Sunday, June 17, 2012

Kitab Kifayah al Muhtaj

Kandungan kitab yang masih memakai tajuk asalnya, Kifayah al Muhtaj ini, pada asalnya diterjemahkan oleh al Allamah Sheikh Daud ibn AbduLlah al Fatoni ra dari sebuah risalah yang bertajul al Ibtihaj fi al Kalam 'ala al Isra' wa al Mi'raj karangan al Allamah al Muhaddith al Musnid Najmuddin Abi al Mawahib Muhammad ibn Ahmad ibn Ali ibn Abu Bakar al Sakandari al Ghaiti yang wafat pada tahun 981Hijrah dan syarahnya, karangan Syeikh Ahmad Syihabuddin al Qalyubi.

Alhamdulillah saya, isteri dan anak sulong saya bersama 45 org ahli jamaah yang lain hari ini telah berjaya khatam 70 m/s kitab ini dengan pengajian bersanad bersama Ust Hazri Hashim di Masjid BS dengan pengajian bermula selepas subuh tadi dan berakhir tepat pukul 3:30ptg.

Sudah lama tidak menadah kitab secara marathon begini. Yang akhirnya memberi kepuasan berbeza dengan pengajian secara kuliah maghrib atau forum khas israk mikraj. Kitab ini mengupas secara terperinci perjalanan Rasulullah menuju Allah. Yang juga merupakan persediaan iman bagi umat Islam Mekah untuk misi Hijrah ke Madinah nanti yang begitu mancabar yang akan berlaku setahun kemudian.

InsyaAllah malam ini akan diadakan pula Forum Perdana Israk Mikraj yg ahli panelnya terdiri daripada Ust Fauzan Ali dan Ust Hazri Hashim dengan moderatornya Ust Abu Bakar Yang. Semoga majlis ini diberkati Allah dan dapat menaikkan tahap ketakwaan kita.

Rasulullah pergi dan balik ini dengan ruh dan jasad secara fizikal dalam satu malam sahaja. Peristiwa ini begitu mencabar minda dan iman orang arab dan ujian besar untuk orang beriman. Al-Aqsa adalah pelusuk paling jauh yang orang arab pernah sampai kala itu, maka dengan itu terbayang jelas kemustahilannya oleh Abu Jahal dan orang kafir quraish untuk mentertawakan dan mendustakan Rasulullah.

Orang Islam sendiri ramai yang memilih untuk murtad. Sebaliknya Abu Bakar RA berdiri teguh membenarkan segala yang diceritakan oleh Rasulullah perihal perjalanan ini. Israk Mikraj adalah mukjizat terbesar Rasulullah selepas mukjizat Al-Qur'an.

Beberapa impak teknologi dapat kita lihat dalam peristiwa israk mikraj ini. Pembedahan dada Rasulullah oleh Jibrail sebelum di israkkan menunjukkan teknologi pembedahan melalui cahaya (laser) kerana Jibrail dijadikan daripada cahaya.

Jibrail memprojekkan image Masjidil Aqsa untuk rujukan Rasulullah ketika di tanya tubi oleh orang kafir quraish perihal profil Masjid Al-Aqsa, membuktikan teknologi pancaran atau projection via cahaya dan gelombang udara.

Teknologi pengangkutan udara (jet supersonic) yang laju dibuktikan oleh tunggangan Burak tika israk. Setiap lonjakan Burak itu sejauh mata memandang iaitu kira2 14km jaraknya.

Teknologi lift turun naik, tika mikraj Rasulullah menggunakan tangga yang ditegakkan oleh Jibrail pada setiap lapisan langit. Tangga ini ialah tangga ruhani bukan pandangan zahir, yang diturunkan dari Syurga Firdaus.

Dan semestinya kelajuan cahaya yang memang sepantas kilat, sudah diakui untuk sekian lama. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa melakukan segalanya.

Adakah Rasullullah mendirikan solat sebelum peristiwa israk mikraj? YA, semenjak mendapat wahyu pertama lagi, pabila Jibrail sendiri mengajar Rasulullah untuk berwudhuk dan bersolat. Cumanya solat Rasulullah dua rakaat satu di awal pagi dan satu lagi di awal malam. Solat ini jugalah yang diamalkan oleh nabi-nabi terdahulu.

Solat lima waktu difardukan selepas peristiwa israk mikraj ini. Nabi Musa menasihati Rasulullah untuk mengadap Allah memohon dikurangkan jumlah solat fardu daripada 50 hingga menjadi 5 waktu seperti sekarang ini. Maknanya Rasulullah terpaksa berulang-alik sebanyak 9 kali untuk bertemu Allah kerana setiap pertemuan itu Allah telah mengurangkan 5 waktu (5 x 9 trip = 45). Namun 5 waktu solat fardu yang di wartakan itu bersamaan pahalanya dengan 50 waktu.

Minuman susu yang pilihan Rasulullah sebanyak dua kali iaitu sekali kala israk dan sekali kala mikraj memberi simbolik lambang kepada fitrah kejadian yang suci, kerana susu ini terhasil dan keluar antara kewujudan darah dan najis.

Juga dinyatakan bahawa 70,000 manusia akan masuk syurga tanpa hisab. Dan setiap seorang itu pula akan membawa masuk 70,000 manusia lain masuk syurga tanpa hisab. Maknanya 70,000 x 70,000 = 4,900,000,000 = 4.9 Bilion umat manusia akan masuk syurga tanpa hisab. Mungkin fakta ini perlu disahkan dengan lebih lanjut. Berapa Billion umat manusiakah yang wujud sepanjang umur dunia ini?Wallahu'alam.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...