Selamat menyambut Hari Raya Idul Adha kepada seluruh umat
Islam di serata alam amnya dan para pengunjung blog SOT yang dihormati sekelian
khasnya.
Hari Raya ini juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang
sinonim dengan ibadah korban. Pada ibadah korban yang utamanya ialah keikhlasan atas dasar takwa kepada
Allah, kerana bukanlah daging binatang korban itu yang akan sampai untuk penilaian
di sisi Allah tetapi nilaian korban itu
di nilai melalui niat dan ikhlasnya seseorang kepada pengorbanan itu. Maka jika
seseorang itu melakukan ibadah korban dengan niat lain selain daripada Allah
maka sia-sialah ibadahnya itu.
Nabi Ibrahim AS di uji Allah supaya meninggalkan isteri dan
anak kecilnya di tanah kering kontang tanpa hidupan, telah melaksanakan
perintah Allah itu tanpa berdolak-dalik lagi walaupun kalau nak di fikir pada logik
akal mungkin tindakan gila dan yang tidak berperikemanusiaan. Pabila kembali
menjenguk mereka 10 tahun kemudian, Nabi Ibrahim AS di uji lagi dengan perintah
Allah untuk menyembelih anaknya Ismail. Sekali lagi Nabi Ibrahim AS tanpa ragu
melaksanakan perintah itu. Atas dasar takwa dan ikhlasnya pengorbanan Nabi Ibrahim ini, Allah SWT telah
menggantikannya dengan seekor kibas sebagai binatang korban yang disembelihnya.
Ada lima pengajaran yang dapat saya petik pada ibadah korban
ini. Yang pertama, sebagai hamba Allah saya wajib patuhi perintah Allah. Perintah
Allah ada dua iaitu suruhan dan larangan. Selama mana saya dapat tunduk dan patuh
perintah Allah maka saya ini Islam. Kerana Islam itu ialah total submission to
Allah secara mutlak. Walaupun sesuatu itu menguntungkan saya tetapi kerana ianya
merupakan larangan Allah maka wajib saya
tinggalkan. Begitulah juga sesuatu yang merumitkan atau menyulitkan saya tetapi
kerana ia itu suruhan Allah maka wajiblah saya patuhi dan laksanakan.
Bila ajal tiba, ianya tidak dapat diawalkan atau dilewatkan
walaupun sesaat. Yang penting kita meninggal dunia dengan ada bekalan untuk ke
Akhirat. Maka marilah kita fikir dan risau untuk bertungkus lumus mengumpul
bekalan Akhirat ini. Golongan yang menyesal di Akhirat nanti berkata, “Kalaulah
kami dulu mahu mendengar dan mahu berfikir, alangkan untungnya kami sekarang
ini.”
Kedua, ibadah korban ini mengajar saya tentang pentingnya
keikhlasan dan kesungguhan dalam mencari kejayaan. Saya kena bersungguh dan
ikhlas melaksanakan perintah Allah. Nak kejayaan kena ada kesungguhan dan
keikhlasan. Ketiga, sanggup berkorban untuk mencapai kejayaan. Orang yang
membenci Rasulullah akan terputus daripada rahmat Allah. Apa yang perlu
dikorbankan demi Islam ialah nyawa, harta, masa, tenaga, buah fikiran dan
terakhirnya apa saja yang termampu.
Keempat, pergantungan saya hanya kepada Allah. Sesiapa yang
bergantung selain daripada Allah iaitu pergantungan kepada makhluk maka boleh
mendatangkan syirik. Kuasa mutlak ialah kuasa Allah. Sesiapa yang bertawakkal
kepada Allah maka Allah akan cukupkan segala keperluannya. Yang kelima dan
terakhir ialah cinta saya kepada Allah hendaklah mengatasi segala-galanya.
Tanda cinta kepada Allah ialah dengan mengikut ajaran Nabi.
Bila Allah menguji hamba-Nya, ia sebenarnya untuk meningkat
tahap iman. Ramai yang kecundang pada ujian Allah. Bila terpaksa berkorban
harta dan wang ringgit misalnya kepada sesuatu musibah yang menimpa keluarga
maka iman sudah mula goyah. Hati mula mempersoalkan mengapa aku? Sedangkan aku
ini patuh kepada perintah Allah, solatnya, puasanya, bersedekahnya, mengaji Qur’annya,
ke majlis ilmunya. Kenapa aku yang ditimpa ujian berat ini? Akal mula dikuasai
oleh nafsu dan bisikan licik syaitan.
Berhati-hatilah. Kembali kepada hakikat pengorbanan. Kenapa payah untuk berkorban sedangkan apa yang saya miliki ini semuanya milik Allah belaka? Didik,
pupuk dan ubati hati yang mengalami sindrom jauh hati, sakit hati, patah hati
atau mati hati pada sesuatu permasalahan yang menimpa diri. Sesuatu kejayaan
atau kemanisan iman pasti memerlukan kepayahan dan pengorbanan. Keimanan yang
kukuh dan utuh mesti melalui segala tahap ujian ini. Yakinlah bahawa segala
ujian Allah menunjukkan perhatian dan kecintaan Allah kepada hamba-Nya. Sebesar
mana sangatlah ujian saya ini jika nak dibandingkan dengan ujian yang menimpa
Nabi Ibrahim AS? Atau kalau nak
dibandingkan dengan ujian yang menimpa saudara saya di Palestin, Myanmar, atau
Afghanistan?
@@@
No comments:
Post a Comment