Sunday, February 19, 2012

Bayar Cash

"Kejayaan itu adalah melalui iman yang sahih dan amal yang soleh," begitulah antara isi penting bayan Sdra Firdaus di Masjid malam tadi. "Tanpa iman, ilmu tak yakin untuk diamal. Kenapa ilmu tak dapat diamal kerana yakin kita kurang. Orang yang tak ada iman dan yakin akan buat benda yang Allah larang."


Rasulullah dan para sahabat bersusah hal agama. Kena ada pengorbanan dalam perkara agama. Sebab itu yang Allah maukan. Kalau Allah berhajat memberi kemudahan kepada Rasulullah dalam perjuangannya sudah tentu Allah boleh memberikannya, tetapi Allah maukan Rasullullah dan para sahabat bersusah hal agama. Jadi begitulah kita sebagai umat Nabi SAW kenalah sanggup bersusah perihal agama ini. Usaha dakwah ini menjadi tanggung-jawab setiap muslim hinggalah ke hari kiamat.


Dalam perjalanan pulang dari masjid, isteri saya memberitahu seorang muslimah yang bersolat di masjid telah kehilangan beg yang diletaknya di dinding belakang ruang solat wanita. Antara barang penting di dalam itu ialah telefon tangan. Isteri saya membantu beliau mencari di sekeliling tetapi hampa. Jelas kelihatan kesedihan di raut wajah muslimah ini. Saya memberi komen, "Itu ujian daripada Allah. Tentu ada hikmahnya. Mungkin nak suruh beli handset baru." Isteri saya hanya mendiamkan diri.


Kami singgah di stesen Petronas untuk mengisi minyak kereta. Kemudian ke tempat isi angin tayar sebelum pulang ke rumah. Sesampai di rumah saya tercari-cari dompet duit, tapi tak ada. Alamak tercicirkah? Cari lagi dalam rumah dan dalam kereta tapi tiada. Ini kali pertama dalam hidup saya kehilangan dompet duit. Saya pun bersama anak saya keluar memandu kereta ke stesen minyak tadi dan mencari dengan harapan dapat jumpa dompet itu. Akhirnya saya ke Balai Polis membuat lapuran kehilangan. Selesai key-in lapuran dan dicetak, polis itu menasihati saya untuk menunggu sehari dua, kerana katanya mungkin orang terjumpa dompet ini akan memulangkan ke alamat rumah atau menyerahkannya ke Balai Polis.


Sesampainya di rumah saya minta anak saya mendirikan solat hajat. Saya juga mengambil wudhuk dan bersolat hajat memohon pada Illahi agar dipulangkan dompet berkenaan. Banyak barangan penting ada dalam dompet itu. Isteri saya juga tidak putus-putus berdoa pada Illahi semenjak bermula kejadian tadi. Kepala saya berserabut memikirkan masalah ini kerana besok saya ada program penting menghadiri Konvensyen Fiqh di PWTC. Silap haribulan saya terpaksa batalkan untuk menyertai program itu. Ish ish malang sungguh fikir saya sambil berbaring di katil kerisauan. Ini ujian dari Allah.


Sejurus kemudian kira2 pukul 12 mlm, isteri saya memanggil saya menyatakan ada orang memberi salam di depan gate rumah kami. "Tuan, ada kehilangan barang?" terdengar orang tadi bersuara. Saya pun terus membuka gate sambil menjawab, "Ya benar." Kelihatan 3 orang Hamba Allah dari jamaah tabligh yang berkunjung dan salah seorangnya terus menghulurkan dompet saya yang tercicir itu. "Alhamdulillah."


"Kami singgah di stesen minyak untuk mengisi angin tayar. Saudara kita ini terjumpa dompet yang tercicir ini. Kemudian kami ke Masjid untuk mesyuarat mingguan jamaah tabligh. Selepas mesyuarat kami mencari rumah berpandukan alamat di IC ini. Lama juga kami berpusing-pusing," jelas En Mustafa mewakili dua orang lagi sahabat. "Terima kasih banyak," ucap saya penuh syukur kerana ada lagi manusia2 jujur di luar sana. 


"Kami keluar 3 hari, 40 hari, dan 4 bulan itu sebenarnya untuk mewujudkan ukhwah kasih sayang sesama umat dan mengajak untuk mendekatkan diri pada Allah. Dengan usha di jalan agama ini mendidik kami untuk kasih dan sayang pada saudara seagama," katanya. "Kami datang cari rumah Tuan kerana menyedari ukhwah dan kesusahan saudara se Islam ini."


Saya pun menjelaskan bahawa saya bersama isteri tadi baru balik dari Masjid dan sempat mendengar bayan jamaah tabligh yang diberikan oleh Sdra Firdaus, dan di hati saya memang berhajat untuk keluar 3 hari dalam usha dakwah dalam masa terdekat ini sebenarnya. Apakah ini kebetulan atau perancangan Allah dengan menghantar 3 saudara yang mulia di tengah malam ini. Isteri saya menghadiahkan se 'tupperware' homecook muffin sebagai cenderahati dan tanda terima kasih.


Isteri saya muhasabah dengan saya dan menyatakan bahwa komen saya dalam kereta semasa dia bercerita perihal musibah yang menimpa muslimah yang kehilangan beg, agak tidak kena dan berbunyi agak sinis dan tidak begitu simpati atau memahami perasaan muslimah yang dalam kedukaan itu. Mungkin kerana itu Allah timpakan musibah saya kehilangan dompet sebagai pengajaran secara cash agar saya merasai sendiri betapa pedihnya kedukaan apabila kehilangan sesuatu yang berharga begitu. Hmmm...saya agak terkedu. 


Setelah Allah memberi pengajaran berguna itu, dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya, Allah kembalikan dompet saya itu melalui insan-insan terpilih ini. Isteri saya menambah mungkin ini petanda untuk saya meneruskan hajat untuk menjalan sedikit usha agama bersama jamaah tabligh ini. Sebagai kesenambungan usha saya mewakilkan anak sulong saya keluar 3 hari pada bulan lepas. 


Allah telah timpakan musibah secara cash dan memberi penyelesaian secara cash juga kerana bergantung harap kepada-Nya, berjaya meninggalkan kesan dalam memberi pengajaran dan pengalaman berguna.




@@@

4 comments:

Cikli said...

berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. alhamdulillah.

School Of Tots said...

TQ Cikli. Ada hikmah pada setiap kejadian.

kinakona said...

Subhanallah dpt tarbiyah cash dari Allah. Juga dpt belajar selesai masalah dgn amal. Sy doakan Allah pilih tuan dan isteri dpt klua,bljr btlkan yakin. InsyaAllah ..

School Of Tots said...

TQ ank_ayah. InsyaAllah saya akan kluar jua. Jangan kasih dunia tapi kasih Empunya Dunia. Mukmim hidup memada apa yang ada. Semoga terasa manis dgn Agama.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...