CLICK n GO

Wednesday, June 14, 2017

Sebuah Kematian



Ajal maut telah Allah tentukan
Tidak lewat sesaat
Tidak cepat sesaat
Tika di puncak bahagia
Ajal bisa tiba menjemput
Segala yang lain sekadar asbab

Darah tinggi, kencing manis, hyper tension
Sekadar asbab
Hakikat ialah ajal maut sudah tiba
Justru tika nyawa masih ada
Tika nafas masih berhembus
Tika nikmat oksigen dan nitrogen yg Allah bagi free ini
Maka berbuat baik walau sebesar zarah

Pahala jadi rebutan
Usah berbuat jahat walaupun sekelumit cuma
Dosa jangan dipandang ringan
Kerana ajal maut bakal tiba tanpa diduga
Bila tiba dia maka segala sudah tiada guna
Terpisah ruh dari jasad
Berpindah dari alam dunia ke alam barzakh
Dua alam yang berbeza

Natijah kebaikan di alam dunia
Bakal menyediakan taman2 syurga di alam barzakh
Namun sebaliknya
Menjadi lubang2 neraka jika amal tak banyak mana
Terputus sudah hubungan dengan dunia
Yang tinggal hanya tiga sebagai talian hayat
Doa anak yang soleh
Ilmu bermanfaat
Dan amal jariah

Itulah hakikat kehidupan
Alam dunia yang bersifat sementara
Alam akhirat yang kekal abadi
Kena tempuh alam barzakh, alam mahsyar, alam mizan, titian sirat
Perjalanan yang jauh
Bekalan amal kena banyak
Matawang pahala sangat berharga
Cari sebanyaknya di dunia ini
Agar mudah dan bersedia di perjalanan nanti

Segalanya Allah ambil kira
Tiada yang terlepas walau tersembunyi
Percaturan Allah sangat adil
Mohon perlindungan Allah
Dari muslihat nafsu dan godaan syaitan
Mohon redho Allah pada setiap sesuatu
Mohon redho Allah untuk dapat bahagia hidup di alam barzakh
Untuk selesa hidup di alam mahsyar
Mohon redho Allah agar berat timbangan amal
Mohon redho Allah supaya berjaya lepas meniti titian sirat sepantas kilat

Mohon redho Allah supaya dapat layak memasuki syurga Allah
Minta jauh dari bakaran api neraka Allah
Kita tiada apa
Semua yang kita ada ini milik Allah semua
Datang kita tiada apa
Pergi kita bawa dosa bawa pahala
Sebuah kematian yang pasti.


hishamAR
28.3.2017
Hulu Selangor


Friday, March 10, 2017

Buku KAKI MASJID terbitan Mustread Sdn Bhd



Orang beriman yang cinta Masjid ibarat ikan masuk ke air, kerana nalurinya ke situ, ingatannya sentiasa untuk ke Rumah Allah. Hatinya lega dan seronok setiap kali dapat duduk di Masjid, dapat niat iktikaf, dapat mendirikan solat-solat sunat, dapat zikrullah dan membaca al-Qur’an. Pernah lihat ikan bila di lepaskan ke dalam air kolam? Gembira dia tidak terkata.

Bersiap siaga untuk ke Masjid walaupun saban hari mungkin sampai hampir senja ke rumah dari tempat kerja. Hatinya terikat di Masjid. Terasa rugi benar jika tidak menghadiri kuliah-kuliah maghrib yang diadakan setiap malam di Masjid. Segala ilmu yang dia dapat di catit, di pahat di dada, di amalkan dan disebarkan.

Teruja sungguh dia menatap jadual kuliah dengan slot-slot ceramah penuh setiap bulan tertampal di papan kenyataan Masjid. Sibuk dia menyemak ustaz mana yang tertera namanya di situ. Tenang jiwanya.


Semua para asatizah ini menjadi pencerah penyuluh jalan belaka dengan ilmu tasauf, tauhid, feqah, tafsir, tajuk umum, pengajian kitab, hadis dan sirah. Pelajaran dan pengajian ilmu yang percuma. Kenapa tidak menyahut nya? Rugi Tuan-tuan. Jadilah kaki Masjid bukan kaki sembang, kaki pancing atau kaki karoke.

Syukur benar dia bila dipilih Allah untuk dapat mendirikan solat-solat fardu secara berjemaah di Masjid. Itulah ibaratnya seorang hamba Allah yang beriman dan bertaqwa untuk sentiasa taat kepada Allah. Jadual kuliah di ambil berat. Setiap bulan di cetak dan di tampal ke dinding untuk rujukan. Sayang untuk terlepas walaupun satu slot majlis ilmu itu.

Begitu teruja dia untuk ke Rumah Allah menyambut pelawaan Allah bertandan pada setiap kesempatan masa yang ada. Tika laungan iqamat keluar dari celah bibir muazzin maka dia terus bersegera untuk memenuhi saf pertama kerana faham sangat dia akan fadhilat berdiri di saf pertama pada setiap perlakuan solat berjemaah itu. Ibarat ikan puyu masuk ke air.

Tambahan lagi dia tidak kedekut untuk menyebarkan salam dan mengukirkan senyuman kepada setiap tetamu Allah bila bertentang mata atau berselisih bahu. Begitu juga ringan tangannya bersedekah memperuntukkan sejumlah wang pada setiap malam untuk di masukkan ke dalam tabung bergerak Masjid. Atau peluang khidmat pada setiap kesempatan yang ada. Bahagia nya dia seperti ikan pulang ke air atau sireh pulang ke ganggang.

Berbeza pula dengan orang yang munafik atau tiada keikhlasan di hati. Datang dia ke Masjid itu boleh diumpamakan sebagai burung masuk ke sangkar. Terasa terpenjara jiwa, hati berkecamuk, minda tidak tenang dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk membebaskan diri dari sangkar yang mencengkam itu. Sekejap berlunjur, sekejap berpusing, kerap ke bilik air, sekejap menguap, acap kali tertidur. Keluh kesah dia. Mata menyudut pada kelemahan dan kekurangan.

Pantang ada sebutan daripada Ustaz yang berceramah yang terkena batang hidungnya atau menyentuh soal-soal kebenaran walaupun pahit maka punggungnya terasa panas macam duduk atas bara api dan cuping telinganya terasa pedih dan dia pun tidak segan untuk bangun berlalu pergi dan terus keluar dari Masjid. Ada makhluk sebegini. Rajinlah memerhati. Yang sedihnya ramai dari kelompok ini ialah golongan veteran yang rumah kata pergi kubur kata mari, namun hidayah masih terhijab untuknya.

Ada pula ramai jemaah yang usai solat terus bangkit macam kuih bangkit pergi entah kemana terutamanya tika solat jumaat. Begitu sombong dengan Allah hinggakan tiada kesempatan untuk zikrullah barang sebaris dua atau menadah tangan untuk berdoa bergantung harap pada Yang Esa? Sibuk sangatkah? Hingga masa 24 jam yang Allah bagi ini tidak cukup buat mu? Janganlah jadi manusia jahil yang tidak kenal diri. Begitu banyak nikmat yang Allah bagi dengan percuma, tapi engkau jadi angkuh, sombong dan lupa diri.

Ada juga manusia yang tidak ikhlas untuk beribadah di Rumah Allah. Pergi ke Masjid membawa nawaitu yang tidak jelas. Apakah kerana jawatan aku sebagai AJK, atau kerana menghabiskan masa lapangku, atau untuk menunjuk-nunjuk kepada orang. Wallahu'alam. 



Ketidakikhlasan ini kadang-kadang terserlah jua dengan izin Allah. Pelbagai penyakit hati menguasai dirinya. Maka tergolonglah mereka di kalangan orang-orang yang rugi. Kenapa rugi? Kerana segala amal ibadahnya tadi tiada nilaian walau sekupang di sisi Allah SWT. Kekedang tu dia jadi asing atau segan untuk ke Masjid kerana sifat dendam kesumat atau rasa tidak puas hati yang terbuku di hati.


Sebagai konklusi pilihlah untuk berada dalam kategori mana. Janganlah di sia-siakan masa yang ada. Usahlah lagi dibazirkan baki usia yang tinggal ini. Ya Allah berkati sisa-sisa usia ku ini. Aku kah ikan yang terjun ke air itu atau aku kah burung yang terperangkap dalam sangkar emas? Tepuk dada tanya iman. Tuan suluh diri Tuan, saya suluh diri saya. Ya Allah, pilihlah aku jadi Kaki Masjid yang tegar, tidak mudah goyah.


NOTA: Dapatkan buku KAKI MASJID di bookstore berdekatan anda mulai bulan Mac 2017. Cepat sebelum 3,000 naskah cetakan pertama habis terjual di pasaran.

@@@

Saturday, January 07, 2017

Kaki Masjid

Nantikan kemunculan buku kedua saya berjodol KAKI MASJID
tidak lama lagi In shaa Allah


Apa makna jadi ahli Masjid? Hati terpaut kepada Masjid. Rindu dan cinta kepada Masjid. Sangat ingin berkunjung ke Masjid. Sentiasa peka dan sedia untuk ke Masjid. Rasa resah bila tidak ke Masjid. Rasa teruja dan sangat syukur dipilih Allah untuk ke Masjid. Itulah ciri utama Ahli Masjid.


Ini rezeki, kerana tidak semua dapat datang ke Masjid. Islam mendorong kita jadi orang baik dengan berada di Rumah Allah. Islam mengajak kita bercakap dan mendengar benda baik. Islam mengajar kita untuk membuat amal soleh bagi mendapat petunjuk dan redha Allah.

Kita datang ke Masjid juga hari ini kerana nak faham agama supaya dapat beramal dengan perkara baik-baik. Bukan sekadar taat menjalani solat fardu berjemaah tetapi setia duduk di majlis-majlis ilmu yang berlangsung saban malam. Cerdiklah siapa yang datang ke Masjid. Beruntunglah sesiapa yang terpilih untuk datang ke Masjid. Daftarlah dalam minda masing-masing, aku ini Ahli Masjid. Masjid tempat peberet aku, In shaa Allah.


11 BERITA GEMBIRA UNTUK "KAKI MASJID."

"Kalau kakimu tidak membawamu ke masjid, bagaimana ia akan membawamu ke syurga!" Begitu sentap sekali perkongsian yang diterima dalam Whatsapp tempoh hari. Beruntunglah orang yang digelar kaki masjid. Sekurang-kurangnya mereka mendapat 11 ganjaran berikut;

1- Rasulullah berpesan: "Jika kamu melihat seseorang yang sentiasa ke masjid, maka persaksikanlah dia orang beriman. Allah berfirman: 'Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat (Al-Tawbah 9: 18). " (Riwayat Ibn Majah)

2- Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang pergi ke masjid jemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik." (Riwayat Ahmad, Ibn Majah)

3- Rasulullah bersabda: "Tiada seorang Muslimpun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang." (Riwayat Ibn Majah)

4- Rasulullah bersabda: "Ada tiga golongan semuanya dijamin Allah; ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia masuk syurga:

i. Sesiapa yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin Allah.
ii. Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka dia dijamin Allah.
iii. Sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan Allah, maka dia dijamin Allah. (Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)


5- Rasulullah bersabda: "Tidak berkumpul suatu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di depan malaikat-malaikat." (Riwayat Muslim)

6- Rasulullah bersabda: "Ada tujuh golongan yang akan dinaungkan Allah dengan naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya...seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat Malik: "Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali kesitu semula."


7- Rasulullah bersabda: "Berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat." (Riwayat al-Tirmizi)

8- Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana Allah, dicatatkan untuknya dua pelepasan; pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada sifat munafik." (Riwayat al-Tirmizi)

9- Rasulullah bersabda: "Masjid rumah setiap orang bertakwa. Allah telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan." (Riwayat al-Baihaqi)

10- Rasulullah berasabda: "Sesiapa yang berpergian pada waktu awal pagi atau petang menuju ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang." (Riwayat Ahmad)

11- Allah berfirman: "Demikianlah, dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka kerana hal itu satu kesan ketakwaan hati." (Al-Hajj 22: 32)

Dan Allah juga berfirman: "Sesungguhnya orang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa."  (Al-Hujurat 49: 13)
* Ya Allah semoga kami menjadi kaki masjid dunia supaya kami termasuk dalam senarai VIP-Mu di syurga.

"Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah yang terbaik untuk-Mu."
(Riwayat Abu Dawud)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...