Tuesday, July 02, 2013

Hati Yang Berbolak Balik

Di Syaaban yang mulia ini harapnya bertambah iman dan amal kita. Saya merenung kalendar meja. Tertera hari ini Selasa 23 Syaaban bersamaan 2 July. Hari Rabu depan insyaAllah jika di panjangkan usia kita bakal menerima kunjungan tetamu hebat iaitu Ramadan al-Mubarak. Apa rasa? Biasa-biasa saja atau teruja macam nak mengadap raja?

Tanya hati. Ikhlas dan tulus. Bagaimana rasa? Masih ingatkah Ramadan kita pada tahun lepas? Apakah tetamu hebat yang datang berkunjung dilayan dengan selayaknya? Tidak pernah terlintaskah di hati bahawa tetamu ini bisa berkunjung buat kali terakhir. Ya Ramadan terakhir. Betapa ramai kawan dan saudara kita pada tahun ini sudah tidak lagi berpeluang bertemu tetamu hebat ini.

Hati yang berbolak balik. Itukan lumrah terjadi kepada makhluk bernama manusia. Apatah lagi bila mendapat bantuan ransangan dan jentikan lembut saban masa dari naluri dan nafsu, dan yang utama helah dan tipu daya syaitan yang tiada istilah penat atau lelah mengajak hati2 manusia pada kemungkaran sambil menghijab pada jalan kebaikan atau kebajikan. Itulah uniknya manusia ini. Maka hati manusia kekal berbolak balik. Sekejap yakin dan penuh semangat mengerjakan amal soleh. Pada tika yang lain terus leka dengan hal keduniaan hingga lupa detik kematian yang menjadi pemutus segala kelazatan itu.

Semampu mungkin digagahi untuk bangun solat malam. Kemudian ke surau untuk solat subuh. Mengaji sekadar dua helaian surah al-Qur'an sebelum bersiap ke tempat kerja. Zikrullah dan selawat sepanjang pemanduan. Memulakan kerja dengan dua rakaat solat dhuha. Nawaitu bekerja kerana Allah dengan harapan segala perlakuan dan aktiviti hari ini ada nilaiannya di sisi Allah sebagai ibadah kepada-Nya. Solat zohur dan asar berjemaah di surau. Balik nanti berjemaah Maghrib di Masjid. Kemudian menghadiri kuliah Maghrib. Usai solat Isyak berjemaah terus mengaji surah al-Mulk yang dipimpin oleh Pak Imam. Pulang nanti membaca Kitab apa yang patut menunggu mengantuk. Maka usai doa dan bacaan surah2 pilihan terus di buai mimpi pada kerehatan tidur kurniaan Allah.

Namun pada hari yang lain hati yang berbolak balik akan memberi isyarat pada otak untuk menjadi begitu liat dan payah bagi bangun malam atau ke surau untuk solat subuh lagi. Disibukkan dengan program atau acara yang mengalihkan tumpuan pada amal soleh yang menjadi rutin tadi. Di lengah2kan solat fardu. Dimalaskan mengaji al-Qur'an. Di lelapkan mata pada saat ingin menadah kitab atau membaca salah satu buku yang bersusun di rak itu. Hati mudah di bolak balikkan. Disibukkan dengan urusan lain hinggkan kaki rasa berat untuk ke Masjid menghadiri majlis2 ilmu. Kadang berterusan hingga berhari-hari. Jika dinding iman yang masih rapuh dan jatidiri yang lembik atau aqidah yang belum terpasak utuh, maka hati ini sangat mudah dibolak balikkan. Macam iklan chipsmore, "Sekejap ada sekejap tak ada."

Selayaknya manusia membuat dosa dan segala prilaku maksiat kerana manusia bukan malaikat. Namun yang utama ialah untuk kembali menyedari kesilapan lalu menyesalinya dan mananam azam kuat untuk tidak lagi mengulanginya. Maka mohonlah taubat dengan taubat nasuha. Mohon Allah terima taubat ini dan mengampunkan segala dosa yang bertimbun. Minta dijauhkan azab Neraka dan harap Allah redhakan untuk mendapat nikmat Syurga-Nya. Hati yang berbolak balik, iman yang turun naik. Tapi tetap jangan putus harap memohon keampunan dan berazam melakukan amal soleh dan kebaikan.

Tetamu agung Ramadan al-Mubarak yang dalam perjalannya kini sudah hampir tiba. Tinggal tujuh hari lagi. Teruskan persiapan amal soleh untuk menyambutnya. Jangan dipersiakan lagi peluang di depan mata ini untuk mendampingi tetamu agung ini. Ini anugerah Allah yang hebat. Bersihkan hati untuk menyediakan ruang bagi Nur Ramadan meneranginya. Usah berbolak balik lagi duhai hatiku ini.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...