Alhamdulillah Ramadan kembali lagi. Seluruh surau dan
masjid di serata Malaysia telah menyaksikan kehadiran para jemaah yang
luarbiasa ramainya hingga melimpah-limpah. Alhamdulillah. Ini menunjukkan
betapa aura kedatangan Ramadan ini terutamanaya ibadah solat teraweh menjadi
sesuatu yang sangat teruja dan dinantikan.
Firman Allah
S.W.T: “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu
menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Al-Baqarah: 183)
Bagaimana tingkatan ibadah kita? Puasa di bulan Ramadan ini
mahu menjana Taqwa. Ramadan bukan matlamatnya, tapi matlamatnya ialah Taqwa.
Taqwa bisa mengundang hidayah dan redha Allah SWT. Maka kita kenalah
bersungguh-sungguh dalam perlakuan ibadah dan amal soleh supaya dapat mencapai
maqam Taqwa.
Imam Ghazali
dalam kitabnya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3
tingkatan:
- Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
- Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
- Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan
Beruntunglah kepada orang yang memandang Ramadan sebagai
anugerah hebat Allah SWT sebagai medan latihan intensif bagi mencapai kejayaan
hakiki iaitu Taqwa. Ramadan melatih kita
menjadi manusia bertaqwa.
Siapa manusia bertaqwa ini? Iaitu orang2 yang beriman dengan
perkara ghaib iaitu perkara dosa/pahala dan syurga/neraka. Peka kepada segala perintah Allah dengan
menghindari dosa dan gemar mencari pahala. Gerun bila disebut Neraka dan
gembira mendengar Syurga dan segala isinya.
Kita beramai-ramai mendirikan solat teraweh secara berjemaah
ini ialah untuk melatih diri supaya gemar kepada mencari redha Allah. Teraweh
berjemaah untuk melatih diri supaya rajin solat berjemaah di masjid dan surau.
Semoga di luar Ramadan nanti kita kekal gemar untuk mendirikan solat berjemaah.
Orang bertaqwa ini gemar mencari pahala dan dan takut akan
dosa. Orang yang bersungguh dalam qiam (solat malam). Imam Ahmad Hambal solat
malam hingga mancapai 300 rakaat setiap malam. Bagaimana kita?
Orang bertaqwa akan menginfaqkan sebahagian daripada hartanya
ke jalan Allah termasuklah menunaikan kewajiban zakat. Satu amalan yang utama
ialah menyediakan juadah untuk orang berbuka puasa di mana pahala orang yang
berpuasa itu juga akan diperolehinya. Ia juga sebagai menampung segala
kekurangan puasa diri sendiri iaitu kekurangan puasa mata, telinga, mulut,
kaki/tangan, hati, sanubari dan segala perlakuan zahir dan batin. Orang
bertaqwa sentiasa mengambil bahagian dan memperbanyakkan ativiti khidmat masyarakat
bagi kepentingan umum.
Taqwa mengajak umat ini untuk mematuhi segala ajaran yang
dibawa oleh Rasulullah SAW. Banyakkan
tadarus al-Qur’an di bulan Ramadan ini. Tadarus itu ialah baca dengan ada yang
menyemaknya. Baca dengan sebenar-benar bacaan iaitu betulkan bacaan supaya kena
pada tajwidnya.
Ada tiga kelompok pembaca al-Qur’an iaitu pertamanya orang yang
baca dengan betul dan mendapat pahala, kedua orang yang baca salah tapi
mendapat pahala kerana dia berusaha baca walaupun dengan kepayahan. Dan ketiga
ialah orang yang baca tapi dapat dosa iaitu kerana tidak berusaha untuk belajar
atau berada dalam majlis tadarus untuk membetulkan bacaannya.
Taqwa ialah orang yang beriman dengan hari akhirat iaitu
yakin dengan segala janji Allah. Menjalani ibadah di bulan Ramadan ini dengan
penuh keimanan dan pengharapan dengan berpuasa di siangnya qiam di malamnya. Nescaya Allah akan ampunkan
segala dosa yang lalu.
Puasa Ramadhan
ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh
membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan
Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam.
Tanamkan azam untuk tidak mencemarkan ibadah Ramadan pada tahun ini dengan perlakuan dosa seperti mengumpat, fitnah, bergaduh dan segala perkara yang dimurkai Allah SWT. Umat Islam juga
dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau
sia-sia.
Ini kerana puasa merupakan medan
latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara
tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri
pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan
terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.
Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz2
jemputan pada slot antara solat2 teraweh sangat baik kerana setiap pengisian
ilmu itu seumpama pahala mendirikan 1,000 rakaat solat2 sunat. Maka jika
ditanya berapa rakaat solat teraweh di Masjid ini? Maka jawablah 1,000 rakaat.
Bukan sekadar 8 atau 20 rakaat lagi.
@@@
No comments:
Post a Comment