Friday, October 30, 2009

Umar Al Khattab

Pagi ini saya khatam buku Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam, sebuah novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib setelah mula membaca pada bulan Syawal yang lalu. Umar Al-Kattab daripada keluarga Bani Adi dilahirkan 42 tahun sebelum hijrah dan usianya 12 tahun lebih muda dari Rasulullah. Dia mati ditikam Abu Lukluah yang nama sebenarnya Fairoz putera Maharaja Parsi Yezdager III, yang memeluk Islam setelah menjadi tahanan perang, menjadi hamba kepada Mughirah Gabenor Kufah, dimerdekakan dan menetap di Madinah sebagai tukang besi. Beliau dihasut oleh pemuda Parsi Hurmuzan dan Jamina untuk membenci dan membunuh Umar Al-Khattab.

Abu Lukluah menikam belakang Umar Al-Khattab dengan pantas sebanyak tiga kali diikuti dengan tiga tikaman lagi di bahagian perut ketika Umar Al-Khattab sedang mengangkat takbiratul ihram untuk mengimami solat subuh.

Umar Al-Khattab meninggal akibat cedera parah tikaman Abu Lukluah itu pada hari Ahad 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah di usia 63 tahun. Dia meninggal dunia setelah menjadi khalifah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Beliau dimakamkan bersebelahan dengan makam Rasulullah.

Khalifah Umar Al-Khattab melantik 10 orang ahli Syura yang bertugas memilih calon yang paling layak mengganti beliau. Dia menamakan enam orang sabagai penggantinya iaitu:
  1. Uthman Bin Affan
  2. Ali Bin Abi Talib
  3. Talhah Bin Ubaidullah
  4. Zubir Bin Awam
  5. Abdul Rahman Bin Auf
  6. Sa'ad Bin Abi Waqas
Selepas ahli Syura bersidang di pengerusikan oleh Abdullah Bin Umar (anak Umar Al-Khattab) mereka sebulat suara memilih Uthman Bin Affan sebagai pengganti.

Khalifah Umar Al-Khattab berjaya menjadi reformis dunia Islam dengan mencipta sejarah keemasan negara Islam dengan penaklukan seluruh empayar Rom dan Parsi, dua kuasa besar dunia pada masa itu. Beliau juga berjaya menyusun sistem pentadbiran yang tersusun dan mantap, pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah. Membentuk pasukan polis, membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. Turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi perkembangan kebudayaan Islam selain dari memajukan sistem pelajaran dan pertanian. Walupun berada ditampuk kekuasaan di zaman keemasan Islam, namun beliau tetap zuhud dan hidup sederhana mengikut sunnah Rasulullah SAW.


Benarlah doa Rasulullah SAW,
" Wahai Tuhan kami, kuatkan agama Islam dengan Umar Al-Khattab."


Umar Al-Khattab yang sejak kecil diasuh oleh ayahnya untuk menjadi panglima perang Bani Adi, memang terkenal kuat, berani dan mempunyai semangat yang tinggi. Di zaman jahiliyyahnya telah tanpa belas kasihan menanam anak perempuannya hidup-hidup, dan memusuhi Rasulullah SAW hingga ketahap cuba membunuhnya. Namun hidayah Allah menjelma jua sehingga Umar memeluk Islam. hatinya menjadi begitu tersentuh apabila membacakan ayat-ayat Al-Qur'an dari surah Taha di rumah adiknya Fatimah setelah berkonfrontasi dengan pengislaman adiknya itu.

"Taha. Bukanlah Kami turunkan al-Qur'an kepada engkau supaya engkau menjadi susah. Melainkan menjadi peringatan bagi orang yang takut. Diturunkan daripada yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (Dia) maha pengasih, bersemayam di atas Arasy. Kepunyaannya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Apa-apa yang ada di antara keduanya dan apa-apa yang ada di bawah tanah."
(Surah Taha: 1-7)


@@@

2 comments:

Itulah Aku said...

Tapi hari ini ada orang-orang upahan yang cuba menjatuhkan atau membunuh pemimpin Islam bukan dengan menikamnya dengan pedang atau tombak dari belakang,tetapi dengan mata pena.

Malah,yang lebih teruk atau tidak beretika langsung ialah dengan menggunakan "blog"nya untuk melakukan serangan peribadi atau moral.

sot said...

Perselisihan pendapat dan ketidaksefahamam dalam kepimpinan ummah memang wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ancaman musuh yg nyata dan yg munafik ada di mana2. Ia bisa membawa hikmah atau musibah, namun at the end the truth will prevail. Hanya kebenaran akan terserlah jua jika nawaitu kita kerana Allah.

Pemimpin yang bijaksana akan membawa ummat ke zaman keemasan, bukan era kelemasan. Pemimpin yang menghayati perjuangan Rasulullah SAW dan walk the talk. Dan Umar Al-Khattab adalah antara contoh terdepan pemimpin itu.

Pemimpin yg bijaksini pula banyak memikir soal fulus dan kesenangan jangka pendek, jarang menjangkau perhitungan alam akhirat.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...