Sunday, March 16, 2014

Cari Kekasih

"Tuan kerja di mana?" tanya saya. "Saya dah bersara. Sekarang dapatlah pergi majlis2 ilmu. Nak buat apa lagi." jawabnya. "Ya betul. Kalau dulu sibuk dengan perkara2 yang akan kita tinggalkan," sampuk saya. "Ya sibuk dengan parkara dunia, kejar pangkat dan harta," tambahnya. "Sekarang elok benarlah kita cari benda yang nak di bawa masuk ke alam kubur pula," kata saya lagi. "He he betul tu." Itu antara dialog saya dengan seorang kenalan di Majlis Cinta Rasul yang saya hadiri pagi tadi.

Semasa pulang dari majlis berkenaan saya mengajak isteri di sebelah melihat awan di langit. "Nampak awan mendung macam nak hujan," kata saya. Kemarau panjang di daerah ini rasanya hujan dah tidak menjengah hampir dua bulan lebih. Apakah berkat majlis yang menyemarakkan mahabbah cinta kepada Rasullah tadi telah mengundang barokah dan rahmat Allah secara langsung begini? Titisan hujan yang begitu payah jatuh selama ini. Apakah hujan akan turun akhirnya di daerah ini? 

Dalam cuaca panas begini, tika air sedang di catu oleh pihak Syabas, tika semak, rumput dan hutan terbakar di merata tempat, yang mengundang jerebu yang memedihkan mata memandang, maka tiba2 ada titisan hujan yang bakal membasahi bumi. Oh, alangkah nikmatnya air hujan ini. Baru kita mengerti nikmat air yang Allah kurnikan secara percuma atas dasar Pengasih dan Penyayangnya kepada seluruh makhluk kehidupan. Baru tersedar kita oh alangkah nikmatnya air itu selama hari ini. Di musim kemarau panjang ini Allah telah menyedarkan hati2 karat manusia yang ingin sedar.

MasyaAllah, tabarakallah...asbab masih adanya hamba Allah yang taat akan perintah-Nya dan bersungguh-sungguh merayu kepada-Nya, Berkat doa orang beriman, Alhamdulilah hujan telah turun. Kemudian mesej daripada sahabat2 Darul Muhajirin mula masuk dalam Whatsapp. Pada 4:36pm, "hujan mula turun di KKB." 5:17pm. "indahnya hujan di Rasa....turun beriringan dengan azan asar." 5:54pm, "di Ulu Yam pun hujan." 5:56pm, "di Bukit Sentosa pun hujan." 6:41pm, "Shah Alam pun dah hujan." Alhamdulillah. Engkau yang Maha Berkuasa, Ya Allah. Manusia tiada daya tiada upaya hatta untuk membuat setitis air hujan pun. Syukur Ya Allah atas nikmat air hujan yang turun ini. 

Majlis Maulid Akbar Cinta Rasul Darul Muhajirin ini di penuhi dengan tausiayah daripada para asatizah dan di selangi dengan alunan Qasidah bimbingan Ustaz Azli. Majlis berjalan lancar dengan pengisian yang padat. Kasih sayang adalah ketentuan Allah. Dia yang menyatukan antara hati2 manusia. Seruan agar manusia bersatu-padu dan berkasih-sayang, mestilah berpaksikan kembali kepada Allah. Mana dia orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah?

Iman yang ada di dada tapi jauh daripada sempurna. Justru hati ini mestilah di didik dengan ilmu, dikuatkan dengan amal hanya kerana Allah. Ada orang begitu kasih kepada keretanya, hartanya, pangkatnya, anaknya, isterinya, atau kaum kerabatnya. Alang-alang mencari kekasih untuk berkasih-sayang, carilah kekasih yang sanggup kekal hingga ke alam kubur. 

Paling2 orang kasih kepada seseorang, maka dia ziarah tika orang itu sakit, atau mengiringi hingga ke birai kubur tapi akhirnya dia akan berpaling pulang. Tinggallah si mati bersendiri di dalam kubur itu. Ada tak kekasih yang sanggup menemani kamu sepanjang berada di alam kubur itu? Siapa makhluk istimewa itu? Itulah makhluk yang namanya amal soleh. Justru bukankah berbaloi untuk mengejar si amal soleh ini? Hanya amal soleh yang sanggup dampingi tuannya ke lubang kubur. Maka aku jadikan amal soleh ini sebagai kekasihku.

Sibukkan diri mencari bekal ke alam selepas alam dunia yang sementara ini. Allah ciptakan dunia ini untuk memudahkan kita beribadah kepada-Nya. Misi hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Begitu banyak nikmat dunia yang Allah anugerahkan ini ialah supaya kita ini bersyukur dengan beramal, bukan bersyukur dengan sekadar melafazkan kalimah Alhamdulillah semata. Buktikan kesyukuran itu dengan beramal soleh. 

Cinta bukan sekadar kata2 atau perasaan hati, tapi kena zahirkan dengan iman dan amal. Rasullah pernah ditanya oleh Aisyah perihal Rasulullah yang bersusah payah mendirikan solat malam hingga bengkak-bengkak kakinya. Maka Rasulullah menyatakan apakah tidak layak Baginda sebagai hamba untuk bersyukur kepada Allah?

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Bagaimana rasa kematian itu? Penuh kasakitan. Ia pemutus nikmat. Maka berakhirlah kehidupan dunia dan bermulalah kehidupan di alam kubur. Hari kiamat yang tiba akan menjadi pemutus dan manusia akan dibangkitakan ke Alam Mahsyar. Orang yang mencapai kejayaan ialah yang berjaya menghindari diri daripada terhumban ke dalam api neraka Allah. Itu benchmark kita semua untuk sebuah kejayaan hakiki.

Sebagai pembersih diri, kita mati lah nanti dengan iman yang penuh yang tidak tercemar dengan syirik dan sifat2 munafik. Berakhlak baik sebagaimana kita mahu orang berakhlak baik kepada diri kita. Perhatikan sifat keburukan orang itu sebagai menjadi sempadan untuk kita hindarinya. Yang utama jadikan Rasulullah sebagai role model dan pakar rujuk kita.

Walau kumpulan ta'alim, usrah, tarikat atau muzakarah apa pun yang kita sertai sebagai wadah ilmu dan amal bagi bekalan akhirat ini, titik pertemuannya ialah kita punya Rasul yang sama. Cintai Rasul ialah ubat kepada umat yang sakit. Kembalilah mengaji, menghayati dan mengamalkan sunnah dan segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. 

Kita bukan cari masyhur di kalangan makhluk. Utamakan untuk masyhur di sisi Allah. Semarakkan mahabbah cinta Rasul dalam diri. Janganlah kita membatalkan tiket yang ditempah untuk bertemu dengan Rasulullah di Akhirat nanti. 

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...