Wednesday, July 24, 2013

Cari Bekal

Manusia usha dangan gigih untuk cari harta dunia. Kerja siang malam. Cari harta seolah-oalah mahu hidup 100 tahun. Harta yang terkumpul itu kalau nak dikira hanya diguna sekitar 20% sahaja. Bila mati semua harta yang sibuk kita mencari siang dan malam akan ditinggal jua. Tiada nilaian lagi.

Syukurlah bila Allah memilih kita mengabdi diri kepada-Nya di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Dimulakan dengan mendirikan solat malam di dua pertiga malam, kemudian bersahur di akhir waktu, mendirikan solat subuh berjemaah di surau, mengaji Qur'an, zikrullah, bekerja, solat dhuha, solat zohor berjemaah, solat asar berjemaah, selawat, bersedekah, berdoa, berbuka dengan sederhana, solat maghrib berjemaah, solat isyak berjemaah, solat teraweh, mendengar tazkirah, dan solat malam yang lain. Alhamdulillah. 

Yang utama ialah bukan makanan untuk jasad semata tetapi makan untuk ruh juga. Ruh yang sihat akan menjana hidup yang sihat dan bahagia. Ramai manusia yang kaya raya pada jasad dan fisikalnya, rumah banglo, kereta mewah, dan harta banyak tapi mengalami hidup yang kosong, masalah mental pada jiwanya. Hati yang resah gulana, tidur yang tidak lena, makan tidak selera, dan hati yang selalu sakit. Asyik sakit hati pada orang. Asyik dengki pada orang. Lupa diri dan bangga diri. 

Seruan takwa adalah salah satu rukun khutbah Jumaat. Sebagai peringatan kepada umat manusia akan intipati hidup yang sangat penting iaitu takwa. Takwa ini ialah elemen penting supaya dapat mencari bekalan. Bekalan ialah benda yang kita nak bawa. Bawa ke mana? Akhirat.

Bukankah kita semua ini calon jenazah? Bakal calon mati? Calon mati memang ramai. Calon pilihanraya Besut hanya dua orang. Pilihlah calon yang faham Akhirat. Benda yang paling besar nak bawa ke Akhirat ialah takwa. Takwa itu maknanya ada Allah dalam hati. Buat sesuatu itu dengan mengharap redha Allah.

Di Akhirat nanti duit sudah tidak laku lagi. Walaupun ada berjuta ringgit dalam pelbagai akaun bank di dunia ini. Yang laku di sana ialah pahala. Jutawan Akhirat ialah manusia yang ada juta-juta pahala. Bila banyak pahala dapat bagi syafaat pada orang lain pula. Sebaik-baik bekalan ialah takwa. Ibadah puasa ini ialah program realiti mencari bintang takwa.

Kelemahan Islam tidak ada. Islam sudah sempurna. Tapi kelemahan orang Islam, memang banyak. Jangan samakan Islam dengan orang Islam, dua entiti yang berbeza. Ramai orang Islam yang menjadi fitnah kepada agama Islam, bukan menarik orang dekat kepada Islam bahkan asbab dia telah menjauhkan orang kepada Islam atau mengelirukan orang perihal Islam yang syumul itu.

Sebaik-baik harta ialah harta waqaf. Kenapa? Kerana pahalanya berterusan selagi mana harta waqaf itu diguna orang. Pakcik ada kebun getah 10 ekar. Apa kata waqafkan 2 ekar untuk didirikan pusat tahfiz atau sekolah pondok? Kalau sayang harta maka waqafkan. InsyaAllah banyak manfaat untuk empunya harta itu kerana dapat beri bekalan untuk bawaan dan berbelanja di Akhirat.

Waqaf ialah harta yang hebat, satu benda yang tidak boleh dijual beli. Pada dinding sebuah surau terpapar satu ukiran nama Mariam Bee Binti Syeikh Abdul Hamid. Ustaz bertanya orang di situ, "Nama siapa ni Pakcik?" Pakcik pun bercerita satu masa dulu kawasan perumahan ini tidak punyai surau lagi, maka mereka pun berpakat menyewa sebuah rumah untuk dijadikan surau sementara. Hajjah Mariam ini orang Singapura bertandan ke sini ziarah saudara. 

Satu hari dia mari membawa sejumlah wang untuk diwakafkan sebagai belanja beli tanah dan kos bangunan untuk dirikan sebuah surau. Baki kosnya didapati dengan mengutip derma di kalangan para penduduk di situ. Maka terbinalah surau ini dan kami abadikan nama Hajjah Mariam sebagai mengingati harta wakafnya itu. Hebat manusia yang bernama Mariam Bee ini kerana apa? Kerana wawasan dia cukup jauh. Jauhnya itu sampai ke Akhirat.

Satu masa aku sudah tidak boleh solat, tidak boleh mengaji. Macamana aku nak pahala yang berterusan? Amal jariah dan harta wakaf. Kalau nak harapkan doa anak yang soleh, belum tentu lagi. Kalau nak harapkan ilmu yang bermanfaat, pun payah juga. Maka yang dapat buat di depan mata ialah berwakaf harta. Antara asbab Abu Abkar as-Siddiq punyai Syurga yang bersaiz paling  besar ialah atas tabiat dia yang paling banyak berwakaf harta di jalan Allah sepanjang hayatnya.

Pulunlah baki Ramadan yang tinggal ini dengan mengumpul sebanyak mungkin bekalan pahala untuk dinikmati di Akhirat nanti. Kalau solat fardu berjemaah itu mendapat kelebihan 27 kali ganda, maka apa kata kita cadangkan kepada Tuan Nazir supaya menggunakan dana Masjid untuk memberi imbuhan bonus RM27 bagi setiap ahli jemaah yang menunaikan solat berjemaah di Masjid ini. 

Cuba bayangkan RM27 satu waktu, maka 5 waktu sehari semalam akan berjaya mengumpulkan RM135. Kalau sebulan bisa menjana pendapatan RM4,050. Alhamdulillah tak payah bekerja lagi. Sudah cukup imbuhan dari pihak Masjid ini. Rasanya sambutan hangat dari setiap ahli masyarakat. Kerana nampak manfaat zahirnya. 

Maka takwa ialah orang yang nampak dan yakin pada benda ghaib termasuklah janji ganjaran pahala yang sungguh lumayan itu.Orang takwa tidak perlu pada motivasi wang ringgit. Bagi dia cukuplah keyakinan yang tidak berbelah bagi akan janji-janji Allah yang pastinya akan berlaku.

Sebagai konklusi, antara ciri orang bertakwa ialah mempercayai perkara2 ghaib. Antara perkara ghaib ialah soal dosa dan pahala. Pahala yang dijanjikan Allah di sepanjang bulan Ramadan ini amat lumayan dan melampau. Pemurahnya Allah ialah untuk kebaikan umat Nabi sekeliannya, maka cari dan kumpulkan bekalan ini sebanyak mungkin. Keluar kita daripada Ramadan sebagai manusia yang benar2 takwa, insyaAllah.

@@@

3 comments:

School Of Tots said...

TQ homeworkpando. Keep doing your homework. May Ramadan keep you istiqamah in amal soleh.

Temuk said...

Assalam
Paparan yang sungguh baik. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat darinya. Takutnya bila terbayang tanda jalan itu..... Awas Akhirat!

School Of Tots said...

TQ Pak Temuk. Selamat beristiqamah dalam amal soleh pada Ramadan yg berbaki ini. Semoga dikurnia Lailatul Qadr.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...