Friday, March 07, 2014

Ujian Kemarau

Dalam musim kemarau tak ada air ini ada pula manusia yang ambil kesempatan pi tadah air kat surau dan masjid. Pada tazkirah jumaat tadi Ustaz Dato Kamal bagitau amalan ini sangatlah tidak wajar kerana air di surau dan masjid itu untuk kepentingan awam, maka pabila di ambil untuk kegunaan peribadi maka itu sudah menyalahi syariat. Setiap perlakuan ada perkiraannya di Akhirat nanti maka eloklah peka dan berhati-hati.

Memanglah masalah ketiadaan air merupakan kepayahan yang nyata namun kita kenalah ambil langkah yang luarbiasa. Salah satu langkah ialah mengambil wudhuk dengan air yang secukupnya bukan berlebih-lebihan sebagai mana biasa. Nabi SAW telah menunjukkan cara yang tepat kadar air yang wajar digunakan iaitu sekadar secupak sahaja untuk berwudhuk dan sekadar segantang air saja untuk mandi wajib.

Khusyuk dalam solat akan ternafi tanpa wudhuk yang sempurna. Contoh pembaziran tika berwudhuk ialah menyedok air kolah tiga kali untuk basuh kaki. Memanglah sunat basuh kaki sebanyak tiga kali, tapi tak payah lah sampai tiga kali cedok. Memadailah dengan sekali cedok untuk basuh kaki tiga kali itu. Berjimat cermat dalam mengambil wudhuk adalah ciri-ciri kesempurnaan wudhuk. Wudhuk yang sempurna merupakan penyumbang penting untuk mendirikan solat yang sempurna, dan zon atau tetap keyakinan tinggi melebihi 75% dalam melakukan ibadah.

Pada hakikatnya setiap detik kehidupan kita ini, kita sedang bertemu dengan Allah. Mata yang Allah pinjamkan ini tidak ada pengllihatan tanpa izin-Nya, maka pada setiap mata yang melihat itu ada Allah. Telinga yang Allah pinjamkan ini tiada pendengaran tanpa izin-Nya. Maka di sana ada Allah bersama kita pada setiap pendengaran telinga ini. Semua nikmat yang kita kecapi ini adalah kurniaan Allah belaka. Tanda2 kebesaran dan kekuasaan-Nya kenalah kita ambil fikir.

Kita lihat gelap malam itu bertukar menjadi terang dengan datangnya siang. Siang yang terang benderang untuk kita bertaburan di bumi Allah ini mencari rezki dan melakukan pelbagai pekerjaan dan urusan. Begitulah juga dengan terang siang itu akan berganti dengan gelapnya malam, satu waktu yang boleh kita beribadah, berehat, tidur dan sebagainya. Itu gunanya akal yang Allah kurnikan ini untuk kita renung dan fikir akan Allah yang Maha Besar, Allah Maha Berkuasa. Bukan pandang kosong macam lembu memandang bukit.

Kita ini suka buat tak perasan, buat2 tak nampak akan hebat ciptaan Allah, akan kebesaran Allah. Ingatlah setiap denyut jantung kita ini akan ada perhitungan dan perkiraannya di sisi Allah. Setiap kita ini akan di tanya kepada apa kita habiskan segala nikmat Allah ini. Maka kenalah ambil kira apakah perbuatan aku ini mendatangkan dosa atau pahala. Mendapat redha atau murka Allah?

Ustaz Kamal Azhari tempoh hari menyatakan dirikan solat dengan khusyuk bukan mudah. Kena banyak bersabar. Ada majikan yang tidak benarkan staf mereka break untuk solat kerana takut produktiviti merundum. Tu dia, mereka sangat bersangka buruk pada Allah. Bukan Allah minta rezki daripada kamu, bahkan Allah yang memberikan rezki kepada kamu. Solat itu adalah penghubung utama seorang hamba dengan Tuhannya. Mana ada keutamaan yang lebih tinggi daripada itu. Rezki itu Allah limpahkan atas belas ehsan dan rahmat-Nya.

Ujian kemarau yang di timpakan Allah ini sangat patut kepada kita yang penuh maksiat dan dosa ini. Sangat sedikit kita syukur berbanding sangat banyak hingga tidak terhitung nikmat yang Allah kurniakan pada setiap detik. Namun manusia tetap degil dan angkuh hingga tidak menganggap segala pemberian Allah ini sebagai nikmat yang mesti disyukuri sangat2. Manusia lupa nikmat air yang Allah bagi. Manusia anggap itu hak semulajadi mak bapak dia. Bila ditimpa bala kemarau panjang baru tersengih-sengih macam kerang busuk. Siap gi curi air kat masjid.

Kita semua akan mati, tapi ramai yang berkelakuan macam orang yang tak ingat mati. Tahu akan mati tapi masih melambat-lambatkan taubat. Masih pasang angan2 satu hari nanti akan dapat hidayah atau peluang taubat. Tapi aksi tak ada. Hidup terus-terusan alpa dan leka malah bergelumang maksiat dan dosa. Di usia maghrib tapi masih tak tahu waktu maghrib, masih sibuk dok bakar sampah di kebun time maghrib. Dah berkumandang azan di corong surau, dia masih lagi di kebunnya. 

Orang lain sibuk bersiap nak ke masjid. Dia masih berpeluh tak berbaju, panas katanya. Maklumlah musim kemarau, dah dua bulan lebih tak hujan. Dia lupa api neraka lagi panas. Marilah mendirikan solat. Marilah mencapai kejayaan. On the way katanya. On the way sokmo. Tunggu punya tunggu tak muncul-muncul juga. Tapi satu hari ke masjid juga dia. Tika itu dia dah jadi jenazah. Itu pun di usung orang ke masjid. Harapkan dia, tak datang lagi kot. Bukan dia tak tahu mati itu pasti.

Solat itu sifatnya full time, anytime dan overtime. Solat bukan bersifat part time, sometime atau no time. Takutlah kamu akan Allah. Apa yang dipersiap untuk hari esok? Hari esok ialah alam kubur. Bagaimana keadaan kamu mengadap Allah nanti? Kalau masa periksa peringkat SPM, Ijazah, Master dan PHD dulu beribu-ribu soalan dapat di jawab hingga lulus periksa, maka agaknya di alam kubur nanti dapat lulus tak bila di tanya soalan? Bukan banyak pun hanya enam soalan sahaja, itu pun soalan bocor semuanya.

Exam besar PAK (Peperiksaan Alam Kubur). Kamu pasti hadapi exam besar yang ada enam soalan sahaja ini. Destinasi sebenar seorang manusia ialah Akhirat. Perjalaanan masih jauh. Ada kehidupan selepas kematian, bermula dengan hidup di alam kubur. Jangan takut dan gentar. Tentu dapat jawab enam soalan mudah ini dengan lancar dan jelas. Tak ada persiapan? 
  1. Siapa Tuhan Kamu?  Allah Tuhanku
  2. Apa Agama Kamu?  Islam Agamaku
  3. Siapa Pegangan Iktikad Kamu?  Al-Qur'an Pegangan Ikutanku
  4. Siapa Nabi Kamu?  Muhammad SAW Nabiku
  5. Apa Kiblat Kamu?  Kaabah Baitullah Kiblatku
  6. Siapa Saudara2 Kamu?  Seluruh Orang Beriman itu Saudara2 ku
Kami sudah bekalkan kamu mata untuk membaca ayat2 Allah, memandang Ustaz2 dan Tok2 guru, melihat ciptaan Allah. Kami sudah bekalkan kamu telinga untuk mendengar ayat2 Allah ditafsirkan, hadis2 Nabi dijelaskan, nasihat2 ulama' dibentangkan. Masih lagi berangan-angan, "Kalau aku kaya..."

Datanglah ke masjid. Dirikan solat fardhu berjemaah, bertakruf, dan turut serta dalam program2 masjid. Bagaimana nak mengadap Allah? Macamana nak jawab soalan? Moga2 memantapkan kita mencari bekalan untuk akhirat. Dan carilah bekalan sebanyak-banyaknya untuk negeri akhirat itu dengan menggunakan segala kelebihan yang Allah kurniakan kepada kamu. Gunakan untuk mengaji, imarahkan masjid dan surau, dan usha kebaikan umat ini. Beringat nikmat dunia untuk kebaikan akhirat. Berbuat baiklah sebagaimana Allah banyak berbuat kebaikan kepada kamu.

Ujian kemarau ini hanya sekadar untuk mencetus sedar pada diri kamu yang lara dengan dunia dan lupa kebesaran Allah, ampunya alam semesta ini. Kamu sangat kerdil, tiada daya dan upaya melainkan dengan kudrat dan iradat Allah semuanya. Bahkan untuk menurunkan setitis air hujan pun kamu tidak mampu. Tapi masih angkuh bila mengaku hujan yang turun itu hasil usha pembenihan awan di situ dan di sini. Masih menafikan turunnya hujan sejenak itu adalah rahmat Allah, bukan untuk kamu sebenarnya kerana dosa dan maksiat kamu yang banyak itu. 

Hujan itu Allah turunkan kerana belas kasihan Allah kepada empat golongan makhluk yang tiada upaya yang sentiasa bergantung harap pada Allah iaitu anak kecil yang menyusu, binatang ternakan, orang tua yang tekun beribadah, dan wanita yang lemah. Kamu hanya mendapat tempias daripada rahmat Allah kepada mereka ini. 

Insaflah. Renung dan fikirlah perihal ujian kemarau panjang ini dengan matahati untuk cetus sedar. Bergantung harap pada Allah pada setiap sesuatu untuk menjadi manusia bertakwa yang boleh meluluskan kita daripada setiap ujian Allah ini.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...