CLICK n GO

Wednesday, October 04, 2017

Teroris Itu Mat Salleh


Saya dan isteri bersantai semalam dengan berkunjung ke sebuah pusat membeli belah di Rawang. Kami mengambil peluang menonton filem terbaru Jackie Chan berjodol The Foreigner. Saya gemar menonton filem lakonan Jackie Chan kerana ia bermutu dengan jalan cerita yang baik dan sudah tentu padat aksi penuh seni bela diri dan stun. Beberapa tahun kebelakangan ini filem-fiem beliau memang dituju untuk pasaran antarabangsa dengan team produksi yang besar dan kos penerbitan yang tinggi (US$35 juta).

Apa yang menarik dalam filem ini ialah penonjolan aspek keganasan teroris yang telah mengorbankan banyak nyawa orang awam di bumi London. Jenayah ini telah dilakukan oleh grup pengganas dari Ireland yang sangat bermusuhan dengan British. Untuk pertama kalinya isu teroris tidak dikaitkan dengan orang Islam. Jackie Chan sebagai orang Asia mungkin tidak mahu menyentuh sensitiviti orang  Asia yang sebahagian besarnya beragama Islam. Malah Jackie Chan mahu menyedarkan dunia bahawa elemen teroris dan keganasan adalah milik semua, bukan tertumpu kepada sesuatu etnik atau agama.

Filem ini mengisahkan Quan lakonan Jackie Chan seorang businessman low profile di kota London yang cuba melupakan masa lampaunya sebagai tentera elit yang berhijrah ke luar negara asbab kekejaman perang di negaranya, tapi terpaksa kembali ke medan aksi pabila satu-satu warisnya yang masih hidup iaitu anak perempuannya terbunuh dalam satu tragedi pengeboman bermotif politik di tempat awam oleh kumpulan pengganas Irish (IRA). Dia berusaha gigih mencari pengganas yang bertanggungjawab itu dan bertembung dengan konflik seorang ahli politik British lakonan berkesan Pierce Brosnan yang latarbelakangnya dahulu dalam IRA mungkin mengetahui siapa yang melakukan keganasan itu.

Kembali kepada realiti (bukan filem), dunia dikejutkan dengan peristiwa tembakan rambang ke atas kelompok penonton Festival Music Country di Las Vegas, USA pada 1 Oktober 2017. Pada ucapan lintas langsung di kaca TV, Preiden Donald Trump menyifatkan jenayah ini dilakukan oleh orang gila maniac (bukan teroris).

Andaian sinonim teroris mestilah (selalunya) orang Islam. Walaupun pengganas ini dilapurkan menggunakan beberapa laras rifle otomatik yang berjaya membunuh 59 orang dan mencederakan lebih 500 orang yang lain. Berikut saya paparkan beberapa petikan berita yang saya dapati di internet sebagai memberi sedikit gambaran apa yang sebenarnya berlaku.

Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain pada satu festival muzik di Las Vegas Strip dengan menembak dari tingkat 32 sebuah hotel selama beberapa minit sebelum ditembak mati oleh polis. Angka kematian yang disifatkan polis sebagai pengiraan awal itu akan menjadikan serangan terbabit sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat, mengatasi insiden pembunuhan 49 orang di kelab malam Orlando tahun lalu. Ribuan pengunjung yang panik melarikan diri dari tempat kejadian sehingga ada yang dipijak ketika anggota keselamatan cuba mengesan dan membunuh lelaki bersenjata itu. Ramai pengunjung konsert yang dalam keadaan terkejut dengan pakaian dibasahi darah kelihatan merayau-rayau di jalanan selepas serangan itu. Sherif Clark County, Joseph Lombardo, memberitahu pemberita suspek adalah seorang lelaki tempatan Las Vegas yang bertindak sendirian dan dipercayai tiada kaitan dengan sebarang kumpulan militan. "Kami tidak tahu apa kepercayaannya," kata Lombardo. "Pada masa ini kami percaya dia satu-satunya pelaku."[1]

Penyerang Las Vegas, Stephen Craig Paddock, yang menyeludup masuk senjata ke dalam hotel dan melepaskan tembakan rambang kepada pengunjung konsert dari tingkap bilik hotel di tingkat 32, dikatakan seorang kaki judi tegar. Bapanya pula pernah merompak bank dan disenaraikan antara individu paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Akauntan bersara berusia 64 tahun itu mempunyai rumah dengan teman wanitanya di lapangan golf di Mesquite, Nevada, 130 kilometer ke timur laut pusat perjudian Amerika Syarikat. Dia dikatakan kerap menghantar biskut kepada ibunya yang berusia 90 tahun di Florida.

Menurut adik lelakinya, Eric Paddock, abangnya tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melakukan antara jenayah pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS. Daesh mendakwa Paddock adalah antara 'tenteranya' yang memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu dan melancarkan serangan atas nama Islam. Ia memberikan nama Abu Abdel Bar al-Amriki kepada Paddock, bermakna 'Si Amerika'. Namun FBI berkata, mereka tidak nampak sebarang kaitan antara Paddock dengan pergerakan pengganas itu menyebabkan negara itu dalam kebingungan memahami motif kejadian malam kelmarin, yang meragut 59 nyawa dan lebih 500 lagi cedera. Paddock ditemui mati, dipercayai membunuh diri, apabila pasukan SWAT menyerbu biliknya di Hotel Mandalay Bay, antara hotel terkemuka di Las Vegas.[2]

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini berkata, lelaki bersenjata dalam tembakan besar-besaran di Las Vegas kelmarin adalah 'seorang individu sakit,' namun enggan menggelarnya keganasan domestik. Pemimpin itu juga berkata, undang-undang pemilikan senjata api akan dibincangkan kemudian. "Kami akan berbincang mengenai undang-undang senjata sejajar dengan masa," kata Trump kepada media di Rumah Putih. Ditanya jika insiden tembakan itu adalah tindakan keganasan domestik, Trump menambah: "Penyerang adalah lelaki yang sakit, lelaki gila. Saya fikir, dia mungkin menghadapi banyak masalah dan kami sedang menyiasat latar belakangnya dengan teliti."

Dalam pada itu di Las Vegas, penyiasat kini berusaha mencari maklumat mengapa seorang pesara akauntan menembak mati sekurang-kurangnya 59 orang dan mencederakan lebih 500 lain dalam satu konsert terbuka, dari bilik hotel tingkat 32 yang dipenuhi senjata. Ketika AS berdepan insiden tembakan besar-besaran paling dahsyat dalam sejarah, pihak berkuasa memberi reaksi berhati-hati terhadap dakwaan Daesh bahawa Stephen Craig Paddock, 64, melakukan serangan bagi pihak kumpulan militan itu. Polis berkata, Paddock,   yang tidak memiliki rekod jenayah, memecahkan tingkap bilik hotelnya sejurus selepas 10 malam Ahad dan menembak tanpa henti senjata automatik ke arah ribuan pengunjung konsert di bawah. Dalam rakaman pembunuhan disiarkan CNN, bunyi tembakan tanpa henti kedengaran ketika pengunjung menjerit dan mencari tempat berlindung tanpa tahu dari mana tembakan dilepaskan. Daesh menerusi kenyataan dalam talian mendakwa, Paddock adalah seorang daripada 'askarnya' namun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, ia tidak menemui sebarang kaitan dengan sherif tempatan menggambarkan penyerang sebagai seorang 'lelaki sakit jiwa' yang gemar bersendirian. [3]

Sebagai konklusi umum atas tajuk ancaman teroris ini, saya cenderung untuk menyatakan bahawa kumpulan pelampau atau tindakan keganasan ini boleh berlaku di dalam mana-mana masyarakat atau tamadun manusia, hatta di Negara-negara maju seperi USA dan Britain sekali pun. Selalunya atas ketidakpuasan hati akan sesuatu perkara. Maka sangatlah tidak adil untuk melabel ungkapan teroris itu kepada individu atau kumpulan orang Islam semata sebagaimana yang berlaku sekarang. Tanggapan prejudis begitu sungguh tidak benar.

@@@



[1] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/332821/angka-korban-tembakan-las-vegas-cecah-lebih-50-orang
[2] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/332935/penyerang-las-vegas-kaki-judi-tegar
[3] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/333211/penembak-vegas-seorang-individu-sakit-trump

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...