CLICK n GO

Tuesday, June 04, 2013

Manusia Mudah Lupa

Abu Nawas masuk ke masjid meninggalkan keldainya di luar masjid. Selepas selesai urusannya di masjid beliau pun keluar dari masjid untuk pulang. “Aik mana keldai aku?”  tanya Abu Nawas kepada orang sekeliling. “Sudah di bawa lari agaknya, sebab Pak Abu tak tambat keldai itu,” sampuk seorang pemuda. “Alhamdulillah,” jawab Abu Nawas. “Kenapa Pak Abu ucap begitu?” pemuda tadi ingin tahu. “Ya lah aku bersyukur kepada Allah. Nasib baik aku tak ada atas keldai itu. Kalau tidak aku akan turut menjadi mangsa hilang entah ke mana.”

Pada satu hari, raja memanggil seluruh bijak pandai dalam Negara. “Siapa yang dapat mengira berapa jumlah bintang di langit akan Beta bagi hadiah yang lumayan.” Semua bijak pandai yang hadir mengeleng-ngelengkan kepala kecuali Abu Nawas. Raja pun memanggil Abu Nawas mengadap. “Hai Abu Nawas, adakah kamu dapat mengira bintang-bintang di langit?” Abu Nawas dengan relax terus menjawab, “InsyaAllah.” Maka Raja pun memberi ruang masa untuk Abu Nawas mengiranya. “Saya minta seekor biri-biri jantan di bawa kemari,” pinta Abu Nawas. Maka seekor biri-biri jantan di bawa oleh khadam istana ke hadapan Abu Nawas. “Mengikut perkiraan patek, jumlah bintang yang ada di langit sama banyaknya dengan jumlah helaian bulu yang ada pada kambing jantan ini.”

Pak Pandir membeli tiket kelas ekonomi Air Asia semasa musim cuti sekolah kerana berhajat untuk pulang bercuti ke Kota Bharu. Selepas check-in dia pun naik kapalterbang dan duduk di kerusi paling depan. Pramugari meminta Pak Pandir untuk pindah ke kerusi belakang kerana kerusi depan ini adalah untuk kelas bisnes, namun Pak Pandir tidak mahu berganjak. “Saya selesa di sini, terima kasih,” katanya dengan sopan. 

Beberapa lagi pramugari yang bertugas meminta Pak Pandir untuk pergi ke ruang penumpang kelas ekonomi tetapi semuanya gagal. Akhirnya pramugari berjumpa dengan pilot untuk menyelesaikan masalah ini. Pilot itu pun datang berbisik sesuatu ke telinga Pak Pandir. Beberapa minit kemudian Pak Pandir terus pindah ke kerusi di kelas ekonomi. Pramugari tadi terus bertemu dengan pilot bertanyakan rahsia dan helah pilot bila berdepan dengan Pak Pandir tadi. “Saya tanya dia hendak ke mana? Katanya hendak ke Kota Bharu. Jadi saya kata Kota Bharu kena naik kerusi belakang. Sebab kerusi depan ni untuk ke Penang.”

Pada satu malam yang kelam usai pulang dari masjid, semasa berjalan di tepi jalan Pak Pandir kehilangan beberapa keping duit syiling dari poketnya. Malam yang gelap menyukarkan dia untuk mengesan duit yang jatuh ke tanah itu. Lalu dia pun terus melangkah beberapa meter ke depan ke kawasan yang agak cerah oleh limpahan lampu jalan. “Cari apa tu Pak Pandir?” tanya seorang pemuda. “Cari duit aku yang terjatuh, tak jumpa-jumpa lagi.” Pemuda tadi pun menyertai Pak Pandir dalam proses pencarian itu. “Duit Pak Pandir jatuh kat mana?” tanya pemuda tadi untuk kepastian. “Kat sana tu?” jawab Pak Pandir  sambil menuding jari hantunya ke arah tepi yang jalan yang gelap. “Habis tu kenapa Pak Pandir cari kat sini?” tanya pemuda itu dengan bengang. “Kat sini kan cerah sikit,” jawab Pak Pandir penuh ikhlas.

Ustaz tempoh hari ada bercerita kisah dia dengan mata rabunnya. Ustaz masbuk solat maghrib berjemaah di sebuah masjid. Dia meletakkan kaca matanya di atas sejadah tempat solat. Bila Imam memberi salam Ustaz terus bangkit untuk sambung rakaatnya. Ada pula budak ni terpijak kaca mata Ustaz maka pecahlah kacanya. Ustaz pun redha cuma risau juga sebab Ustaz rabun. Tapi Ustaz teruskan juga kuliah maghribnya mengajar sirah dalam keadaan rabun itu. “Ustaz nampak ke nak drive untuk balik ni?” tanya Tok Siak yang prihatin usai kuliah maghrib itu. “InsyaAllah ok,” jawab Ustaz walaupun di hatinya agak kerisauan. Kita sering alpa dan tidak bersyukur atas nikmat yang Allah kurnia kepada kita hinggalah nikmat itu di tarik balik oleh Allah. Betul tak? “Malam itu saya teraba-raba nak pandu kereta kerana mata yang rabun. Akhirnya saya singgah di sebuah surau dan bermalam di situ menunggu subuh. Bila hari siang baru saya pandu kereta balik ke rumah.”

Ada kelompok manusia yang jadi sombong dan lupa bahawa segala yang ada padanya hari ini adalah kurniaan Allah belaka dan milik Allah belaka. Manusia lupa oksigen yang disedut itu milik Allah. Karbon dioksid yang dihembus keluar itu milik Allah. Daun-daun pokok menyedut karbon dioksid itu dan mengeluarkan oksigen kembali ke ruang udara untuk disedut oleh manusia dan haiwan. Betapa cantek dan sempurnanya sistem ciptaan Allah.

Ada seorang tua pengidap kusta di Sungai Buloh. Jari jemarinya tidak dapat di bengkokkan. Susahnya dia untuk menjalankan urusan hidup secara normal. Untuk makan dia kena guna sudu. Nak basuh berak pun payah. Maka syukurilah nikmat jari jemari yang dapat di gerak-gerakan pada setiap sendi itu. 

Gigi juga nikmat. Namun sayang ramai yang lupa hinggalah satu hari sakit gigi atau gigi sudah rosak atau goyang atau terpaksa dicabut. “Alangkah bestnya kalau saya ada gigi untuk kunyah kacang kuda ini.” Ramai yang baru fikir soal nikmat ini pabila nikmat itu sudah hilang. Sesal tiada guna lagi.

Sifat orang mukmin ialah memberi penghargaan dan terima kasih kepada pemberi nikmat itu. Penghargaan itu bukan sekadar ungkapan Alhamdulillah semata tetapi ialah dengan menzahirkan kelakuan dan amalan dengan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah ini untuk taat kepada Islam taat kepada Allah. Janganlah terlibat dengan perbuatan yang boleh meragukan orang kepada Islam.

Yang paling parah ialah orang yang munafik dan kufur dengan Allah dalam keadaan Allah bagi pelbagai nikmat kepadanya. Dia lupa dan lalai. Dia dapat sepasang mata yang begitu canggih daripada Allah tetapi depan mata itu pun dia terus kufur dan gagal mentaati segala perintah Allah  malah terus menerus bangga dengan adegan maksiat dan dosa.

“Ish ish anak sapa tu dok berdua-duaan dalam semak tu Pak Imam?” tanya Tok Siak kepada Pak Imam usai solat asar di beranda Masjid. “Eh, nampak susuk tubuh tu macam anak hang Tok Siak.” Terkedu Tok Siak menggaru kepalanya yang penuh uban. Haru kita bila anak muda yang kita sedang kutuk itu rupanya darah daging kita sendiri. Maka benarlah iman tidak boleh diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa. Iman juga tidak boleh dijual beli.

Allah bukan sekadar cipta kamu tapi ayah kamu dan datok nenek kamu malah seluruh infarstruktur alam maya ini. Dalam pada bumi ini bergerak berputar di atas paksinya, kita tak terasa pula pergerakan bumi itu malah terus rasa tegak berdiri di dataran yang terhampar. Bulan, bintang, seluruh planet dan matahari setia pada landasan masing2 bergerak penuh harmoni dalam sebuah sistem hebat reka cipta daripada Yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT.
Nikmat air yang turun dari langit, di kumpulkan di awan dan turun secara berdikit-dikit sebagai taburan hujan adalah tanda kehebatan ciptaan Allah SWT. 

Cuba bayangkan jika Allah memilih untuk menurunkan air dari langit secara direct. Sudah tentu hancur berkecai segala yang ada di bumi. Masih ingatkah kita beberapa tahun dulu satu kejadian di mana tangki air yang pecah di atas bumbung rumah pangsa menyebabkan air jatuh ke bumi secara direct ibarat hempakan batu besar yang telah menyebakan beberapa kematian kerana kesan hempap di kawasan parking rumah pangsa 20 tingkat itu. Sesungguhnya nikmat air hujan yang Allah turunkan itu adalah terlalu hebat dan agung sifatnya untuk orang2 yang mahu renung dan fikirkan.

Orang yahudi dan nasrani sebenarnya mengaku akan kewujudan Allah tapi mereka tidak mahu mengaku akan kenabian Rasulullah SAW pabila lahir Rasulullah bukan dalam kalangan kaum mereka. Begitu juga dengan orang arab Quraish yang menolak kenabian Rasulullah kerana merasakan diri mereka yang hebat dan tinggi darjatnya berbanding dengan Nabi yang yatim paitu, miskin dan buta huruf itu.

Islam tidak mengajar manusia untuk mengagungkan kaum, bangsa, keturunan dan warna kulit. Tidak salah untuk sayang kepada bangsa sendiri namun jangan pula sampai merendah-rendahkan atau sampai mengutuk dan mencaci kaum atau bangsa lain. Itu sombong namanya. Kamu bukan mulia kerana keturunan, pangkat  dan warna kulit kamu tetapi mulianya kamu kerana takwa.

Allah cipta manusia ini berpuak-puak, berkabilah-kabilah dan berbangsa-bangsa. Untuk apa? Supaya kamu saling berkenal-kenalan. Bayangkan kalau rupa kita ini sama dan sepesen sahaja, bukankah payah untuk membezakan antara satu sama lain dan susah kenal-mengenali. Fitrah manusia hendak berbeza. Hakikat manusia, kita berbeza. Yang utama kena tolong menolong dalam usha kebaikan bukan kepada keburukan dan perkara-perkara maksiat.

Manusia bila rasa dah lebih sangat dah besar sangat maka dia tindas orang lain. Dan sifat manusia pula ialah takut kepada pihak berkuasa melebihi daripada takut kepada Yang Maha Berkuasa. Seolah-olahnya segala kezaliman dan maksiat yang dilakukan itu terlepas daripada pengetahuan Allah Yang Maha Berkuasa. Maka dia kekal membuat maksiat dan dosa.

Akhirnya kita kena kembali ke pangkal jalan pada hakikat yang sebenar. Tolong hargai segala nikmat pemberian dan pinjaman Allah ini. Bagaimana? Iaitu dengan mengabdikan diri kepada Allah. Iaitu dengan bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah yang tidak terhingga banyaknya ini. Takut kepada Allah dan takut kepada bakaran api neraka Allah.

Ya Allah ajarkan kami apa yang kami jahil. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa.

@@@

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...