Sumud Flotilla: Ada Yang Kata Useless. Hakikatnya Inilah Senjata Paling Tajam!
Ada orang sinis, mulut celupar kata Sumud Flotilla ni useless. Katanya barang pun tidak sampai dan sudah tahu kawasan perang kenapa pergi redah. Hujah mereka dangkal menilai perjuangan dengan kalkulator untung rugi sempit.
Aktivis yang menaiki kapal ini bukan naif. Mereka tahu dari awal misi ini hampir mustahil untuk menembusi kepungan G tetapi bukan bermaksud tiada peluang langsung. Mereka tahu Isbiol kawal laut, darat dan udara. Mereka tahu peluang hampir kosong. Tetapi mereka tetap berlayar.
Kenapa mereka sanggup? Kerana misi ini bukan soal logistik semata-mata. Ia soal geopolitik, soal mencipta tekanan global. Ia soal menjadikan dunia saksi bahawa ada bangsa yang dikepung hingga nafas terakhir.
Inilah bahasa politik antarabangsa. Kadangkala sesuatu misi bukan untuk mencapai matlamat secara fizikal tetapi untuk membuka mata dunia. Sumud Flotilla mengangkat isu G ke pentas dunia dengan cara yang tiada media mampu padamkan.
Apabila kapal kecil ini membawa rakyat dari pelbagai negara, mesejnya jelas: isu G bukan hanya masalah orang Arab atau umat Islam. Ia isu kemanusiaan sejagat. Bila aktivis ditahan, ia terus menjadi isu antarabangsa.
Cuba bayangkan, bila rakyat Malaysia ditangkap, kerajaan Malaysia wajib bertindak. Bila rakyat Switzerland terlibat, kerajaan Swiss tidak boleh duduk diam. Bila aktivis Sweden seperti Greta Thunberg ditahan, dunia barat yang dulunya sunyi terus bising.
Greta bukan Muslim, tetapi suaranya pernah menggoncang PBB dalam isu iklim. Kini dia ditahan dalam misi flotilla, Sweden terpaksa masuk campur. Bayangkan impak geopolitiknya. Satu nama, cukup untuk menggerakkan mesin diplomasi.
Kapal dari Switzerland pula membawa lima bendera. Bila mereka dirampas, rakyat Swiss berdemonstrasi di Geneva, malah khemah dipacak depan pejabat PBB. Pakar hak asasi PBB pun terpaksa keluarkan kenyataan mendesak keselamatan aktivis dijamin.
Inilah kejayaan sebenar flotilla. Walaupun tidak dapat menembusi blokade, mereka berjaya mengangkat isu G kembali ke muka depan. Media arus perdana barat yang selama ini mengelak, terpaksa menulis. Tekanan global makin menguat.
Mereka yang kata useless hanya lihat kotak bantuan tidak sampai. Mereka tidak nampak gelombang yang tercipta. Mereka tidak faham bahawa dalam geopolitik, simbol kadangkala lebih kuat daripada peluru.
Lihat kembali sejarah. Int**ada kedua meletus selepas dunia melihat Muhammad al-Durrah dit**bak m*ti di pangkuan bapanya. Satu detik kecil, tetapi menggegarkan sejarah. Sumud Flotilla hari ini mengulang resonansi itu.
Setiap kapal yang ditahan, setiap aktivis yang digari, sebenarnya menelanjangkan wajah Isbiol di mata dunia. Mereka kelihatan panik, takut kepada bot kecil yang membawa makanan dan ubat. Apa yang lebih memalukan daripada itu?
Bila mereka bertindak di perairan antarabangsa, mereka bukan sekadar melanggar undang-undang laut. Mereka menconteng arang pada muka sendiri. Dunia tahu mereka pengecut, hanya berani pada orang awam tidak bersenjata.
Flotilla ini bukan tentang senjata. Ia tentang solidariti. Ia tentang dunia bersatu di atas satu kapal dengan pelbagai bangsa dan agama. Inilah mesej yang mereka mahu sampaikan.
Bila rakyat dari berbelas negara ditahan, ia memaksa kerajaan mereka masuk campur. Ini bukan lagi isu rakyat semata-mata. Ini sudah menjadi isu negara dengan negara.
Setiap negara yang marah, setiap protes yang tercetus, setiap kenyataan diplomatik yang dikeluarkan, semuanya akan menambah tekanan pada Isbiol. Tekanan yang tidak akan wujud jika flotilla ini tidak berlayar.
Media adalah senjata marcapada. Flotilla ini membuktikan senjata itu masih tajam. Liputan antarabangsa yang lahir darinya lebih kuat daripada peluru kerana ia menembak ke hati nurani manusia.
Ada yang sinis berkata, “Kalau tahu gagal, kenapa pergi?”. Jawapannya mudah. Kalau semua orang fikir begitu, dunia akan kekal sunyi. Tidak ada siapa akan peduli pada G. Tidak ada siapa akan tahu betapa zalimnya kepungan itu.
Flotilla ini jadi pencetus. Ia memaksa dunia memandang. Ia memaksa pemimpin negara-negara besar membuka mulut. Ia memaksa PBB sekali lagi berdepan dengan pertanyaan tentang undang-undang antarabangsa.
Kegagalan fizikal flotilla (sekiranya ya) sebenarnya adalah kemenangan moral. Ia mengangkat isu G ke tahap global. Ia membuktikan bahawa manusia masih sanggup mempertaruhkan nyawa demi saudara yang terpenjara.
Sejarah akan menulis bahawa Sumud Flotilla 2025 tidak membawa masuk gandum atau ubat. Tetapi ia membawa masuk kesedaran ke hati berjuta manusia di seluruh dunia. Itu jauh lebih berharga.
Aktivis di atas kapal itu tidak pernah jahil tentang risikonya. Mereka tahu penjara menunggu. Mereka tahu laras senjata Isbiol mengintai. Tetapi mereka tetap belayar kerana mereka tahu ada harga yang lebih besar.
Mereka membayar dengan masa, kebebasan dan mungkin nyawa. Tetapi hasilnya adalah gelombang global yang tidak boleh dipadam. Inilah roh sebenar perjuangan.
Sumud Flotilla adalah mesej. Mesej bahawa kepungan itu tidak halal di sisi undang-undang antarabangsa. Mesej bahawa dunia tidak lagi boleh berdiam diri.
Misi ini tidak diukur pada lori bantuan yang tiba. Ia diukur pada berapa ramai yang bangkit menyuarakan bantahan selepas itu. Dan setakat ini, dunia sudah pun bising.
PMX sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan keras. Malaysia tidak boleh berdiam diri bila warganya ditahan. Begitu juga Sweden, Switzerland, Turki, Sepanyol. Semua terseret masuk ke gelanggang diplomasi.
Bila negara demi negara mula bersuara, Isbiol semakin tertekan. Tekanan ini menambah isolasi politik yang mereka cuba elak selama ini.
Inilah strategi. Inilah cara flotilla bekerja. Ia bukan semata-mata soal kapal kecil. Ia soal bagaimana kapal kecil boleh menggoncang rejim besar dengan cara yang paling berkesan melalui tekanan antarabangsa.
Mereka yang sinis hanya melihat permukaan. Mereka tidak nampak permainan besar di balik layar. Mereka tidak nampak bagaimana setiap tangkapan mencipta simpati baru untuk rakyat P.
Mereka lupa, setiap perjuangan besar bermula dengan langkah yang orang lain pandang remeh. Kalau ikut logik mereka, Nabi Musa tidak akan melangkah ke laut, Nabi Ibrahim tidak akan masuk ke api, Rasulullah tidak akan berhijrah.
Flotilla ini adalah langkah berani dalam sejarah moden. Ia bukan hanya tentang P. Ia tentang maruah manusia sejagat.
Hakikatnya Sumud Flotilla membuktikan bahawa kekalahan fizikal tidak bermakna kekalahan mutlak. Mereka kalah di laut tetapi mereka menang di hati dunia. Dan kemenangan inilah yang akhirnya akan meruntuhkan keangkuhan penjajah.
Penulis : mazlansyafie
*****
Pengorbanan para sukarelawan yg menyertai misi kemanusiaan ke Gaza melalui Global Sumud Flotilla adalah sangat besar. Demi rasa peduli dan tanggungjawab untuk memecah tembok kezaliman rejim zionis terhadap rakyat gaza. Lihatlah dgn matahati.
Kejahatan satu kelompok manusia penjajah yg membunuh rakyat gaza, yg dinafikan hak untuk hidup di tanah tumpah darah mereka. Dibiar mati di bom, dibiar tersiksa dan mati tanpa makanan tanpa air.
Kutukan yg sipi2 selama ini mula bertukar menjadi kesedaran menyeluruh yg memberi tekanan kuat kpd regim buas ini. Harapnya misi global sumud flotilla ini walau disekat komando zionis di perairan antarabangsa secara tidak sah, bukan terhenti di situ.
Harapnya misi kali ini akan terus mencipta gelombang demi gelombang seterusnya tanpa henti sehingga hancur kezaliman zionis ke atas rakyat Palestine yg sudah menjangkau jangkamasa 77 tahun.
Semoga memberi sedar yg benar, tekanan yg ada aksi, terutamanya drp negara2 besar kuasa dunia dan negara2 Islam keseluruhannya.
@@@
No comments:
Post a Comment