Apakah kenangan manis sepanjang tahun 2009 dan apa pula kenangan pahit atau ujian2 yang telah kita lalui? Mungkin hari ini merupakan hari untuk kita relax sekejap dan mengingati atau mengimbau kembali perjalanan hidup sepanjang tahun 2009 ini. Harapannya melangkah kita ke tahun baru 2010 menjelang tengah malam ini akan merupakan langkah kanan yang bakal mencorakkan seribu pengharapan baru atas pelajaran dan pengalaman yang kita lalui sepanjang tahun 2009 yang berlalu ini.
Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah SWT belaka.”
Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah SWT Oleh itu mereka tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi. Antara syarat-syarat untuk memperolehi rahmat Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Dailami dari Ibnu 'Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: " Allah SWT merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) itu dan istiqamah dalam hidupnya."
Kedatangan tahun baru pada hakikatnya memendekkan lagi usia kita dan mendekatkan kita ke penghujung sebuah kehidupan. Kalau umur kita 40 tahun dan ditakdirkan ajal kita pada umur 50 tahun, maka kalau dulu masih ada 10 tahun lagi untuk hidup kini sudah menjadi kurang dari 10 tahun. Itulah hakikat kehidupan. Sebuah kematian adalah satu kemestian bagi setiap orang.
Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi SAW berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah SAW dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi SAW :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.”
Abu Qatadah Ibnu Rib’i al-Ansari r.a menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu di hadapan Rasulullah SAW maka berkatalah baginda :“Orang yang beristirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya? Nabi menjawab : “ Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya kepada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.”
Sesungguhnya orang yang meninggal dunia itu terdiri dari dua golongan iaitu golongan orang yang beriman meninggal dunia menuju ke suatu tempat yang aman yang membahagiakan. Mereka sudah terlepas daripada kepayahan dan ujian dunia menuju kepada rahmat Allah SWT. Sedangkan orang yang buruk akhlaknya, kematiannya itu merupakan satu kerehatan untuk penghuni dunia daripada terus berhadapan dengan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukannya. Kematiannya dituruti dengan kesengsaraan dan balasan azab daripada Allah SWT.
Budaya atau tabiat sambutan tahun baru ini dengan berpesta, berhibur, "countdown" shows, termasuklah meneguk arak, pergaulan bebas dan berpeleseran seakan sudah sebati dan di terima pakai oleh masyarakat terutamanya di kota. Ibubapa tiada keberatan untuk membenarkan anak2 mereka berkunjung ke pesta2 ini. Pihak berkuasa pula tanpa segan silu menaja dan menyokong segala aktiviti sosial yang penuh lara dan maksiat ini atas dasar kemajuan dan kemodenan atau keperluan masyarakat majmuk. Yang sedihnya lebih separuh dari pengunjung adalah yang mengaku beragama Islam.
Di KL hari ini, perkhidmatan LRT, KL Monorail dan Rapid KL di lanjutkan hingga 3 pagi untuk menampung keperluan para warga kota yang ber'party' menyambut kedatangan tahun baru. Beberapa jalan2 utama juga akan di tutup bermula 7 ptg ini bagi memudahkan perayaan menyambut tahun baru pada malam ini terutamanya sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Bukit Bintang. Antara event lain yang diwartakan di dada-dada akhbar hari ini termasuklah:
- 2010 Countdown Concert di Central Park Avenue 1 Utama Shopping Centre
- New Year R&B Dance Party di Desa Sri Hartamas
- New Year Countdown di Pavillion KL
- New Year in Viena di Dewan Filharmonik KL
- Whoa Willow Musical di Oditorium DBKL
- Party Concerts di Resorts World Genting
- New Year's Eve Celebration di Penang dan Seberang Perai
Ribuan Hotel, Kelab2 Malam dan Pusat2 Hiburan pula sudah tentu berpesta sakan. Dan iklan2 seperti ini bercambah bagai ulat2 dalam plastik sampah yang sudah 3 hari tidak dikunjungi lori sampah.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah meredhakan tiga perkara bagi kamu dan Ia membenci tiga perkara bagi kamu. Ia redha supaya kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan supaya kamu semua berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan Ia membenci bagi kamu berkata begini begitu, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.”
Selaku hamba, kesukaan kita hendaklah selari dengan kesukaan Allah. Apa sahaja yang kita lakukan jika Allah menyukainya, maka kita hendaklah menjadikannya sebagai satu amalan. Sama ada kecil atau besar, wajib atau sunat asalkan Allah menyukainya, kita mestilah melakukannya. Itulah manifestasi dari cinta kita yang mendalam terhadap Allah SWT. Samalah juga keadaannya dengan seseorang yang tentu akan menyukai apa sahaja yang disukai oleh orang yang dicintainya. Ia bukan soal mendapat pahala atau fadhilat tetapi lebih kepada hasrat untuk menyatakan dan membuktikan cinta dan kehambaan kita kepada Allah.
Begitu juga dengan aspek kebencian. Ia hendaklah selari dengan kebencian Allah dengan maksud bahawa kita meninggalkan apa sahaja perbuatan dan amalan yang dibenci oleh Allah. Dalam hal ini tidak dinafikan bahawa nafsu pasti mendorong kita untuk berbuat apa yang Allah benci kerana nafsu suka kepada apa yang Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka. Tetapi iman yang kuat dan teguh akan dapat melawan nafsu disebabkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri. Itulah antara ciri-ciri taqwa yang sejati.
Dari jabir (bin Abdullah ) r.a katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:” Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat)menurut keadaan (aqidah atau imannya) ketika mati.”
“Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam" merupakan perintah Allah agar kita jangan mati kecuali dalam keadaan beriman dengan ajaran Islam kerana Allah SWT tidak akan menerima agama selain Islam, malah Islamlah satu-satunya agama yang diredhai-Nya. Memang tidak dinafikan bahawa tiada sesiapa pun yang layak dan mampu memberikan hidayah kepada seseorang kecuali Allah yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki. Namun begitu kita selaku manusia diberi kemampuan untuk membuatkan diri kita mati di dalam keadaan beriman sedangkan Allah SWT juga telah menunjukkan kepada kita jalan untuk mencapainya iaitu kita seharusnya melakukan perkara-perkara berikut :
- Menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
- Berdoa kepada Allah untuk mematikan kita dalam Islam dan dalam keadaan beriman (husnul khotimah).
- Bersyukur kepada Allah di atas nikmat Islam yang diberi bahkan sesungguhnya nikmat yang terbesar yang kita miliki ialah nikmat Iman dan Islam.
- Menanamkan perasaan takut sekiranya mati dalam keadaan suul khotimah.
Oleh itu seharusnya kita sentiasa berusaha untuk menjaga dan memperkuat keimanan kita dengan menjauhi maksiat dan dosa kerana perkara tersebut akan melemahkan dan merendahkan nilai pegangan aqidah kita serta ditakuti nanti kita akan menghadapi saat sakratul maut yang payah.
Maka apa azam tahun baru? Melihat segala kemaksiatan terus berleluasa? Marilah kita mulakan hijrah dalam diri sendiri. Hijrah untuk mendapat kasihan belas Allah. Hijrah untuk merayu rahmat Allah. Hijrah memohon hidayah Allah. Hijrah untuk menuju redha Allah. Kita mohon agar Allah berikan kita kekuatan untuk mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Apa kata kita tanam azam untuk:
- Solat Tahajjud setiap malam
- Solat Dhuha setiap pagi
- Puasa sunat setiap minggu
- Bersedekah setiap hari
- Berzikir setiap waktu
- Solat berjemaah selalu
- Solat di awal waktu
- Mengaji Qur'an setiap hari
- Berbuat baik setiap masa
- Berbuat jahat jangan sekali
- Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
Idola teladan kita ialah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW adalah manusia sempurna yang kaya dengan sifat-sifat yang terpuji. Justeru, baginda adalah orang yang wajib dicintai dan diteladani melebihi manusia yang lain. Bagindalah idola yang sepatutnya dipuja-puja oleh kita selaku umat Islam, dulu, kini dan selamanya sama ada oleh sesiapa sahaja, golongan remaja, kanak-kanak mahu pun dewasa. Jika kita hidup di zaman baginda, nescaya bagindalah orang terbaik yang sentiasa ingin kita tiru gaya hidupnya, penampilannya sepertimana para remaja kita sekarang yang memuja dan meniru apa sahaja yang dipakai, dibuat, dilakukan atau apa jua yang berkaitan dengan diri orang yang diminatinya. Semuanya baik belaka.
Rasulullah contohnya pandai memikat hati sesiapa sahaja yang melihat atau merasa kehadiran baginda. Manakan tidak, baginda tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Ketika bersalaman, baginda tidak melepaskan tangan sehingga yang dijabatnya itu melepaskannya. Rasulullah mengangkat tangan dan memberikan salam apabila melepasi kumpulan kanak-kanak sebagai tanda hormat dan kasih baginda kepada mereka, tidak kurang juga baginda menghormati orang-orang tua, kawan mahupun lawan. Inilah sifat sejati seorang yang pandai menjaga hati peminatnya. Baginda melakukan semua itu bukan untuk menjaga hati orang lain atau pun demi populariti dirinya sendiri sebagai seorang rasul tetapi dilakukan semua itu kerana ingin menjaga maruah Islam yang amat mulia. Baginda bukan menjadi fitnah kepada agama apalagi hingga membawa kesesatan kepada orang yang menyukainya.
Kesimpulannya janganlah kita lara dengan hiburan dunia kerana destinasi sejati seorang muslim ialah akhirat yang kekal abadi.
@@@