Tuesday, July 30, 2013

Harta Terhebat Harta Waqaf

Menara Wakaf Bank Islam
Jalan Tun Perak, KL
Kalau pada posting yang lalu saya ada menyebut perihal Mariam Bee Binti Syeikh Abdul Hamid yang mewakafkan hartanya untuk pembinaan sebuah surau di Perak hinggakan namanya terukir pada dinding surau untuk kekal pada lipatan sejarah surau itu diceritakan dari generasi ke generasi, maka kali ini saya terkedu bila mendengar kisah yang diceritakan oleh kawan saya iaitu Sdra Azmi perihal surau Dadabhoy di Menara Wakaf Bank Islam di tengah2 KL ini. 

Betapa surau jumaat itu begitu imarah dengan jemaah jumaat dan solat2 fardu, serta padat dengan program tazkirah saban hari terutamanya di sepanjang Ramadan ini. Para penceramah jemputannya pula bukan calang-calang iaitu dari kelompok penceramah tersohor dan popular.

Saya begitu terkedu pabila Sdra Azmi mengkhabarkan kisah Ahmad Dawjee Bin Dadabhoy yang telah mewakafkan tanah prime land ditengah2 KL Golden Triangle ini. Antara pra-syarat yang diberikan ialah agar bangunan yang didirikan nanti tidak digunakan pada perkara yang bertentangan dengan syariat. 

Asbab barokah ibadah wakaf ini agaknya maka surau ini yang di bina dan diselenggara oleh Bank Islam begitu imarah dan hidup kini dan selamanya memandangkan kedudukan yang strategik di kawasan pusat tumpuan di tengah2 kepadatan popolusi warga kota. Setiap hari jumaat tiga level parking area akan di tukar menjadi tempat solat dengan hamparan untuk solat siap dengan skrin besar dengan live coverage pada setiap level. 

Sdara Azmi berkata asbab barokahnya penyumbang harta waqaf ini maka surau yang imarah itu telah dikenali di kalangan para jemaah sebagai surau Dadabhoy. Bank Islam telah menyewa bangunan ini dan dijadikan ibupejabatnya yang baru. Surau berkenaan terletak di dalam bangunan ini dan di bawah penyeliaan Bank Islam.

Arwah Ahmad Dawjee Bin Dadabhoy ini berasal dari Gujerat India yang meninggal dunia pada 24 Januari 1987 tanpa meninggalkan waris. Arwah tinggal dan meninggal dunia di sebuah flat biasa di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Almarhum dikatakan telah mewakafkan harta-hartanya sejak 1934 lagi dan di Malaysia beliau memiliki sebidang tanah 0.484 hektar di Jalan Perak, Kuala Lumpur. Ya, di KL golden triangle.

Tanah tersebut kini telah dibangunkan menjadi sebuah bangunan pejabat kelas-A setinggi 34 tingkat yang dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. Tabung Haji (TH) sebagai pemberi modal dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah harta wakaf. Ketika projek tersebut bermula pada sekitar 2007 nilai hartanah tersebut adalah RM 31.915 juta dan bakal menjadi RM 300 juta setelah selepas tempoh 25 tahun. MAIWP bakal menerima RM 56.6 juta dalam tempoh tersebut dan juga keseluruhan bangunan tersebut selepas tamat tempoh sewaan. Ini adalah model pembangunan, pelaburan harta wakaf yang sangat berjaya. 


"Bahawa Ahmad Dawjee Dadabhoy telah mewujudkan satu wakaf di sisi agama Islam. Ini berdasarkan kepada lafaz yang dibuat dalam Surat Ikatan Pengisytiharan Wakaf dan pengakuan bertulis saksinya Syed Mustapha bin Syed Wazir." 
- Fatwa diwartakan oleh JAWI pada 17 Aug 1989.

Dan ini juga bagi saya satu model pelaburan paling berjaya. Walaupun punya harta berjuta ringgit tapi arwah hidup di dunia dengan sederhana sahaja tapi lebih memandang kepada Akhirat dengan pelaburan wakaf yang hebat. Semoga kini dia berbahagia dengan harta berjuta pahala yang dibawanya ke Akhirat. 

@@@

Monday, July 29, 2013

Kenal Empunya Ramadan?

Jin dan manusia dijadikan Allah untuk beribadah. Apa maksud ibadah? Mengenali Allah. Supaya manusia boleh beza baik dan buruk. Maka tujuan hidup ialah mengenal Allah. Seluruh ketaatan kepada Allah akan membawa manusia kepada mengenal Allah.

Amal ibadah itu adalah wasilah atau jalan untuk mengenal Allah. Sepanjang Ramadan ini kita sebenarnya dalam wasilah untuk mengenal Allah. Majlis rasmi mengenal Allah ialah pada solat fardu 5 kali sehari. Justru solat sebenarnya mampu mencegah segala perkara mungkar. Tetapi kenapa masih gagal? Kerana seruan as-Solat dengan makna mutlak iaitu makna yang paling kamil dan sempurna ialah Solat yang paling sempurna. Sempurna pada ketiga-tiga rukun iaitu rukun qauli, fiqli dan qalbi. Bila terkumpul dan terlaksana ketiga-tiga rukun ini baru tercapai solat yang sempurna tadi. Solat yang boleh mencegah maksiat. Selagi belum maka maksiat akan terus melazatkan.

Sebagai ibarat kita hendak mengadap YDP Agung sebagai acara rasmi. Tengok kepada pintu pagar istana pun sudah kagum, hebat dan bangga. Masuk ke kawasan istana tengok hamparan rumput, pokok2 perhisan yang terjaga rapi, maka kita merasa hebat dan teruja. Tengok bangunan istana yang tersergam indah. Itu sebagai acara tak rasmi. Maka begitulah kita ini sekiranya di majlis rasmi kita tidak merasa hebat maka apatah lagi di majlis2 yang tak rasmi.

Pabila kita lihat di kaca TV koleksi motor besar dan deretan kereta mewah Sultan, datang hati berbisik betapa kehebatan seorang Raja. Tidak cukup dengan majlis2 rasmi, diletakkkan gambar2 Raja di dinding ofis dan pejabat serta banner dan papantanda di tepi jalan2 utama untuk di lihat oleh rakyat sepanjang tahun.

Apa dia majlis2 di luar daripada solat yang kita kategori sebagai majlis2 tidak rasmi itu? Majlis di luar solat ialah zikir iaitu hubungan dengan Allah untuk mengikat hati kita dengan Allah. Di luar majlis rasmi kita tak rasa apa2 maka di majlis rasmi tak rasa apa juga. Para sahabat Rasulullah menggigil ketakutan bila hendak ambil wudhuk. Kerana apa? Kerana hati terikat dengan Allah. Gerun dan risau untuk mengadap yang Maha Esa.

Seruan ibadah puasa juga adalah lafaz mutlak. Puasa yang sempurna akan membawa diri kepada takwa. Puasa membawa makna menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga tenggelam matahari. Maka rugilah selagi tidak berjaya menahan diri.Seruan as-Siam itu ialah siam iaitu puasa pada zahir dan batin.Bagaimana nak capai jika kita hadapi Ramadan mengharap pelbagai anugerah? Berbeza dengan mengadap Ramadan sebagai makrifatullah iaitu hubungan dengan Allah. Puasa sebagai panggilan kekasih kepda kekasih-Nya.

Zat Allah itu azali. Maka segala sifat pada zat itu adalah azali. Sifat al-Qalam Allah iaitu berkata-kata. Berkata-kata Allah itu tiada mula. Cuba kita lihat bagaimana datang tutur kata kita yang keluar dari celah bibir itu? Itu pun tidak mampu kita bongkar. Dari peti suara? Peti suara tampak kosong sahaja. Daripada mana manusia dapat suara dan tutur kata itu? Apatah lagi untuk manusia bongkar panggilan Allah, kata2 Allah.

Allah meluahkan rasa kasih-Nya kepada orang yang beriman. Kata2 yang sudah terpendam lama hingga terluah. Wahai orang2 beriman. Ada yang sanggup menerima luahan itu hingga merasa seronok sungguh. Allah kasih kepada orang yang beriman. Jalan untuk mengenal Allah ini jauh, sangat jauh.

Kita yang tinggal di Khatulistiwa ini jarak waktu  siang dan malamnya agak sama. Puasa kita mungkin sekadar 13 atau 14 jam sahaja. Berbeza dengan manusia di luar negara yang subuhnya pukul 3 pagi dan maghribnya pukul 10 malam. Puasa selama 19 jam.

Allah menggunakan ayat2 pujuk rayu. Ibadah puasa ini juga sudah disuruh kepada umat2 terdahulu semenjak zaman Nabi Adam lagi. Maka kita ini umat Nabi Muhammad SAW bukan kelompok percubaan, bukan makhluk experiment ujian puasa. 

Seorang ibu walau payah mana pun atau kronik benar 'morning sickness' dia mengandungkan seorang anak tidak akan sanggup membunuh anak dalam kandungannya dalam rahimnya. Allah telah pinjamkan salah satu namanya iaitu Rahim kepada perempuan demi kasih sayang-Nya. Anak lahir daripada rahim ibu. Segala zat si anak sedut daripada rahim ibu. Anak berpayah dengan ibu dalam rahim itu. Bila anak keluar daripada rahim ibu kita tidak ajar anak untuk kasih kepada rahim ibu tetapi kita ajar anak kita supaya kasih kepada ibunya. 

Ramadan ibarat sebagai rahim ibu. Ia memberi segala kebaikan iaitu rahmat-Nya, Pengampunan-Nya dan pembebasan daripada api neraka-Nya. Kita suka kepada Ramadan. Tetapi kenapa tidak suka kepada empunya Ramadan?

Allah muliakan Kaabah, Masjidil Haram, dan Masjid Nabawiah. Setiap orang yang pergi ke sana pasti merindukannya. Tapi tidak rindu kepada empunya-Nya? Allah ambil satu tempat namanya Mekah, satu bulan namanya Ramadan untuk dimuliakan. Sedangkan Allah ada di mana-mana, tidak bertempat. 

Kenapa kita kasih kepada makhluk? Kerana kita tidak kenal tidak makrifat pemilik makhluk itu. Rahim ibu, Mekah, Ramadan adalah wasilah kepada orang beriman untuk kenal Allah. 

Walau sekasih mana pada ibu kita, kita kena terima kasih kepada Allah. Walau serindu mana kepada Mekah dan Madinah, terimakasih kepada empunya Mekah dan Madinah. Terima kasih kepada Tuan Punya Ramadan. Dengan mencapai makrifat lalu hati dan jiwa taat kepada Allah. Nampak Allah walau sudut mana pun pandangan kita ini.

Ibadah kerana Ramadan maka takut jadi ibadah kerana makhluk. Di luar Ramadan terus jadi jahat dan engkar semula. Pernah Syadina Ali di beri pilihan minuman samada air sejuk atau air suam. Dia memilih air sejuk. Kenapa? Jawab Ali air sejuk ini menyebabkan pujian yang lebih dalam kepada Allah. Yang dicari Ali ialah kesyukuran yang paling tinggi kepada Allah, hatta untuk memilih sekadar air kosong.

Kita terhijab pada Ramadan hingga tidak nampak Allah. Kenapa tiap2 hari kita asyik fikir nak makan apa berbuka hari ini? Kerana masih banyak maksiat dengan Allah.

Seorang ulama teringin nak makan roti telor, maka dia pun keluar rumah untuk membeli roti telor. Tiba2 dia di tangkap kerana disangkakan seorang penyamun dan dipukul hingga lembik hinggalah seorang pemuda menyelamatkan dia kerana mengenali dia sebagai seorang ulama besar. Pemuda itu membawa ulama tadi ke rumahnya untuk di rawat. Kebetulan dia menghidangkan roti telor kepada ulama itu. Maka ulama tadi berkata, "Hai nafsu setelah engkau dipukul sebanyak 70 kali tadi, makanlah apa yang engkau cari ini."

Seorang ulama lain tika hendak menjamah hidangan lauk ikan, tiba2 jarinya tertusuk tulang ikan. Maka ulama itu berkata, "Inilah makan kerana syahwat." Maknanya dalam setiap perilaku orang yang beriman mestilah meletakkan Allah di hadapan. Bukan kerana makhluk tetapi kerana Allah. Ibadah yang dilakukan ialah proses mengenal Allah, Rabb pemilik segala.

Sebagai konklusi jalan untuk mengenal Allah itu jauh namun tingkatkan ilmu dan usaha, mantapkan amal dan jangan putus asa. Ramadan yang berbaki ini adalah medan dan wasilah yang tepat untuk kita sama2 muhasabah diri di hadapan Allah. Isikan ruang yang ada dengan manfaat. Untuk kenal empunya Ramadan yang Maha Pemurah dan Penyayang. Sambutlah seruan puasa itu untuk di akhirnya berjaya dianugerah pangkat tertinggi dunia dan akhirat iaitu Takwa.

@@@

Wednesday, July 24, 2013

Cari Bekal

Manusia usha dangan gigih untuk cari harta dunia. Kerja siang malam. Cari harta seolah-oalah mahu hidup 100 tahun. Harta yang terkumpul itu kalau nak dikira hanya diguna sekitar 20% sahaja. Bila mati semua harta yang sibuk kita mencari siang dan malam akan ditinggal jua. Tiada nilaian lagi.

Syukurlah bila Allah memilih kita mengabdi diri kepada-Nya di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Dimulakan dengan mendirikan solat malam di dua pertiga malam, kemudian bersahur di akhir waktu, mendirikan solat subuh berjemaah di surau, mengaji Qur'an, zikrullah, bekerja, solat dhuha, solat zohor berjemaah, solat asar berjemaah, selawat, bersedekah, berdoa, berbuka dengan sederhana, solat maghrib berjemaah, solat isyak berjemaah, solat teraweh, mendengar tazkirah, dan solat malam yang lain. Alhamdulillah. 

Yang utama ialah bukan makanan untuk jasad semata tetapi makan untuk ruh juga. Ruh yang sihat akan menjana hidup yang sihat dan bahagia. Ramai manusia yang kaya raya pada jasad dan fisikalnya, rumah banglo, kereta mewah, dan harta banyak tapi mengalami hidup yang kosong, masalah mental pada jiwanya. Hati yang resah gulana, tidur yang tidak lena, makan tidak selera, dan hati yang selalu sakit. Asyik sakit hati pada orang. Asyik dengki pada orang. Lupa diri dan bangga diri. 

Seruan takwa adalah salah satu rukun khutbah Jumaat. Sebagai peringatan kepada umat manusia akan intipati hidup yang sangat penting iaitu takwa. Takwa ini ialah elemen penting supaya dapat mencari bekalan. Bekalan ialah benda yang kita nak bawa. Bawa ke mana? Akhirat.

Bukankah kita semua ini calon jenazah? Bakal calon mati? Calon mati memang ramai. Calon pilihanraya Besut hanya dua orang. Pilihlah calon yang faham Akhirat. Benda yang paling besar nak bawa ke Akhirat ialah takwa. Takwa itu maknanya ada Allah dalam hati. Buat sesuatu itu dengan mengharap redha Allah.

Di Akhirat nanti duit sudah tidak laku lagi. Walaupun ada berjuta ringgit dalam pelbagai akaun bank di dunia ini. Yang laku di sana ialah pahala. Jutawan Akhirat ialah manusia yang ada juta-juta pahala. Bila banyak pahala dapat bagi syafaat pada orang lain pula. Sebaik-baik bekalan ialah takwa. Ibadah puasa ini ialah program realiti mencari bintang takwa.

Kelemahan Islam tidak ada. Islam sudah sempurna. Tapi kelemahan orang Islam, memang banyak. Jangan samakan Islam dengan orang Islam, dua entiti yang berbeza. Ramai orang Islam yang menjadi fitnah kepada agama Islam, bukan menarik orang dekat kepada Islam bahkan asbab dia telah menjauhkan orang kepada Islam atau mengelirukan orang perihal Islam yang syumul itu.

Sebaik-baik harta ialah harta waqaf. Kenapa? Kerana pahalanya berterusan selagi mana harta waqaf itu diguna orang. Pakcik ada kebun getah 10 ekar. Apa kata waqafkan 2 ekar untuk didirikan pusat tahfiz atau sekolah pondok? Kalau sayang harta maka waqafkan. InsyaAllah banyak manfaat untuk empunya harta itu kerana dapat beri bekalan untuk bawaan dan berbelanja di Akhirat.

Waqaf ialah harta yang hebat, satu benda yang tidak boleh dijual beli. Pada dinding sebuah surau terpapar satu ukiran nama Mariam Bee Binti Syeikh Abdul Hamid. Ustaz bertanya orang di situ, "Nama siapa ni Pakcik?" Pakcik pun bercerita satu masa dulu kawasan perumahan ini tidak punyai surau lagi, maka mereka pun berpakat menyewa sebuah rumah untuk dijadikan surau sementara. Hajjah Mariam ini orang Singapura bertandan ke sini ziarah saudara. 

Satu hari dia mari membawa sejumlah wang untuk diwakafkan sebagai belanja beli tanah dan kos bangunan untuk dirikan sebuah surau. Baki kosnya didapati dengan mengutip derma di kalangan para penduduk di situ. Maka terbinalah surau ini dan kami abadikan nama Hajjah Mariam sebagai mengingati harta wakafnya itu. Hebat manusia yang bernama Mariam Bee ini kerana apa? Kerana wawasan dia cukup jauh. Jauhnya itu sampai ke Akhirat.

Satu masa aku sudah tidak boleh solat, tidak boleh mengaji. Macamana aku nak pahala yang berterusan? Amal jariah dan harta wakaf. Kalau nak harapkan doa anak yang soleh, belum tentu lagi. Kalau nak harapkan ilmu yang bermanfaat, pun payah juga. Maka yang dapat buat di depan mata ialah berwakaf harta. Antara asbab Abu Abkar as-Siddiq punyai Syurga yang bersaiz paling  besar ialah atas tabiat dia yang paling banyak berwakaf harta di jalan Allah sepanjang hayatnya.

Pulunlah baki Ramadan yang tinggal ini dengan mengumpul sebanyak mungkin bekalan pahala untuk dinikmati di Akhirat nanti. Kalau solat fardu berjemaah itu mendapat kelebihan 27 kali ganda, maka apa kata kita cadangkan kepada Tuan Nazir supaya menggunakan dana Masjid untuk memberi imbuhan bonus RM27 bagi setiap ahli jemaah yang menunaikan solat berjemaah di Masjid ini. 

Cuba bayangkan RM27 satu waktu, maka 5 waktu sehari semalam akan berjaya mengumpulkan RM135. Kalau sebulan bisa menjana pendapatan RM4,050. Alhamdulillah tak payah bekerja lagi. Sudah cukup imbuhan dari pihak Masjid ini. Rasanya sambutan hangat dari setiap ahli masyarakat. Kerana nampak manfaat zahirnya. 

Maka takwa ialah orang yang nampak dan yakin pada benda ghaib termasuklah janji ganjaran pahala yang sungguh lumayan itu.Orang takwa tidak perlu pada motivasi wang ringgit. Bagi dia cukuplah keyakinan yang tidak berbelah bagi akan janji-janji Allah yang pastinya akan berlaku.

Sebagai konklusi, antara ciri orang bertakwa ialah mempercayai perkara2 ghaib. Antara perkara ghaib ialah soal dosa dan pahala. Pahala yang dijanjikan Allah di sepanjang bulan Ramadan ini amat lumayan dan melampau. Pemurahnya Allah ialah untuk kebaikan umat Nabi sekeliannya, maka cari dan kumpulkan bekalan ini sebanyak mungkin. Keluar kita daripada Ramadan sebagai manusia yang benar2 takwa, insyaAllah.

@@@

Tuesday, July 23, 2013

Pemanah as-Salam

Masjid as-Salam mendapat pujian daripada para jemaah dan juga Ustaz. Karnival Ramadan terserlah. Majlis ilmu nya hidup dan semarak. Majlis berbuka dan moreh juga meriah. Gerai2 jualan juga menambah seri. Qiyamullail di setiap hujung minggu. Yang special lagi ialah kemudahan riadah memanah. Memanah ialah salah satu sunnah Nabi. Justru secara tidak langsung usha ini menghidupkan sunnah Nabi di bulan yang mulia ini. Tahniah !!

Sasaran Bull Eyes

Imam Firdaus Membidik Sasarannya

Saf Perisai Bukit Sentosa

Kenapa Puasa?

“Kenapa kena puasa?” tanya seorang mualaf. “Saya baru sahaja masuk Islam, sudah kena puasa kenapa?” Apa agaknya jawapan anda? Ramai kita tak gheti juga nak menjawabnya. Aku mualaf ke dia mualaf? Orang puasa maka kita pun puasa. Mungkin jawapan yang terkeluar ialah, “Kena puasa la Bro. Sebab awak dah jadi orang Islam.”

Kenapa puasa? Pertama kerana ia suruhan Allah. Kedua kerana puasa untuk menjadi orang bertakwa. Kita puasa ini untuk mencapai sebenar-benar takwa. Puasalah dengan ikhlas. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa ialah satu perjuangan menuju takwa.

Maka itulah kita ini kena susah payah cari ilmu iaitu kekuatan untuk dapatkan takwa. “Pakcik, bilakah Pakcik kali terakhir mengucap dua kalimah syahadah?” tanya seorang mualaf kepada seorang Pakcik penuh uban. “Ishh engkau la kena ucap kalimah syahadah, aku dah Islam sejak lahir lagi,” jawabnya selamba.

Yang mungkin Pakcik ini terlepas pandang ialah kalimah syahadah yang sentiasa diperbaharui setiap kali kita mendirikan solat iaitu dalam bacaan tahiyat. Ini bermakna setiap hari sekurang-kurangnya 9 kali kalimah syahadah telah diperbaharui iaitu pada 9 bacaan tahiyat di solat lima waktu. Begitulah pada setiap solat sunat pula akan dilengkapi satu ungkapan syahadah pada tahiyatnya.

Pada bulan Ramadan Allah memberikan kita anugerah dan tawaran hebat yang banyak. Maka pulunlah segala offer ini, kenapa? Takwa. 

Jadilah seorang muslim yang faham agamanya. Islam aku ini kerana Allah. Aku kena buat segala suruhan Allah tehadap diri aku. Muhasabah diri. Dan usaha gigih untuk membawa diri ini ke Syurga.

Ibadah puasa ini adalah ibarat syifa atau ubat untuk segala penyakit. Kerana ibadah puasa yang dijalani ini ialah bagi mencapai takwa. Takwa bisa menyelesai segala masalah. 

Kita sibuk mencari ubat dan penawar setiap kali di timpa musibah atau penyakit. Seolahnya ubat itulah penyembuh penyakit. Sedangkan syifa untuk setiap penyakit dan musibah ialah solat dua rakaat. Syaratnya yakin dan bergantung harap pada Allah. Allah yang memberi kesembuhan.

Usah tertipu lagi dengan pujuk rayu syaitan. Syaitan sudah menipu daya manusia sepanjang 11 bulan. Usah jadi agen syaitan untuk mempromosi sesuatu yang tidak sepatutnya. Contohnya di awal Ramadan lagi kalau kita lihat di pusat2 perniagaan akan di penuhi dengan banner dan poster tawaran jualan, potongan harga dan berdendang dengan lagu2 raya. Seolah targetnya ialah untuk berhari raya. Itu strategi tanpa sedar yang di rancang oleh syaitan dan para pengikutnya. Orang Islam tertipu sakan setiap tahun.

Yang utama sebenarnya ialah promosi Ramadan dengan segala ganjaran hebatnya. Sepatutnya di banyakkan poster dan banner kempen tawaran ganjaran pahala 70% hingga 700% dan lebih untuk setiap ibadah dan amal soleh di sepanjang Ramadan ini. Itulah hakikat sebenarnya tawaran hebat Ramadan bukannya setia dengan tipu daya syaitan yang walaupun sudah dibelenggu tapi tersenyum dan bertepuk tangan melihat gelagat manusia yang ditipunya.

Mesej yang mahu di dakwahkan mengajak orang kepada Islam ialah apa untungnya aku masuk Islam? Dan apa ruginya aku tidak masuk Islam? Yang sudah lama dalam Islam usah bangga diri. Yang penting muhasabah diri dan beramal dengan ilmu bukan sekadar beramal ikut-ikutan. Tanya diri diakah mualaf atau akukah yang mualaf? Sama-sama kita renung dan fikirkan.

@@@

Friday, July 19, 2013

Odit Diri


Hari ini kita melangkah hari ke-10 Ramadan. Fasa kedua akan bermula. Fasa yang menjanjikan keampunan Allah. Anda percaya? Anda Yakin? Orang beriman wajib percaya dan yakin akan janji2 Allah yang memang pasti. Ibarat saman yang berlambak-lambak kita ada, tiba-tiba pada 10 hari mulai hari ini pihak JPJ & PDRM mengumumkan semua saman2 itu dibatalkan. Tiada saman tertunggak lagi. Tiada blacklist lagi. Tidak perlu bayar saman. Segala kesalahan anda selama ini dimaafkan. Apa perasaan anda?

Agak-agak berapa dosa aku? Dosa yang sudah terkumpul dalam amanah saham dosa. Cuba kita sama-sama congak. Berapakah purata dosa kita dalam sehari?  Katalah 10 dosa sehari. Pada umur 40 tahun sekarang ini aku sudah ada mengumpulkan sebanyak 146,000 dosa. Itu tak termasuk gandaan bonus dan dividen. Kayooo den !!

Tiba-tiba dengan rahmat dan kasih sayang Allah, pada 10 hari berikut ini, Allah memperkenankan keampunan-Nya bagi setiap hamba-Nya yang memohon dengan penuh keikhlasan bergantung harap kepada Allah tidak kepada makhluk.  Tidak ada jaminan aku dapat hidup dan bertemu lagi Ramadan yang akan datang. Apakah aku akan lepaskan peluang gemilang sekali seumur hidup ini? 

Syukur kerana Allah telah memilih kita untuk memperlihatkan kehambaan kepada-Nya. Syukur kerana berpeluang menghadirkan diri ke rumah2 Allah pada 10 malam di awal Ramadan yang berlalu. Tetapi berapa ramai pula orang yang puasanya hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga? Puasa yang gagal mendapat nilaian pahala. Maka elok juga kita sama2 semak amalan puasa kita tahun ini. Masih di tahap puasa orang awam atau sudah berjaya ke tahap puasa khusus iaiatu puasa juga seluruh pancaindera?

Apakah kita datang ke Rumah Allah sebagai orang beriman atau sekadar orang munafik? Takut ibadah kita jadi sia-sia. Apakah kita menjalani ibadah di sepanjang Ramadan ini sebagai orang beriman yang yakin pada janji Allah atau sekadar ikut-ikutan atau adat-adatan sahaja? Takut segala penat lelah kita jadi sia-sia sahaja. Lakukan perubahan. Ini kali lah. Perubahan daripada sifat munafik yang ada kepada sifat orang yang beriman.

Antara bekalan yang boleh diusahakan untuk di bawa ke bulan2 seterusnya ialah pertamanya taubat dengan ikhlas dan sungguh2. Menyesali atas segala dosa sepanjang 11 bulan yang lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Taubat dengan taubat nasuha taubat yang ikhlas dan sungguh2. Mengubah sikap dan keluar daripada madrasah Ramadan ini dengan rekod yang suci bersih.

Umur kita semakin hari semakin berkurang, bukan bertambah. Maka insaflah. Taubat nasuha dan tinggalkan dosa. Fokus ke arah merutinkan amal soleh untuk akhirnya layak mencapai level taqwa. Itulah hakikat ibadah puasa di bulan Ramadan ini, sebagai medan latihan intensif supaya dapat graduate dengan flying colors membawa segulung ijazah taqwa.

Keduanya, ialah dengan memelihara kewajiban solat fardu lima waktu dengan menunaikan solat secara berjemaah. Tidak lagi meneruskan tabiat melengah-lengahkan solat atau solat secara solo. Jagalah hubungan dengan Allah dengan mendirikan solat yang ada makna dan penuh kualiti yang boleh mencegah perlakuan maksiat dan dosa.

Pernah diriwayatkan solat sunat Rasulullah yang penuh kualiti di mana pada rakaat pertama sahaja Rasulullah membaca surah al-Baqarah (286 ayat) dikuti dengan surah an-Nisaa (176 ayat) dan akhirnya di sudahi dengan surah al-Imran (200 ayat), maknanya 662 ayat pada rakaat pertama. Itu kualiti solat yang Rasulullah tunjukkan pada kita dan para sahabat. Maka tidak heran jika dua rakaat solat Rasulullah selepas isyak boleh mencecah hingga ke waktu subuh. Kalau kualiti solat Rasulullah itu mendapat markah A++ maka bagaimana dengan markah solat aku?

Tanamkan rasa takut dan harap semasa berbuka puasa. Takut-takut ibadah puasa kita tidak di terima Allah. Dan harap iaitu harap-harapnya puasa aku ini diterima Allah. Begitulah juga dengan segala amal soleh kita di bulan Ramadan ini. Biar ada takut dan harap. Bila Allah jemput aku malam ini untuk bertemunya, sila semak apakah aku selamat? Apakah aku untung dapat masuk Syurga Allah atau aku bakal rentung dikerjakan api Neraka Allah?

Fasa kedua di 10 hari pertengahan Ramadan ialah fasa pengampunan daripada Allah yang Maha Pengampun. "Ampunilah segala dosaku ya Allah, dosa ahli keluargaku, seluruh kenalanku, kaum kerabatku dan seluruh muslimin dan muslimat." Amiin.

@@@

Thursday, July 18, 2013

Masa Tepat Raih Kemuliaan

Bahagia itu bila hati bertemu dengan Allah bukan kerana kemewahan atau kefakiran. Ramai kita lihat penghibur yang menghiburkan orang tapi dia sendiri tidak terhibur hingga terpaksa ambil dadah dan bahan terlarang. Hiburan yang sebenar ialah bila hati dapat taat pada Allah, ubudiyah pada Allah. Hiburan yang paling besar ialah hubungan dengan Allah. Nak Qasidah pun boleh sikit2, bukan sepanjang masa. 

Ramadan adalah masa tepat untuk kita meraih kemuliaan di sisi Allah. Setiap ruang Ramadan hendaklah di isi dengan segala kebaikan dan kebajikan. Dunia melambai dengan segala kemewahan dan hiburan namun orang beriman akan terus menghala mukanya kepada Akhirat.

Carilah puasa yang ada nilai di sisi Allah. Barangsipa yang berpuasa atas dasar iman bukan atas dasar suasana atau adat dengan penuh perkiraan dan perhambaan kepada Allah, maka harapnya puasa itu ada nilaiannya di sisi Allah. Setiap perkara yang hendak dilakukan dikira atas neraca keredhaan Allah. Ambil peluang di Ramadan ini dan jangan biarkan ia berlalu tanpa pengisian faedah yang semaksima mungkin.

Di sana akan tetap ada halangan iaitu godaan Iblis melalui ajen2nya dan godaan hawa nafsu. Jangan biarkan diri terpedaya lagi dengan godaan Iblis. Usah tunduk dengan godaan hawa nafsu yang menentang kehendak Allah, maka tundukkan ia dengan puasa. Didik hati untuk membesarkan Allah. Jadikan seluruh kehidupan dengan tunduk kepada Allah.

Syukur atas nikmat iman dan Islam yang membawa sifat kehambaan pada Pencipta. Moga2 dengan sifat kehambaan kita akan selamanya memegang jawatan mulia sebagai Hamba Allah. Di sisi Allah yang paling tinggi maqamnya ialah mukmin yang bertaqwa, mukmin yang ikhlas.

Suasana Ramadan menjana manusia kepada tahap soleh dan solehah yang bakal beroleh kemuliaan di negeri Akhirat nanti. Sempena Ramadan bulan bersih, bulan mendidik, bulan tarbiyah, maka bersihkanlah hati. Bersih hati membawa kita duduk di Rumah Allah yang bersih ini. Jangan bosan berbuat baik sesama makhluk kerana pastinya Allah akan membalas kebaikan itu dengan kebaikan jua. 

Jangan jemu sedekahkan al-Fatihah kepada si mati kerana satu masa nanti orang tidak akan jemu sedekah al-Fatihah kepada kita pula. Ambil kesempatan pada Ramadan ini untuk mata yang boleh lihat kepada perkara soleh. Cetuskan rasa kasih, cinta dan berahi untuk mengambil kesempatan melakukan amal soleh. Bawa anak2 ke Masjid semoga berkat Ramadan anak2 akan berubah menjadi anak2 yang soleh. 

Berserah hati kepada Allah dengan penuh ikhlas untuk mencapai maqam yang sempurna. Ikhlas itu duduk di hati yang kosong selain Allah. Ramadan itu bulan ikhlas. Buang segala hasad, dengki, buruk sangka, dan segala sifat tercela itu. Yang kedekut bisa jadi pemurah. Yang malas bertukar kepada rajin. Yang berat jadi ringan. Perbanyakkan ibadah, taubat dan damping pada Allah.

Ramadan bulan mulia, bulan keampunan. Mohon rahmat Allah, mohon keampunan dan pembebasan daripada api Neraka Allah. Berlumbalah untuk dapat Lailatul Qadr. Dirikan solat hajat setiap malam mohon penuh harap Allah pertemukan dengan Lailatul Qadr. 

Nafsu itu musuh. Nak buang nafsu tak boleh. Maka kena latih diri untuk lawan kehendak nafsu. Syaitan itu musuh bagi kamu. Antara perkara musuh bagi syaitan ialah:

  1. Ilmu - maka hadiri majlis2 ilmu, jadi orang berilmu, keluar daripada kepompong jahil.
  2. Makrifat - iaitu takutkan Allah, bukan takut pada makhluk.
  3. Mensucikan diri - banyakkan taubat, bila salah terus taubat kepada Allah.
  4. Solat Malam - bangun dan dirikan solat malam setiap malam.
  5. Berlapar pada siang hari - bila lapar nafsu jadi lemah.
  6. Kekal Berwudhuk - bila batal wudhuk terus ambil wudhuk, malaikat suka damping orang berwudhuk.
  7. Zikrullah - sentiasalah basahi bibir dengan zikrullah agar tiada ruang untuk syaitan.
  8. Solat 5 Waktu - peka dan jaga solat 5 waktu, jangan tangguh dan afdalnya solat berjemaah 5 waktu sehari semalam.
Moga2 kita akan sentiasa dinaungi rahmat Allah. Solat berjemaah menjanjikan kita tidak ditimpa kefakiran, tiada seksa kubur, menerima buku amal di tangan kanan, melalui titian sirat sepantas kilat, dan memasuki syurga tanpa hisab.

Ikhlas hati kepada Allah dan mengharap semua amal ibadah kita di terima Allah. Allah terima amalan orang bertaqwa. Sentiasalah kita mohon ampun dan istighfar. Sifat orang bertaqwa ialah sentiasa bertaubat. Sifat orang bertaqwa ialah sentiasa bersyukur dengan mengetahui kelemahan diri dan yakin bahwa semua pemberian daripada Allah. Menjalani kehidupan dengan sifat zuhud iaitu besederhana. Harap tidak dihisab di Akhirat nanti. 

Segala kejahatan terkumpul di suatu tempat dan kuncinya ialah cinta dunia. Manakala pintu kebaikan pula ialah zuhud kepada Allah. Setiap yang bernyawa akan menemui mati. Kehidupan dunia hanya tipu daya. Kita tanam sayur dan mengaku itu hak kita, tapi ulat kata hak dia. Tubuh itu hak kita, tapi kencing manis kata hak dia. Rumah ini hak kita, tapi cicak kat hak dia. Usah sayang dunia yang pura-pura ini. Tiada milik kita sebenarnya. Semua sekadar pinjaman yang sebentar.

Bina dinding dan pagar hati kita supaya tidak diganggu syaitan. Panggilan Allah yang mesti disahuti, Raja pada segala raja. Sabar memutus urusan dunia iaitu tidak rasa besar atau bangga dengan kehebatan dunia ini kerana ibadah dan munajat pada Allah. Kenal kepada siapa kamu munajat? Permohonan apa yang kamu minta? Moga keluar daripada madrasah Ramadan ini dengan kejayaan menjadi manusia yang Taqwa.

@@@

Wednesday, July 17, 2013

Dilema Tazkirah?

Apa tujuan datang masjid malam ini? Nak solat teraweh. Ada tak yang datang ni kerana nak solat isyak? Seolah-olahnya solat teraweh itu kemuncak sebuah Ramadan. Ada yang beriya-iya untuk solat teraweh tapi tak kisah meninggalkan solat maghrib atau isyak atau solat2 fardu yang lain.

Hakikat yang kita kena faham ialah sebanyak mana amalan sunat tidak akan ada nilainya sekiranya mengabaikan soal solat fardu. Maka yang utama ialah solat fardu. Harap kita jangan lalai untuk mendirikan solat2 fardu dan afdalnya solat secara berjemaah pada setiap waktu.

Seorang mufti semalam ada mengeluarkan kenyataan di akhbar supaya tazkirah di adakan antara maghrib dan isyak atau selepas solat teraweh demi untuk tidak mengganggu solat teraweh. Mufti itu juga menambah ini supaya mengambil kira jemaah yang nak balik awal dan pelajar2 yang nak balik mengulangkaji pelajaran. Tu dia solat teraweh is the 'Musang King' of Ramadan. Kemuncak dan simbol utama amalan di bulan Ramadan.

Seorang kawan saya yang nampak zuhud dan alim bertanya saya, “Penting ke tazkirah ni?” Saya dengan konfiden menjawab, “Ya sangat penting.”  Dia agak skeptik mendengar jawaban itu. Baginya tazkirah itu tidak penting dan mungkin mengganggu konsentrasi ibadah solat sunat terawehnya.

Ada juga majlis2 agama negeri yang menetapkan solat teraweh 20 rakaat bagi setiap masjid dan surau di seluruh negeri yang mungkin salah satu hikmahnya ialah untuk mengelakkan sebolehnya tiada ruang lagi untuk slot diadakan program tazkirah kerana masa yang agak panjang sudah terpakai.

Soal tazkirah iaitu sesi peringatan yang diadakan di masjid dan surau yang mengambil masa sekitar 20-30 minit itu, adalah tergolong dalam kelompok majlis ilmu yang pada segi hukumnya menuntut ilmu itu wajib. Maka sangat afdallah berada di majlis ilmu jika berbanding dengan amalan sunat yang lain. Malah dinyatakan berada di majlis ilmu itu adalah lebih baik daraipada mendirikan 1,000 rakaat solat sunat.

Sebagaimana hadis Abi Zarr RA katanya ertinya: “Setiap permulaan seseorang yang mengajar ilmunya itu lebih mulia daripada bersolat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan mengiringi seribu jenazah.”

Rasulullah juga pernah bersabda; ilmu itu adalah khazanah bagi orang-orang islam, maka jadilah antara 4 golongan majlis ilmu yang mendapatkan keredhaan dari Allah dan 4 golongan tersebut ialah:
1) Orang yang bertanya/belajar
2) Orang yang mengajar
3) Orang yang mendengar
4) Orang yang cinta orang yang berada dalam majlis ilmu.

Jangan kita jadi orang yang ke 5 iaitu benci kepada orang menuntut ilmu dan kepada orang yang mengajar ilmu. Sangat keji orang yang merasa dirinya pandai dan tidak mahu menuntut ilmu malah cuba pula menghalang orang lain dari mengadakan dan menghadiri majlis ilmu. Seolah-olah suka pula orang ramai kekal dalam kejahilan.

Terdapat banyak fadhilat-fadhilat menuntut ilmu yang terlebih baik daripada beribadat sunat yang disabdakan oleh Nabi SAW ertinya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu tentang sesuatu bab, ia lebih baik daripada kamu bersolat seratus rakaat.”

Kemudian Rasulullah SAW ditanya : Adakah ia (menuntut ilmu) lebih mulia daripada membaca Al-Quran dijawabnya : “Tidak manfaat membaca Al-Quran itu tanpa ilmu.”

Sepertimana kata Imam Syafie RA bahawa menuntut ilmu itu terlebih baik daripada sembahyang sunat.

Dan Abu Darda’ juga telah berkata: “Demi Tuhanku, bahawasanya aku lebih suka belajar sesuatu ilmu itu berbanding daripada beribadat setiap malam (qiamullail).

Dan Atta’ telah berkata : Sesungguhnya perhimpunan orang yang duduk di dalam majlis ilmu itu iaitu menghapuskan tujuh puluh perhimpunan majlis lagha (sia-sia).

Tazkirah yang di adakan di masjid dan surau di sepanjang Ramadan tidaklah mengganggu ibadah solat sunat teraweh kerana ia di adakan samada sebelum solat teraweh, semasa berehat antara solat teraweh atau setelah usai solat teraweh. Para jemaah nampak sangat relax, teruja dan fokus. Apatah lagi bila dinaungi para malaikat yang sentiasa mendoakan agar kita dirahmati dan diampuni. Walaupun ada juga segelintir yang terlelap dengan kusyuk,  namun itu adalah lebih baik dari duduk menonton TV di rumah atau berada di majlis yang sia-sia.

Tazkirah diadakan pada tika itu ialah untuk mengambil kesempatan menyampaikan ilmu dan peringatan kepada jemaah yang ramai hadir. Saya ambil contoh di Masjid kami, pada kebiasaannya siri kuliah maghrib yang diadakan mengundang jemaah sekitar 100 orang sahaja. Tapi di malam2 Ramadan ini jumlah jemaah yang hadir mencapai 1,000 orang, maka ada pertambahan 900 orang ahli jemaah muka2 baru. Maka itulah target kita untuk memberi peringatan dan ilmu supaya mereka tahu dan tidak lagi kekal lalai dalam kejahilan. Dan yang utama untuk mencetus minat meneruskan hadir di majlis2 ilmu di luar Ramadan nanti.

Apa keburukannya di sini? Kecualilah orang yang benci kepada orang menuntut ilmu dan kepada orang yang mengajar ilmu iaitu kategori ke-5 seperti yang  dijelaskan di atas. Atau kelompok manusia yang gemar kepada majlis yang lagha (sia-sia) berbanding dengan majlis2 yang bermanfaat mengajak manusia dekat kepada Allah. Sama2lah muhasabah diri dan tanya iman apakah ikhlas untuk mengajak manusia taat kepada Allah atau sebaliknya.

Saya mohon biarlah Masjid itu ada ruh dan suasana kemeriahan ibadah di bulan Ramadan. Jangan sekadar program mendirikan solat teraweh tanpa ruh dengan bacaan yang laju demi mengejar 20 rakaat dan kelompok jemaah mengilat dalam solat. Biar nampak tersergam indah sesebuah Masjid itu, tapi tanpa ruh ianya sekadar lesu dan tiada bermaya. Nampak gah tapi isinya menghampakan orang beriman.

Perkara lain yang agak memesongkan masyarakat kita juga ialah soal buat open house untuk raya dan memberi duit raya seolah-olah sudah jatuh hukum wajib. Yang tersangat afdal sebenarnya ialah melakukan kebaikan di sepanjang bulan Ramadan ini iaitu buatlah open house mengajak orang berbuka puasa atau bersahur yang nilaian pahalanya masyaAllah beribu-ribu lemon. 

Begitu juga amalan bersedekah ini, bagilah duit raya itu di bulan Ramadan mungkin sehari sebelum raya demi untuk meraih pahala bersedekah yang nilaiannya 700x ganda di sepanjang Ramadan itu. Maka tidaklah kita buat sesuatu amalan itu dengan sia-sia sahaja walaupun mengeluarkan belanja yang banyak. Jadilah manusia yang bijaksana bukan sekadar bijaksini.

Sayugia yang kita tahu 10 malam terakhir Ramadan itu adalah kemuncak limpahan rahmat Allah untuk kita semua yang terkandung di dalamnya Lailatul Qadr yang terlebih baik daripada 1,000 bulan. Maka dirikanlah solat hajat setiap malam mulai kini memohon ke hadrat Allah dengan penuh ikhlas dan tawajjuh agar dipertemukan dengan Lailatul Qadr bagi meraih segala anugerah-Nya itu.

Cepat sungguh masa berlalu dan hari ini sudah 8 Ramadan. Hanya tinggal berbaki 22 hari lagi Ramadan tercinta ini. Ayuh bersedia membuat pecutan terakhir menuju garis penamat. Semoga ada happy ending, bukan kecewa lagi macam biasa. Semoga kita mendapat rahmat Allah, pengampunan atas segala dosa kita, dan kemuncaknya ialah pembebasan daripada api neraka Allah dan mendapat pula redha Allah untuk memasuki syurga-Nya.  InsyaAllah.


@@@

Tuesday, July 16, 2013

Sedekah untuk Akhirat

Alhamdulillah syukur kerana masih diberi ruang untuk amal soleh di Ramadan ini. 10 hari pertama Ramadan dipenuhi dengan rahmat Allah. Syukur kerana Allah masih buka hati kita untuk ke Masjid setiap malam. Rahmat Allah menjadikan hati kita ini lembut untuk mudah melakukan ibadah. Semoga penuhnya masjid tahun ini sepanjang Ramadan akan berubah kepada penuhnya masjid di bulan2 di luar Ramadan juga. 

Wahai sekelian orang beriman, ambillah peluang dan anugerah Allah ini. Ambillah segala kebaikan yang ada di bulan mulia ini setelah pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, pintu syurga pula dibuka seluas-luasnya, dan para syaitan dan iblis di ikat dan dipenjarakan. Wahai sekelian ahli maksiat, tinggalkan segala keburukan dan maksiat.

Banyak hadiah yang Allah nak berikan sepanjang Ramadan ini. Malamnya kita Qiam. Siangnya kita Siam iaitu menahan diri daripada segala perkara yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala puasa. Apakah mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan hati masih melakukan maksiat?

Setiap solat fardu di bulan Ramadan ini dibalas Allah dengan nilaian 70x ganda solat fardu pada bulan2 yang lain. Pemurahnya Allah. Solat2 sunat pula ibarat solat fardu di bulan2 lain. Sudah sebelas bulan kita berbuat maksiat, maka harapnya setelah 6 hari berpuasa ini maka digugurkan sekurang-kurangnya enam dosa kita. Tapi berapa banyak dosa yang ada sepanjang hidup 49 tahun ini?

Maka satu lagi kebaikan yang perlu sangat diambil perhatian ialah bersedekah. Sebaik-baik sedekah ialah di bulan Ramadan. Maka sangat afdallah kita banyakkan bersedekah di sepanjang Ramadan ini. Bandingan orang bersedekah ialah seperti satu biji benih yang mengelurakan tujuh cabang, yang berbuah 700 buah pada setiap cabang. Maknanya jika bersedkah RM1 maka nilaiannya ibarat RM700. Maha Pemurahnya Allah. 

Ajaib sungguh matematik Allah. Kita belajar di sekolah kalau ada RM10 dalam poket, kita sedekah RM5 maka yang tinggal untuk kita ialah RM5 sahaja. Rupanya matematik Allah mengajar RM5 yang kita sedekahkan itu akan menjadi RM3,500 untuk kita miliki secara hakiki. Betapa untungnya berniaga dengan Allah. 

Dalam satu majlis persediaan perang Rasulullah menyeru sahabat untuk bersedekah. Maka Usman Bin Affan pun terus bersedekah 1,000 dinar. Kalau tuan2 nak tahu (berdasarkan harga setiap dinar emas bersamaan RM500 harga semasa) 1,000 dinar ini bersamaan dengan 1,000 x RM500 = RM500,000.  Tu dia sekali sedekah setengah juta RM beb...hebat hebat. Maka Rasulullah berseru lagi para sahabat untuk bersedekah maka bangkit lagi Usman Bin Affan untuk balik ke rumah mengambil 1,000 dinar lagi. Menjadikan total dia bersedekah sebanyak 2,000 dinar iaitu bersamaan dengan RM satu juta. Sangat terserlah cinta akhirat para sahabat berbanding dengan cinta dunia.

Untuk menjana sifat dermawan maka hati mesti bersih. Kebajikan yang sempurna ialah dengan bersedekah harta yang paling disayang. Sedekah yang terbaik ialah waqaf. Ada seorang tokoh korporat mewaqafkan RM25 juta untuk membina komplek Maahad Tahfiz di Hulu Langat. Alhamdulillah. Selagi mana waqaf itu berjalan maka pahala juga berjalan. Terputus hubungan bila mati kecuali tiga perkara iaitu amal jariah (waqaf), ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh. Waqaf juga boleh dilakukan untuk orang tersayang seperti ayah ibu kita. Sistem waqaf di negara kita khasnya di Selangor ini pun telah banyak dipermudahkan untuk orang awam.

10 hari yang pertama di bulan Rejab adalah yang paling utama, 10 hari di pertengahan Syaaban yang paling baik, dan bagi Ramadan 10 hari yang terakhir itulah yang terbaik. Maka pecutan terakhir akan membawa kemenangan. Ibarat orang berlumba lari 100m atau perlumbaan kereta F1 Litar Monza pecutan terakhir itu akan menentukan pemenangnya. 

Maka penuhilah Ramadan kita ini dengan amal soleh setiap masa. Iktiqaf di Masjid, zikrullah di bibir, dirikan solat2 malam, tadabbur Qur'an, bersedekah, dan 1,001 juadah menu amal soleh. Dirikan solat hajat setiap malam untuk ditemukan dengan Lailatul Qadr. Harap dan doa agar Ramadan tahun ini lebih baik dari 10 tahun yang lalu, malah terbaik daripada yang terbaik. Ringankan tangan untuk bersedekah untuk Akhirat, insyaAllah.

@@@

Friday, July 12, 2013

Ini Kali Lah !!

Tazkirah itu Peringatan

Terpilih SebagaiTetamu di Rumah Allah

Selawat dan salam kepada Rasulullah, keluarga Baginda dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah kerana dipanjangkan usia oleh Allah SWT untuk terus bernafas di udara Ramadan yang kini masuk hari ketiga. Malam tadi masjid terus di penuhi ribuan jemaah. Hidangan moreh yang disediakan habis licin dan ramai para jemaah yang tak dapat menjamahnya untuk malam ketiga berturut-turut. Tapi tidak mengapa bukan moreh idaman hati tapi ikhlas beribadah di Rumah Allah itu yang utama.

Bulan Ramadan adalah sebaik-baik bulan, malamnya sebaik-baik malam, siangnya sebaik-baik siang dan waktunya adalah sebaik-baik waktu. Istimewa dan mulianya bulan Ramadan ini layaknya sebagai penghulu segala bulan. Istimewanya lagi ialah kita semua dikumpulkan dalam kemuliaan ini. Maka sangat rugilah jika hari-hari Ramadan ini dibiar berlalu tanpa dosa-dosa diampunkan, amalan yang tidak bertambah dan gagal menjadi tetamu di Rumah Allah.

Kita mohon supaya dapat menjalankan amalan di bulan Ramadan ini dengan sebaik-baik amalan. Semoga Allah kurniakan kita kekuatan fisikal dan dalaman untuk dapat melakukan ibadah. 24,000 nafas turun naik kita ini dikira tasbih. Tidur kita dikira ibadah. Semua doa kita dimakbulkan Allah. Inilah masanya menadah tangan memohon ampun kepada Allah. Inilah masanya Allah memandang kita dengan penuh rahmat dan kasih sayang.

Diri kita ini tergadai dengan segala amal buruk yang kita lakukan setiap hari. Maka cara menebusnya ialah dengan memperbanyakkan istighfar dan memanjangkan sujud dalam solat kita mohon keampuanan  daripada Allah SWT.

Antara amalan istimewa di sepanjang Ramadan ini termasuklah menyediakan juadah berbuka kepada orang yang berbuka puasa dengan juadah yang terbaik yang kita sendiri sukai. Sebaik-baik amalan itu ialah yang paling sulit kita melakukannya. Allah SWT memberi pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa yang yang lalu.

Sesiapa yang mendirikan solat-solat sunat di bulan agung ini, balasannya ialah dijamin mereka dibebaskan daripada api neraka Allah. Sesiapa yang mendirikan solat fardu, nilainya umpama mendirikan 70 solat fardu di bulan-bulan yang lain. Ketiganya ialah memperbanyakkan selawat di mana ini akan memberatkan timbangan amal kebaikan di padang mahsyar nanti. Seterusnya ialah membaca satu surah al-Qur'an di bulan Ramadan ini adalah umpama membaca 30 juzuk al-Qur'an di bulan yang lain.

Maka sebagai konklusi, "Ini Kali Lah !!"  Usah tangguh. Usah tunggu lagi. Tingkatkan amal soleh kita. Hari-hari Ramadan pantas berlalu. Jangan biarkan ia berlalu pergi tanpa peningkatan dalam amalan kita. Ramadan adalah anugerah yang tertinggi untuk umat ini. Terimalah anugerah ini. Raihlah segala keuntungan yang tiada tolok bandingnya walaupun dunia dan seisinya. Muliakan diri di sisi Allah SWT. Ini Kali Lah !!

@@@

Thursday, July 11, 2013

Tazkirah Itu Peringatan

Perkataan tazkirah dinyatakan pada surah Az-Dzariyat ayat 55: "Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang2 yang beriman."

Memberi tazkirah iaitu peringatan demi peringatan sangatlah dituntut iaitu bagi mengingati perkara-perkara yang sudah diketahui tetapi sudah lupa atau lalai daripada mengamalkannya. Maka tazkirah ini bagi mencetuskan keinginan dan kesederan untuk tidak berterusan meninggalkan sesuatu amalan atau ibadah itu.

Sesungguhnya tazkirah itu memberi manfaat kepada orang2 yang beriman. Orang2 beriman suka kepada tazkirah, ceramah, kuliah maghrib, khutbah, dan majlis2 ilmu. Sebaliknya orang yang tidak suka kepada tazkirah dan majlis2 ilmu sebenarnya punyai masalah dengan iman mereka. Orang yang gemar kepada program2 hiburan di TV, drama2 dan lagu2 pada hakikatnya ada problem dengan iman.

Ada orang pertikaikan tazkirah ini sebagai bidaah dan mengganggu solat teraweh. Solat teraweh secara berjemaah ini juga sebenarnya bidaah kerana ianya tidak pun dilakukan oleh Rasulullah. Bahkan ia adalah inisiatif Khalifah Umar al-Khatab untuk mengumpulkan jemaah pabila melihat para jemaah yang mendirikan solat secara berpecah-pecah di Masjid Nabawi. Slot tazkirah yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini tidak mengganggu solat teraweh sebenarnya kecuali diadakan serentak.

Tazkirah di adakan setelah solat teraweh berhenti rehat seketika atau selepas selesai solat teraweh diadakan. Tujuan utama ialah untuk mengambil kesempatan penyampaian ilmu dan peringatan kepada para jemaah yang ramai itu yang majoritinya ialah bukan ‘regular customer’ masjid. Maka harapnya ia bisa membangkit kecintaan kepada mereka untuk terus hadir ke majlis2 ilmu selepas Ramadan nanti. Slot tazkirah sekitar 20-30minit adalah dikira terbaik.

Malah ramai jemaah yang mendapat ilmunya tika tazkirah diadakan, sebagai contoh seorang pemuda selama ini tidak pernah basuh kencing kerana tanggapannya ianya tidak penting. Bila dia nak solat terus ambik wudhuk dan solat seperti biasa. Dengan mendengar tazkirah barulah dia sedar bahawa basuh kencing adalah persoalan taharah suatu tuntutan syariaat yang tanpanya solat juga akan terbatal.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mendirikan malam-malam Ramadan berdasarkan iman dan keikhlasan kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu." (Muttafaqun 'alaih)

Mendirikan malam itu merangkumi segala amal soleh seperti solat, zikrullah, mengaji Qur’an, istighfar, selawat, majlis2 ilmu, sedekah, dan segala amal makruf dan nahi munkar. Waktu yang dimaksudkan untuk mendirikan malam itu ialah selepas Isyak. Yang afdalnya ialah 2/3 malam iaitu sekitar pukul 2:30am hingga sebelum subuh. Tapi jika kita praktikkan solat teraweh berjemaah ini sekitar pukul 2:30am itu maka dikhuatiri tidak akan mendapat sambutan masyarakat sebagaimana kini. 

Begitulah juga majlis tazkirah juga akan tidak begitu berkesan sekiranya diadakan pada waktu sebegitu. Maka benarlah segala amalan dan ibadah ini perlulah disusun mengikut kebijakan agar dapat memberi manfaat kepada kelompok ramai. Yang utama ialah selepas solat isyak hidupkan malam di sepanjang Ramadan ini.

Berilah tazkirah kerana ia memberi manfaat. Siapa yang rasa takut kepada Allah maka dia akan ambil peringatan. Jika kita cakap sesuatu dan ia memberi manfaat dan orang nak berubah maka ia lebih baik daripada miliki kenderaan mewah. Pabila Allah SWT suruh beri peringatan maka natijahnya orang yang lupa akan ingat balik dan orang yang tidak tahu akan dapat ilmu dan baiki dirinya. 

Sangat rugi orang yang dah rasa pandai. Sangat rugi orang yang tidak inginkan tazkirah. Maka teruskan berada di majlis2 ilmu dan tazkirah agar manfaat berjaya diperolehi.

Ada pula sebilangan ahli masyarakat yang begitu teruja dengan amalan sunat di bulan Ramadan ini contohnya solat teraweh. Tapi pada masa yang sama masih lalai dengan ibadah wajib contohnya masih meninggalkan solat zohor atau asar tapi sangat beriya untuk tidak miss solat teraweh 20 rakaat. Tabiat ini mestilah ditegur sebab ia sangat merugikan empunya badan, kerja yang sia-sia kerana tidak dikira amalan solat teraweh yang sunat itu jika solat fardu yang wajib itu ditinggalkan. Tegurlah dia kerana kita sayang dia. Segala amalan ini kena bertepatan dengan syariaat. 

Begitu juga jika lakukan puasa sunat isnin dan khamis tapi tidak pula puasa wajib sepanjang Ramadan, maka sia-sialah amalan puasa sunatnya tadi.

Sedikit masa yang kita luangkan di jalan Allah, maka Allah akan beri rahmatnya. Tazkirah ialah pencetus supaya suka kepada majlis2 ilmu. Berada di majlis ilmu akan mengundang para malaikat untuk menaungi dan mendoakan untuk kita. Ya Allah rahmati mereka. Ya Allah ampuni mereka.

Bersungguh-sungguh menuju kepada Allah dengan berada di majlis2 ilmu maka Allah bersungguh-sungguh memberi ilmu. Jika malu untuk ke majlis2 ilmu maka Allah pun malu untuk memberikan ilmu. Dan yang paling parah ialah jika berpaling daripada majlis2 ilmu maka Allah pun berpaling daripada dia dan kekallah dia jahil untuk selama-lamanya.

@@@

Wednesday, July 10, 2013

Ramadan Kembali

Alhamdulillah Ramadan kembali lagi. Seluruh surau dan masjid di serata Malaysia telah menyaksikan kehadiran para jemaah yang luarbiasa ramainya hingga melimpah-limpah. Alhamdulillah. Ini menunjukkan betapa aura kedatangan Ramadan ini terutamanaya ibadah solat teraweh menjadi sesuatu yang sangat teruja dan dinantikan.

Firman Allah S.W.T: “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Al-Baqarah: 183)

Bagaimana tingkatan ibadah kita? Puasa di bulan Ramadan ini mahu menjana Taqwa. Ramadan bukan matlamatnya, tapi matlamatnya ialah Taqwa. Taqwa bisa mengundang hidayah dan redha Allah SWT. Maka kita kenalah bersungguh-sungguh dalam perlakuan ibadah dan amal soleh supaya dapat mencapai maqam Taqwa.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:
  1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
  2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan

Beruntunglah kepada orang yang memandang Ramadan sebagai anugerah hebat Allah SWT sebagai medan latihan intensif bagi mencapai kejayaan hakiki iaitu Taqwa.  Ramadan melatih kita menjadi manusia bertaqwa.

Siapa manusia bertaqwa ini? Iaitu orang2 yang beriman dengan perkara ghaib iaitu perkara dosa/pahala dan syurga/neraka.  Peka kepada segala perintah Allah dengan menghindari dosa dan gemar mencari pahala. Gerun bila disebut Neraka dan gembira mendengar Syurga dan segala isinya.

Kita beramai-ramai mendirikan solat teraweh secara berjemaah ini ialah untuk melatih diri supaya gemar kepada mencari redha Allah. Teraweh berjemaah untuk melatih diri supaya rajin solat berjemaah di masjid dan surau. Semoga di luar Ramadan nanti kita kekal gemar untuk mendirikan solat berjemaah.

Orang bertaqwa ini gemar mencari pahala dan dan takut akan dosa. Orang yang bersungguh dalam qiam (solat malam). Imam Ahmad Hambal solat malam hingga mancapai 300 rakaat setiap malam. Bagaimana kita?  

Orang bertaqwa akan menginfaqkan sebahagian daripada hartanya ke jalan Allah termasuklah menunaikan kewajiban zakat. Satu amalan yang utama ialah menyediakan juadah untuk orang berbuka puasa di mana pahala orang yang berpuasa itu juga akan diperolehinya. Ia juga sebagai menampung segala kekurangan puasa diri sendiri iaitu kekurangan puasa mata, telinga, mulut, kaki/tangan, hati, sanubari dan segala perlakuan zahir dan batin. Orang bertaqwa sentiasa mengambil bahagian dan  memperbanyakkan ativiti khidmat masyarakat bagi kepentingan umum.

Taqwa mengajak umat ini untuk mematuhi segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Banyakkan tadarus al-Qur’an di bulan Ramadan ini. Tadarus itu ialah baca dengan ada yang menyemaknya. Baca dengan sebenar-benar bacaan iaitu betulkan bacaan supaya kena pada tajwidnya. 

Ada tiga kelompok pembaca al-Qur’an iaitu pertamanya orang yang baca dengan betul dan mendapat pahala, kedua orang yang baca salah tapi mendapat pahala kerana dia berusaha baca walaupun dengan kepayahan. Dan ketiga ialah orang yang baca tapi dapat dosa iaitu kerana tidak berusaha untuk belajar atau berada dalam majlis tadarus untuk membetulkan bacaannya.

Taqwa ialah orang yang beriman dengan hari akhirat iaitu yakin dengan segala janji Allah. Menjalani ibadah di bulan Ramadan ini dengan penuh keimanan dan pengharapan dengan berpuasa di siangnya  qiam di malamnya. Nescaya Allah akan ampunkan segala dosa yang lalu.

Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. 

Tanamkan azam untuk tidak mencemarkan ibadah Ramadan pada tahun ini dengan perlakuan dosa seperti mengumpat, fitnah, bergaduh dan segala perkara yang dimurkai Allah SWT. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia.

Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz2 jemputan pada slot antara solat2 teraweh sangat baik kerana setiap pengisian ilmu itu seumpama pahala mendirikan 1,000 rakaat solat2 sunat. Maka jika ditanya berapa rakaat solat teraweh di Masjid ini? Maka jawablah 1,000 rakaat. Bukan sekadar 8 atau 20 rakaat lagi.

@@@

Tuesday, July 02, 2013

Hati Yang Berbolak Balik

Di Syaaban yang mulia ini harapnya bertambah iman dan amal kita. Saya merenung kalendar meja. Tertera hari ini Selasa 23 Syaaban bersamaan 2 July. Hari Rabu depan insyaAllah jika di panjangkan usia kita bakal menerima kunjungan tetamu hebat iaitu Ramadan al-Mubarak. Apa rasa? Biasa-biasa saja atau teruja macam nak mengadap raja?

Tanya hati. Ikhlas dan tulus. Bagaimana rasa? Masih ingatkah Ramadan kita pada tahun lepas? Apakah tetamu hebat yang datang berkunjung dilayan dengan selayaknya? Tidak pernah terlintaskah di hati bahawa tetamu ini bisa berkunjung buat kali terakhir. Ya Ramadan terakhir. Betapa ramai kawan dan saudara kita pada tahun ini sudah tidak lagi berpeluang bertemu tetamu hebat ini.

Hati yang berbolak balik. Itukan lumrah terjadi kepada makhluk bernama manusia. Apatah lagi bila mendapat bantuan ransangan dan jentikan lembut saban masa dari naluri dan nafsu, dan yang utama helah dan tipu daya syaitan yang tiada istilah penat atau lelah mengajak hati2 manusia pada kemungkaran sambil menghijab pada jalan kebaikan atau kebajikan. Itulah uniknya manusia ini. Maka hati manusia kekal berbolak balik. Sekejap yakin dan penuh semangat mengerjakan amal soleh. Pada tika yang lain terus leka dengan hal keduniaan hingga lupa detik kematian yang menjadi pemutus segala kelazatan itu.

Semampu mungkin digagahi untuk bangun solat malam. Kemudian ke surau untuk solat subuh. Mengaji sekadar dua helaian surah al-Qur'an sebelum bersiap ke tempat kerja. Zikrullah dan selawat sepanjang pemanduan. Memulakan kerja dengan dua rakaat solat dhuha. Nawaitu bekerja kerana Allah dengan harapan segala perlakuan dan aktiviti hari ini ada nilaiannya di sisi Allah sebagai ibadah kepada-Nya. Solat zohur dan asar berjemaah di surau. Balik nanti berjemaah Maghrib di Masjid. Kemudian menghadiri kuliah Maghrib. Usai solat Isyak berjemaah terus mengaji surah al-Mulk yang dipimpin oleh Pak Imam. Pulang nanti membaca Kitab apa yang patut menunggu mengantuk. Maka usai doa dan bacaan surah2 pilihan terus di buai mimpi pada kerehatan tidur kurniaan Allah.

Namun pada hari yang lain hati yang berbolak balik akan memberi isyarat pada otak untuk menjadi begitu liat dan payah bagi bangun malam atau ke surau untuk solat subuh lagi. Disibukkan dengan program atau acara yang mengalihkan tumpuan pada amal soleh yang menjadi rutin tadi. Di lengah2kan solat fardu. Dimalaskan mengaji al-Qur'an. Di lelapkan mata pada saat ingin menadah kitab atau membaca salah satu buku yang bersusun di rak itu. Hati mudah di bolak balikkan. Disibukkan dengan urusan lain hinggkan kaki rasa berat untuk ke Masjid menghadiri majlis2 ilmu. Kadang berterusan hingga berhari-hari. Jika dinding iman yang masih rapuh dan jatidiri yang lembik atau aqidah yang belum terpasak utuh, maka hati ini sangat mudah dibolak balikkan. Macam iklan chipsmore, "Sekejap ada sekejap tak ada."

Selayaknya manusia membuat dosa dan segala prilaku maksiat kerana manusia bukan malaikat. Namun yang utama ialah untuk kembali menyedari kesilapan lalu menyesalinya dan mananam azam kuat untuk tidak lagi mengulanginya. Maka mohonlah taubat dengan taubat nasuha. Mohon Allah terima taubat ini dan mengampunkan segala dosa yang bertimbun. Minta dijauhkan azab Neraka dan harap Allah redhakan untuk mendapat nikmat Syurga-Nya. Hati yang berbolak balik, iman yang turun naik. Tapi tetap jangan putus harap memohon keampunan dan berazam melakukan amal soleh dan kebaikan.

Tetamu agung Ramadan al-Mubarak yang dalam perjalannya kini sudah hampir tiba. Tinggal tujuh hari lagi. Teruskan persiapan amal soleh untuk menyambutnya. Jangan dipersiakan lagi peluang di depan mata ini untuk mendampingi tetamu agung ini. Ini anugerah Allah yang hebat. Bersihkan hati untuk menyediakan ruang bagi Nur Ramadan meneranginya. Usah berbolak balik lagi duhai hatiku ini.

@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...