Thursday, February 16, 2012

Minda Stress


Kawan saya masuk wad kerana stress. Saya nasihatkan dia supaya jangan stress. Dia tanya macamana? Pastikan tidur sebelum pukul 12 malam. Saya juga kata lupakan masalah, alihkan tumpuan pada perkara lain. Mana-mana manusia pun ada masalah. Fikir bahawa masalah orang lain lagi teruk daripada masalah aku. Fikirkan kalau aku rakyat Etiopia, betapa ramai manusia mati kerana kebuluran, betapa payah nak cari sesuap nasi atau seteguk air. Masalah mereka ialah masalah untuk hidup. Masalah kita apalah sangat kalau nak banding dengan mereka betul tak?

Manusia ini layak punyai masalah dan mampu membuat silap dan salah dalam kehidupan. Sebab kita ini manusia bukan malaikat. Namun kena ada 'preventive maintenance' iaitu mengambil langkah untuk mencegah berlakunya masalah yang sama. Saya teringat nasihat nombor ong 88888 oleh Menteri Kesihatan, katanya kena makan malam sebelum pukul 8, kena berhenti makan bila 80% kenyang, kena minum 8 gelas air sehari, tidur 8 jam sehari semalam, dan berjalan 8,000 langkah sehari sebagai senaman. 

Kalau kita membuat rutin atau perkara yang sama tetapi mengharap keputusan yang berbeza, maka sebenarnya kita 'tak betul' kalau pun bukan gila. Kenalah cuba sesuatu yang baru untuk mendapat keputusan yang berbeza, insyaAllah. 

Dalam Islam sangat dianjurkan untuk bangun solat malam, antara rahsianya ialah untuk menjaga kesihatan bagi jasad dan ruhani. Puasa sunat Isnin dan Khamis adalah satu lagi amalan yang antara hikmahnya ialah ketenangan jiwa dan menjaga kesihatan. Banyak lagi yang patut dicuba dan di amalkan secara istiqamah seperti amalan zikrullah, solat2 sunat, dan mengaji al-Qur'an. Yang bukan saja memberi ketenangan minda dan mengelakkan stress, tetapi memberi ruang untuk kita muhasabah diri dan mengerti hakikat sifat seorang hamba kepada Pencipta. Hakikat bahawa seorang hamba itu hina, lemah, tiada daya dan upaya melainkan dengan ehsan dan kasihan belas daripada Allah SWT.

Seorang rakan seofis yang badannya agak obesiti, mengadu stress bila beban kerja naik mendadak pada minggu ini. "Aku sakit kepala dan otak berserabut", katanya. Masalah yang dia bawa itu acap kali pula menjadi tempias kepada rakan2 yang lain. Nasihat yang mampu saya beri ialah supaya membuat senarai tugas yang hendak dibuat dan setkan prioriti, iaitu membuat satu persatu dengan perkara yang utama didahulukan. Elakkan dari membuat banyak perkara pada sesuatu masa yang akhirnya satu pun tidak beres. Tidak guna juga untuk sekadar mengeluh atau komplen jika plan bertindaknya tiada.

Saya agak serabut semalam selepas bekerja hingga larut malam menyiapkan urusan tender. Kalau nak diikutkan banyak lagi kerja yang menanti, namun saya 'take a break' supaya jiwa kembali tenang dan fikiran kembali waras. Saya pun 'take a walk' ke tingkat atas dan lepak dengan seorang kawan, berbual-bual tentang perkara-perkara yang selain dari soal kerja. Bicara perihal keluarga, sukan, masa depan dan tidak ketinggalan bicara soal agama. 

Kawan saya ini seorang pakar teknikal CCTV. Kata saya hukum menuntut ilmu dalam Islam ialah wajib. Tidak salah untuk kita sibuk dengan belajar perkara2 teknikal atau akademik, namun yang ditekankan disini ialah Ilmu Agama. Bilakah kali terakhir kita menuntut ilmu agama? Ramai yang kali terakhir menuntutnya pada zaman sekolah menengah dulu, dah 20 tahun berlalu.

Maka ilmu yang ada kalaulah masih kekal dalam ingatan ialah yang dipelajari zaman sekolah dulu. Itupun banyak yang dah lupa kerana tujuan belajar masa itu ialah untuk lulus SPM. Ramai manusia terlupa untuk meneruskan pengajian agama ini. Lara dan hanyut dengan persoalan lain. Hinggakan soal agama ini tiada dalam agenda kehidupan. Agama menjadi perkara adat. Adat untuk diguna pakai pada 3 keadaan iaitu ketika kelahiran anak, upacara akad nikah, dan ketika berlaku kematian. Agama menjadi terasing, tidak disebatikan sebagai 'way of life'.

Saya mengsyorkan supaya kita luangkan masa untuk pergi ke majlis2 ilmu. Ruang yang paling afdal bagi orang awam untuk menuntut ilmu mengikut pandangan saya ialah slot kuliah2 maghrib di surau2 dan masjid2 di sekeliling kita ini. Di sana ada penyampaian yang pelbagai oleh para ustaz yang menyentuh banyak skop ilmu seperti feqah, tasawuf, sirah, tafsir Qur'an, tafsir hadis, dan ilmu tauhid. Majlis2 ini punyai aura dan keberkatan tersendiri kerana dihadiri bukan sahaja oleh manusia tetapi jin2 Islam dan para malaikat yang akan mendokan kesejahteraan kita. Yang penting ialah penambahan dan pemahaman ilmu yang seterusnya perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Porak perandanya masyarakat ialah apabila manusia sudah tidak lagi di pandu arah oleh Agama. Hidup ini hancur tanpa agama. Saya teringat bicara bersama seorang kawan semasa saya menumpang keretanya untuk makan tengahari di depan Masjid Keramat. "Aku nak tukar balik pinjaman perumahan secara Islam kepada konvensioanal supaya bayaran bulanannya lebih murah", katanya. "Sekurang-kurangnya aku dapat jimat RM300 sebulan."

Saya kata, "Ia persoalan halal dan haram. Ibarat hang pi Supermarket untuk beli ayam. Ada dua pilihan. Satu berharga RM8 seekor yang di pek segar dan menarik. Satu pilihan lagi ialah ayam yang packagingnya tidak begitu menarik denga harga RM12 seekor." Masalahnya satu tu ayam yang tak sembelih iaitu 'ayam katok' dan satu lagi tu ialah ayam Halal. Di sini sudah tiada pilihan melainkan memilih yang Halal. 

Satu analogi lagi ialah teman wanita hang, di mana haram untuk disentuh atau diapa-apakan kerana belum ada ikatan perkahwinan. Apabila sudah 'akad nikah' perempuan yang sama sudah menjadi Halal untuk hang sentuh hatta tiduri. Yang membezakan di sini ialah akad tadi, iaitu satu syariaat Agama. Sebab itulah dinyatakan bahawa tanpa Agama manusia ibarat haiwan yang tidak bisa mebezakan yang mana halal dan yang mana haram, yang mana dosa dan yang mana pahala. Ramai manusia yang sudah tiada agama dalam hidup mereka, berbuat sesuatu berdasarkan naluri, akal dan adat semata.

Berbalik kepada persoalan pinjaman perumahan tadi, "Jelas di sini ialah hang kena kekalkan pinjaman secara Islamik kerana ia Halal dan dibenarkan oleh syariaat. Sedangkan pinjaman secara konvensyional itu haram kerana ada elemen riba. Sekarang sudah ada pilihan untuk memilih produk yang Islamik, maka bukan keadaan darurat lagi."

Kawan saya tadi mengangguk tanda setuju. "Betul, aku tidak patut memilih produk yang haram. Lagipun RM300 yang aku dapat jimat itupun, sekejap sahaja akan lesap", katanya sambil tersenyum. "Betul tu, hang jangan risau. Allah akan balas balik RM300 kepada hang melalui sumber rezki yang lain, insyaAllah. Yakinlah."

Minda stress ini ada banyak sangkut pautnya dengan cara kehidupan kita. Apabila kita jauh dari Agama terutamanya apabila tidak minat untuk ke majlis2 ilmu atau malas baca buku2 dan bahan2 agama, maka tiada peningkatan dalam ilmu kita. Segala amal ibadah menjadi agak kosong tanpa kualiti dan penghayatan. Jasad diberi makan tapi ruh dibiar kelaparan. Maka sudah tentu hidup tidak sihat. Antara penyakit yang biasa melanda ialah minda stress. Jadi penyelesaiannya ialah rajin2lah ke majlis ilmu, cintailah masjid, belajar dan beramal nawaitu kerana Allah SWT. 

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...