Wednesday, November 06, 2013

Faham Hijrah

Hari ini cuti Maal Hijrah. Cuti 1 Muharram sempena menyambut tahun baru Hijrah. Tahun ke berapa sekarang? 1435H. 

Kenapa bulan Muhrram menjadi bulan pertama kalendar Islam? Sedangkan kalau nak kira utama, bulan Ramadan lagi utama. Bulan Syawal bulan raya juga menarik. Bulan Rabiulawal lagi signifikan kerana bulan kelahiran Nabi, bulan Nabi menerima wahyu pertama, bulan Rasullulah berhijrah ke Madinah, dan bulan kewafatan Nabi di  usia 63 tahun. Kenapa di pilih bulan Muharram juga sebagai bulan pertama kalendar Islam ini?


Pada zaman Nabi tiada kalender Islam. Tarikh di catit sebagai haribulan dan bulan sahaja, tanpa ada tahunnya. Bulan Muharram, Safar, dan seterusnya hingga Zulkaedah itu sudah wujud sejak sebelum zaman Nabi lagi. Cumanya tahun di tanda berdasarkan sesuatu peristiwa contohnya tahun gajah berdasarkan peristiwa serangan tentera bergajah. Zaman Khalifah Abu Bakar yang memerintah selama dua tahun juga masih tiada kalendar Islam.


Sehinggalah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab, daerah pemerintahan kerajaan Islam sudah menjangkau hingga ke Iraq di timur dan hingga ke Mesir di barat telah menimbulkan satu keadaan yang memerlukan kalendar Islam sebagaimana wujudnya kalender oleh kerajaan-kerajaan besar yang lain seperti Kerajaan Rom, Kerajaan Parsi, Kerajaan India dan Kerajaan China.


Surat menyurat terutamanya  perutusan oleh Khalifah kepada para penguasa di daerah jajahan ini memerlukan tarikh yang bersandarkan kepada kalendar bagi mengelak kekeliruan. Jika yang tercatit hanya haribulan dan bulannya sahaja sudah tentu payah untuk menentukan tarikh sebenarnya samada pada zaman Nabi, zaman Khalifah Abu Bakar, atau Khalifah Umar?


Justru itu Khalifah Umar mengajak berbincang dengan  para sahabat sekelian dan persetujuan tercapai untuk mewujudkan satu Kalendar Islam. Selesai satu masalah. 

Isu kedua ialah tahun itu hendak di dasarkan kepada apa? Ada cadangan ia disandarkan kepada tarikh lahir Nabi. Namun ia bukan utama kerana Muhammad belum menjadi Nabi lagi. Ada cadangan untuk memulakan dengan tarikh turunnya wahyu pertama. Namun ia juga bukan utama kerana syariaat Islam itu belum berkembang seluasnya di Mekah selepas turunnya wahyu pertama itu. Akhirnya persetujuan dicapai untuk mengambil kira tarikh Nabi berhijrah ke Madinah kerana di sana tertubuhnya Kerajaan Islam hingga syariaat Islam tertegak dan syiar Islam dan tanah jajahan Islam berkembang luas.


Isu ketiga yang timbul ialah bulan apakah akan dijadikan bulan pertama dalam tahun Hijrah ini? Termaktub di dalam al-Qur’an ada 12 bulan dalam setahun. Juga dinyatakan terdapat 4 bulan haram dan 3 bulan haji. Musim haji berakhir dengan ketibaan bulan Muharram. 


Muharram dipilih kenapa? Sedangkan Nabi berhijrah ke Madinah pada bukan Rabiulawal. Rupanya kerana Nabi sudah berniat untuk hijrah ini semenjak di bulan Muharram lagi. Ianya tertangguh sehinggalah Nabi menerima wahyu Allah memerintahkan Baginda melakukan perjalanan Hijrah ke Madinah itu. 


Peristiwa ini juga menguatkan hujah bahawa sesuatu ibadah itu bermula dengan niat. Setiap amal kebaikan yang hendak dilakukan mestilah dimulakan dengan niat. Allah akan memberikan satu pahala setiap kali kita berniat untuk berbuat amal baik itu. Jika amal baik itu dilaksanakan sebagaimana yang kita niatkan maka satu pahala lagi akan diberikan, menjadikannya dua pahala. Tetapi sekiranya niat tadi tidak tertunai maka kita akan kekal mendapat satu pahala tadi. Maka marilah kita meraikan sifat pemurah Allah untuk memberikan pahala kepada kita yang sememangnya kurang pahala ini dengan tidak lupa untuk memasang niat untuk membuat pelbagai amalan baik setiap kali bangkit daripada tidur kita di awal pagi itu.


Apa kata setiap pagi kita berniat sebanyak 100 kali iaitu untuk membuat 100 jenis kebaikan. Contohnya, “Ya Allah hari ini aku ingin membersihkan diri kerana Mu Ya Allah, aku menutup aurat kerana Mu, aku akan memulakan sesuatu dengan Basmallah, aku memandu ke ofis mencari rezki kerana Mu, aku berbuat kerja dengan amanah kerana Mu, aku tak akan curi tulang di ofis,  aku akan baca doa sebelum dan sesudah makan, aku akan solat sunat rawatib, aku akan solat zohor berjemaah di surau, aku akan solat sunat dan fardhu asar berjemaah, aku akan memandu balik dengan berhemah, aku akan iktiqaf di masjid, aku akan solat sunat tahayattul masjid, aku akan solat rawatib, aku akan solat maghrib berjemaah di masjid, aku akan solat maghrib di sof pertama, aku akan salam dengan pak imam sambil membaca selawat.” 


Tu dia nak mula pagi dah dapat 100 markah. Cerdik cerdik. Banyaknya pahala kita dapat in sha  Allah dengan sekadar memasang niat. Apatah lagi bila semua niat tertunai atau sebahagian tertunai maka dapat pahala lagi. Dengan itu dana pahala terkumpul kita akan terus meningkat dan meningkat lagi dan lagi buat bekalan hidup yang senang di alam Akhirat yang kekal abadi itu. Hidup di dunia ini sememtara sahaja. Yang utama hidup di Akhirat sana. Anda percaya dan yakin hari akhirat 100%?


Orang beriman kena niat melakukan amal ibadah dan kebaikan. Kalau buat benda baik tapi tak niat maka hilang pahala niat. Sayang kan? Kena niat apa nak buat hari ini? Orang melayu ini paling liat buat ibadah dan jarang cenderung kepada banyak beramal. Rugi bila dia tahu dia amal tak banyak tapi tak niat pun nak buat amal baik. Sedangkan niat sahaja pun terus dapat pahala. Fikir-fikirkan dan selamat berniat.


Niat itu ialah rancangan. Aku nak solat dhuha. Dia telah rancang nak solat dhuha. Nabi tahu Baginda  belum boleh meninggalkan Kota Mekah lagi tapi telah memasang niat (di bulan Muharram). Bila orang Quraish merancang untuk membunuh Nabi maka turunlah wahyu Allah memerintahkan Nabi untuk berhijrah. Nabi telah niat empat bulan lebuh awal. 


Ramai kita niat ke Mekah untuk ke Baitullah iaitu rumah Allah. Tapi ramai kita rumah Allah depan tangga atau tepi rumah pun tak mari. Di Mekah selama 42 hari tak pernah miss solat fardhu berjemaah, tapi bila balik Malaysia solat berjemaah di masjid miss memanjang atau tak datang langsung. Di Mekah hebat beribadah tapi di sini tak buat. “Dah cover kat Mekah dulu Ustaz,” jawabnya.


Kena niat buat benda baik. Kalau tak buat. Niat lagi. Tak buat niat lagi. Sampai 5x tak buat, patut naik rasa malu pada Allah. Maka seterusnya niat lagi dan in sha Allah kita buat amal baik itu. Sebab itu penting kita niat dulu.


Amal bermula dengan niat.  Niat nak bayar hutang kawan. Kalau bayar dapat pahala. Niat tadi pun dah dapat pahala. Syarat niat itu ialah setiap amal mesti ikhlas kerana Allah. Sebab apa pergi awal ke ofis? Kerana memenuhi akujanji kontrak pekerjaan dengan Syarikat waktu bekerja 8:30 pagi hingga 5:30 petang. Menunaikan janji itu ialah termasuk dalam mengikut perintah Allah. Orang yang berhijrah kerana mengikut perintah Allah maka dia akan dapat Allah. Mesti ikhlas semata-mata kerana Allah walaupun sekadar niat. Amal kerana Allah akan melahirkan Islam yang berkualiti. Tolong kerana Allah. Segalanya kerana Allah. Yang tidak kerana Allah maka merugikan di Akhirat nanti. 


Kenapa Nabi hijrah dari Mekah ke Madinah? Kenapa tidak ke Taif? Kenapa tidak ke Habsyah sedangkan para sahabat pernah hijrah ke Habsyah? Kenapa tidak tinggal saja di Mekah? Di Habsyah sudah ada pemimpin yang beriman makanya Nabi akan berada di bawah naungannya jika berhijrah ke Habsyah. Nabi ditawarkan menjadi pemimpin Mekah. Tapi tidak dapat menerima tawaran ini kerana ada syarat yang dikenakan olah para pembesar Quraisah iaitu Nabi kena tinggalkan dakwah menyampaikan risalah Allah. 


Sedangkan penduduk Madinah telah berbai’ah kepada Nabi dan akan melantik Nabi sebagai pemimpin mereka kerana di Madinah tika itu yang ada hanyalah pemimpin kaum dan kabilah masing-masing sahaja. Tiada lagi pemimpin untuk semua kaum. Mereka juga bersumpah setia untuk melindungi, memepertahankan dan berjuang bersama Nabi. 

Islam mengajar kita bahawa Islam itu perlu politik. Islam perlu kerajaan memerintah. Islam bukan untuk di perintah. Namun fahaman yang bercanggah telah dipahat di minda kita oleh Barat.


Era pemerintahan Islam suatu ketika dulu telah menyaksikan dunia yang teratur dan aman damai. Ini sangat dicemburui oleh Barat. Pelbagai usha dan strategi di lakukan untuk meruntuhkan kerajaan Islam. Kejatuahn kerajaan Uthmaniah di Turki adalah kemuncaknya. Huru hara dunia selepas Islam jatuh.  Islam menguasai semua aspek kehidupan di era kegemilangan Islam. Ada pula antara kita yang memilih duduk di Masjid tanpa peduli masyarakat di luar, tidak peduli politik. Jom hijrah !!


Nabi telah memilih untuk hijrah dari Mekah ke Madinah untuk dapat jadi pemimpin Kerajaan. Di Mekah syariat Islam tidak tertegak dengan sempurna walaupun sudah 10 tahun kerasulan Nabi. Nabi mengajar bahawa Islam itu bukan sekadar solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Islam untuk semua manusia. Ayat2 al-Qur’an yang diturunkan di Mekah di panggil ayat2 Makiyyah manakala ayat2 yang diturunkan di Madinah dinamakan ayat2 Madaniyyah.


Hampir keseluruhan ayat2 Madaniyyah berkisar persoalan hukum-hakam dan syariat.  Bila Islam tiada Kerajaan yang memerintah maka syariat Islam tidak dapat dilaksanakan. Walaupun setiap tahun kita menyambut sambutan Maal Hijrah iaitu sempena mengingati  hijrah Nabi ini, tapi tetap tiada kuasa memerintah makanya kita tidak dapat melaksanakan perintah Allah, hukum-hakam Allah. Di sini pentingnya Islam itu memerintah bukan diperintah. Nabi hijrah ke Madinah untuk jadi pemerintah. Maka tertegaklah Islam di muka bumi ini. Alhamdulillah.


Seorang anak murid bertanya kepada Tok Guru nya satu masalah, “Seorang Syeikh talah membeli kambing yang banyak susu di pasar. Setelah di perah susunya, kambing ini tidak bersusu lagi maka dia rasa tertipu dan ingin pulangkan semula kambing itu kepada penjualnya. Rupanya penjual ini sudah beberapa lama tidak memerah susu kambingnya demi untuk menampakkan kambingnya itu banyak susu. Demi menarik minat pembeli. Soalan saya tok guru ialah apa yang boleh Syeikh tadi lakukan jika penjual tadi tidak mahu menerima kembali kambing itu?”  


Tok Guru pun menjawab, “Mengikut hukum Islam, penjual tadi kena terima balik,” “Tapi penjual tadi tak mahu terima. Sebab katanya sudah di beli oleh Syeikh tadi. Goods sold cannot be returned.” Anak muridnya mencelah. “Tak boleh, kalau ikut Islam dia kena terima,” “Tapi kalau dia tak nak terima macamana?” “Tak boleh, penjual tadi kena terima jugak,” ulang Tok Guru. Muka Tok Guru dah naik merah. 


Maka anak murid tadi pun berkata, “Sebenarnya, tiada undang2 yang dapat memaksa pembeli tadi menerima kambing yang telah dia jual dan memulangkan balik duit pembeli yang tak puas hati tadi.” Kenapa ya? Kerana bukan kerajaan Islam yang memerintah. Jadi hukum-hakam jual beli (muamalat) Islam itu tidak dilaksana dan dikuatkuasakan. 


Begitu juga dengan proses sewa beli kereta (hire-purchase) masakini, ikut perjanjian sebenarnya kita sewa kereta daripada bank. Kalau kita tak puas hati kita sebenarnya boleh pulangkan kereta itu kepada bank. Contohnya kontrak hire-purchase selama 9 tahun. Masuk tahun ke-5 kereta ni dah selalu rosak maka kita pun nak pulangkan balik kereta yang kita sewa itu ke bank. Agak-agak bank terima tak? Munkin bank terpaksa terima, tapi sudah tentu anda akan di blacklist selama 7 keturunan. Nampak tak? Islam perlukan politik supaya dapat memerintah dan menguatkuasa undang2 Allah. Itulah Hijrah. 


Selamat menyambut Maal Hijrah. Fahamilah semangat dan objektif hijrah ini. Cukuplah meraikan secara retorik atau sekadar pak turut berarak 10km tanpa memahami maksud amalan kita itu. Hadiri dan cintailah majlis-majlis ilmu supaya kita layak menjadi Hamba Allah dan umat Nabi yang tidak kekal jahil walau pun tidak lagi berada di zaman jahiliyyah iaitu zaman sebelum kedatangan Nabi. Bila derma dua tiga ringgit tu, jangan suka-suka tulis kat kertas derma, “Dari Hamba Allah.” Bukan senang nak layak jadi Hamba Allah Bro !! Fahami makna Hijrah Nabi ini.


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...