Monday, October 03, 2011

Penyakit Liat

Agak liat untuk ke majlis ilmu kebelakangan ini. Tidak seperti sepanjang bulan Ramadan dulu. Bila di fikir-fikir kenapa ye? Kalau nak kira kerja pi ofis macam biasa. Balik ofis dapat pi masjid juga sepatutnya. Maka benarlah tahap iman ini turun naik rupanya macam bursa saham. Agaknya sekarang grafnya tengah menurun. Kalau dah tau berada di bawah ni, takkan biarkan saja? Naiklah balik ye tak?

Alhamdulillah malam tadi saya ajak isteri, “Yang, jom kita pi kuliah maghrib malam ni.” Isteri tersenyum dan terus memberi persetujuan, “Jom !!”. Kena bersiap dan masak dinner cepat. Oklah dipendekkan cerita berjayalah kami menjejakkan kaki ke Masjid as-Salam untuk menghadirkan diri ke sebuah majlis ilmu, walaupun agak terlewat dan terpaksa berjamaah ‘masbuk’ solat maghrib.

Hj Anas yang biasa menjadi pengerusi majlis tidak kelihatan malam ini. Dalam hati berkata, “Eh, jangan-jangan ustaz tak datang dan majlis ilmu cancel, nayaa.” Selepas solat sunat baadiyah, bilal bangkit dan mengumumkan bahawa Ustaz yang dijadualkan tidak hadir, namun sebagai pengganti dijemput Ustaz Yusuf Din.

Alhamdulillah, saya pernah mengikuti kuliah Ustaz Yusuf Din ini sebanyak dua kali sebelum ini. Penyampaiannya memuaskan hati. Ustaz memulakan kuliah dengan ucapan syukur kerana diberi kesenambungan nikmat umur, kerana di luar sana ramai yang sedang uzur, ada yang sedang nazak, dan ada yang akan ditarik nyawa mereka sekejap masa lagi. Tarikh lahir orang gila pun tahu, tapi tarikh mati tidak siapa yang tahu.

Ustaz mengajak kita semua untuk berselawat kepada Rasulullah. Tidak akan ada alam ini jika tidak ada Rasulullah. Siapa yang tidak bersyahadah kepada Rasulullah maka kafirlah dia. Kita diperingatkan supaya menjaga Rasulullah seperti menjaga Allah. Jangan sesekali memperlekeh atau memperleceh Rasulullah. Sebagai misalan sekiranya ada pameran di muzium yang mempamirkan pedang nabi, rambut nabi, baju nabi, dsb. Tiba-tiba kita beri komen, “Eh, tak canggih kasut nabi. Canggih lagi kasut bata”, maka kata Ustaz itu sudah cukup untuk memesongkan akidah seseorang itu.

Kita disaran untuk berselawat banyak2 kepada Rasulullah. Setiap selawat kita kepada Rasulullah, Allah akan selawat 10 kali. Maka selawatlah banyak2 dan zikirlah banyak2 bagi meraih laba yang berpanjangan dunia dan akhirat. Banyak berselawat akan menambah cinta kita pada Rasulullah.

Di musim haji ini, umat Islam berpeluang menziarahi Madinah yang mana fadilatnya seolah-olah berziarah Nabi semasa hayatnya. Begitu juga menziarahi Mekah iaitu melihat Kaabah itupun sudah menghasilkan pahala. Beruntunglah kita yang terpilih untuk mengerjakan ibadah haji. Ustaz menambah lagi ada empat objek yang bila kita lihat saja pun sudah dapat pahala iaitu Kaabah, Tok Guru kita, Al-Qur’an, dan kedua ibubapa kita.

Ustaz Yusuf meneruskan pengajian perihal takwa. Syurga itu dijadikan bukan untuk orang Islam tetapi untuk orang yang bertakwa. Takwalah yang membezakan umat manusia di sisi Allah. Orang yang selamat di Akhirat ialah orang yang bertakwa. Allah menjadi pemimpin orang2 bertakwa.

Antara ciri-ciri takwa ialah:
1. Hati terbuka kepada Islam.
2. Faham tentang Islam.
3. Yakin apa yang dipelajari.
4. Melaksankan apa yang kita tahu.
5. Mengawal nafsu.
6. Istiqamah dalam beramal.
7. Mesti ada guru untuk memim[pin kita.
8. Selalu berdoa kepada Allah.

Rajin2lah membaca buku-buku agama. Apa yang tak faham, bertanya. Tidak rugi kita membaca buku2 agama. Tidak sesat kita membaca buku-buku agama, insyaAllah. Yang penting jika musykil jangan malu untuk bertanya kepada tok2 guru kita.

Kita kena faham bahawa Islam ini Syumul atau menyeluruh. Bukan ambik separuh tinggal separuh. Islam mengajar manusia untuk hidup berlandaskan syariat dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada soal politik dan pentadbiran Negara.

Agama Islam ini ialah agama ukhwah yang mementingkan kasih-sayang dan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. Mukmin ibarat satu badan. Jika sakit ghout, seluruh anggota badan berkongsi kesakitan itu. Ibarat sakit gigi, maka kepala turut sakit, mata turut sakit, mulut turut sakit, dsb.

Islam ini agama jamaah. Ia merangkumi soal iman iaitu aqidah yang sama, tepat kepada Allah, Rasul, Malaikat, Kitab, Akhirat, dan Qada Qadr. Merangkumi kasih sayang dan ukhwah sesama muslim. Dan akhirnya kesefahaman dan keseragaman dalam syariat menuju redha Allah. Sebarkan elemen positif umat ini. Bukan sebaliknya iaitu menyebar dakyah negatif. Marilah kita suburkan dengan baja yang positif supaya pokok iman kita tegak utuh menghasilkan buah2 kemanisan iman dan takwa.

Hukum hakam yang ditetapkan Allah itu tetap dan mutlak sifatnya. Tiada pertikaian di situ. Segala kelemahan untuk melaksanakan atau ketidak sepakatan untuk melaksanakan di bumi Allah ini adalah kelemahan umat ini sendiri. Usahlah pandai bercakap memberi pendapat mengikut akal. Kerana dikhuatiri kerana mulut santan binasa. Kerana celupar memberi kata rusak terus akidah diri. Tanpa sedar sudah murtad rupanya.

Teringat saya kata2 Ustaz Ayub pada kuliah maghribnya dua hari lepas. Segala kalam Allah yang termaktub di dalam al-Qura’an itu wajib diterima pakai keseluruhanya tanpa syak atau ragu2. Kegagalan berbuat demikian hatta menolak atau menidakkan walau satu huruf pun, maka dianggap terkeluar sudah akidah seoarang muslim itu. Contoh pada kalimah alif-lam-miim di permulaan surah al-Baqarah itu, sekiranya seseorang itu meninggalkan kalimah mim itu saja, sedangkan dia sedar bahawa itu adalah kalam Allah maka murtadlah dia. Walaupun manusia tidak faham pun apa sebenarnya maksud alif-lam-mim pada kalimah itu. Dari itu berhati-hatilah kawan bila bertutur supaya hidup tidak sia-sia dalam kemurtadan di sisi Allah, walau sehebat manapun kita di sisi manusia.

Janganlah kerana perkara remeh-temeh kita bergaduh sesama Islam. Ustaz Yusuf menyebut demokrasi itu sebenarnya agenda Yahudi untuk melihat umat Islam berpecah-belah. Kalau direnung agak betul juga kerana kita sering bergaduh kerana demokrasi, kerana pilihanraya, kerana politik, kerana kuasa memerintah. Betul tak?

Agama Islam juga adalah agama akhlak. Rasulullah sendiri menghabiskan 13 tahun usaha dakwahnya di Mekah itu untuk memperbaiki akhlak manusia. Akhlak kita ini bukan sekadar dengan Allah tetapi sesama manusia. Jaga disiplin dalam mendirikan solat maka diharapkan kita lebih berdisiplin di luar solat. Umar RA memukul dirinya dengan pelepah tamar setiap malam kerana muhasabah diri dan koreksi diri pada segala kelemahan hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Kita bagaimana?

Allah jadi pemimpin orang bertaqwa. Kalau orang hebat hubungannya dengan Allah, maka dia akan hebat hubungannya dengan sesama manusia. InsyaAllah marilah kita berusaha untuk mendayung sampan ke destinasi yang sama…Mencari redha Allah. Ya Allah tingkatkanlah iman kami supaya menjadi manusia yang bertaqwa.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...