Setelah memilih sebiji nenas, dua biji mangga, dua biji sengkuang dan empat biji jambu batu, saya pun menyerahkan kepada tuan gerai untuk di timbang. "RM17.90 kira RM17 je," katanya. Saya pun nak membayar. Eh...mana duit RM20 aku tadi? Cari punye cari. Selok poket, check wallet. Takde beb. Gone with the wind. Hmm...bengang giler. Tak putus asa, cari lagi tapi tetap hampa. Terpaksa le guna duit lain yg berlipat kat celah2 dalam wallet tu. Dalam hati frust giler. Duit kertas RM10 dua keping hilang.
Apabila direnung balik, ujian tu sangat ciput sebenarnya. Tapi naluri manusia ni agaknya begitu kedekut pada sesuatu yang dirasa miliknya. Walhal tiada satu pun miliknya, melainkan hanya sebagai pinjaman sementara dan amanah daripada Allah semata.
Setiap kejadian itu ada hikmahnya. Allah ingin sedarkan kita. Sepanjang Ramadan hari tu, rajin bebenau bersedekah. Tak miss sehari pun. Tup tup tiba syawal ni liat betul nak bersedekah..he he. Allah pun hilangkan RM20 yang terkepit dijari itu. Maka terasa kehilangan itu. Nasib baik Allah tak hilangkan RM70 yang ada dalam wallet tu. Think about it.
Renungi lirik lagu nyanyian Iwan Shahman "Semuanya Allah Punya":
- Lihatlah gunung yang tinggi
- Subhanallah, Itu Allah yang punya
- Lihatlah pantai yang indah
- Subhanallah, Itu Allah yang punya
- Tiada yang engkau punya
- Semuanya Allah punya
- Lihatlah burung yang terbang
- Subhanallah, Itu Allah yang punya
- Lihatlah bunga yang mekar
- Subhanallah, itu Allah punya
- Tiada yang engkau punya
- Semuanya Allah punya
- Kau lihat bukan kau punya
- Itu semua Allah punya
- Kau dengar bukan kau punya
- Itu semua Allah punya
- Dari itu janganlah sombong
- Janganlah riak serta iri hati
- Ia hanya pinjaman sementara
- Akhirnya kembali kepada-Nya
Ramadan yang berlalu merupakan tarbiyah sessi pengajian dan praktikal untuk amal soleh. Ringan untuk mengaji Al-Qur'an, mudah untuk mendirikan solat tahajjud di malam sunyi, berjemaah subuh di surau, bersedekah pada setiap ruang dan berbuat segala kebajikan. Tapi bila sudah di pertengahan bulan Syawal ini, hati mula keras, nafsu mula aktif, dan syaitan sudah warm-up baik punye.
Pagi tadi Allah mengirimkan seekor nyamuk untuk mengejutkan tidurku. Pabila kurenung jam digital di atas meja solek memaparkan digit 05:27 pagi. Bila aku sedar akan peringatan Allah ini melalui makhluknya yang merupakan seekor nyamuk (mungkin spesis aedes) maka aku bingkas bangun. Aku insaf bahawa aku sudah banyak leka. Sudah banyak pagi yang aku rebahkan semula kepala ke bantal untuk menyambung tidur.
Melalui peringatan seekor nyamuk ini, menggerakkan aku untuk berjaya berjemaah subuh di surau pagi ini. Aku mengaji dua helaian 'kalam Allah' beserta terjemahannya di kehenian pagi di kala ramai insan masih lena di ulik mimpi dan ceritera bisikan syaitan. Aku syukur pada Mu ya Allah atas ingatan ini.
Semua Allah punya. Semalam aku melawat seorang waris yang meninggal dunia setelah beberapa lama di beri ujian kesihatan oleh Allah. Insan yang banyak berjasa pada masyarakat dan umat. Baru sehari sebelumnya arwah telah mewakafkan sebidang tanah seluas 5 ekar infaq bagi didirikan Pusat Pendidkan ABIM Negeri Selangor. Hebat insan ini. Pakar dalam bidangnya. Saya petik sebuah catatan dari blog ABIM untuk renungan kita semua:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerima khabar sedih kembalinya Profesor Dr. Khalijah Salleh, mantan Ketua Hal Ehwal Wanita ABIM ke hadrat Allah Subahanallah Ta’ala pada jam 10:01 pagi, 17 September 2011. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Wad Warga, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Jenazah beliau ketika ini sedang diuruskan di rumah beliau di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Pemergian beliau sebagai seorang tokoh akademik dan sains yang disegani serta aktivis dakwah yang komited pastinya amat dirasai oleh ABIM dan umat Islam di Malaysia. Prof Dr Khalijah juga sangat terkenal sebagai tokoh yang mempelopori bidang Sains dan Tauhidik. Kebitaraan beliau di dalam bidang ini menjadikan beliau sangat dihormati dan disegani dalam bidang kepakarannya kerana berjaya menonjolkan kaitan sains dan paksi tauhid sebagai asas memperkukuh aqidah ummat islam.
Di saat beliau tenat terbaring, beliau masih gagah untuk terus berpesan agar terus mendidik generasi muda untuk terus mencintai kerja dakwah dan terus berbakti kepada masyarakat. Sehari sebelum pemergiannya pada tanggal 16 September, wakil keluarga beliau menyampaikan penyerahan sumbangan Waqf tanah beliau untuk projek pendidikan ABIM Selangor.
Sesungguhnya Prof.Khalijah telah mengajar kita erti pengorbanan dan perjuangan. Usaha memperkukuh ukhuwwah kerana Allah SWT dan agenda merealisasikan idea-idea besar untuk manfaat ummat seperti yang dipamerkan oleh Allahyarhamah mesti diteruskan oleh watak manusia berteraskan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.
Barisan pimpinan ABIM dengan ini merakamkan ucapan takziah buat keluarga beliau dan tetaplah bersabar menerima ujian dan ketentuan Allah SWT. Marilah kita memanjatkan doa moga ruh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. Al Fatihah.
AMIDI DATO' ABDUL MANAN
Presiden
11:00 pagi, 17 September 2011
Semoga kita semua dapat mengambil iktibar pada setiap kematian. Usah bertangguh lagi membuat kebaikan. Pahala jadi rebutan, dosa jangan dipandang ringan. Ajal maut kita juga ada di hadapan sana. Bersedialah kita untuk pergi bertemu Pencipta pada setiap ketika. Sesungguhnya amal soleh, sedekah jariah, doa anak yg soleh, dan ilmu bermanfaat itulah yang bakal menemani ketika mana segala yang lain mengasingkan diri setelah perpisahan kita dari alam dunia ini. Jadilah orang yang peka dan bijaksana.
@@@
2 comments:
lagu iwan best. lagu solat dulu lagi best
TQ Cikli. Lagu bermanfaat sebagai halwa telinga.
Post a Comment