidak on-time maka urusan kerja lazimnya tidak akan on-time juga.

Saya nak tanya soalan. Tolong nyatakan waktu2 masuk solat fardhu untuk hari ini? Silakan. Kemungkinan besar majoriti tidak dapat menyebutnya dengan tepat kerana kita tidak mengambil berat fakta ini. Sedangkan sepatutnya detik waktu ini sangat penting dan terpahat di otak kita untuk menandakan waktu yang ditetapkan untuk kita bersedia mendirikan solat untuk mengadap Pencipta kita. Ia suatu waktu yang amat penting dan signifikan.


Bayangkan kalau akan mengadap Raja atau seorang MD di Syarikat kita? Atau untuk menghadiri sesuatu temuduga kerja, bergegas dan bersedia dari awal lagi nampaknya, tapi untuk mengadap Allah kita jadi ambil tak kisah. Terukkan? By the way hari ini Subuh 5.40, Zohor 1.16, Asar 4.42, Maghrib 7.25 dan Isyak 8.40. Bertindaklah untuk menepati masa.

Pihak lain banyak mengambil dan mempraktikkan nilai2 Islam ini dalam kehidupan mereka. Sedangkan kita yang mengaku Muslim sejak lahir ini gagal pula mengimplimentasikan time management yang efisyen ini dalam rutin kehidupan. Kitalah yang rugi. Cuma mungkin detik masa yang kita sentiasa peka dan ambil perhatian ialah waktu berbuka puasa di sepanjang bulan Ramadan saban tahun.

Teringat saya semasa menuntut di Universiti di Kalamazoo, Michigan suatu masa dahulu. Perkhidmatan bas awam di kampus saya itu sungguh menepati masa. Di bus-stop ada signboard ringkas menunjukkan waktu tiba bas. Waktunya tepat ke minit terakhir. Contohnya waktu tiba 9.36, 10.12, 10.33, dsb. Hebat bukan? Dan yang lebih hebat lagi jika saya sampai ke bus-stop itu misalnya pada pukul 9.35, maka selang seminit kemudian iaitu tepat 9.36 saya akan dapati bas berkenaan tiba ke bus-stop untuk saya naiki. Dan begitu juga waktu tiba ke destinasi yang dituju, menepati masa hingga ke minit terakhir itu. Nilai2 Islam yang telah dipraktikkan di dunia Barat dan sudah menjadi budaya hidup yang sihat.

Sebab itu Yusuf Islam pernah memberi komen, "Jika aku melihat Islam itu di gaya hidup seorang Muslim di sebuah negara Muslim maka mungkin aku masih belum memeluk Islam." Mungkin kenyataan itu ada justifikasinya melihat kepada contoh di Negara kita sendiri perihal pelbagai gejala sosial dan penyakit masyarakat termasuklah sindrom 'time melayu' yang menggambarkan ketidakrespekan kita kepada pengurusan masa itu sendiri.

@@@

Ajal Maut Sudah Tersurat

Semalam anak saya menerima berita sedih. Kawannya semasa di sekolah menengah telah kemalangan motosikal dan meninggal di tempat kejadian. Dia yang membonceng dengan kawannya dalam perjalanan pulang ke kampus pengajian di Lumut, telah kemalangan berdekatan dengan Hulu Bernam. Kawannya patah tangan, namun dia mendapat kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia.

Anak saya bergegas ke Hospital KKB untuk melihat jenazah di bilek mayat. Adik2 arwah yang masih kecil dengan wajah hiba berada di sisi jenazah di bilek mayat itu. Suasana sungguh memilukan. Arwah merupakan anak sulong. Seterusnya jenazah di bawa balik untuk dimandikan dan disolatkan di masjid BS. Seramai kurang lebih 30 orang kawan2 zaman sekolah di SAMT KKB yang datang dari jauh dan dekat turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan menjelang maghrib.

Isteri saya pula mengingati arwah kerana beliau pernah menjadi teman setia anak saya semasa anak saya ditimpa musibah suatu masa dahulu. Arwah juga pernah menumpang kereta isteri saya semasa pergi dan balik sekolah. Arwah juga pernah menjadi tetamu di rumah kami bersama kawan2 anak yang lain semasa kami mengadakan jamuan BBQ. Setiap kali ketemu anak saya di masjid, arwah sering mengirim salam kepada isteri saya. Isteri saya bercerita bahawa arwah ini adalah anak yang cukup sopan dan pandai mengambil hati orang tua. "Dia seorang anak yang baik," ekspresi isteri saya mengenai arwah. "Selalunya Allah lebih menyayangi orang yang baik dengan menjemputnya lebih awal," konklusi dari isteri saya.

Anak saya memberitahu bahwa pada malam sebelumnya semasa menonton Euro2012, arwah ada menyatakan kepada kawannya, "Aku rasa nak mati." Mungkin arwah sudah mendapat bayangan ajalnya sudah hampir. Marilah kita sedekahkan pahala bacaan surah2 Al-Qur'an kepada arwah. Semoga Allah tempatkan arwah di kalangan manusia yang bertakwa. Amiin.

Semasa berborak dengan anak bongsu saya tika mengambilnya dari kelas tusyen malam tadi, saya menyatakan bahwa ajal maut ini sudah ditentukan Allah dan tidak mengenal usia. Pabila ajal sudah tiba maka tidak ada apa yang dapat menyekatnya. Setiap kejadian atau incident itu adalah sekadar asbab pada kematian, bukan sebab pada hakikat kematian itu. Justru dalam usia muda ini penuhilah dengan aktiviti yg bermanfaat, bukan perkara sia-sia yang membuang masa muda. Jaga solat di awal waktu, sedekah jariah pada setiap kesempatan, rebut pahala dan hindari dosa. Sesungguhnya masa itu sungguh berharga dan tidak mampu untuk diganti atau dibeli walaupun dengan wang berjuta.

Kehidupan di alam kubur atau barzakh sangat lama rupanya, beribu-ribu tahun hingga ketibaan hari kiamat nanti. Ahli2 syurga akan mendapat keselesaan di alam barzakh ini manakala ahli2 neraka akan merasakan kesengsaraan lubang kubur yang sempit, gelap yang dipenuhi pelbagai binatang bisa dan penyeksaan. Tiada lagi penghubung dengan dunia yang fana ini melainkan semua di tinggalkan belaka kecuali sedekah jariah, ilmu bermanfaat, dan doa anak yang soleh.

Bagi kita yang masih bernyawa ini, apa yang dapat kita sumbangkan untuk membantu arwah yang berada di alam kubur ialah dengan "doa anak yang soleh" yang mendoakan supaya Allah memberi keampunan dan menempatkan dia di kelompok manusia yang beriman yang layak untuk mendapat nikmat syurga-Nya. Kita sedekahkan pahala bacaan ayat2 Al-Qur'an kepadanya. Sesungguhnya setiap seseorang yang kini berada di alam barzakh itu sangat mendambakan sumbangan ikhlas ini setiap detik dan saat. Itulah yang mampu kita lakukan untuk menyayangi ibubapa kita dan kenalan kita yang sudah meninggal dunia.

@@@

Wednesday, June 06, 2012

Pantun Karat Petang Rabu

Pahit Ubat Buah Pria
Pohon Saga Batu Bersurat
Berhikmah Kita Hidup Di Dunia
Agar Bahagia Hidup Di Akhirat

Petang Hari Panjat Kelapa
Anak Jiran Suka Bertanya
Kita Ini Tiada Apa Apa
Semuanya Allah Yang Punya

Emak Masak Tauhu Sumbat
Hati Gembira Lagi Ceria
Sambung Kerja Nabi Dan Para Sahabat
Usha Dakwah Ke Serata Dunia

Kolek Di Paya Sudah Terbalik
Pipit Terbang Basah Sayapnya
Sentiasa Kita Bersangka Baik
Setiap Yang Berlaku Ada Hikmahnya

@@@

Iman Logik Akal

Ada satu kisah benar, Ustaz Fauzi ceritakan. Rumah Ustaz kat Kedah, masa tu musim rambutan berbuah, jadi banyaklah semut hitam berkeliaran terutamanya di rimbunan buah2 rambutan. Ustaz hari tu di jadualkan menyampaikan kuliah zohor di KLCC dan malamnya kuliah maghrib di Alor Setar. Isteri menghidangkan sarapan. Ustaz buka dulu jubahnya dan sangkut kat dinding sebelum bersarapan tu. Selepas bersarapan dan rehat seketika, Ustaz pun bersiap untuk di hantar ke airport oleh salah seorang anak muridnya.

Penerbangan Air Asia dari Alor Setar sampai di LCCT mengikut jadual. Ada orang tunggu dan bawa Ustaz dgn Perdana V6 untuk ke KLCC. Selepas kuliah zohor, terus pula dihantar ke LCCT untuk penerbangan pulang ke Alor Setar.

Bila sampai ke rumahnya Ustaz pun berehat sekejap. Nak jadi cerita Ustaz perhatikan ada seekor semut hitam merayap keluar dari jubahnya dan bergerak menuju kawan2nya di tepi dinding. Kelihatan seolah-olah semut itu sedang bercerita sesuatu dengan bersungguh-sungguh kerana kelihatan sesungut dan kaki2 nya bergerak-gerak turun dan naik, kiri dan kanan. Ustaz perhatikan kelompok semut2 hitam yang sedang mendengar cerita semut tadi seolah-olah mengeleng-ngeleng kepala masing2.

Ustaz merasa teruja dan memerhati lagi dengan penuh fokus. Senerio itu berlanjutan agak lama juga sehinggalah semut2 itu bersurai. Ustaz pun cuba membuat konklusi apa sebenarnya kejadian yang berlaku. Dalam dok berfikir begitu, Ustaz pun tertidur.

Kerana kepenatan lelap Ustaz sungguh lena. Dalam tidur ini minda Ustaz terus bertugas. Ustaz teringat kuliah yang di sampaikan di KLCC tengahari tadi. Ustaz menyampaikan kuliah bertajuk Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab ini. Betapa Abu Jahal mengetuai puak kafir quraish mengejek-ejek dan mengutuk Rasullullah perihal cerita Rasulullah tentang perjalanan Baginda dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya naik ke Sidratul Muntaha. Semuanya berlaku dalam masa selepas asar dan Rasulullah kembali semula menjelang subuh pada hari yang sama. Ramai juga dari kalangan orang Islam turut menjadi murtad kerana terpengaruh dengan dakyah Abu Jahal yang mempersoalkan kejadian yang ajaib ini dengan menggunakan logik akal semata.

Pada petangnya pabila berselisih dengan Abu Bakar, dia bertanya pendapat Abu Bakar tentang cerita yang disampaikan oleh Rasulullah tentang perjalanan Baginda itu. Abu Bakar pula kebetulannya tidak berada di majlis penerangan Rasulullah yang dianjurkan oleh Abu Jahal pada paginya. Apa Abu Bakar jawab? Jika yang menceritakan ini ialah Rasulullah SAW maka jika perjalanannya melebihi sidratul muntaha pun aku akan tetap yakin dan mempercayai apa yang Baginda ceritakan itu. Tegas Abu Bakar tanpa ragu. Abu Jahal terus berlalu dengan bengang.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah persoalan iman. Iman kepada benda ghaib. Iman untuk mempercayai dan meyakini risalah yang di sampaikan Rasulullah. Di nyatakan bahawa peristiwa ini adalah mukjizat kedua terhebat yang di kurniakan kepada Rasullah SAW. Mukjizat pertama dan terbesar ialah penurunan Al-Qur'an. Pada masa itu sebanyak 15 juzuk telah diturunkan kepada Rasulullah.


Diriwayatkan sepanjang 13 tahun Rasulullah berada di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah, sebanyak 17 juzuk Al-Qur'an telah di turunkan. Israk dan Mikraj ini berlaku 18 bulan sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu pada tahun kesedihan. Tahun meninggalnya isterinya Siti Khadijah dan pamannya Abu Talib, dua tokoh hebat pendokong Rasulullah.

Semut hitam tadi bercerita, "Aku pergi ke KLCC tadi." Semua yang mendengarnya tergelak sakan tidak mempercayainya dan menuduhnya gila agaknya. "Kalau engkau mengambil masa 10 tahun pun engkau tak tentu boleh sampai ke sana." "Sedarlah diri sikit kita ni semut. Jalan kita macam semut, bukan macam kuda," sampuk ketua semut yang di gelar Abu Jahil. Agak kecoh komuniti semut hitam di Alor Setar pada 27 Rejab itu.

@@@

Tuesday, June 05, 2012

Nota Diri Penyeri Hati

Nota diri di kala sepi dan menyendiri. Kadang pilu kadang hepi. Entah apa yang dicari. Kesana kemari mengejar bayang mentari. Subuh berlalu tanpa disedari. Perut yang kosong kena isi. Ruh yang lapar pun kena di isi. Baru sihat dan kuat jatidiri. Fakih dalam zuhud di medan ilmu. Perkasa iman untuk tawadduk dan khusyuk di jalan amal. Menadah pada yang ada. Memohon pada yang kuasa. Kita hamba di bumi yang fana. Semoga sedikit nota diri ini ada nota kakinya.

***
Sabar itu separuh drp iman. Rejab bulan perubahan untuk tingkat iman & amal menuju Syaaban dan kemuliaan Ramadan. Muhasabah diri dan ikhlaskan hati. Sudah 15 Rejab hari ini. Apa lagi di tunggu. Jom tingkatkan iman dan amalan diri. Teruskan perjuangan !!

***
Solat tiang agama. Tidak terlepas tanggungannya walaupun sakit dan uzur. Jika tidak boleh berdiri, maka duduk, mengiring, baring, jika masih tak boleh maka isyaratkan guna mata, dan akhir sekali isyarat hati. Begitulah telitinya tuntutan solat untuk ummat. Qada solat pula tidak terikat dgn waktu. Teruskan qada solat semampunya menggantikan solat2 yg pernah tertinggal. Semoga solat kita di terima Allah. Semoga jijik melihat dosa.

***
Alhamdulillah kerana sedekahkan buku kecil Wirid Al-Ma’thurat ini. Buku kecil dan ringan yang boleh menjadi asbab pahala yang besar dan berat.

***
Plan Bertindak:
1. Jangan Mengumpat kalau tak mau rugi
2. Banyakkan sedekah kalau mau untung.

***
Teruskan doa menaruh harap pada Allah dgn penuh ikhlas. Semoga ia menjadi doa mustajab dan diperkenankan Allah segala pengharapan itu.

***
Surah al-Ikhlas adalah asas aqidah dan tauhid. Begitu signifikan dan banyak fadilatnya. Amalkan membacanya dan faham maknanya. Seterusnya pegang sekukuhnya dalam hati sampai mati. Dan beramal dalam kehidupan.


***
Ushakan untuk memahami ayat2 yg kita baca dlm solat. Semuanya doa yg indah. Bersihkan hati dari sifat2 mazmumah. Pengharapan hamba pada Rabb nya. Jangan putus asa. InsyaAllah suatu ketika nanti khusyuk akan tercapai jua.

***
Alhamdulillah semoga terus usha untuk meningkatkan quality solat. Solat yg baik bisa menghalang maksiat dan menjadi asbab untuk hidup yg lebih barokah.

***
Sama2 cari ilmu dan suluh diri sendiri. Semakin meningkat tahap ilmu dan amalan semakin power godaan nafsu dan ancaman syaitan. Orang kaya ilmu akan di gula2kan akan perihal kehebatan amal ibadahnya, hingga kekadang itu memandang rendah pula akan orang lain, terasa diri banyak membuat kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikat kehidupan maka hati2lah soal hati ini agar tidak kecundang di hujung segala kebaikan diri.

***
Alhamdulillah kerana nikmat mata ini. Ada satu riwayat, di hadapan Allah pabila seorang alim berharap masuk syurga atas dasar amal soleh selama hidup, namun pabila di timbang dgn sekadar nikmat sebelah mata saja pun, tidak dpt mengatasi berat timbangan nikmat sebelah mata tadi. Maka haraplah kita redha Allah untuk ke Syurga-Nya. Terlalu banyak nikmat Allah untuk kita syukuri. Rabun mata juga sebagai peringatan bahwa nikmat Allah ini boleh ditarik bila2 masa kerana semuanya Allah punya, tiada yg kita punya. Itulah hakikat. Bergantung haraplah pada Allah.

***
Tiada yg bisa menghubungkan dunia dgn alam barzakh melainkan doa anak yg soleh, ilmu bermanfaat, & amal jariah. Maka anak yg soleh amat penting untuk kesenambungan hidup bukan saja di dunia malah berpanjangan hingga ke alam barzakh & akhirat. Jutru kita lipat ganda usha untuk jadi anak soleh dan untuk jadikan anak kita juga anak yg soleh.

***
Sudah acap kita dengar kebaikan dan kehebatan Tahajjud ini, namun masih liat untuk bangun dirikan tahajjud & bermunajat kpd Allah SWT. Itulah antara kelemahan seorang hamba. Sesuatu yg mahal harganya perlu mujahadah dan susah payah. Allah SWT Maha Adil.


***
Beg baru di isi kain sembahyang. Di bawa ke masjid dirikan sembahyang...semoga Allah sayang.

***

Nota kakinya ialah hidup ini sementara. Nikmatnya pun sementara. Nikmat makan hilang bila kenyang. Nikmat minum lenyap bila hilang dahaganya. Begitu juga sengsara sakitnya atau batuknya jua hilang bila sudah sembuh. Itulah hakikat hidup sementara di dunia fana. Walaupun sementara kita duduk mengejar hingga lupa. Lupa bahawa segalanya bakal ditinggal. Oleh itu apa kata sibukkan dengan bekal yang bakal di bawa. Untuk nikmat yang kekal di Syurga atau sengsara yang kekal di Neraka? Dirikan solat2 sunat, tingkatkan zikrullah, mengaji Qur'an, dan sedekah. Kotor hati kita cucikan. Penyakit hati kita ubatkan. Amal2 fardu kita mantapkan. Yang masih keliru kita fahamkan. Cintai majlis ilmu, agar lara dan bodoh kita tidak lagi seperti dulu. Bangun bertahajjud malam ini supaya kita tidak rugi lagi pada segala hiburan dan ujian !!

@@@

Saturday, June 02, 2012

Kini 13 Rejab

Rejab ini bulan Allah. Hari ini sudah 13 Rejab. Sudah lakukan perubahan? Macamana kita nak jadi mulia jika kita tidak muliakan yang Allah muliakan?

Bulan Rejab ini ialah bulan kasih sayang Allah yang tanpanya kita tidak mampu untuk mengucap dua kalimah syahadah dan menikmati nikmat Islam dan iman. Bulan untuk kita renung begitu luas pemberian Allah kepada kita. Tidak mampu kita nak ungkapkan pemberian Allah yang begitu banyak. Bulan ini untuk kita muhasabah atas segala kebaikan Allah kepada kita. Kita sebagai hamba-Nya apakah sudah patuh percaya dan yakin atas segala kalimah Allah yang termaktub dalam manual kehidupan iaitu Al-Qur'an dan segala sunnah Rasulullah SAW?

Ada satu kisah perihal seorang kaya di Yaman pabila menghidangkan minuman teh kepada seorang alim. Dia telah menimbang gula setepatnya sebelum dimasukkan ke dalam cawan yang berisi teh itu hingga menimbulkan tanggapan tetamunya bahawa si kaya ini mungkin bakhil orangnya. Namun di akhirnya si kaya tadi menjelaskan bahawa saya ini bukan orang yang bakhil tetapi saya menyukat gula ini supaya secukup rasa dan tidak membazir yang menyebabkan saya menjadi saudara syaitan dan menjadi asbab tuan mendapat penyakit kencing manis. Ternyata beliau berpegang kepada sepotong ayat Al-Qur'an Surah Al-Isra' ayat 27 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan." Dalam saya menjamu tuan saya tidak mahu menjadi saudara syaitan, jelasnya lagi.

Begitulah orang yang faham Al-Qur'an dan berpegang kukuh dengannya tanpa ragu. Maka di bulan Rejab yang mulia ini masih belum terlambat untuk kita lakukan transformasi diri. Untuk peka kepada segala suruhan dan larangan Allah. Untuk ambil peduli dosa dan pahala, agar kita terkelompok dalam kumpulan manusia yang beruntung bukan sekadar di dunia malah terutamanya di akhirat nanti yang nikmat hidup tidak lagi terbatas sebagaimana kini.

Orang terkaya punyai wang RM50 sebanyak lima treler di pek berkotak-kotak elok. Sebab itu dia layak menjadi orang terkaya berbanding kita yang treler pun tak ada, apatah lagi ringgit sepenuh treler. Maka orang kaya tadi pun dapat kemewahan dunia. Namun kalau kita analisa balik, rupanya kemewahannya tidaklah seberapa kerana masih terikat dengan had limit. Contoh di meja makan untuk sarapan pagi, selepas memakan sekeping roti telor dan segelas teh tarik, dia mungkin sudah kekenyangan dan tidak lagi berselera untuk melahap lebih daripada itu. Sedangkan dia kaya raya?

Maka kemewahan dunia ini tidaklah seberapa, sedangkan kenikmatan di Syurga Allah besok tanpa sempadan dan tanpa had. Maka janganlah pelik lagi pabila melihat orang yang sudah dapat faham hakikat ini tidak lagi memandang nikmat dunia sebagai kemuncaknya malah dunia tidak lebih daripada sekadar medan hiburan dan ujian semata. Namun ia penting kerana segala pelakuan dan ibadah di dunia ini bakal menjadi asbab yang memberi impak dan kesan secara langsung kepada untung nasib di akhirat nanti, samada dapat hidup selesa dan bahagia di Syurga atau celaka dan sengsara di bakar api Neraka Allah.


Marilah kita sama2 tingkatkan iman dan amal di bulan Rejab yang berbaki 17 hari lagi ini sebelum kita berjumpa bulan Syaaban. "Ya Allah berkatilah aku di bulan Rejab dan Syaaban dan hidupkan aku untuk berjumpa bulan Ramadan. Ya Allah ampunkanlah aku, sayangilah aku, dan terimalah taubatku."

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...