Friday, February 10, 2012

Ada Hikmah Pada Setiap Ujian

Ujian Batuk
Saya ditimpa batuk kronik selama 3 minggu. Agaknya cuaca panas dan kering kala ini menjadi salah satu asbab. Namun yang penting ialah hakikat bahawa itu adalah ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.  Allah yang memberi batuk itu, maka Allah sahaja yang akan menyembuhkannya. Tidak bermakna saya tidak boleh berusha untuk mencari penawar kerana itu adalah sebahagian dari sunatullah yang boleh menjadi salah satu asbab kesembuhan daripada Allah. 


Saya berkunjung ke Klinik Amar pada kali pertama dan mendapat beberapa jenis ubat. Saya juga diberi MC satu hari. Ubat dan antibiotik yang diberi habis saya makan selama beberapa hari itu, namun kesembuhan daripada Allah masih belum tiba. Saya tidak dapat tidur lena sebagaimana biasa. Batuk yang dipaksa berlaku, bermula dengan rasa gatal di kerongkong yang kering menjadi simpton yang merobek tidur malam yang lena. Batuk di waktu pejabat juga menyumbang gangguan buat rakan2 yang lain.


Setelah seminggu suara saya menjadi serak2 basah. Kemudian bertukar kepada serak2 kering. Hingga satu tahap suara saya seakan-akan hilang, mungkin 80%. Fikir saya hebat ujian Allah kepada saya kali ini. Hendak menjawab panggilan telefon pun sudah agak janggal. Hendak order makanan di kantin pun agak lain macam bunyinya. Maka di sana ada hikmah tersembunyi. Saya dapat rasakan kepayahan seseorang yang tidak punya nikmat suara. Sesungguhnya segala nikmat yang ada ini milik Allah semuanya. Dulu memerhati kepayahan itu secara teori, tapi kini Allah beri peluang saya melaluinya secara praktikal, Alhamdulillah.


Masuk minggu kedua, batuk terus mengganas. Dada jadi sakit akibat batuk yang dulunya diiringi dengan sedikit kahak sebagai pelincir, tapi kini tiada kahak lagi. Batuk yang kering. Dentuman batuk yang menghentak dada memberi  kesan sampingan. Maka kunjungan kedua saya ke Klinik Amar rasanya sesuatu yang agak munasabah. Untuk berjumpa seorang doktor yang ada kepakaran perihal penyakit yang saya hadapi ini sebagai satu lagi usha dan ikhtiar. Saya terpaksa menunggu hampir dua jam. Ramai pula pesakit hari ini.


"Masih belum baik, mungkin virusnya agak kuat," begitulah komen Dr Amar apabila saya membuka mulut dan meluahkan suara yang tak mahu keluar itu. Dr Amar meneliti fail rekod perubatan saya. Kemudian dia mengambil bacaan tekanan darah saya, seterusnya meminta saya berbaring dan di analisa pula pergerakan jantung di dada dan belakang. Katanya normal. Apakah itu rutin rawatan atau memang boleh mencari punca penyakit, tidaklah saya pasti. "You wanna jab?" tanya Dr Amar. "Bolehlah", jawab saya yang memang agak tertekan dengan simpton yang degil ini. 


Seterusnya saya dibekalkan dengan beberapa jenis ubat yang lain, mungkin yang punyai dos kimia atau dadah yang lebih. Ubat batuknya pula saya perhatikan agak pekat sedikit.  Saya diberi sehari cuti MC walaupun saya tidak minta, mungkin pada analisa Dr Amar saya tidak fit untuk ke ofis, atau boleh mengganggu alam sekitar. Maka berehatlah saya di rumah, tapi batuk kering yang datang berkala setiap 5 minit tidak banyak memberi ruang kerehatan yang diingini itu. Virus terus mengganas mengorek kerongkong bagi menimbul rasa gatal dan perit yang memaksa saya batuk. Saya dipaksa some how...teringat lagu top 80an 'Kerna Terpaksa' nyanyian Fran.


Apalah sangat sakit batuk kalau nak dibanding dengan pelbagai penyakit kronik di luar sana, bisik saya dalam hati cuba menghayati ujian yang Allah berikan ini.


Pada dua minggu ini, saya sering terjaga dari tidur dan acap kali terpaksa tidur sendirian di sofa bagi melegakan batuk dan sakit di dada. Allah kejutkan saya dengan batuk ini pada pukul 2, 3 atau 4 pagi. Maka saya terpaksa bangun. Kemudian saya baring di sofa. Terlelap dan terjaga semula. Masuk ke bilik tidur, kemudian dikejut balik dengan asbab batuk. Bangun dan baring di sofa. Begitulah rutin malam sejak kebelakangan ini.


Saya ini agak lambat menerima biasan hakikat. Tapi bila saya sendirian di malam yang kelam merenung pusingan kipas syiling, saya mula perasan rupanya Allah nak melatih saya bangun malam. Rupanya sedar tak sedar saya sudah begitu liat bangun malam, tidak seperti sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Pada ujian ini Allah menyelitkan hikmah itu. Allah menghantar makhluknya yang bernama batuk untuk memberi sedikit pengajaran pada hamba-Nya yang sering lalai dan banyak alpa itu. Alhamdulillah.


Apabila direnung lebih dalam, maka terserlahlah segalanya iaitu nikmat yang maha banyak yang Allah kurniakan pada diri ini. Rezki isteri dan anak2 misalnya. Rezki rumah tempat berlindung. Rezki laman rumah, kehijauan tanaman dan kesegaran udara yang dihirup. Rezki air yang segar diminum. Rezki makanan yang dimakan. Rezki buah2an. Rezki akal dan fikiran. Rezki ilmu pengetahuan. 


Rezki kesihatan. Rezki pancaindera dan seluruh anggota badan termasuk segala organ2 dalam. Rezki wang ringgit, harta benda, pekerjaan dan jawatan. Rezki kereta proton saga. Rezki masa yang begitu berharga. Rezki boleh membaca dan menulis. Rezki tidur lena. Rezki menghadiri majlis2 ilmu di surau dan masjid. Rezki boleh melihat, mendengar, bercakap, merasa, berinteraksi dengan sesama makhluk. Rezki untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah SWT. Subhanallah.


Saya boleh meminta nasihat dan pelbagai ubat-ubatan dari Dr Amar, namun saya mesti yakin bahawa Dr Amar tidak sekali-kali dapat menyembuhkan saya. Buktinya setelah tiga minggu, batuk saya masih tidak sembuh. Hanya Allah yang dapat memberi kesembuhan itu. Itulah hakikatnya.


Sempena hari Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari. Marilah kita banyakkan berselawat kepada Rasulullah. Sesungguhnya Allah SWT sangat suka hamba-Nya berselawat kepada Rasullullah. Pada setiap selawat ini Allah akan membalas dengan 10 kali selawat. Buatlah sesuatu yang Allah suka kita buat. Terlalu banyak nikmat Allah untuk kita. 


Benarlah ada hikmah pada setiap ujian Allah. Beruntunglah orang yang sentiasa Renung dan Fikir akan segala nikmat dan kebesaran Allah. Ingatlah pada setiap lintasan hati untuk berbuat kebaikan dan kebajikan, Allah sedang berbicara secara khusus dengan mu. Teruslah berbuat kebaikan dan kebajikan itu. Teruslah bersegera meninggalkan sesuatu kemungkaran dan dosa. Jangan berputus harap kepada Allah SWT. Mohonlah taubat lagi dan lagi tanpa jemu kepada Allah yang Maha Pengampun walaupun dosa sebesar gunung Tahan atau seluas Laut Mati.


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...