Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, September 04, 2014

Iman Yang Turun dan Naik

Manusia sangat layak membuat dosa. Kenapa? Kerana manusia bukan malaikat. Hakikat diri yang iman di dada kadang di atas kadang di bawah, turun dan naik. Segera bertaubat pada setiap perlakuan dosa itu.

Namun yang utama tika merasa iman begitu lemah maka kena usha untuk tingkatkan semula iman. Jangan biarkan iman berada di bawah. Memang benar nafsu dalam diri dan syaitan di luar diri tidak pernah putus asa menarik manusia ke kancah dosa dan maksiat. Tidak pernah jemu. Begitu amanah menjalankan peranan dan tanggung jawab mereka.

Kalau di bulan Ramadan yang lalu dapat beribadah dan menjaga iman pada gred A, maka mungkin ada yang bisa istiqamah dalam amal soleh sepanjang bulan Syawal juga. Atau apakah sudah bercampur baur antara amal soleh dengan perlakuan dosa silih berganti? 

Datang bulan Zulkaedah ini kalau amal soleh dapat istiqamah Alhamdulillah hebat iman di dada. Namun jika kalah dengan godaan nafsu atau bisikan syaitan, maka segeralah sedar diri. Bangkit kembali. 

Kini sudah masuk musim haji. Ramai kawan2 yang naik nama untuk menjadi tetamu Allah menjalani ibadah haji tahun ini. Termasuklah nazir masjid as-Salam dan tiga orang classmate saya. Alhamdulillah. 

Kita doakan mereka mendapat haji yang mabrur. Ustaz pernah memberitahu antara tanda seseorang itu mendapat haji yang mabrur ialah pulang ke tanahair nanti, terus istiqamah dalam amal soleh seperti solat fardhu berjemaah di masjid, bicara perkara kebaikan, ringan tangan berseedekah dan khidmat pada setiap kelapangan untuk kepentingan ummah. Duduk di majlis2 ilmu ibarat ikan masuk ke air bukan ibarat burung masuk ke sangkar

Pabila Allah memilih seseorang untuk menjadi tetamu di Rumah-Nya, maka itu adalah satu anugerah dan keistimewaan yang besar. Jangan lupa untuk mensyukuri nikmat itu. Jika Allah menarik balik nikmat itu maka ada saja alasan dan asbab yang menghalang seseorang itu untuk ke Rumah Allah untuk solat fardu berjamaah dan duduk di majlis2 ilmu. 

Begitu mudah untuk Allah menarik balik nikmat itu. Kadang tu terasa begitu malas untuk ke Masjid. Di goda untuk sekadar solat berjamaah di rumah bersama iseri dan anak2.  Kadang sampai dua tiga hari begitu. Itulah petanda iman yang turun naik. Kita insan lemah.

Kadang rasa pelik benar sebab baru minggu lepas tidak pernah miss untuk ke Masjid. Begitu ringan kaki melangkah. Tapi minggu ini begitu berat dan lemah pula seluruh badan.Justru itu sentiasalah berdoa setiap kali selepas solat agar Allah pilih kita untuk jadi tetamu-Nya. Ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Mohon Allah bagi kekuatan untuk istiqamah dengan amal soleh sepanjang bulan Zulkaedah ini.

Sebagai konklusi perihal tajuk yang kita bicara ini saya ambil satu petikan yang di share oleh isteri saya dalam Whatsapp daripada kitab Al-Hikam karya Ibn 'Ata Allah al-Iskandari di nyatakan, "(Poin No.74) Syukur Mengikat Nikmat: Barangsiapa tidak mensyukuri nikmat bermakna membuka jalan untuk kehilangan nikmat itu. Dan barangsiapa bersyukur maka sesungguhnya dia mengadakan pengikat bagi nikmat yang diperolehinya."

@@@

Monday, July 07, 2014

Ramadan Pantas Berlalu

Hari ini sudah hari ke-9 Ramadan. Terasa begitu cepat hari2 Ramadan berlalu pergi di depan mata. Awas semua. Ramadan kini sudah bergerak menuju fasa 10 kedua pula. Apakah 10 pertama yang di limpahi rahmat Allah itu telah berjaya di manfaatkan semaksimanya?

Tema Ramadan ialah melipat gandakan amal. Satu pertiga Ramadan sudah hampir berlalu pergi tanpa dapat di ganti walau dengan apa pun. Begitulah kurniaan Allah kepada hamba Nya atas sifat kasih sayang Nya. Acap kali hamba Nya terus alpa dan tidak merasakan kehadiran limpah rahmat Allah di awal Ramadan ini. 

Sayang seribu kali sayang untuk rugi lagi. Namun sebahagian orang telah tidak melepaskan peluang yang terhidang dan terus-terusan berusha gigih meningkatkan amal ibadah di bulan yang mulia ini.

Apa sebenarnya Allah inginkan daripada amal kita? Allah mahu menguji iaitu supaya manusia dapat diuji atas segala amalan baiknya. Ada amalan yang banyak dan baik di sisi Allah. Namun ada pula amalan yang banyak tapi tidak baik di sisi Allah. Bagaimana hendak menambah baikkan amal? Itulah soalan cepumas. Mari kita sama-sama cari jawabannya.

Pertama sekali amalan yang berteraskan ilmu. Tidak boleh sekadar ikut-ikutan atau turut-turutan. Banyak orang yang sesat baramal tanpa ilmu. Orang nasrani umpamanya memang disahkan sebagai jalan orang yang sesat kerana beramal tanpa ilmu. 

Sebab itulah menuntut ilmu dalam Islam hukumnya wajib. Ayat pertama yang diturunkan Iqra' menyuruh manusia bacalah demi mendapatkan segala ilmu itu. Orang yang berilmu itu tinggi darjatnya yang membuah ibadah yang tepat dengan kehendak Allah. Tiap2 darjat itu jaraknya 500 tahun perjalanan. 

Jadilah orang alim yang mengajar. Atau jadilah orang yang belajar. Atau jadilah orang yang mendengar ilmu yang diajarkan. Dan paling tidak pun jadilah orang yang mencintai majlis2 ilmu, para alim ulamak, dan segala usha ke arah mempromosikan ilmu. 

Namun amat malang jika menjadi golongan kelima iaitu yang tidak alim, malas belajar, tidak cinta majlis ilmu, malah menghalang pula orang menjayakan program2 ilmu. Maka manusia kekal jahil. Setan sangat suka manusia yang beramal dengan ajaran yang tidak betul atau sesat. Yang menjadi imam itu ialah ilmu. Dan yang menjadi makmum itu ialah amal.

Kedua dalam misi menambah baikkan amal, mestilah beramal dengan istiqamah. Kerana ramai orang beramal ikut musim. Yang payah ialah bermala secara konsisten dan istiqamah. Orang melayu pada amnya suka buat ibadah pada dua musim utama iaitu di bulan Ramadan dan tika melakukan ibadah Haji atau Umrah. 

Bulan Ramadan baca Qur'an dia pulun habis. Tapi bila di luar Ramadan setahun pun payah nak khatam sekali. Bila berada di Tanah Suci mengerjakan ibadah umrah, tu dia solat berjemaah 40 waktu memang tidak miss. Tapi bila balik Malaysia, jarang nampak dia kat masjid. 

Amal yang sedikit tapi istiqamah itu lebih utama daripada amal yang banyak tapi tidak istiqamah. Ibarat air yang menitik secara istiqamah ke atas batu boleh melekukkan batu itu berbanding dengan air banyak yang dicurah sekali gus gagal mengubah bentuk batu yang keras itu.

Yang ketiga dalam usaha kita meningkatkan amal, mestilah mendahului amal yang lebih utama atau yang lebih aulia. Amal ibadah ini tidak sama levelnya. Amalan fardu contohnya terbahagi kepada fardu ain dan fardu kifayah. Amalan sunat pula ada sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut dan ada pula sunat yang tidak dituntut.

Contohnya bila berbuka puasa iaitu masa masuk waktu solat maghrib, kita tanya mana ramai orang yang solat maghrib berjemaah atau orang yang solat teraweh secara berjemaah? Sedangkan solat maghrib secara berjemaah itu fardu manakala solat teraweh itu sunat muakad dan dilakukan secara berjemaah ialah sunat sahaja.

Berapa ramai umat Islam yang solat teraweh secara berjemaah tapi solat Isyak tidak didirikan secara berjemaah? Solat sunat qabliyah isyak tidak dituntut, yang dituntut ialah solat ba'diyah isyak. Tetapi berapa ramai orang yang angkat kaki terus selepas solat berjemaah isyak tanpa mendirikan solat sunat selepas isyak yang bestatus sunat muakad itu?

Terdapat 12 rakaat solat rawatib yang sunat muakad iaitu solat dua rakaat sebelum solat subuh, empat rakaat sebelum solat zohor, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dan dua rakaat selepas iasyak. Inilah 12 rakaat solat sunat rawatib yang aula. Kalau perlu menunggu 15 minit sebelum iqamah, sepatutnya sebelum solat zohor kerana di sunatkan solat empat rakaat bukan tika sebelum solat subuh (yang selalu di beri 5 minit masa tambahan).

Amalan sedekah misalnya sangat aula atau utama untuk diberikan kepada orang2 yang dekat dengan kamu contohnya isteri, anak2, ibubapa, adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga, dan sahabat handai. Justru itu sangat penting untuk kita beramal berteraskan ilmu bukan sekadar ikut-ikutan tanpa ilmu. Beramal dalam alim bukan dalam jahil.

Langkah keempat dalam usha untuk meningkatkan amal ibadah ini ialah kena ikhlaskan amal itu kerana Allah. Kerana hati manusia banyak dijangkiti tiga penyakit berbahaya iaitu ujub, riak dan sumaah. 

Riak ini ialah berbuat sesuatu amal dengan niat menunjuk-nunjuk supaya orang tengok. Ujub pula ialah merasa diri kita ini hebat bila berbuat amal. Manakala sumaah ialah mengharap orang kata kita ini hebat, mengharap pujian dan sanjungan orang. Jadi perbetulkan niat dalam ibadah kita iklas tidak pada makhluk tetapi ikhlas hanya kepada Allah SWT.

Akhirnya yang kelima, amal pabila kita buat dalam keadaan kita taat pada seluruh perintah Allah. Banyak orang puasa rajin tapi aurat tidak tutup. Solat tapi mengumpat tak tinggal. Hari2 ke masjid tapi hukum hudud dia tolak. Orang nak buka kedai jual arak, takpelah asal aku tak minum arak. Orang nak buka kedai judi tak perlu bantah asal aku tidak berjudi. Sekadar amal makruf. Dia lupa nak nahi munkar. Maka orang ini sesat.

Nabi SAW bertanya siapa orang yang rugi dalam amalan2 dia? Orang yang beramal tapi rugi. Iaitu orang yang sia2 amalannya di dunia ini sedangkan dia menyangka telah banyak amal dia. 

Sayang seribu kali sayang. Menyesal di akhirat sudah tidak berguna sesen pun. Kerana dia telah kufur kepada hukum2, undang2 dan syariaat Allah. Kufur pada perintah Allah. Kufur pula untuk berjumpa Allah. Dia boleh langgar hukum Allah secara terbuka, sanggup buat dosa gaya bebas. Mereka ini lah golongan yang rugi. 

Maka perbetulkan amal kita supaya tidak di tipu oleh tipudaya dunia. Amal untuk dapat apa? Balasan Allah SWT di Akhirat yang kekal abadi.

Kita kini mula memasuki fasa 10 kedua Ramadan, fasa pengampunan Allah. Justru tingkatkan amal ibadah semaksima mungkin. Rebut peluang dan segala tawaran menarik kemurahan rahmat Allah sepanjang Ramadan yang berbaki ini. Agar kita tidak rugi lagi seperti tahun2 lepas. 

Jaga prilaku dan prestasi kita seumpama ini adalah Ramadan Terakhir. Selamat Berjaya we all !!

@@@

Monday, June 30, 2014

Tazkirah Ramadan

Jadual Tazkirah Ramadan 1435H
Masjid As-Salam Bukit Beruntung

"Semoga majlis tazkirah di adakan di surau kita. duduk dalam majlis ilmu itu lebih baik daripada mendirikan solat sunat 1,000 rakaat. Ambil peluang kehadiran ahli jemaah yang ramai untuk menyampaikan ilmu dan peringatan sekadar 15-30 minit. Tanpa mengganggu solat teraweh." Begitulah picitan jari jemari saya pada Whatsapp grup AJK surau khariah saya sebelum Ramadan tempoh hari.

Begitu juga saya pernah syorkan supaya di adakan tazkirah jumaat iaitu pada waktu menunggu masuknya waktu solat jumaat. Pabila surau kami diberi kebenaran olah pihak JAIS sebagai surau solat jumaat. Atas maksud yang sama iaitu mengambil peluang jumlah kehadiran jemaah yang ramai, saya rasakan sangat sesuai untuk menyampaikan sedikit ilmu dan peringatan supaya ahli masyarakat kita terdidik dengan ilmu agama dan tidak kekal jahil selamanya. Sesuai juga dengan tema transformasi iaitu mengubah manusia daripada jahil (bodoh) kepada alim (bijak).

Pihak pengurusan surau dan masjid mestilah kretif dan berinovasi demi mengajak kelompok besar masyarakat ke surau dan masjid atau berusha gigih menyampaikan mesej dakwah kepada ahli masyarakat. Usah berpuas hati dengan situasi kini dengan mengadakan kuliah 2-3 kali seminggu di surau dengan kehadiran ahli surau regular sekitar 20-30 orang. Bukankah lebih baik untuk menyampaikan peringatan dan mesej dakwah kepada odion yang berjumlah 300 orang pada setiap sesi solat jumaat di surau itu?

Ia bukan soal meneruskan adat atau mengambil syarat sahaja. Atau lebih teruk lagi sekadar melepas batuk di tangga dalam setiap program dan aktiviti dakwah yang hendak kita anjurkan. "Kita tidak mahu jemaah terganggu untuk membuat ibadah pada hari Jumaat." Antara sebab yang diberikan untuk tidak bersetuju sesi tazkirah di adakan. Apakah berada dalam sebuah majlis ilmu itu bukan ibadah namanya?

Alhamdulillah di masjid khariah saya majlis ilmu di adakan saban malam. Begitu juga sepanjang bulan Ramadan ini slot tazkirah di adakan tika rehat antara solat teraweh. Saya begitu teruja untuk bercerita. Kalau pada sebelas bulan selain Ramadan jumlah jemaah untuk solat berjemaah Maghrib/Isyak ialah sekitar lima sof iaitu kurang lebih 200 orang. Dan jumlah jemaah yang duduk sejenak di majlis ilmu saban malam saya selalu dok kira ialah sekitar 70-120 orang. Itu pun muka regular. Minoriti sangat terdiri daripada muka2 baru. Apa maksudnya? Mesej dakwah di masjid ini di ulang tayang kepada grup 70-120 orang ini lagi dan lagi dan lagi. 

Apa hal ahli masyarakat yang ribu-ribu kat luar sana? Apa hal ahli jemaah yang datang untuk solat fardhu berjemaah tapi tak mahu duduk dia dalam majlis ilmu walau sejenak? Masjid kami ni kira sebuah masjid yang aktif dan mendapat pengiktirafan masjid terbaik daripada JAIS. Kalau surau dan masjid yang penuh lesu malas nak cerita la kan. 

Apatah lagi masjid dan surau di negeri2 pemerintahan sekular yang ban majlis2 ilmu daripada berlangsung. Manusia kekal jahil. Manusia terus di sogok dengan alternatif lagho iaitu hiburan demi hiburan tidak kiralah dalam bentuk program2 TV, radio, suratkhabar, pasar malam, pasar uptown, shopping complex, kilauan emas, bintang cilik, sukan, bola,  majalah, wayang, media segala.

Itulah realiti yang kita lihat di masjid2 dan surau2 seluruh negara. Maka slot tazkirah ramadan yang dilaksanakan saban malam sepanjang Ramadan di masjid khariah kami ini sangatlah terbaik bagi saya. Apa tidaknya pada malam pertama Ramadan diikuti malam kedua Ramadan semalam, masya Allah jumlah kehadiran jemaah sungguh luar biasa. Macam datang solat jumaat la pulak. 

Saya congakkan tidak kurang daripada 1,000 orang yang hadir. Tu dia ustaz yang memberi tazkirah sekitar 20-30 minit itu telah berjaya menyampaikan mesej dakwah kepada 1,000 manusia, berbanding dengan 100 manusia sebelum ini. Itu hebatnya Tazkirah Ramadan dan Tazkirah Jumaat. Cuba berhenti sejenak dan fikir. Betul tak apa yang saya kata? Bukankah manfaat yang banyak di sana.

Manusia yang tidak hadir atau jarang hadir ke masjid pada hari2 biasa, kini datang ke Masjid. Manusia yang dilarakan dengan hiburan dan segala tipu daya dunia selama sebelas bulan setiap tahun, tiba-tiba terkedu pabila disuapkan dengan peringatan2 agama secara paksa? 

Ya benar hidayah milik Allah. Tapi hendaklah kamu berusaha sedaya mampu. Dan salah satu cara yang efektif ialah mengambil kesempatan daripada keterujaan umat Islam menyambut Ramadan dengan ibadah harian sunat solat teraweh ini ialah dengan memberikan dos-dos istimewa setiap malam demi menjadi sedikit penawar yang mungkin bisa menyembuhkan penyakit yang di jangkiti sepanjang sebelas bulan yang lain itu. Dos-dos istimewa yang disuntik setiap malam selama 30 malam sepanjang Ramadan ini ialah penawar kepada racun cinta dunia takut mati (sindrom CDTM), inshaa Allah.

Cadangan di grup Whatsapp AJK surau khariah saya telah di tolak. Pengerusi surau pernah beritahu saya ia sesuai dengan arahan JAIS yang tidak menggalakkan tazkirah dan mahu pihak pengurusan surau menumpukan kepada ibadah solat teraweh. Namun saya tetap bersangka baik kerana saya lihat program Ramadan di surau saya tahun ini ada juga di selitkan tazkirah Ramadan oleh ustaz2 jemputan beberapa kali dalam seminggu. Alhamdulillah.

@@@

Monday, March 03, 2014

Ingat Mati

Manfaatkan teknolgi yang ada. Zaman ini ialah zaman facabook, whatsapp, telegram, twitter, wechat, youtube dan macam2 lagi. Sebarkan perkara yang mendatangkan manfaat.

Saya terima satu kiriman dalam Whatsapp yg merupakan sebuah poster ringkas yang mengandungi enam pesanan Imam Ghazali.


  1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? Mati
  2. Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini? Masa Lalu
  3. Apa yang paling besar di dunia ini? Nafsu
  4. Apa yang paling berat di dunia ini? Amanah
  5. Apa yang paling ringan di dunia ini? Tinggal Solat
  6. Apa yang paling tajam di dunia ini? Lidah
Keadaan kemarau berpanjangan kini banyak mengundang kebakaran semak dan hutan. Semalam anak bongsu saya ada bercerita kisah kawannya yang kematian bapa secara mengejut di Johor. Bapanya ini masih muda dan tidak punyai masalah kesihatan. Arwah mati dalam sebuah kebun yang terbakar. 

Khabarnya dia menolong untuk padamkan api yang marak membakar kebun tanaman dikampungnya. Kali pertama dia berjaya masuk ke kawasan kebakaran dan keluar dengan selamatnya. Namun pada kali keduanya dia masuk untuk membantu memadamkan kebakaran itu, dia gagal keluar. Mungkin terperangkap atau lemas dalam asap tebal. Orang kampung menjumpai mayatnya dalam keadaan bersujud. Semoga kematiannya termasuk dalam khusnul khotimah iaitu kematian yang mulia. Marilah kita sama2 sedekahkah pahala bacaan surah al-Fatihah buat arwah. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang yang bertaqwa.

Pagi tadi pula saya menerima perkhabaran daripada isteri saya akan berita kematian abang sulongnya yang menetap di bumi kenyalang. Arwah di masukkan ke hospital kerana komplikasi jantung. Al-Fatihah buat arwah dan mohon Allah kurniakan kesabaran untuk ahli keluarganya sekelian. Semoga ruh arwah dicucuri rahmat. Sesungguhnya ajal maut sudah menjadi ketentuan Allah dan tidak mempercepat atau melewatkan walau sesaat.

Imam Ghazali memberi pesanan apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini ialah kematian. Namun majoriti umat manusia sebenarnya terus menerus menganggap mati itu sesuatu yang sangat jauh lagi. Mati hanya berlaku kepada orang lain sahaja. Manusia lupa bahwa sebuah kematian itu begitu hampir malah sesuatu yang paling dekat sekali. 

Namun di akhir zaman ini situasi sebegini sudah menjadi kebiasaan, iaitu manusia begitu sayang dunia dan takut untuk mati. Manusia tidak gemar bercerita tentang mati. Manusia terus-terusan mengejar dunia. Mengejar sesuatu yang pasti mereka tinggalkan. Manusia terus-terusan di sibukkan dengan kerja, keluarga, hiburan dan kebendaan termasuklah menjadikan 3-Ta sebagai objektif kehidupan iaitu Takhta (kuasa), Harta & Wanita. Sebaliknya manusia gagal menyibukkan diri untuk mencari bekalan akhirat iaitu sesuatu yang pasti mereka bawa nanti.

Hidup di dunia ini sangat sementara. Saya ada menerima satu lagi kiriman Whatsapp perihal data umur para Nabi. Antaranya usia Nabi Adam 1,000 tahun, Nabi Noh 950 tahun, Nabi Shoaib 882 tahun, Nabi Saleh 586 tahun, Nabi Zakariyya 207 tahun, Nabi Ibrahim 195 tahun, Nabi Sulaiman 150 tahun, Nabi Ismail 137 tahun, Nabi Musa 125 tahun, Nabi Isa 40 tahun dan Nabi Muhammad 63 tahun. 

Rata-rata umat akhir zaman kini umurnya sekitar 60-80 tahun sahaja. Saya berkongsi sebuah petikan daripada blog JAIS - Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. 

Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati. Kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh.  Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.
  1. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."( Surah Ali Imran:185 )
  2. "Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun " (Surah al-A'raf:34 & Surah an-Nahl:61)
  3. "Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh." (Surah an-Nisaa':78)                                               

Mengingat kematian akan melahirkan sifat-sifat terpuji. Antaranya adalah sebagai berikut yang saya petik daripada sebuah bicara agama:

  1. Ingat mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas dosa-dosa dan kesalahan kita. Besarnya nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan itu tidak akan dilayan apalagi dituruti. Abu Hazim Salah bin Dinar berkata: “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli." Daripada Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur (mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia dan seisinya." (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)
  2. Ingat mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai menundukkan hawa nafsu. Cara hidup yang kita jalani menjadi lebih efektif kerana berasaskan, Begin with end in mind. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati." (HR al-Tirmizi)
  3. Ingat mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif. Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu berusaha untuk meraihnya. Ramai orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali. Sebaliknya, amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.
Sungguh beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti. Sewajarnya kita bertindak segera untuk menghadapi detik kematian yang akan menjadi titik permulaan kehidupan di alam Barzakh pula. Ingatlah perjalanan masih jauh. Kita bakal meninggalkan dunia yang fana ini dan berhijrah ke beberapa fasa kehidupan di alam lain yang setia menanti iaitu alam barzakh (kubur), alam mahsyar, alam mizan, alam sirat, sebelum berpindah ke syurga atau neraka Allah.
  1. "Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya." (HR al-Bukhari)
  2. “Apabila bila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga (3) perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, anak soleh yang mendoakannya” (HR Muslim). 
Kita muhasabah dan semak pesanan Imam Ghazali di atas untuk peka pada mati dan bersiap siaga untuk menghadapi hari dalam sejarah itu mulai saat ini. Usah lagi bazirkan waktu kerana ia sesuatu yang sangat berharga dan masa yang berlalu itu tidak dapat di tebus lagi walaupun dengan pangkat melangit dan harta berjuta. 

Nafsu pula ibarat duri dalam daging yang sentiasa tidak putus asa untuk menjurus kita pada perkara lara dan maksiat belaka. Maka pandai2lah mencari skil dan ilmu untuk mengawal nafsu ini. Jangan sampai ia mengheret ke lembah kehinaan di sisi Allah.

Ramai orang berebut untuk mengejar pangkat, darjat dan jawatan. Sedangkan semua ini datang dengan amanah dan tanggung-jawab yang besar. Malah sebagai bapa atau ibu juga memegang amanah yang sangat besar untuk membentuk anak didiknya untuk taat kepada Allah SWT. Tunaikan amanah dengan bersungguh-sungguh tulus ikhlas kerana Allah. Jangan sekali-kali pecah amanah atau gagal jujur kepada Allah dalam setiap urusan yang diberikan.

Saya pernah mendangar maklumat ada menyatakan 80% rakyat Malaysia yang mengaku beragama Islam tidak mendirikan solat fardhu. Benarlah pandangan Imam Ghazali bahawa perkara solat sudah dianggap paling ringan dalam kehidupan untuk di tinggalkan begitu mudah tanpa rasa takutkan dosa dan laknat Allah. Ramai hanya Islam sekadar namanya berbau Islam di IC. Apalah nilai mengaku menganut agama Islam tanpa mendirika tiang agama Islam itu sendiri iaitu solat?

Dan akhir sekali persoalan menjaga lidah yang kata Imam Ghazali makhluk paling tajam di dunia ini. Pepatah melayu pun ada mengatakan lidah tidak bertulang yang membawa erti bebas bercakap jika tidak dikawal boleh membawa mudarat berat. Tabiat lidah untuk mengumpat misalnya boleh mengheret empunya diri menjadi bahan bakaran api neraka Allah, kerana bukankah mengumpat itu lebih bahaya dari jenayah membunuh? 

  1. Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR Tirmizi)
  2. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)
Sebagai konklusi, orang yang untung ialah orang yang sentiasa peka soal kematian, mencari pengajaran dan tidak memandang sepi erti kematian, selalu muhasabah diri dan ingat mati dan membuat persiapan yang banyak untuk menempuh kehidupan selepas detik kematian itu. Semoga kita semua tergolong ke dalam kelompok manusia yang cerdik lagi beruntung ini.

@@@

Wednesday, October 16, 2013

Bisikan Syaitan

Pada semangat ibadah korban itu, Allah tidak menilai dengan jumlah lembu atau kambing yang ditumbangkan jika tidak mendekatkan diri taat dengan Allah. Jika kalah dengan bisikan syaitan. Kalau sibuk melapah hingga terlepas solat zohor berjemaah atau hanya datang ke masjid untuk ambil agihan daging. Semangat ibadah korban itu ialah untuk menghampirkan diri dengan Allah bukan menghampirkan diri dengan bisikan iblis dan syaitan.

Setiap kali kita menjalani ibadah korban watak utama yang sentiasa di tazkirahkan ialah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail, idola utama kita pada karekter ketaatan mutlak kepada perintah Allah tanpa mengira natijah hasil baik dan buruknya pada diri sendiri. Jika itu perintah Allah maka no question ask.

Semalam para jemaah haji berkumpul di Arofah. Kemudian melontar di tiga jamrah iaitu mambaling batu kepada batu. Apa hakikat amalan ini? Ia adalah simbolik merejam iblis dan syaitan dengan batu. Di kala Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sedang hendak  menunaikan perintah korban daripada Allah, maka iblis dan syaitan pun giat mengacau. Maka Nabi Ibrahim melontar iblis dan syaitan ini dengan batu. Itulah simbolik amalan melontar di jamrah itu sebagai salah satu rukun ibadah haji yang kita warisi daripada perlakuan Nabi Ibrahim itu. Simbolik melontar musuh kita yang paling utama iaitu iblis dan syaitan.

Apa kerja iblis dan syaitan? Mereka pengacau besar umat ini. Mereka menghasut pada kejahatan. Mereka cukup benci pada hamba yang taat kepada Allah. Kalau ada spesis manusia yang bersifat begini yang mengajak manusia buat keburukan, maka lontar mereka dengan batu.

Nabi menyayangi umat mengatasi segalanya. Kita sebagai umat Nabi mengharapkan syafaat Nabi. Syafaat yang bukan murah harganya. Maka kenalah taat pada segala ajaran Nabi dan sunnahnya demi untuk mendamba syafaat Nabi di Akhirat nanti. 

Antara sunnah Nabi yang sangat di benci oleh iblis dan syaitan ialah berwangi-wangian. Amalkan berwangi-wangian contohnya dengan haruman kasturi syifa setiap kali ke masjid atau untuk tidur malam. Ia bisa menghindar bisikan syaitan. Sesungguhnya iblis dan syaitan sangat suka pada tempat busuk contohnya bau jamban. Jadi jangan dok rehat cari idea lama-lama atas mangkuk jamban ye. 

Bila kita nak beramal dengan amalan yang besar2 maka iblis dan syaitan ini akan kacau giler. Sebab itu cepat2lah bersegera dengan amalan kepada Tuhan mu. Usah bertangguh lagi kerana dikhuatiri akan digagalkan oleh bisikan halus syaitan. Begitu juga setiap kali melakukan kesilapan atau perbuatan dosa maka segeralah mohon keampunan Allah. Sesungguhnya Allah sangat suka mengampunkan dosa hamba-hamba Nya.

Kita lihat pada seorang hamba yang jatuh sakit, maka Allah memerintahkan empat malaikat untuk mendatangi pesakit tadi dan menarik empat nikmat daripadanya. Pertama nikmat makan sebab itulah si pesakit selalunya tak selera makan, rupanya nikmat makan telah ditarik. Kedua, Allah memerintahkan malaikat menarik nikmat rezki. Kalau dulu boleh kerja overtime tapi bila sakit tak mampu lagi. Ketiga, malaikat menarik nikmat seri muka. Padan la muka orang sakit ni tampak lesu dan tidak bermaya. Dan akhirnya Allah perintahkan malaikat menarik nikmat dosa daripada si pesakit. Rupanya banarlah sakit itu sebagai penebus dosa.

Bila si pesakit sudah sihat, maka Allah merintahkan empat malaikat untuk mengunjungi dan mengembalikan  semula nikmat makan, rezki dan seri muka kepadanya. Tapi Allah tidak memerintahkan malaikat untuk mengembalikan dosa orang itu. Nampak tak? Itulah Maha Pemurah nya Allah. Allah Maha Pengampun dosa hamba-hamba-Nya. Allah sentiasa memberi ruang yang seluas-luasnya untuk mengampunkan segala dosa. Jika buat salah maka bersegerakan menyesali perbuatan itu dan mohon keampunan Allah dengan penuh keiikhlasan.

Berhati-hatilah setiap masa dengan bisikan syaitan. Semua kita ini bakal-bakal jenazah belaka. Percayalah satu hari nanti kita akan berpeluang menaiki van jenazah secara exclusive. Mati ialah permulaan kehidupan baru. Berushalah untuk menghidupkan sunnah Nabi. Tadi kita dah di ingatkan supaya sentiasa berwangi-wangian. Seterusnya Nabi mengamalkan makan kurma, maka jadikan ini amalan. Setiap rumah perlu ada bekalan kurma setiap masa. Janganlah Yusof Taiyob hanya famous tika Ramadan sahaja. Amalkan makan sebiji kurma sebelum menghadapi hidangan makan pagi, tengahari atau makan malam.

Nabi juga mengamalkan makan garam bukit. Ustaz Omar Jaafar ada berpesan supaya mengamalkan setiap pagi bila bangun tidur sebelum gosok gigi untuk meminum secawan air yang dicampur sedikit garam bukit (contohnya keluaran Halagel) dengan berkumur-kumur sebelum menelannya. In sya Allah ia dapat menyerlahkan kesihatan yang baik.

Tentang tabiat merokok, fatwa peringkat kebangsaan dan negeri semenjak 1989 lagi telah menyatakan hukum merokok itu haram. Antaranya kerana ia memudaratkan kesihatan akibat terdapat lebih 4,000 jenis racun tersirat dalam setiap batang rokok itu. Ia juga perbuatan membazir yang nyata. Penghasilannya juga melibatkan pencampuran ram (ibu arak) yang direnjiskan kepada tembakau kering bagi menghasilkan 'kick' pada setiap dos hisapan rokok. 

Akhirnya bisnes rokok juga merupakan penjana ekonomi yahudi di mana penyumbang kepada dana kerajaan haram Israel yang agenda utama mereka untuk menguasai Baitul Maqdis dan membunuh umat Islam di Palestin. Dua syarikat rokok terbesar dunia ialah Philip Morris dan British Tobacco. 

Tabiat merokok adalah satu lagi bisikan syaitan. "Lepas sarapan nasi lemak ni hang mesti pekena rokok sebatang," itulah bisikan syaitan. Merokok juga menghasilkan bau busuk yang memang menjadi kesedapan iblis dan syaitan. 

Tanyalah isteri mana pun maka jawaban mereka ialah tentu tidak suka tabiat suami yang merokok. Bau busuk perokok juga sangat menganggu ahli jemaah semasa solat berjemaah. Hembusan asap rokok bukan saja merosakkan kesihatan si perokok tapi yang sadis ia juga memudaratkan orang sekeliling yang tidak merokok terutamanya ahli keluarga sendiri. Tips utama untuk berhenti merokok ialah azam mesti kuat, buang terus rokok dan hindari daripada bercampur dengan kawan2 perokok.

Berhentilah segera daripada tabiat merokok. Tanyalah mana2 pakar kesihatan contohnya pakar jantung, pakar paru2 atau pakar otak, semuanya akan menyatakan habit merokok sangat membahayakan kesihatan dan emosi seseorang. Rokok adalah satu agenda yahudi untuk memusnahkan umat Islam. 

Agenda yahudi termasuklah mitos tidak elok makan daging kambing atau minum susu kambing sedangkan itu adalah antara sunnah Nabi. Orang yahudi sendiri mengamalkan sunnah Nabi ini sebab itulah mereka termasuk dalam kelompok manusia yang bijak, tapi yahudi tidak mahu orang lain bijak seperti mereka. Contoh lain strategi jahat Yahudi ialah mempromosikan riba ke seluruh sistem perbankan dunia tapi di Israel tidak diamalkan pun amalan riba ini. Partner in crime utama yahudi ialah bisikan syaitan.

Ustaz Omar Jaafar pada kuliah maghrib malam tadi juga ada berkongsi tips awet muda. Pertama amalkan baca al-Qur'an kerana Allah. Bacalah setiap hari walaupun sekadar satu mukasurat atau satu surah pendek. Jangan tunggu masa tertentu sahaja. Ada ruang saja terus baca walaupun tanpa mushaf. Baca surah2 hafazan semasa memandu ke tempat kerja contohnya. 

Kedua, bangun mendirikan solat malam terutamanya solat tahajjud. Itulah petua utama awek muda. Keheningan malam punyai aura hebat hubungan hamba dengan Penciptanya. Petua ketiga untuk awet muda ialah jarakkan atau lewatkan minum air selepas makan. Cubalah amalkan tiga petua ini dan saksikan hasilnya dengan izin Allah.

Sebagai konklusi, setiap kali anda di datangi idea bernas untuk melakukan keburukan atau kejahatan maka pahatkan di minda dan bisikkan di telinga anda, "Bisikan Syaitan" (sebut dalam nada misteri nusantara). Di susuli bibir terus istighfar dan zikrullah. Nyahkan bisikan syaitan dari hidup manusia beriman. Pagarkan dirimu daripada terus digoda oleh Bisikan Syaitan.

@@@

Wednesday, September 04, 2013

Persiapan Untuk Akhirat

Saya bukanlah pengguna Facebook yang aktif cuma sekali sekala masuk. Tambahan pula di ofis saya ini laman Facebook di sekat. 

Pada satu masa saya telah hantar mesej kepada bekas boss lama saya di Syarikat iaitu Tn Hj Danial. Mesej pendek saya itu dalam bentuk bertanya khabar, "Projek apa sekarang Tuan?" Beliau telah bersara semenjak beberapa tahun dahulu dan kini menjalani kehidupan yang tenang di sebuah perkampungan di Janda Baik. Jawabnya kepada saya di ruangan Facebook itu, "Sedang sibuk membuat persiapan untuk ke Akhirat." Saya terkedu. Saya teruja dengan respon Tn Hj Danial. Saya sungguh merasakan itu satu respon yang hebat.

Pagi tadi saya berpeluang bersarapan bersama seorang teman lama iaitu Sdra Ismadi Ahmad yang juga pernah bekerja di bawah Tn Hj Danial.  Sdra Ismadi ini punyai presentation skill yang sangat baik dengan profesyen sebagai ahli pemasaran. Perbualan kami banyak menjurus kepada soal pekerjaan dan tugasan kerja. Kemudian beraleh kepada cerita anak2. 

Daripada cerita soal anak2 ini dapat saya simpulkan bahawa walaupun punyai ibu dan bapa yang sama tapi anak kita yang lahir itu punyai karektor mereka masing2. Mereka punya minat dan bakat yang tersendiri. Mereka punyai kekuatan dan kelemahan masing2. Maka tugasan kita sebenarnya untuk memahami kelainan itu. Seterusnya memberi sokongan yang terbaik untuk sedaya mampu memandu mereka ke jalan yang benar atau kepada objektif yang betul.

Anak pertama mungkin agak nakal, sederhana dalam pencapaian akademik tapi punyai sikap yang bagus, pandai bersosial dan memiliki skil jalanan (street smart) yang baik. Kata saya itu sudah bagus kerana dengan sikap yang baik insyaAllah dia akan pergi jauh. Tambahan lagi karekternya yang mudah menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana. Cumanya mestilah di beri nasihat dan gambaran realiti sebenar di luar sana. Selebihnya pengalaman akan mengajar dia erti kehidupan. Yang penting jangan malas belajar dan  menimba ilmu.

Anak kedua mungkin agak pendiam, tidak gemar bersosial, lebih reserve tapi cemerlang dalam bidang akademik. Bagus skil penyampaiannya, gemar menulis dan jaguh berkomunikasi di alam cyber. Maka sebagai ibubapa harus mengiktiraf kelebihan anak ini. Beri bantuan dan galakan kepadanya. Mungkin elok juga kalau dapat menghantarnya ke kursus jangka pendek penulisan. Galakkan dia untuk mengembangkan bakat penulisan kreatifnya. Kumpulkan bahan penulisan untuk dijadikan buku yang boleh diketengahkan kepada pihak syarikat penerbitan buku. Saya lihat MPH contohnya memberi peluang kepada penulis2 muda berbakat dengan menerbitkan buku2 terutamanya buku2 bahasa inggeris.

Saya juga meluahkan rasa hati kepada kawan saya ini dengan bertanya jika ada peluang untuk melibatkan diri pada slot motivasi mungkin sebagai penyampai bebas untuk berkongsi pengalaman demi memotivasi para pendengar terutamanya para pelajar supaya faham gambaran luas, halatuju kehidupan ini. Bagi saya ilmu atau pengalaman yang ada seharusnya dikongsikan supaya ia menjadi sesuatu yang bermanfaat dan bukan hilang sekadar hilang dengan sebuah kematian. Kerana ilmu bermanfaat adalah satu di antara tiga sumber yang bisa membantu seseorang yang sudah meninggalkan alam dunia dan berpindah ke alam barzakh. Sampaikan ilmu bermanfaat kepada umat ini walaupun sekadar sebuah resepi membuat agar2 merah.

Setiap detik yang kita lalui adalah mendekatkan kita kepada detik perpisahan. Perpisahan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat. Antara ciri utama orang beriman ialah mempercayai perkara ghaib. Antara perkara ghaib ialah dosa pahala dan syurga neraka. Kembalilah kepada hakikat bahawa sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia maka jangan kita sampai lara hingga lupa untuk membuat persiapan untuk akhirat. 

Yang seeloknya ialah setiap kegiatan kita ini biar ada akhirat di belakangnya. Buat baik kita itu biar niatnya kerana Allah bukan kerana makhluk supaya ada nilaiannya di akhirat. Kerana apa yang di dunia semua akan kita tinggalkan walau sayang sehebat mana pun. Tapi apa yang di dunia yang terpahat kepentingan akhirat maka di situ ia menjadi teman setia kita yang bisa membantu kita mencapai kebahagiaan kekal abadi. Benarlah dunia ini jambatan ke akhirat.

Tn Haji Danial sedang sibuk membuat persiapan untuk akhirat, Kita bagaimana? Tn Haji Danial kini menjadi pengembala kambing di Janda Baik di bawah kehijauan kaki bukit dan kejernihan anak sungai. Dalam hirupan udara segar kurniaan Allah, dia mungkin sibuk renung dan fikir akan kebesaran Allah dan menzahirkan rasa syukurnya. Bahawa hidup ini sementara sahaja. Dan penghidupan di Akhirat itulah yang kekal abadi. 

Teruskan usha kita semua untuk persiapan untuk akhirat, Selamat berjaya. Selamat menyambut hari kemerdekaan dari azab siksa neraka Allah. Itulah sambutan Hari Kemerdekaan sebenar yang harus diimpikan dan dinanti2kan oleh orang yang beriman.

@@@

Wednesday, July 17, 2013

Dilema Tazkirah?

Apa tujuan datang masjid malam ini? Nak solat teraweh. Ada tak yang datang ni kerana nak solat isyak? Seolah-olahnya solat teraweh itu kemuncak sebuah Ramadan. Ada yang beriya-iya untuk solat teraweh tapi tak kisah meninggalkan solat maghrib atau isyak atau solat2 fardu yang lain.

Hakikat yang kita kena faham ialah sebanyak mana amalan sunat tidak akan ada nilainya sekiranya mengabaikan soal solat fardu. Maka yang utama ialah solat fardu. Harap kita jangan lalai untuk mendirikan solat2 fardu dan afdalnya solat secara berjemaah pada setiap waktu.

Seorang mufti semalam ada mengeluarkan kenyataan di akhbar supaya tazkirah di adakan antara maghrib dan isyak atau selepas solat teraweh demi untuk tidak mengganggu solat teraweh. Mufti itu juga menambah ini supaya mengambil kira jemaah yang nak balik awal dan pelajar2 yang nak balik mengulangkaji pelajaran. Tu dia solat teraweh is the 'Musang King' of Ramadan. Kemuncak dan simbol utama amalan di bulan Ramadan.

Seorang kawan saya yang nampak zuhud dan alim bertanya saya, “Penting ke tazkirah ni?” Saya dengan konfiden menjawab, “Ya sangat penting.”  Dia agak skeptik mendengar jawaban itu. Baginya tazkirah itu tidak penting dan mungkin mengganggu konsentrasi ibadah solat sunat terawehnya.

Ada juga majlis2 agama negeri yang menetapkan solat teraweh 20 rakaat bagi setiap masjid dan surau di seluruh negeri yang mungkin salah satu hikmahnya ialah untuk mengelakkan sebolehnya tiada ruang lagi untuk slot diadakan program tazkirah kerana masa yang agak panjang sudah terpakai.

Soal tazkirah iaitu sesi peringatan yang diadakan di masjid dan surau yang mengambil masa sekitar 20-30 minit itu, adalah tergolong dalam kelompok majlis ilmu yang pada segi hukumnya menuntut ilmu itu wajib. Maka sangat afdallah berada di majlis ilmu jika berbanding dengan amalan sunat yang lain. Malah dinyatakan berada di majlis ilmu itu adalah lebih baik daraipada mendirikan 1,000 rakaat solat sunat.

Sebagaimana hadis Abi Zarr RA katanya ertinya: “Setiap permulaan seseorang yang mengajar ilmunya itu lebih mulia daripada bersolat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan mengiringi seribu jenazah.”

Rasulullah juga pernah bersabda; ilmu itu adalah khazanah bagi orang-orang islam, maka jadilah antara 4 golongan majlis ilmu yang mendapatkan keredhaan dari Allah dan 4 golongan tersebut ialah:
1) Orang yang bertanya/belajar
2) Orang yang mengajar
3) Orang yang mendengar
4) Orang yang cinta orang yang berada dalam majlis ilmu.

Jangan kita jadi orang yang ke 5 iaitu benci kepada orang menuntut ilmu dan kepada orang yang mengajar ilmu. Sangat keji orang yang merasa dirinya pandai dan tidak mahu menuntut ilmu malah cuba pula menghalang orang lain dari mengadakan dan menghadiri majlis ilmu. Seolah-olah suka pula orang ramai kekal dalam kejahilan.

Terdapat banyak fadhilat-fadhilat menuntut ilmu yang terlebih baik daripada beribadat sunat yang disabdakan oleh Nabi SAW ertinya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu tentang sesuatu bab, ia lebih baik daripada kamu bersolat seratus rakaat.”

Kemudian Rasulullah SAW ditanya : Adakah ia (menuntut ilmu) lebih mulia daripada membaca Al-Quran dijawabnya : “Tidak manfaat membaca Al-Quran itu tanpa ilmu.”

Sepertimana kata Imam Syafie RA bahawa menuntut ilmu itu terlebih baik daripada sembahyang sunat.

Dan Abu Darda’ juga telah berkata: “Demi Tuhanku, bahawasanya aku lebih suka belajar sesuatu ilmu itu berbanding daripada beribadat setiap malam (qiamullail).

Dan Atta’ telah berkata : Sesungguhnya perhimpunan orang yang duduk di dalam majlis ilmu itu iaitu menghapuskan tujuh puluh perhimpunan majlis lagha (sia-sia).

Tazkirah yang di adakan di masjid dan surau di sepanjang Ramadan tidaklah mengganggu ibadah solat sunat teraweh kerana ia di adakan samada sebelum solat teraweh, semasa berehat antara solat teraweh atau setelah usai solat teraweh. Para jemaah nampak sangat relax, teruja dan fokus. Apatah lagi bila dinaungi para malaikat yang sentiasa mendoakan agar kita dirahmati dan diampuni. Walaupun ada juga segelintir yang terlelap dengan kusyuk,  namun itu adalah lebih baik dari duduk menonton TV di rumah atau berada di majlis yang sia-sia.

Tazkirah diadakan pada tika itu ialah untuk mengambil kesempatan menyampaikan ilmu dan peringatan kepada jemaah yang ramai hadir. Saya ambil contoh di Masjid kami, pada kebiasaannya siri kuliah maghrib yang diadakan mengundang jemaah sekitar 100 orang sahaja. Tapi di malam2 Ramadan ini jumlah jemaah yang hadir mencapai 1,000 orang, maka ada pertambahan 900 orang ahli jemaah muka2 baru. Maka itulah target kita untuk memberi peringatan dan ilmu supaya mereka tahu dan tidak lagi kekal lalai dalam kejahilan. Dan yang utama untuk mencetus minat meneruskan hadir di majlis2 ilmu di luar Ramadan nanti.

Apa keburukannya di sini? Kecualilah orang yang benci kepada orang menuntut ilmu dan kepada orang yang mengajar ilmu iaitu kategori ke-5 seperti yang  dijelaskan di atas. Atau kelompok manusia yang gemar kepada majlis yang lagha (sia-sia) berbanding dengan majlis2 yang bermanfaat mengajak manusia dekat kepada Allah. Sama2lah muhasabah diri dan tanya iman apakah ikhlas untuk mengajak manusia taat kepada Allah atau sebaliknya.

Saya mohon biarlah Masjid itu ada ruh dan suasana kemeriahan ibadah di bulan Ramadan. Jangan sekadar program mendirikan solat teraweh tanpa ruh dengan bacaan yang laju demi mengejar 20 rakaat dan kelompok jemaah mengilat dalam solat. Biar nampak tersergam indah sesebuah Masjid itu, tapi tanpa ruh ianya sekadar lesu dan tiada bermaya. Nampak gah tapi isinya menghampakan orang beriman.

Perkara lain yang agak memesongkan masyarakat kita juga ialah soal buat open house untuk raya dan memberi duit raya seolah-olah sudah jatuh hukum wajib. Yang tersangat afdal sebenarnya ialah melakukan kebaikan di sepanjang bulan Ramadan ini iaitu buatlah open house mengajak orang berbuka puasa atau bersahur yang nilaian pahalanya masyaAllah beribu-ribu lemon. 

Begitu juga amalan bersedekah ini, bagilah duit raya itu di bulan Ramadan mungkin sehari sebelum raya demi untuk meraih pahala bersedekah yang nilaiannya 700x ganda di sepanjang Ramadan itu. Maka tidaklah kita buat sesuatu amalan itu dengan sia-sia sahaja walaupun mengeluarkan belanja yang banyak. Jadilah manusia yang bijaksana bukan sekadar bijaksini.

Sayugia yang kita tahu 10 malam terakhir Ramadan itu adalah kemuncak limpahan rahmat Allah untuk kita semua yang terkandung di dalamnya Lailatul Qadr yang terlebih baik daripada 1,000 bulan. Maka dirikanlah solat hajat setiap malam mulai kini memohon ke hadrat Allah dengan penuh ikhlas dan tawajjuh agar dipertemukan dengan Lailatul Qadr bagi meraih segala anugerah-Nya itu.

Cepat sungguh masa berlalu dan hari ini sudah 8 Ramadan. Hanya tinggal berbaki 22 hari lagi Ramadan tercinta ini. Ayuh bersedia membuat pecutan terakhir menuju garis penamat. Semoga ada happy ending, bukan kecewa lagi macam biasa. Semoga kita mendapat rahmat Allah, pengampunan atas segala dosa kita, dan kemuncaknya ialah pembebasan daripada api neraka Allah dan mendapat pula redha Allah untuk memasuki syurga-Nya.  InsyaAllah.


@@@

Tuesday, July 16, 2013

Sedekah untuk Akhirat

Alhamdulillah syukur kerana masih diberi ruang untuk amal soleh di Ramadan ini. 10 hari pertama Ramadan dipenuhi dengan rahmat Allah. Syukur kerana Allah masih buka hati kita untuk ke Masjid setiap malam. Rahmat Allah menjadikan hati kita ini lembut untuk mudah melakukan ibadah. Semoga penuhnya masjid tahun ini sepanjang Ramadan akan berubah kepada penuhnya masjid di bulan2 di luar Ramadan juga. 

Wahai sekelian orang beriman, ambillah peluang dan anugerah Allah ini. Ambillah segala kebaikan yang ada di bulan mulia ini setelah pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, pintu syurga pula dibuka seluas-luasnya, dan para syaitan dan iblis di ikat dan dipenjarakan. Wahai sekelian ahli maksiat, tinggalkan segala keburukan dan maksiat.

Banyak hadiah yang Allah nak berikan sepanjang Ramadan ini. Malamnya kita Qiam. Siangnya kita Siam iaitu menahan diri daripada segala perkara yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala puasa. Apakah mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan hati masih melakukan maksiat?

Setiap solat fardu di bulan Ramadan ini dibalas Allah dengan nilaian 70x ganda solat fardu pada bulan2 yang lain. Pemurahnya Allah. Solat2 sunat pula ibarat solat fardu di bulan2 lain. Sudah sebelas bulan kita berbuat maksiat, maka harapnya setelah 6 hari berpuasa ini maka digugurkan sekurang-kurangnya enam dosa kita. Tapi berapa banyak dosa yang ada sepanjang hidup 49 tahun ini?

Maka satu lagi kebaikan yang perlu sangat diambil perhatian ialah bersedekah. Sebaik-baik sedekah ialah di bulan Ramadan. Maka sangat afdallah kita banyakkan bersedekah di sepanjang Ramadan ini. Bandingan orang bersedekah ialah seperti satu biji benih yang mengelurakan tujuh cabang, yang berbuah 700 buah pada setiap cabang. Maknanya jika bersedkah RM1 maka nilaiannya ibarat RM700. Maha Pemurahnya Allah. 

Ajaib sungguh matematik Allah. Kita belajar di sekolah kalau ada RM10 dalam poket, kita sedekah RM5 maka yang tinggal untuk kita ialah RM5 sahaja. Rupanya matematik Allah mengajar RM5 yang kita sedekahkan itu akan menjadi RM3,500 untuk kita miliki secara hakiki. Betapa untungnya berniaga dengan Allah. 

Dalam satu majlis persediaan perang Rasulullah menyeru sahabat untuk bersedekah. Maka Usman Bin Affan pun terus bersedekah 1,000 dinar. Kalau tuan2 nak tahu (berdasarkan harga setiap dinar emas bersamaan RM500 harga semasa) 1,000 dinar ini bersamaan dengan 1,000 x RM500 = RM500,000.  Tu dia sekali sedekah setengah juta RM beb...hebat hebat. Maka Rasulullah berseru lagi para sahabat untuk bersedekah maka bangkit lagi Usman Bin Affan untuk balik ke rumah mengambil 1,000 dinar lagi. Menjadikan total dia bersedekah sebanyak 2,000 dinar iaitu bersamaan dengan RM satu juta. Sangat terserlah cinta akhirat para sahabat berbanding dengan cinta dunia.

Untuk menjana sifat dermawan maka hati mesti bersih. Kebajikan yang sempurna ialah dengan bersedekah harta yang paling disayang. Sedekah yang terbaik ialah waqaf. Ada seorang tokoh korporat mewaqafkan RM25 juta untuk membina komplek Maahad Tahfiz di Hulu Langat. Alhamdulillah. Selagi mana waqaf itu berjalan maka pahala juga berjalan. Terputus hubungan bila mati kecuali tiga perkara iaitu amal jariah (waqaf), ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh. Waqaf juga boleh dilakukan untuk orang tersayang seperti ayah ibu kita. Sistem waqaf di negara kita khasnya di Selangor ini pun telah banyak dipermudahkan untuk orang awam.

10 hari yang pertama di bulan Rejab adalah yang paling utama, 10 hari di pertengahan Syaaban yang paling baik, dan bagi Ramadan 10 hari yang terakhir itulah yang terbaik. Maka pecutan terakhir akan membawa kemenangan. Ibarat orang berlumba lari 100m atau perlumbaan kereta F1 Litar Monza pecutan terakhir itu akan menentukan pemenangnya. 

Maka penuhilah Ramadan kita ini dengan amal soleh setiap masa. Iktiqaf di Masjid, zikrullah di bibir, dirikan solat2 malam, tadabbur Qur'an, bersedekah, dan 1,001 juadah menu amal soleh. Dirikan solat hajat setiap malam untuk ditemukan dengan Lailatul Qadr. Harap dan doa agar Ramadan tahun ini lebih baik dari 10 tahun yang lalu, malah terbaik daripada yang terbaik. Ringankan tangan untuk bersedekah untuk Akhirat, insyaAllah.

@@@

Thursday, July 11, 2013

Tazkirah Itu Peringatan

Perkataan tazkirah dinyatakan pada surah Az-Dzariyat ayat 55: "Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang2 yang beriman."

Memberi tazkirah iaitu peringatan demi peringatan sangatlah dituntut iaitu bagi mengingati perkara-perkara yang sudah diketahui tetapi sudah lupa atau lalai daripada mengamalkannya. Maka tazkirah ini bagi mencetuskan keinginan dan kesederan untuk tidak berterusan meninggalkan sesuatu amalan atau ibadah itu.

Sesungguhnya tazkirah itu memberi manfaat kepada orang2 yang beriman. Orang2 beriman suka kepada tazkirah, ceramah, kuliah maghrib, khutbah, dan majlis2 ilmu. Sebaliknya orang yang tidak suka kepada tazkirah dan majlis2 ilmu sebenarnya punyai masalah dengan iman mereka. Orang yang gemar kepada program2 hiburan di TV, drama2 dan lagu2 pada hakikatnya ada problem dengan iman.

Ada orang pertikaikan tazkirah ini sebagai bidaah dan mengganggu solat teraweh. Solat teraweh secara berjemaah ini juga sebenarnya bidaah kerana ianya tidak pun dilakukan oleh Rasulullah. Bahkan ia adalah inisiatif Khalifah Umar al-Khatab untuk mengumpulkan jemaah pabila melihat para jemaah yang mendirikan solat secara berpecah-pecah di Masjid Nabawi. Slot tazkirah yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini tidak mengganggu solat teraweh sebenarnya kecuali diadakan serentak.

Tazkirah di adakan setelah solat teraweh berhenti rehat seketika atau selepas selesai solat teraweh diadakan. Tujuan utama ialah untuk mengambil kesempatan penyampaian ilmu dan peringatan kepada para jemaah yang ramai itu yang majoritinya ialah bukan ‘regular customer’ masjid. Maka harapnya ia bisa membangkit kecintaan kepada mereka untuk terus hadir ke majlis2 ilmu selepas Ramadan nanti. Slot tazkirah sekitar 20-30minit adalah dikira terbaik.

Malah ramai jemaah yang mendapat ilmunya tika tazkirah diadakan, sebagai contoh seorang pemuda selama ini tidak pernah basuh kencing kerana tanggapannya ianya tidak penting. Bila dia nak solat terus ambik wudhuk dan solat seperti biasa. Dengan mendengar tazkirah barulah dia sedar bahawa basuh kencing adalah persoalan taharah suatu tuntutan syariaat yang tanpanya solat juga akan terbatal.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mendirikan malam-malam Ramadan berdasarkan iman dan keikhlasan kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu." (Muttafaqun 'alaih)

Mendirikan malam itu merangkumi segala amal soleh seperti solat, zikrullah, mengaji Qur’an, istighfar, selawat, majlis2 ilmu, sedekah, dan segala amal makruf dan nahi munkar. Waktu yang dimaksudkan untuk mendirikan malam itu ialah selepas Isyak. Yang afdalnya ialah 2/3 malam iaitu sekitar pukul 2:30am hingga sebelum subuh. Tapi jika kita praktikkan solat teraweh berjemaah ini sekitar pukul 2:30am itu maka dikhuatiri tidak akan mendapat sambutan masyarakat sebagaimana kini. 

Begitulah juga majlis tazkirah juga akan tidak begitu berkesan sekiranya diadakan pada waktu sebegitu. Maka benarlah segala amalan dan ibadah ini perlulah disusun mengikut kebijakan agar dapat memberi manfaat kepada kelompok ramai. Yang utama ialah selepas solat isyak hidupkan malam di sepanjang Ramadan ini.

Berilah tazkirah kerana ia memberi manfaat. Siapa yang rasa takut kepada Allah maka dia akan ambil peringatan. Jika kita cakap sesuatu dan ia memberi manfaat dan orang nak berubah maka ia lebih baik daripada miliki kenderaan mewah. Pabila Allah SWT suruh beri peringatan maka natijahnya orang yang lupa akan ingat balik dan orang yang tidak tahu akan dapat ilmu dan baiki dirinya. 

Sangat rugi orang yang dah rasa pandai. Sangat rugi orang yang tidak inginkan tazkirah. Maka teruskan berada di majlis2 ilmu dan tazkirah agar manfaat berjaya diperolehi.

Ada pula sebilangan ahli masyarakat yang begitu teruja dengan amalan sunat di bulan Ramadan ini contohnya solat teraweh. Tapi pada masa yang sama masih lalai dengan ibadah wajib contohnya masih meninggalkan solat zohor atau asar tapi sangat beriya untuk tidak miss solat teraweh 20 rakaat. Tabiat ini mestilah ditegur sebab ia sangat merugikan empunya badan, kerja yang sia-sia kerana tidak dikira amalan solat teraweh yang sunat itu jika solat fardu yang wajib itu ditinggalkan. Tegurlah dia kerana kita sayang dia. Segala amalan ini kena bertepatan dengan syariaat. 

Begitu juga jika lakukan puasa sunat isnin dan khamis tapi tidak pula puasa wajib sepanjang Ramadan, maka sia-sialah amalan puasa sunatnya tadi.

Sedikit masa yang kita luangkan di jalan Allah, maka Allah akan beri rahmatnya. Tazkirah ialah pencetus supaya suka kepada majlis2 ilmu. Berada di majlis ilmu akan mengundang para malaikat untuk menaungi dan mendoakan untuk kita. Ya Allah rahmati mereka. Ya Allah ampuni mereka.

Bersungguh-sungguh menuju kepada Allah dengan berada di majlis2 ilmu maka Allah bersungguh-sungguh memberi ilmu. Jika malu untuk ke majlis2 ilmu maka Allah pun malu untuk memberikan ilmu. Dan yang paling parah ialah jika berpaling daripada majlis2 ilmu maka Allah pun berpaling daripada dia dan kekallah dia jahil untuk selama-lamanya.

@@@

Friday, June 07, 2013

Fikir Destinasi Akhir

Kemana Hala Tuju Aku Ini ?
Saya melayari blog seorang teman. Saya baca posting dia perihal kekonfiusan dalam kerjaya yang dia lakukan. Sebenarnya ramai yang konfius apakah ini kerjaya yang sesuai untuk aku? Apakah ini yang aku seronok untuk lakukan? Aku ada degree dalam bidang ini tapi aku sebenar rasa tak berupaya atau tak berminat sebenarnya dalam bidang ini. 

Saya juga sering bosan dengan kerja rutin yang saya lakukan. Malah dinyatakan ramai kelompok pekerja pertengahan umur hinggalah ke peringkat dah nak sampai umur pencen pun sering mengeluh atau tidak merasa kepuasan dalam kerjaya yang mereka lakukan atau terpaksa jalani sebagai sumbar rezki. Jika tidak dikawal emosi sebegini boleh menjana musibah terutamanya penyakit stress atau kemurungan. Yang penting walau apapun tugasan kita mestilah mebuatnya menjadi seronok. 

Bayangkan jika kita menghabiskan 8 jam di ofis setiap hari maka sangat afdal kita alehkan kemurungan atau kedukacitaan menjadi keceriaan dan kepuasan, iaitu bekerja kerana Allah. Usah mengeluh lagi. Lakukan kerja dengan amanah dan tambah nilai supaya tinggi hasil mutu kerja kita. Disamping itu selitkan dengan aktiviti yang kita suka dan memberi manfaat. Jadikan masa kerja itu penuh produktiviti dan niat kerana Allah agar ianya menjadi ibadah yang ada nilaian di sisi Allah.

Kemudian jika habiskan 3 jam setiap kali memandu pergi dan pulang dari tempat kerja, jangan sia-siakan masa itu. Penuhi dengan mendengar ceramah agama atau siri motivasi di radio atau selang-selikan dengan irama lagu yang melunak jiwa. Jangan lupa untuk menjadikan rutin zikrullah, selawat dan istighfar di kala perjalanan tika memandu keseorangan itu. 

Dan satu lagi yang saya selalu amalkan ialah bermuhasabah diri, mengadu domba kepada Allah akan segala sesuatu yang terlintas kerana sesungguhnya Allah amat dekat dan Maha Mendengar segala keluhan, rintihan dan luahan rasa itu. Itu rasa saya sangat lebih  elok kalau nak dibandingkan dengan hanya mengeluh akibat stres trafik yang jem atau sumpah seranah pada pemandu2 yang lain yang kita anggap menyakitkan hati atau sekadar merenung jalan tanpa apa-apa pengertian.

Ada orang bijak cakap dalam kerja kita ni hanya 20% skil teknikal yang kita perlu tapi 80% lagi ialah sikap atau emotional competencies yang sangat diperlukan.  Don't worry ramai yang konpius. Namun semarakkan sikap positif dalam diri agar dapat padamkan segala api kegusaran itu.

Acap kita rasa problem aku ini sangat berat hingga mungkin saja aku putus asa namun percayalah ia problem kecil sahaja kalau nak dibandingkan dengan problem yang lebih besar di luar sana. Bergantung harap bukan pada makhluk tapi bergantung haraplah pada Pencipta makhluk iaitu Allah SWT pada setiap masa. Setiap sesuatu yang berlaku ini pasti ada hikmahnya yang kekadang memang tidak tercapai oleh akal. 

Berpeganglah pada SSP iaitu banyakkan Syukur pada segala nikmat yang Allah kurniakan ini. Banyakkan Sabar pada setiap ujian dan dugaan. Dan banyakkan Redha pada setiap ketentuan Allah.

Saya mendengar Ustaz bercerita malam tadi di Surau, "Saya bercuti selama 12 hari balik kampung atas urusan tiga kematian dalam keluarga yang berlaku dalam tempoh itu. Pertama anak saudara saya seorang wanita berusia 31 tahun, mahasiswa PHD di UiTM. Mengikut ibunya, arwah seorang wanita baik pekerti yang sangat menjaga aurat dan istiqamah menjaga solat tahajjud dan solat dhuha. Di suatu pagi usai solat subuh dan sempat beristighfar sebanyak 3x, mengadu kepada kawan2 serumah dia rasa sejuk walaupun berpeluh, lalu diselimutkan. 

Dalam siatuasi ini dia berpesan bahawa duit kiriman bapanya beberapa hari lalu untuk tujuan bayaran muka kereta telah dia gunakan untuk melangsaikan baki bayaran PTPTN dan tiada lagi hutang lain melainkan dia berpesan agar kawannya dapat memberitahu ibunya bahawa dia tidak sempat lagi qada puasa sebanyak dua hari. Kemudian dia telah menghembuskan nafas terakhir. Ustazah yang menguruskan jenazahnya untuk pengkebumian menyatakan bahawa jenazahnya masih panas seolah orang yang tidur dan masih hidup."

Kedua ialah bapa mertua Ustaz yang mati kemalangan di langgar lari oleh pemandu sebuah kereta Waja yang hingga kini gagal dikesan. Dia meninggal di HUSM asbab limpa yang rusak teruk walaupun tulang rusuknya tidak patah. Ustaz bercerita bapa mertuanya ini sering berulang-alik dengan motornya ke hospital Tanah Merah untuk menjaga bapa mertuanya yang sakit asma yang kronik. 

Takdir Allah menentukan bahawa dia meninggal dulu semasa pulang dari menghadiri jamuan kenduri kerabatnya di Kota Bharu. Beberapa hari selepas itu kematian ketiga ialah bapa mertuanya yang terlantar sakit di Hospital Tanah Merah berkenaan. Maka lengkaplah tiga kematian dalam masa 12 hari, kata Ustaz.

Kawan saya di ofis tadi sambil membaca berita seorang staf PPJ berusia 25 tahun yang maut akibat simpton akut gunung (AMS) pada ekspedisi mendaki Gunung Kala Pathar dan Everest Base Camp di akhbar, telah memberi pendapatnya bahawa ini mengkin berlaku kerana tidak cukup latihan intensif yang sewajarnya bagi misi yang lasak dan mencabar itu. 

Saya memberi respon bahawa sebenarnya Malikul Maut sangat amanah dan efisyen dalam menjalankan tugasnya. Maka walaupun sehebat mana latihan yang diberikan atau persiapan yang dibuat pada misi pendakian mencabar itu, jika sudah tiba detik kematian yang termaktub di Luhz Mahfudz itu maka tiada apa sebenarnya dapat mengelakkannya. Itulah hakikat sebenar sebuah kematian.

Sebagai konklusi saya mengajak kita memandang kehidupan dalam prospektif yang luas hingga menjangkau kehidupan Akhirat. Anggaplah kehidupan kita di dunia ini sebagai persinggahan seorang musafir yang destinasi akhirnya ialah kampung halaman tinggalan Datok dan Nenek iaitu Arwah Nabi Adam dan isterinya Hawa iaitu di sebuah lokasi bernama Syurga Allah. Untuk itu sangat utama untuk mencari bekalan sebanyak mungkin demi perjalanan yang jauh dan kehidupan yang kekal abadi di sana nanti.

@@@

Monday, January 21, 2013

Liang Lahad

Jika nak bantu saudara kita contohnya abang kita atau adik kita dengan mengguna duit sendiri, tak ada masalah dan dibenarkan dalam Islam. Memang baik. Tapi bila bantu saudara kita menggunakan duit dari hak orang lain, maka itu masalah dan di laknat. Jangan salah guna hak orang. 

Pernah satu kisah di ceritakan, Khalifah Umar al-Khattab memohon untuk meminjam harta dari Baitulmal untuk satu keperluan anaknya. Pegawai yang menjaga Baitulmal bertanya kepada Khalifah Umar, "Untuk tujuan apa? Dan bila akan di bayar?" Maka Khalifah menjawab, "Untuk membeli keperluan anakku dan aku akan membayarnya pada hujung bulan nanti." 

Pegawai itu berkata, "Tuan Khalifah, sudikah Tuan mendengar cadangan daripadaku?" Khalifah mempersilakannya. "Harta dari Baitulmal ini adalah hak rakyat. Dan tiada siapa yang dapat menjamin Tuan Khalifah dapat hidup hingga ke hujung bulan nanti. Jika terjadi sesuatu maka waris Tuan Khalifah terpaksa berurusan dengan rakyat ramai untuk menyelesaikan masalah hutang ini. Maka saya suka mencadangkan Tuan meminjam sahaja daripada sahabat Tuan Abdul Rahman Bin Auf supaya jika berlaku sesuatu kepada Tuan maka waris Tuan hanya perlu berurusan dengan beliau sahaja." 

Khalifah Umar tersenyum mendengar cadangan pegawainya itu. "Baiklah aku membatalkan hasrat untuk meminjam daripada Baitumal tetapi akan berjumpa sahabatku Abdul Rahman Bin Auf untuk meminjam daripadanya."

Persoalan harta jangan diambil ringan. Dua soalan akan di soal di akhirat nanti berkenaan harta iaitu dari mana kamu dapatinya dan ke mana kamu gunakannya. Sekali kita termakan hak orang dalam persoalan harta maka penyelesaianya ialah kita kena berjumpa dengan orang berkenaan untuk mengaku perbuatan itu dan memulangkannya balik kepada ampunya diri atau memhon kehalalan daripadanya.

Bagi kita orang yang mengaku beriman mestilah peka pada persoalan dosa dan pahala. Sekali terambil harta orang maka ia nantinya akan menjadi darah daging iaitu samada diguna untuk makanan sendiri, anak2, isteri dan keluarga. Bagaimana agaknya untuk mengasingkan daging haram itu yang sudah sebati, memang kerja mustahil. Justru jangan terlibat di peringkat awal lagi. Cegah itu lebih baik.

Hak orang ini datang dalam pelbagai bentuk. Contohnya seorang pemimpin di beri tawaran oleh pemaju perumahan untuk membeli banglo barharga RM5 juta, sedangkan harga pasaran ialah RM10juta. Tiada yang percuma di dunia ini. Tawaran itu sebenarnya ada udang di sebalik batu. Iaitu sebagai umpan untuk meminta keputusan2 yang berpihak kepada si pemaju itu nanti pada urusan bisnes atau lain-lain urusan. Maka di sana akan ada hak orang lain yang akan dipecah amanahkan.

Pesanan seorang tok guru wajar kita ulangi di sini iaitu kena ingat tiga perkara ini. Pertama kenal Allah. Kedua ingat apa yang dilakukan itu apakah mendatangkan dosa atau pahala, mudarat atau manfaat? Dan yang ketiga, ingatlah kematian bukan kesudahan kerana di sana ada hari kebangkitan di mana segala perlakuan amalan di dunia ini akan dipaparkan di skrin gergasi tanpa apa yang dapat diselindung lagi. Semuanya dalam pengetahaun Allah dan akan di beri balasan setimpal iaitu kekal bahagia di Syurga atau merana di bakar api neraka Allah.

Ramai manusia yang menipu diri sendiri dengan bergaya angkuh dan hebat dengan harta dunia sedangkan sebenarnya dia telah menyalahgunakan kuasa atau amanah yang diberikan untuk menidakkan hak orang lain  atau mengambil hak orang lain demi menyenangkan diri sendiri dengan mengejar dan mengumpul harta. 

Jika dia dapatkan harta itu dari punca yang sahih dan halal, maka tiada masalah. Jika di belanjakan harta dia itu kepada sesuatu kebaikan dan penuh manfaat, juga tiada masalah. Tapi dia akan penuh masalah di akhirat nanti bila dia mendapatkan hartanya itu daripada punca yang musykil dan haram. Dia akan ditimpa masalah besar bila membelanjakannya kepada sesuatu tujuan yang salah dan mudarat.

Semasa saya dan anak lelaki saya menyertai team penggali kubur professional pada kelapangan selepas zohor pada hujung minggu baru2 ini saya lihat lubang kubur yang digali sekadar ukuran 3'x6'x5' sahaja, tidak kira sehebat mana si mati itu. Dan mengikut Abu Jandal yang berpengalaman menggali ratusan lubang kubur dan menanam jenazah di tanah perkuburan itu, tiada ada satu pun lagi jenazah yang ditanam bersama harta benda mereka yang siang malam sibuk dikejar, dicari dan dikumpul itu. 

Rumah banglo tersergam indah ditinggalkan. Kereta mewah ditinggalkan, anak2 dan isteri ditinggalkan. Duit yang banyak di pelbagai akaun bank dan barang2 kemas intan berlian semua ditinggalkan. Yang di bawa cuma kain kapan puteh. Sekaya mana pun dia itulah saja yang dibawa ke lubang kubur itu. Penggali kubur itu berkata benar.

Maka berbaloikah? Berbuat dosa. Mengumpul harta yang bukan milik. Menggunakan harta yang haram. Atau menidakkan hak orang? Berbaloikah? Kerana azab Allah Maha pedih dan Maha dahsyat. Sendiri mau ingat.

@@@

KONGSI KEK

Dalam konteks hari ini, saya ingin elaborate dan bawak berbincang isu2 yg dekat dgn rakyat dan suasana di negara kita sekarang ini.  Antara ...