Wednesday, June 20, 2012

Rejab Pergi, Syaaban Di Hati, Ramadan Menanti

Selamat pergi Rejab yang penuh hikmah. Syaaban datang lagi untuk bermain di hati. Hati yang bakal di siram ilmu dan hakikat. Untuk bersedia menerima tetamu agung Ramadan yang setia menanti.

Semua yang ada pada kita pemberian Allah belaka. Kita tiada apa. Maka Allah yang berhak dipuji. Untuk yang tak berhak dipuji, kalau dipuji pun maka pujian pada kurniaan yang Allah bagi. Kita memuji kepintaran dan kecerdikan seorang anak. Yang hakikatnya kita sebenarnya kena puji kurniaan Allah pada anak kita itu. Kepintaran dan kecerdikan itu ialah kurniaan Allah.

Semuanya yang kita ada ini akan kembali kepada pemiliknya yang hak iaitu Allah. Tidak kira kita ini bangsa apa atau keturunan mana pun, yang penting kita ini hamba Allah dan kita ini umat Rasulullah SAW. Bangsa atau keturunan bukan nilaian di sisi Allah. Allah jadikan manusia ini pelbagai bangsa dan keturunan untuk kita berkenal-kenalan dan bersiratulrahim.

Perjalanan israk itu ialah dari masjid ke masjid, iaitu rumah Allah ke rumah Allah. Cintai rumah Allah agar hubungan dengan Allah terus intim dan kukuh. Di Perang Badar tentera Islam yang hanya berjumlah 314 orang dapat menewaskan tentera kafir yang berjumlah 10,000 orang kerana apa? kerana pertolongan Allah. Tentera Islam yang berjumlah 10,000 orang di Perang Hainan tewas kepada musuh kerana pergantungan kepada Allah tidak mantap lagi kerana merasakan jumlah tentera yang ramai dapat menewaskan musuh. Sedangkan kemenangan itu anugerah Allah bukan pergantungan kepada makhluk.

Menang bukan sebab senjata yang canggih. Tentera Israel yang punyai senjata tercanggih di dunia masih tidak dapat menghapuskan pejuang Palestin yang sedikit. Maka benarlah kemenangan bukan kerana senjata tetapi kerana izin Allah. Umat Palestin terus dilindungi Allah untuk kekal kuat dan tabah hidup di bumi barokah.

Ibarat besi yang keras, akan lembik dan cair dek api. Api yang panas menjadi sejuk dek air. Air pula diserap menjadi awan. Awan di tolak ke hulu ke hilir oleh tiupan angin. Angin pula terhalang oleh bukit-bukau. Bukit-bukau pula kita lihat di sana-sini musnah di tangan manusia, di bakar dan digondolkan sesuka hati. Manusia yang merasa dirinya hebat itu dimusnahkan oleh hawa nafsu. Sejahat hawa nafsu berjaya dipatahkan dan ditewaskan oleh keimanan yang utuh. Keimanan menjadi raja apabila keyakinan yang tidak berbelah bagi kepada Allah SWT.

Dada Rasulullah SAW dibelah oleh Jibrail yang diperbuat daripada cahaya. Maka benarlah teknologi bedah menggunakan cahaya sebagaimana diamalkan di dunia perubatan hari ini sesuatu yang logik dan memang terbukti pada peristiwa israk wal mikraj 1,435 tahun dulu lagi. Dada Rasulullah SAW yang dibedah tadi dimasukkan ilmu dan hikmah serta dikuatkan dengan iman. Itulah persediaan kepada sebuah perjalanan hebat menuju Allah. Kita kena taubat dan sucikan dosa supaya dapat kekuatan untuk perjalanan di jalan yang benar mencari redha Allah.

Rasullullah di iring oleh malaikat Jibrail dan Mikail dalam peristiwa israk wal mikraj. Di sana Jibrail telah menunjukkan dirinya dengan izin Allah dalam rupanya yang sebenar. Jibrail begitu besar dan mempunyai 600 sayap yang jika dibentangkan dua sayapnya nescaya boleh meliputi seluruh bumi ini. Besar sungguh saiz malaikat jibrail ini. Tapi ada yang lebih besar dan kuat iaitu malaikat Israfil yang bakal meniup sangkakala untuk kemusnahan dunia. Satu sayapnya sahaja dapat menenggelamkan 600 sayap Jibrail. Besar sungguh malaikat Israfil ini. Namun ada lagi malaikat yang lebih besar iaitu malaikat yang menanggung Arash. Sungguh hebat ciptaan Allah. Maha Besar kekuasaan Allah.

Kalau kita melawat Planetrium Negara dan melihat model planet2 di cakerawala maka jelas kelihatan betapa kecilnya bumi ini. Saiz matahari saja 600 kali ganda besarnya daripada bumi. Bumi ini kecil sangat kalau nak dibandingkan dengan planet2 lain di alam semesta milik Allah ini. Kecilnya bumi sehinggakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh itu lebih baik dari seisi dunia. Tidak salah untuk memiliki kekayaan dunia namun gunakanlah kekayaan ini untuk lebih dekat kepada Allah. Manusia ini lemah, tak ada yang hebat pun.

Sepatutnya iman kita lebih mantap di zaman ini kerana pelbagai keterangan & bukti sudah terbentang di depan mata. Kalau dulu Rasulullah SAW berdepan fitnah yang besar dan cabaran yang kronik untuk meyakinkan bangsa arab perihal israk wal mikraj, hingga ramai di kalangan orang Islam sendiri yang jatuh murtad. Terbukti kini kelajuan jet supersonic yg melepasi tahap kelajuan cahaya, teknologi pancaran melalui gelombang udara pada sistem komunikasi dan TV, dan teknik pembedahan menggunakan laser. Semuanya ini sudah dirangkumkan dalam peristiwa israk wal mikraj itu.

Nak ambil dunia boleh. Tapi jangan takabbur dan jangan lari dari hakikat untuk mencari redha Allah. Kena jadi orang yang faham agama iaitu dengan usha sungguh2 memperuntukkan masa untuk mendengar di majlis2 ilmu, menadah kitab mengaji daripada guru2 mursyid, rajin berbincang dan bermuzakarah pada ilmu yang dipelajari, dan akhirnya sampaikan balik ilmu bermanfaat untuk kebaikan umat.

Jadilah Abu Bakar As-Siddiq yang membenarkan belaka segala ajaran Rasulullah SAW dengan penuh yakin terpahat kukuh bersama iman yang utuh. Sebaliknya jangan jadi seperti Abu Jahal penjenayah terkutuk yang mendustakan segala kata-kata Rasulullah dan kekal menjadi manusia durjana yang kufur sehingga ke akhir.

Marilah kita berdoa, "Ya Allah, ampunilah aku, sayangilah aku, dan terimalah taubatku." Aku mesti bertindak hari ini, 1 Syaaban ini untuk bergerak maju berhijrah menjadi hamba Allah yang baik di sisi Allah. Rejab sudah berlalu pergi. Syaaban kini di hati. Dan di sana nanti Ramadan setia menanti. Semoga kita masih belum mati jasad dan lebih-lebih lagi jangan jadi mayat bernyawa kerana hati yang sudah mati. Teruskan mujahadah, pengorbanan dan kesungguhan ibadah di Syaaban yang mulia ini.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...