Monday, March 03, 2014

Ingat Mati

Manfaatkan teknolgi yang ada. Zaman ini ialah zaman facabook, whatsapp, telegram, twitter, wechat, youtube dan macam2 lagi. Sebarkan perkara yang mendatangkan manfaat.

Saya terima satu kiriman dalam Whatsapp yg merupakan sebuah poster ringkas yang mengandungi enam pesanan Imam Ghazali.


  1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? Mati
  2. Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini? Masa Lalu
  3. Apa yang paling besar di dunia ini? Nafsu
  4. Apa yang paling berat di dunia ini? Amanah
  5. Apa yang paling ringan di dunia ini? Tinggal Solat
  6. Apa yang paling tajam di dunia ini? Lidah
Keadaan kemarau berpanjangan kini banyak mengundang kebakaran semak dan hutan. Semalam anak bongsu saya ada bercerita kisah kawannya yang kematian bapa secara mengejut di Johor. Bapanya ini masih muda dan tidak punyai masalah kesihatan. Arwah mati dalam sebuah kebun yang terbakar. 

Khabarnya dia menolong untuk padamkan api yang marak membakar kebun tanaman dikampungnya. Kali pertama dia berjaya masuk ke kawasan kebakaran dan keluar dengan selamatnya. Namun pada kali keduanya dia masuk untuk membantu memadamkan kebakaran itu, dia gagal keluar. Mungkin terperangkap atau lemas dalam asap tebal. Orang kampung menjumpai mayatnya dalam keadaan bersujud. Semoga kematiannya termasuk dalam khusnul khotimah iaitu kematian yang mulia. Marilah kita sama2 sedekahkah pahala bacaan surah al-Fatihah buat arwah. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang yang bertaqwa.

Pagi tadi pula saya menerima perkhabaran daripada isteri saya akan berita kematian abang sulongnya yang menetap di bumi kenyalang. Arwah di masukkan ke hospital kerana komplikasi jantung. Al-Fatihah buat arwah dan mohon Allah kurniakan kesabaran untuk ahli keluarganya sekelian. Semoga ruh arwah dicucuri rahmat. Sesungguhnya ajal maut sudah menjadi ketentuan Allah dan tidak mempercepat atau melewatkan walau sesaat.

Imam Ghazali memberi pesanan apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini ialah kematian. Namun majoriti umat manusia sebenarnya terus menerus menganggap mati itu sesuatu yang sangat jauh lagi. Mati hanya berlaku kepada orang lain sahaja. Manusia lupa bahwa sebuah kematian itu begitu hampir malah sesuatu yang paling dekat sekali. 

Namun di akhir zaman ini situasi sebegini sudah menjadi kebiasaan, iaitu manusia begitu sayang dunia dan takut untuk mati. Manusia tidak gemar bercerita tentang mati. Manusia terus-terusan mengejar dunia. Mengejar sesuatu yang pasti mereka tinggalkan. Manusia terus-terusan di sibukkan dengan kerja, keluarga, hiburan dan kebendaan termasuklah menjadikan 3-Ta sebagai objektif kehidupan iaitu Takhta (kuasa), Harta & Wanita. Sebaliknya manusia gagal menyibukkan diri untuk mencari bekalan akhirat iaitu sesuatu yang pasti mereka bawa nanti.

Hidup di dunia ini sangat sementara. Saya ada menerima satu lagi kiriman Whatsapp perihal data umur para Nabi. Antaranya usia Nabi Adam 1,000 tahun, Nabi Noh 950 tahun, Nabi Shoaib 882 tahun, Nabi Saleh 586 tahun, Nabi Zakariyya 207 tahun, Nabi Ibrahim 195 tahun, Nabi Sulaiman 150 tahun, Nabi Ismail 137 tahun, Nabi Musa 125 tahun, Nabi Isa 40 tahun dan Nabi Muhammad 63 tahun. 

Rata-rata umat akhir zaman kini umurnya sekitar 60-80 tahun sahaja. Saya berkongsi sebuah petikan daripada blog JAIS - Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. 

Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati. Kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh.  Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.
  1. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."( Surah Ali Imran:185 )
  2. "Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun " (Surah al-A'raf:34 & Surah an-Nahl:61)
  3. "Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh." (Surah an-Nisaa':78)                                               

Mengingat kematian akan melahirkan sifat-sifat terpuji. Antaranya adalah sebagai berikut yang saya petik daripada sebuah bicara agama:

  1. Ingat mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas dosa-dosa dan kesalahan kita. Besarnya nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan itu tidak akan dilayan apalagi dituruti. Abu Hazim Salah bin Dinar berkata: “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli." Daripada Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur (mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia dan seisinya." (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)
  2. Ingat mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai menundukkan hawa nafsu. Cara hidup yang kita jalani menjadi lebih efektif kerana berasaskan, Begin with end in mind. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati." (HR al-Tirmizi)
  3. Ingat mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif. Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu berusaha untuk meraihnya. Ramai orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali. Sebaliknya, amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.
Sungguh beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti. Sewajarnya kita bertindak segera untuk menghadapi detik kematian yang akan menjadi titik permulaan kehidupan di alam Barzakh pula. Ingatlah perjalanan masih jauh. Kita bakal meninggalkan dunia yang fana ini dan berhijrah ke beberapa fasa kehidupan di alam lain yang setia menanti iaitu alam barzakh (kubur), alam mahsyar, alam mizan, alam sirat, sebelum berpindah ke syurga atau neraka Allah.
  1. "Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya." (HR al-Bukhari)
  2. “Apabila bila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga (3) perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, anak soleh yang mendoakannya” (HR Muslim). 
Kita muhasabah dan semak pesanan Imam Ghazali di atas untuk peka pada mati dan bersiap siaga untuk menghadapi hari dalam sejarah itu mulai saat ini. Usah lagi bazirkan waktu kerana ia sesuatu yang sangat berharga dan masa yang berlalu itu tidak dapat di tebus lagi walaupun dengan pangkat melangit dan harta berjuta. 

Nafsu pula ibarat duri dalam daging yang sentiasa tidak putus asa untuk menjurus kita pada perkara lara dan maksiat belaka. Maka pandai2lah mencari skil dan ilmu untuk mengawal nafsu ini. Jangan sampai ia mengheret ke lembah kehinaan di sisi Allah.

Ramai orang berebut untuk mengejar pangkat, darjat dan jawatan. Sedangkan semua ini datang dengan amanah dan tanggung-jawab yang besar. Malah sebagai bapa atau ibu juga memegang amanah yang sangat besar untuk membentuk anak didiknya untuk taat kepada Allah SWT. Tunaikan amanah dengan bersungguh-sungguh tulus ikhlas kerana Allah. Jangan sekali-kali pecah amanah atau gagal jujur kepada Allah dalam setiap urusan yang diberikan.

Saya pernah mendangar maklumat ada menyatakan 80% rakyat Malaysia yang mengaku beragama Islam tidak mendirikan solat fardhu. Benarlah pandangan Imam Ghazali bahawa perkara solat sudah dianggap paling ringan dalam kehidupan untuk di tinggalkan begitu mudah tanpa rasa takutkan dosa dan laknat Allah. Ramai hanya Islam sekadar namanya berbau Islam di IC. Apalah nilai mengaku menganut agama Islam tanpa mendirika tiang agama Islam itu sendiri iaitu solat?

Dan akhir sekali persoalan menjaga lidah yang kata Imam Ghazali makhluk paling tajam di dunia ini. Pepatah melayu pun ada mengatakan lidah tidak bertulang yang membawa erti bebas bercakap jika tidak dikawal boleh membawa mudarat berat. Tabiat lidah untuk mengumpat misalnya boleh mengheret empunya diri menjadi bahan bakaran api neraka Allah, kerana bukankah mengumpat itu lebih bahaya dari jenayah membunuh? 

  1. Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR Tirmizi)
  2. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)
Sebagai konklusi, orang yang untung ialah orang yang sentiasa peka soal kematian, mencari pengajaran dan tidak memandang sepi erti kematian, selalu muhasabah diri dan ingat mati dan membuat persiapan yang banyak untuk menempuh kehidupan selepas detik kematian itu. Semoga kita semua tergolong ke dalam kelompok manusia yang cerdik lagi beruntung ini.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...