Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah


Alhamdulillah, Allah masih tidak lupa untuk menyambung lagi nyawa kita untuk menempuh tahun baru hijrah 1431H. Allah tidak jemu-jemu dan tidak lupa-lupa untuk menyambung segala rezki dan nikmat kita - kesihatan kita, akal fikiran, ilmu pengetahuan, tubuh badan dan segala anggota nya, harta benda, anak pinak & keluarga, persekitaran, nikmat udara, nikmat air, nikmat makanan dan banyak lagi yang tidak terhitung. Allah tidak lupa kepada kita, hamba-Nya. Namun kita kerap benar lupa pada Allah, pencipta kita. Kita acap benar lupa dan membuat apa yang Allah larang kita buat. Kita sombong benar untuk lupa melakukan apa yang Allah suruh. Sedangkan Allah tidak pernah lupa kepada kita. Hamba Allah jenis apa kita ini?


Kalau Allah nak tarik balik segala pinjaman yang diberikan kepada kita anytime Allah boleh tarik balik dan batalkan segala MOU atau apa saja kontrak. Namun Allah dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya masih meminjamkan segala nya kepada kita. Allah bagi nikmat kita untuk buang air besar misalnya. Cuba bayangkan jika kemudahan itu di tarik balik?


Hidayah itu milik mutlak Allah, tapi jika hanya duduk berdiam diri tidak berusaha untuk mendapatkan nya, rasanya mudahkah kita akan dapat hidayah dan kasihan belas itu? Ibarat kita membida untuk mendapatkan projek, pelbagai proses yang mesti kita lalui dan banyak usaha yang kita kena buat bagi mencapai apa yang kita hendak itu. Jarang kita dapat projek dengan mudah atau tanpa usaha gigih. Justru kita kena berusaha gigih mendapat hidayah Allah.


Maka sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini, marilah kita menghayati perjuangan Rasulullah menegakkan agama Allah ini. Segala pengorbanan dan kepayahan yang terpaksa dilalui oleh baginda dan para sahabat selama 13 tahun berdakwah di Mekah sehinggalah turun wahyu Allah untuk baginda berhijrah ke Madinah. Meneruskan usaha dakwah selama 10 tahun lagi sebelum kewafatan baginda di usia 63 tahun setelah 23 tahun mengajak manusia kembali kepada Pencipta, mempamir akhlak yang mulia, dan mencegah segala kemungkaran. Supaya manusia tidak lupa pada Allah. Maka mengapa kita masih lupa pada Allah?


Pasanglah niat dan azam untuk maju ke depan dan tidak lagi lupa pada Allah. Kerana Allah tidak pernah lupa pada kita. Jaga solat fardu kita dengan mengerjakan secara berjemaah, dirikan di awal waktu tanpa berlengah lagi. Selesaikan segala urusan dengan Allah dulu sebelum sibuk dengan urusan dengan sesama manusia. Doa dengan khusyuk setiap selepas solat itu, jangan angkuh dan sombong dari memohon belas ehsan Allah untuk terus meminjamkan kepada kita apa yang kita ada ini.


Usahakan untuk meraih hidayah Allah dengan banyak mendirikan solat2 sunat terutamanya solat Dhuha dan solat Tahajjud. Mudahkan tangan dan kaki untuk melangkah dan mengambil Al-Qur'an dan ringankan mulut ini untuk membaca surah2 Al-Qur'an dan membaca terjemahannya dan memahami pula tafsiran dan maksud wahyu Allah itu.


Apa kata kita sama2 mengamalkan puasa sunat sekurang-kurangnya sekali seminggu iatu samada hari Isnin atau hari Khamis. Bukan saja ia mendapat ganjaran pahala iaitu modal akhirat kita malah ia juga terbukti baik untuk kesihatan dan kecerdasan kita.


Istiqamah lah kita meburu hidayah Allah. Lakukan segala ibadah kepada Allah samada ibadah khas atau ibadah am itu dengan perilaku yang terbaik dan penuh keikhlasan hanya kepada Allah. Semoga ada nilaian nya di sisi Allah, dan tidak kita lara dalam kerugian. Mantapkan amalan wajib kita. Perbanyakkan dan istiqmah dalam amalan sunat kita. Dan tinggalkan segala perkara yang membawa dosa. Jauhi perkara syubahah dan was-was. Tawakal kepada Allah. Bergantung haraplah kita kepada Allah dan tidak yang lain, dari sekecil-kecil hal hinggalah ke sebesar-besar agenda. Hijrah lah kita.



Selamat Manyambut Maal Hijrah 1431H.
Be the best you can be !!


-

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...