Tuesday, June 18, 2013

Rollercoaster Iman Menuju Ramadan

Iman ini ibarat rollercoaster. Sekejap di atas sekejap di bawah, kekadang di puncak kekadang merundum, sekejap laju sekejap slow down. Apakah itu lumrah hamba yang hina? Ya Allah kekalkan hamba Mu ini dalam istiqamah melakukan ibadah dan amal soleh.

Pada pemanduan rutin sejauh 46km ke tempat kerja pagi ini, seorang hamba Allah memberi perkongsian bahawa dia penuhinya dengan zikrullah, slawat, istighfar dan sedekah hafazan ayat2 suci al-Qur'an kepada arwah orang2 tersayang. Diselit juga dengan muhasabah diri dan tangisan taubat dan memohon keampunan daripada Pencipta. Bukan niat riak katanya cuma sekadar pembakar semangat atau pencetus fikir.

Kalau selama ini kita menghitung pada neraca masa iaitu berapa minit berapa jam berapa hari? Atau jari sibuk dengan tasbih atau counter untuk mengira. Apa kata sepanjang memandu itu kita hitung guna jarak pula, berapa km? Usah peduli bilangan lagi. Mungkin mencapai ribu-ribu. Biar Allah saja yang tahu. Yang penting kita ikhlas nawaitu kerana Allah.

Cuba bayangkan: "Subhanallah" selama 9km, "Alhamdulillah" selama 9km. Kemudian break sekejap mendengar slot motivasi pagi pada pukul 7:30am di radio IKIM sekadar 10 minit. Kemudian sambung "Allahu Akbar" sejauh 9km, Selawat sepanjang 9km, muhasabah diri, penyesalan, taubat dan mohon keampunan Allah sejauh 1km dan Istghfar sejauh 9km lagi. Wow 46km pengisian yang padat dan mantap. Pulang dari ofis pun boleh membuat pengisian sebegini atau yang sewaktu dengannya. Maka tidak sia2lah waktu di jalanan itu. Lagi jem lagi bagus sebab lagi banyak zikirnya.

Cuba bayangkan dari Rumah ke simpang Sg Choh di penuhi dengan bacaan surah2 lazim dengan niat sedekah kepada waris dan kerabat di alam barzakh. Dari Sg Choh ke simpang Mydin Rawang zikir "Subhanallah". Dari Mydin ke Tesco Rawang bibir dibasahi "Alhamdulillah". Dari Tesco ke Selayang "Allahu Akbar". Dari Selayang ke Batu Caves sibuk berselawat. Dari Batu Caves ke Melawati muhasabah diri. Akhirnya Melawati hingga sampai ke ofis istighfar. Perjalanan 46km yng sangat tinggi nilai manfaatnya dalam konteks bekalan harta untuk Akhirat yang kekal abadi.

"Ya Allah aku bergantung harap kepada Mu, hanya pada Mu, tidak pada makhluk. Engkau permudahkan  segala urusanku, cukupkan rezkiku. Janganlah Engkau mufliskan aku di Akhirat yang kekal abadi dan janganlah Engkau mufliskan aku di dunia Mu yang fana ini. Jadikan segala aktivitiku hari ini sebagai ibadah kepada Mu."

Syaaban sudah mencapai angka 9. Bagaimana pengisiannya setakat hari ini? Di simpang tiga Sg Choh tadi saya lihat ada sebuah banner mempromosi satu kuliah maghrib oleh Dr Basit di surau al-Ikhlas Sg Buaya. Terpapar dalam huruf besar kata2, "Rejab dan Syaaban dipinggirkan, Ramadan tidak terkesan, Kenapa?" Begitulah lebih kurang ayatnya. Membawa makna pentingnya perlakuan dan rutin harian kita di bulan Rejab dan Syaaban ini demi untuk memberi kesan hebat pabila Ramadan tiba.

Rejab itu kalau dalam pertanian ibarat buat earthwork, clear semak, ratakan tanah, gemburkan tanah, bakar semak samun, sediakan tapak untuk menanam, menyemai pokok, dan menabur anak benih. 

Syaaban pula dipenuhkan dengan menyiram tanaman, membaja, meracun serangga perosak dan membelai anak pokok dengan kasih sayang demi mencapai pokok dan tanaman yang tumbuh dan membesar dengan subur.

Maka tibanya Ramadan adalah bulan dimana aneka tanaman itu menampakkan hasilnya. Tanaman hijau dan segar. Elok benihnya eloklah hasilnya. Benarlah tidak rugi berbudi pada tanah. Tanam benih yang baik di bulan Rejab/Syaaban untuk dapat hasil yang baik di bulan Ramadan nanti.

Bunga yang berputik bakal menghasilkan buah yang enak dan baik. Kelopak2 daun segar dan pucuk2 baru terus petah bercambah silih berganti. Siraman air yang mencukupi, semak samun yang di cantas, dan pembajaan yang berkahasiat membuatkan pokok sayuran dan buahan yang di tanam membuahkan hasil yang diharapkan untuk manfaat hari2 mendatang. Bukan setakat itu kerana suasana dan cuaca yang elok akan menggandakan hasil tanaman pada kadar yang tak terfikir dek akal. Lumayan sungguh pendapatan si petani dan penguasaha tanah Allah ini. 

Maka Ramadan  akan dimanfaat sepenuhnya tidak lagi lesu atau tiada beza daripada bulan2 yang lain. Ramadan sebagai masa terbaik meraih keuntungan berlipat ganda. Maka sangat penting untuk tidak meminggirkan Rejab dan Syaaban sebagai bulan2 kerja keras untuk memenuhi syarat2 pre-requisite, bulan latihan intensif untuk menguasai segala teknik dan strategi kejayaan. 

Syaaban yang bebaki 20 hari ini jangan dipinggirkan lagi. Penuhi dengan berlatih, berusaha sedaya upaya dan plan bertindak yang di praktikkan iaitu segala aktiviti amal soleh.

Kalau Rejab dimulai dengan 2-3 hari ibadah puasa sunat, mengaji al-Qur'an yang sekali sekala, zikrullah atau slawat yang tidak konsisten, solat tahajjud atau witir yang jarang-jarang, solat dhuha yang kadang-kadang, sedekah yang masih liat, ke masjid yang masih payah, acap ponteng majlis2 ilmu atau solat jemaah yang masih tak lekat, maka Syaaban ini biarlah segalanya berubah. 

Pendakian slow motion sebuah rollercoaster yang akan diikuti dengan penuruan dengan pecutan laju pada landasan berpusing atau bengkang-bengkok yang di hujung landasan itu biar ada kepuasan dan rasa lega yang hebat.

Gandakan usaha amal soleh hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Bersihkan hati untuk mudah mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah yang tidak terhitung banyaknya, sabar pada setiap ujian Allah dan redha menerima segala ketentuan Allah. 

Usah putus harap. Menaiki rollercoaster iman menuju Ramadan adalah pengalaman yang menyeronokkan pada hati yang hidup, pada jiwa yang dahaga, minda yang sering fikir dan risau. Kekalkan di jalan yang lurus menuju redha Allah. Bila terlintas untuk melakukan sesuatu amal soleh, jangan bertangguh lagi. Terus lakukan.

Di mana pengakhiran hidup ini, apakah di Syurga atau Neraka? Maka setiap langkah dan pengisian masa dalam perjalanan menuju kehidupan akhirat yang kekal itu akan sentiasa diambil secara peka dan berhati-hati. Langkah atau strategi yang silap bisa menjerumus diri ke lembah kehinaan dan penyesalan yang tiada gunanya.

@@@

2 comments:

Mulan said...

moga iman kita tetap kukuh & dijauhkan dari lalai kpd Allah walau sesaat pon..

School Of Tots said...

TQ mulan. Kuatkan iman kita supaya Ramadan tahun lebih bermakna.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...