Monday, July 29, 2013

Kenal Empunya Ramadan?

Jin dan manusia dijadikan Allah untuk beribadah. Apa maksud ibadah? Mengenali Allah. Supaya manusia boleh beza baik dan buruk. Maka tujuan hidup ialah mengenal Allah. Seluruh ketaatan kepada Allah akan membawa manusia kepada mengenal Allah.

Amal ibadah itu adalah wasilah atau jalan untuk mengenal Allah. Sepanjang Ramadan ini kita sebenarnya dalam wasilah untuk mengenal Allah. Majlis rasmi mengenal Allah ialah pada solat fardu 5 kali sehari. Justru solat sebenarnya mampu mencegah segala perkara mungkar. Tetapi kenapa masih gagal? Kerana seruan as-Solat dengan makna mutlak iaitu makna yang paling kamil dan sempurna ialah Solat yang paling sempurna. Sempurna pada ketiga-tiga rukun iaitu rukun qauli, fiqli dan qalbi. Bila terkumpul dan terlaksana ketiga-tiga rukun ini baru tercapai solat yang sempurna tadi. Solat yang boleh mencegah maksiat. Selagi belum maka maksiat akan terus melazatkan.

Sebagai ibarat kita hendak mengadap YDP Agung sebagai acara rasmi. Tengok kepada pintu pagar istana pun sudah kagum, hebat dan bangga. Masuk ke kawasan istana tengok hamparan rumput, pokok2 perhisan yang terjaga rapi, maka kita merasa hebat dan teruja. Tengok bangunan istana yang tersergam indah. Itu sebagai acara tak rasmi. Maka begitulah kita ini sekiranya di majlis rasmi kita tidak merasa hebat maka apatah lagi di majlis2 yang tak rasmi.

Pabila kita lihat di kaca TV koleksi motor besar dan deretan kereta mewah Sultan, datang hati berbisik betapa kehebatan seorang Raja. Tidak cukup dengan majlis2 rasmi, diletakkkan gambar2 Raja di dinding ofis dan pejabat serta banner dan papantanda di tepi jalan2 utama untuk di lihat oleh rakyat sepanjang tahun.

Apa dia majlis2 di luar daripada solat yang kita kategori sebagai majlis2 tidak rasmi itu? Majlis di luar solat ialah zikir iaitu hubungan dengan Allah untuk mengikat hati kita dengan Allah. Di luar majlis rasmi kita tak rasa apa2 maka di majlis rasmi tak rasa apa juga. Para sahabat Rasulullah menggigil ketakutan bila hendak ambil wudhuk. Kerana apa? Kerana hati terikat dengan Allah. Gerun dan risau untuk mengadap yang Maha Esa.

Seruan ibadah puasa juga adalah lafaz mutlak. Puasa yang sempurna akan membawa diri kepada takwa. Puasa membawa makna menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga tenggelam matahari. Maka rugilah selagi tidak berjaya menahan diri.Seruan as-Siam itu ialah siam iaitu puasa pada zahir dan batin.Bagaimana nak capai jika kita hadapi Ramadan mengharap pelbagai anugerah? Berbeza dengan mengadap Ramadan sebagai makrifatullah iaitu hubungan dengan Allah. Puasa sebagai panggilan kekasih kepda kekasih-Nya.

Zat Allah itu azali. Maka segala sifat pada zat itu adalah azali. Sifat al-Qalam Allah iaitu berkata-kata. Berkata-kata Allah itu tiada mula. Cuba kita lihat bagaimana datang tutur kata kita yang keluar dari celah bibir itu? Itu pun tidak mampu kita bongkar. Dari peti suara? Peti suara tampak kosong sahaja. Daripada mana manusia dapat suara dan tutur kata itu? Apatah lagi untuk manusia bongkar panggilan Allah, kata2 Allah.

Allah meluahkan rasa kasih-Nya kepada orang yang beriman. Kata2 yang sudah terpendam lama hingga terluah. Wahai orang2 beriman. Ada yang sanggup menerima luahan itu hingga merasa seronok sungguh. Allah kasih kepada orang yang beriman. Jalan untuk mengenal Allah ini jauh, sangat jauh.

Kita yang tinggal di Khatulistiwa ini jarak waktu  siang dan malamnya agak sama. Puasa kita mungkin sekadar 13 atau 14 jam sahaja. Berbeza dengan manusia di luar negara yang subuhnya pukul 3 pagi dan maghribnya pukul 10 malam. Puasa selama 19 jam.

Allah menggunakan ayat2 pujuk rayu. Ibadah puasa ini juga sudah disuruh kepada umat2 terdahulu semenjak zaman Nabi Adam lagi. Maka kita ini umat Nabi Muhammad SAW bukan kelompok percubaan, bukan makhluk experiment ujian puasa. 

Seorang ibu walau payah mana pun atau kronik benar 'morning sickness' dia mengandungkan seorang anak tidak akan sanggup membunuh anak dalam kandungannya dalam rahimnya. Allah telah pinjamkan salah satu namanya iaitu Rahim kepada perempuan demi kasih sayang-Nya. Anak lahir daripada rahim ibu. Segala zat si anak sedut daripada rahim ibu. Anak berpayah dengan ibu dalam rahim itu. Bila anak keluar daripada rahim ibu kita tidak ajar anak untuk kasih kepada rahim ibu tetapi kita ajar anak kita supaya kasih kepada ibunya. 

Ramadan ibarat sebagai rahim ibu. Ia memberi segala kebaikan iaitu rahmat-Nya, Pengampunan-Nya dan pembebasan daripada api neraka-Nya. Kita suka kepada Ramadan. Tetapi kenapa tidak suka kepada empunya Ramadan?

Allah muliakan Kaabah, Masjidil Haram, dan Masjid Nabawiah. Setiap orang yang pergi ke sana pasti merindukannya. Tapi tidak rindu kepada empunya-Nya? Allah ambil satu tempat namanya Mekah, satu bulan namanya Ramadan untuk dimuliakan. Sedangkan Allah ada di mana-mana, tidak bertempat. 

Kenapa kita kasih kepada makhluk? Kerana kita tidak kenal tidak makrifat pemilik makhluk itu. Rahim ibu, Mekah, Ramadan adalah wasilah kepada orang beriman untuk kenal Allah. 

Walau sekasih mana pada ibu kita, kita kena terima kasih kepada Allah. Walau serindu mana kepada Mekah dan Madinah, terimakasih kepada empunya Mekah dan Madinah. Terima kasih kepada Tuan Punya Ramadan. Dengan mencapai makrifat lalu hati dan jiwa taat kepada Allah. Nampak Allah walau sudut mana pun pandangan kita ini.

Ibadah kerana Ramadan maka takut jadi ibadah kerana makhluk. Di luar Ramadan terus jadi jahat dan engkar semula. Pernah Syadina Ali di beri pilihan minuman samada air sejuk atau air suam. Dia memilih air sejuk. Kenapa? Jawab Ali air sejuk ini menyebabkan pujian yang lebih dalam kepada Allah. Yang dicari Ali ialah kesyukuran yang paling tinggi kepada Allah, hatta untuk memilih sekadar air kosong.

Kita terhijab pada Ramadan hingga tidak nampak Allah. Kenapa tiap2 hari kita asyik fikir nak makan apa berbuka hari ini? Kerana masih banyak maksiat dengan Allah.

Seorang ulama teringin nak makan roti telor, maka dia pun keluar rumah untuk membeli roti telor. Tiba2 dia di tangkap kerana disangkakan seorang penyamun dan dipukul hingga lembik hinggalah seorang pemuda menyelamatkan dia kerana mengenali dia sebagai seorang ulama besar. Pemuda itu membawa ulama tadi ke rumahnya untuk di rawat. Kebetulan dia menghidangkan roti telor kepada ulama itu. Maka ulama tadi berkata, "Hai nafsu setelah engkau dipukul sebanyak 70 kali tadi, makanlah apa yang engkau cari ini."

Seorang ulama lain tika hendak menjamah hidangan lauk ikan, tiba2 jarinya tertusuk tulang ikan. Maka ulama itu berkata, "Inilah makan kerana syahwat." Maknanya dalam setiap perilaku orang yang beriman mestilah meletakkan Allah di hadapan. Bukan kerana makhluk tetapi kerana Allah. Ibadah yang dilakukan ialah proses mengenal Allah, Rabb pemilik segala.

Sebagai konklusi jalan untuk mengenal Allah itu jauh namun tingkatkan ilmu dan usaha, mantapkan amal dan jangan putus asa. Ramadan yang berbaki ini adalah medan dan wasilah yang tepat untuk kita sama2 muhasabah diri di hadapan Allah. Isikan ruang yang ada dengan manfaat. Untuk kenal empunya Ramadan yang Maha Pemurah dan Penyayang. Sambutlah seruan puasa itu untuk di akhirnya berjaya dianugerah pangkat tertinggi dunia dan akhirat iaitu Takwa.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...