CLICK n GO

Thursday, May 30, 2013

Fardu Ain



Tiada Istilah Rehat Dalam Menuntut Ilmu Allah




“Pakcik kenapa tak solat?” Tanya seorang pemuda kepada seorang Pakcik yang kelihatan mundar mandir di laman Masjid sejak tadi. “Kau tak mengaji ke?” jawab Pakcik itu. “Orang gila tak payah solat,” hujah Pakcik tadi dengan muka selamba rock.


Saya mendengar seorang Ustaz mengajar, “Kalau fardu ain belum lagi sempurna, setiap denyutan jantung dan nadi itu adalah masih dalam keadaan dosa.” Maksudnya tiada ruang untuk rehat daripada mengikuti majlis2 ilmu demi mendapatkan ilmu fardu ain itu.


Kekadang kita ungkapkan pelbagai zikrullah namun penghayatan maksud pengucapan kita itu tidak pula kita ambil peduli. Walhal sudah lama kita tuturkan zikrullah itu. Itulah pentingya menuntut ilmu. 

Apa maksud kalimah Alhamdulillah? Segala puji bagi Allah. Iaitu pertama Allah memuji akan diri-Nya (diri sendiri). Allah sangat layak untuk memuji akan diri-Nya sendiri sejak azali lagi.

Maksud kedua ialah, Allah memuji akan makhluk-Nya. Contohnya Allah memuji makhluk-Nya yang beriman, yang bertaubat, atau yang beramal soleh. Allah memuji Rasulullah akan akhlaknya yang baik. Atau Allah memuji para Nabi dan para sahabat dan meredhai mereka. 

Maksud ketiga, ialah makhluk memuji akan Allah. Seluruh makhluk termasuklah haiwan, tumbuhan, bukit-bukau, batu-batan tidak henti memuji Allah dan zikrullah. Kita henti berzikir maka hati jadi mati.


Yang keempat, makhluk memuji kepada makhluk dan kembali pujian kepada Allah pencipta dan pemilik segala makhluk. “Lawa kereta BMW Ustaz,” puji tok siak. “Alhamdulillah,” jawab Ustaz. Yang lawanya kereta BMW tapi yang dipuji ialah pemilik BMW itu. Yang dipuji kepada makhluk akan kembali kepada pemilik dan pencipta makhluk itu. Kucing cantek, pokok lawa, pantai yang indah. Siapa cipta? Allah.


Kenapa solat? Kenapa puasa? Kenapa haji? Jawabannya ialah kerana ia tuntutan Allah. Kena tutup aurat sebab Allah suruh. Kalau boss suruh kita buat. Inikan pula Allah yang suruh, lebih lagi kita patuh. Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka. Biar susah kini jangan susah kemudian. Seorang isteri dapat masuk syurga tanpa suami. Tapi seorang suami belum tentu dapat masuk syurga tanpa isteri kerana di khuatiri tanggung-jawabnya untuk mendidik isterinya dengan ilmu tidak dilaksanakan.


Kalau tidak faham atau arif tentang sesuatu permasalahan agama maka eloklah kita diam dari bicara dalam ragu yang boleh menyesatkan diri sendiri dan orang lain. Agama ini adalah cara hidup. Maka janganlah ambil agama daripada orang yang bukan ahlinya. Sekarang kita ini duduk di dunia manusiakah atau dunia Allah? Tak payah risau tentang manusia tetapi risau tentang murka Allah.


Dalam matematik moden 6 – 1 = 5. Dalam kaedah ilmu dalam agama, 6 tolak 1 jawabnya kosong. Rukun iman ada enam yang jika di tolak salah satu maka hilang dan terbatallah imannya.  “Aku kaya walaupun aku tak solat,” kata seorang pengusaha yang berjaya. Adakah ini nikmat atau bala Allah? Ia sebenarnya bala dlam bentuk istidraj iaitu nikmat yang tidak ada redha Allah. Dengan istidraj manusia kekal lara dalam kejahilan dan dosanya. Segala amalan baik bagi seorang muslim yang tidak solat tiada nilaiannya di sisi Allah.


Umur ini adalah modal kita untuk bertemu Allah. Setiap hari modal ini semakin mengurang. Bertuahlah orang yang mengenal Allah. Ianya satu nikmat yang sangat besar. Jenayah yang paling besar pula ialah syirik kepada Allah. Orang yang mencuri tabung masjid adalah lebih jahat daripada orang kafir kerana dia ini orang Islam kerana dia mencuri duit orang yang nak belanja ke jalan Allah.


Subhanallah itu maksudnya maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan yang ada pada makhluk.  Allahu Akbar membawa pengertian Allah yang maha besar daripada segalanya. Kerajaan Allah yang maha besar, kemuliaan Allah yang maha besar, ketinggian zat Allah yang maha besar. Allah maha kaya dan tidak memerlukan sesuatu pun daripada makhluk sedangkan makhluklah yang memerlukan segala sesuatu daripada Allah.


Yang penting istiqamah berada di majlis2 ilmu saban malam agar kita faham agama sebagai cara hidup. Usah rehat dalam mencari ilmu yang Allah redha. Kumpullah bekalan untuk kegunaan di Akhirat nanti. Dunia ini sekadar tempat mengumpulkan bekalan. Ia penuh ujian dan hiburan. Dunia ibarat penjara buat seorang muslim tapi ibarat syurga bagi orang kafir. Syurga kita di Akhirat sana. Itulah keseronokan, kebahagiaan dan kenikmatan yang hakiki.


@@@

2 comments:

Al-Manar said...

Salaam hormat,

Tepat betul menggunakan perbandingan 6-1=5 itu.

School Of Tots said...

TQ Tuan Al-Manar. Komen Tuan sentiasa memberi ransangan dan kekuatan kepada saya. Semoga kita terus-terusan menghargai akan segala nikmat Allah dgn mengabdikan diri kepada Allah dan bersyukur kepada Allah di setiap detik selagi hayat dikandung badan pada setiap zarah oksigen yg disedut dan carbon dioksid yg dihembus. Semoga hujung hayat kita besok dalam iman. Amiiin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...