CLICK n GO

Thursday, May 30, 2013

Fardu Ain



Tiada Istilah Rehat Dalam Menuntut Ilmu Allah




“Pakcik kenapa tak solat?” Tanya seorang pemuda kepada seorang Pakcik yang kelihatan mundar mandir di laman Masjid sejak tadi. “Kau tak mengaji ke?” jawab Pakcik itu. “Orang gila tak payah solat,” hujah Pakcik tadi dengan muka selamba rock.


Saya mendengar seorang Ustaz mengajar, “Kalau fardu ain belum lagi sempurna, setiap denyutan jantung dan nadi itu adalah masih dalam keadaan dosa.” Maksudnya tiada ruang untuk rehat daripada mengikuti majlis2 ilmu demi mendapatkan ilmu fardu ain itu.


Kekadang kita ungkapkan pelbagai zikrullah namun penghayatan maksud pengucapan kita itu tidak pula kita ambil peduli. Walhal sudah lama kita tuturkan zikrullah itu. Itulah pentingya menuntut ilmu. 

Apa maksud kalimah Alhamdulillah? Segala puji bagi Allah. Iaitu pertama Allah memuji akan diri-Nya (diri sendiri). Allah sangat layak untuk memuji akan diri-Nya sendiri sejak azali lagi.

Maksud kedua ialah, Allah memuji akan makhluk-Nya. Contohnya Allah memuji makhluk-Nya yang beriman, yang bertaubat, atau yang beramal soleh. Allah memuji Rasulullah akan akhlaknya yang baik. Atau Allah memuji para Nabi dan para sahabat dan meredhai mereka. 

Maksud ketiga, ialah makhluk memuji akan Allah. Seluruh makhluk termasuklah haiwan, tumbuhan, bukit-bukau, batu-batan tidak henti memuji Allah dan zikrullah. Kita henti berzikir maka hati jadi mati.


Yang keempat, makhluk memuji kepada makhluk dan kembali pujian kepada Allah pencipta dan pemilik segala makhluk. “Lawa kereta BMW Ustaz,” puji tok siak. “Alhamdulillah,” jawab Ustaz. Yang lawanya kereta BMW tapi yang dipuji ialah pemilik BMW itu. Yang dipuji kepada makhluk akan kembali kepada pemilik dan pencipta makhluk itu. Kucing cantek, pokok lawa, pantai yang indah. Siapa cipta? Allah.


Kenapa solat? Kenapa puasa? Kenapa haji? Jawabannya ialah kerana ia tuntutan Allah. Kena tutup aurat sebab Allah suruh. Kalau boss suruh kita buat. Inikan pula Allah yang suruh, lebih lagi kita patuh. Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka. Biar susah kini jangan susah kemudian. Seorang isteri dapat masuk syurga tanpa suami. Tapi seorang suami belum tentu dapat masuk syurga tanpa isteri kerana di khuatiri tanggung-jawabnya untuk mendidik isterinya dengan ilmu tidak dilaksanakan.


Kalau tidak faham atau arif tentang sesuatu permasalahan agama maka eloklah kita diam dari bicara dalam ragu yang boleh menyesatkan diri sendiri dan orang lain. Agama ini adalah cara hidup. Maka janganlah ambil agama daripada orang yang bukan ahlinya. Sekarang kita ini duduk di dunia manusiakah atau dunia Allah? Tak payah risau tentang manusia tetapi risau tentang murka Allah.


Dalam matematik moden 6 – 1 = 5. Dalam kaedah ilmu dalam agama, 6 tolak 1 jawabnya kosong. Rukun iman ada enam yang jika di tolak salah satu maka hilang dan terbatallah imannya.  “Aku kaya walaupun aku tak solat,” kata seorang pengusaha yang berjaya. Adakah ini nikmat atau bala Allah? Ia sebenarnya bala dlam bentuk istidraj iaitu nikmat yang tidak ada redha Allah. Dengan istidraj manusia kekal lara dalam kejahilan dan dosanya. Segala amalan baik bagi seorang muslim yang tidak solat tiada nilaiannya di sisi Allah.


Umur ini adalah modal kita untuk bertemu Allah. Setiap hari modal ini semakin mengurang. Bertuahlah orang yang mengenal Allah. Ianya satu nikmat yang sangat besar. Jenayah yang paling besar pula ialah syirik kepada Allah. Orang yang mencuri tabung masjid adalah lebih jahat daripada orang kafir kerana dia ini orang Islam kerana dia mencuri duit orang yang nak belanja ke jalan Allah.


Subhanallah itu maksudnya maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan yang ada pada makhluk.  Allahu Akbar membawa pengertian Allah yang maha besar daripada segalanya. Kerajaan Allah yang maha besar, kemuliaan Allah yang maha besar, ketinggian zat Allah yang maha besar. Allah maha kaya dan tidak memerlukan sesuatu pun daripada makhluk sedangkan makhluklah yang memerlukan segala sesuatu daripada Allah.


Yang penting istiqamah berada di majlis2 ilmu saban malam agar kita faham agama sebagai cara hidup. Usah rehat dalam mencari ilmu yang Allah redha. Kumpullah bekalan untuk kegunaan di Akhirat nanti. Dunia ini sekadar tempat mengumpulkan bekalan. Ia penuh ujian dan hiburan. Dunia ibarat penjara buat seorang muslim tapi ibarat syurga bagi orang kafir. Syurga kita di Akhirat sana. Itulah keseronokan, kebahagiaan dan kenikmatan yang hakiki.


@@@

Monday, May 27, 2013

Neraca Ilmu



Saya dan isteri sangat teruja dengan profil seorang Ustaz muda di masjid as-Salam malam tadi. Ustaz baru mencapai usia 32 tahun namun ilmu di dada tampak berisi dan banyak sekali. Saya lihat dia gemar menyampaikan apa yang hak tanpa segan pada odionnya yang acap kali memang terkena batang hidung secara langsung. 

Yang menarik lagi imbasan biodata anak muda ini ialah dia ini berkelulusan Chemical Engineer, kemudian melanjutkan pengajian ke Yaman. Kini disamping aktif berceramah dia miliki sekolah pondok sendiri dan punyai ramai pelajar.


Tika saya watsapp dengan anakanda kami di UIA selepas itu, saya menceritakan perihal ustaz muda ini sebagai pembakar semangat agar menjadi contoh seorang professional yang bukan sahaja berjaya dari segi akademik tapi yang lebih penting cemerlang di bidang agama dan menjadi pendakwah yang besar manfaat kepada masyarakat.


Neraca pengukur ialah pada ilmu. Tingginya darjat anak muda ini adalah pada tahap ilmunya. Maka jika seorang mahasiswa menjadikan segulung kertas sebagai matlamat perjuangan empat tahun di kampus maka setelah usai pengajian itu maka percayalah bahawa dia bakal menjadi hamba kepada segulung kertas ini dalam meneruskan penghidupannya. Sepatutnya mahasiswa terus berdamping dengan pengukuhan ilmu agama, sahsiah, dan networking disamping penumpuan untuk kejayaan akademik pada segulung ijazah itu.


Jika Barat menafsirkan tamaddun itu sebagai keagungan kebendaan maka Islam menetapkan ilmu dan akhlak sebagai wadah untuk membangunkan tamaddun bukan kebendaan semata. Kemudahan penduduk Madinah menerima dakwah Nabi ialah kerana di sana sudah wujud tamaddun ilmu. Islam mudah diterima di tempat yang ada tamaddun. Tidak hairanlah kalau di Barat kini Islam menjadi agama yang paling pesat berkembang. 

Begitu juga di Negara kita pada pola pengundian di PRU13 penduduk urban yang lebih terdedah kepada ilmu dan maklumat mudah untuk membuat perubahan dengan menerima perjuangan politik Islam dan menolak kebatilan pemerintahan sekular, perkauman atau kebangsaan.


Untuk mencipta masa depan yang gemilang kita kena lihat sejarah dan kena tengok apa yang Nabi buat. Bila dilihat sejarah maka semuanya ada kekuatan Islam. Ilmu dan iman berjaya memacu umat kepada kecemerlangan.


Pada masa Nabi di Mekah, Islam semarak berkembang di Madinah. Di Madinah yang dikenali pada masa itu dikenali sebagai Yathrib, orang2 yahudi sudah biasa bicara soal Nabi akhir zaman yang menjadi sebahagian daripada ajaran pada kitab taurat. 

Kita lihat selalunya orang luar yang selalu bersungguh-sungguh dalam setiap usaha. Maka hijrah itu selari dengan orang yang bersungguh-sungguh. Di Negara kita cuba lihat para pendatang daripada luar sangat bersungguh-sungguh mencari rezki di sini untuk menyediakan bekalan pulang ke tanah asal mereka nanti.


Maka benarlah status sebagai stranger (orang asing) dan traveler (pengembara) ini harus ada pada diri kita supaya menjadi bersungguh-sungguh pada setiap usha untuk hidup. Mana tempat asal kita? Syurga Allah. Bukankah datok kita Nabi Adam berasal dari sana. Itulah kampung asal kita semua. Oleh itu kita nampaknya kena usha sungguh mencari bekalan untuk balik ke tempat asal. 

Hidup di dunia ini hanya bersifat sementara sekadar sebuah persinggahan seorang pengembara dan lokasi sementara seorang pendatang asing. Kita bukan nak selamanya di dunia ini. 

Kita mulakan persediaan dengan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia. Persoalan pokok iaitu dari mana aku datang? Apa tugas aku di sini? Dan kemana aku akan pergi? Mestilah menjadi jelas. Nabi Adam di utus Allah sebagai Khalifah di muka bumi berpaksi pada kekuatan ilmunya bukan semangatnya.


Apa tiket untuk ke Syurga? Berapa harganya? Jika ingin menuju ke destinasi Syurga maka kenalah mencari bekalan bagi membeli tiketnya. Neraca pengukurnya ialah ilmu. Kita adalah pengembara yang cuma singgah sebentar di perhentian ini. Destinasi akhirnya ialah Syurga.


Jadilah orang yang berilmu. Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim. Tiada ruang rehat bagi seorang muslim dari menuntut ilmu sekiranya ilmu fardu ainnya masih belum sempurna. Setiap denyutan jantung, hembusan nafas akan menjadi dosa pabila gagal berada di majlis2 ilmu untuk menuntut ilmu fardu ain ini. Maka ubahlah tabiat melangkah keluar dari masjid usai solat maghrib berjamaah meninggalkan majlis ilmu yang bakal menyusul.


Dunia ini jambatan untuk ke akhirat. Dunia adalah penjara bagi seorang muslim dan syurga bagi orang kafir. Jejakilah perjalanan para ahli ibadah menuju Tuhan. Umur kita ini adalah modal untuk bertemu Allah. Ibarat sebuah perniagaan, gunakan modal ini untuk membawa keuntungan bukan kerugian apatah lagi kemuflisan di Akhirat.


@@@

Saturday, May 25, 2013

Nawaitu Kerana Allah



Bulatkan Niat
Nawaitu Kerana ALLAH


Saban malam bila ada kesempatan saya dan isteri akan mengambil tindakan untuk berada di majlis ilmu di Masjid khariah kami nawaitu kerana Allah. Bukankah selalu didengar bahwa majlis2 ilmu ibarat taman2 syurga? Maka tidakkah penting untuk seboleh mungkin berada di taman2 syurga pada setiap malam?


InsyaAllah semoga Allah memberi kelapangan masa dan segala kemudahan yang lain untuk kita sama2 meraikan majlis2 ilmu di Masjid terutamanya di Selangor ini yang begitu hidup dengan majlis2 ilmu. Hinggakan rakyat yang berilmu ini telah menolak segala dakyah dan propaganda dan digantikan dengan fakta dan kebenaran. Banyak bezanya antara orang berilmu dengan orang yang jahil.


Saya selalu membilang jemaah yang hadir duduk di majlis2 ilmu di Masjid ini. Purata yang saya perhatikan ialah dalam lingkungan 100 orang. Semasa solat berjemaah maghrib purata saf lelaki ialah 5 saf iaitu seramai 200 orang. Namun usai solat maghrib ada antaranya yang memilih untuk pulang meninggalkan Masjid dan tidak duduk dalam majlis ilmu iaitu seramai purata 100 orang juga. 

Maknanya 50-50 antara yang nak kat ilmu dan tak nak. Sedangkan hukum menuntut ilmu agama ini wajib. Pulang ke rumah nak buat apa? Antara jawabannya mungkin nak makan malam atau nak menonton TV yang bagi mereka hukumnya juga wajib. Rugi dan sangat rugi sebenarnya.


Ada sesetengah tempat nak cari majlis ilmu pun payah termasuklah negeri2 sekitar seperti N9, Pahang, Johor dan Melaka yang Masjid sekadar tempat mendirikan solat dan majlis ilmu sekadar purata sekali atau dua kali seminggu. Tapi di Selangor ini cukup mewah dengan majlis2 ilmu kerana ia menjadi agenda setiap malam, Alhamdulillah. Maka amat payah untuk warga Selangor untuk kelentong memberi alasan di hadapan mahkamah Allah di Akhirat besok, sekiranya dirinya masih jahil tika itu.


Yang hadir ke Masjid ini adalah manusia yang mendapat hidayah dan dipilih oleh Allah. Begitu juga manusia yang sabar untuk mengikuti majlis ilmu ini juga adalah yang dipilih Allah. Ia berlaku bukan secara kebetulan. Bukan kerana rumah dekat dengan Masjid kerana ramai yang rumah jauh dari Masjid tetap datang dan ramai pula yang rumah mereka dekat dengan Masjid tapi di hijab untuk datang. 

Bukan kerana ada kenderaan kerana ramai yang tiada kenderaan tetap datang berjalan kaki dan ramai yang punyai kenderaan termasuk kereta mewah masih gagal untuk ke Masjid. Bukan kerana masa terluang kerana ramai yang Allah bagi masa lapang untuknya tapi tetap memilih untuk tidak mengunjungi Rumah Allah.  Bukan juga kerana masalah kesihatan kerana masih ramai yang sakit pun datang dan yang sihat segar bugar nemun tetap memilih untuk ponteng lagi. Bukan juga kerana pangkat, jawatan atau tugasan. Maka benarlah yang hadir ke Masjid ini adalah insan2 terpilih. Tahniah.


Namun ada pula satu kelompok manusia yang hadir ke majlis2 ilmu ini punyai tabiat yang agak di luar tabii. Yang saya maksudkan ialah mereka ini gemar pula buka korum bicara sendiri. Ustaz sibuk menyampaikan ilmu di hadapan, mereka pula sibuk berceramah di belakang. Acap kali pula suara mereka ini mencapai tahap mengganggu jemaah lain yang ingin fokus pada bicara Ustaz. Kelompok ini celaru dalam nawaitu mereka. 

Apakah datang ke Masjid saban malam sekadar ingin bersosial atau lari dari hiruk pikuk rumah atau keboringan duduk berseorangan? Mereka ini insan2 yang rugi bukan sekadar merugikan diri mereka malah menarik orang lain juga untuk turut sama menjadi rugi. Kesian. 


Saya doakan agar ahli2 kelab bual ini membaca posting saya ini. Ini adalah sebagai teguran dan nasihat ikhlas saya supaya anda insaf dan kembali ke pangkal jalan meraikan status anda sebagai insan2 terpilih, yang dipilih Allah untuk berada di Masjid dan majlis2 ilmu. Jangan musnahkan anugarah hebat ini.
Terjemahan Surah Al-Asr:

“Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan KEBENARAN. Yang berpesan-pesan dengan KESABARAN.”

Sebagai konklusi marilah Tuan2 dan Puan2 muslimin dan muslimat kita ajak suami kita ajak isteri kita anak2 kita untuk berkunjung ke Rumah Allah menyahut jemputan Allah untuk menjadi tetamu-Nya.
Kalau kita ini sibuk dan disibukkan dengan urusan kerja dan segala mehnah dunia di siang hari maka apa kata kita peruntukkan satu ruang di malam hari iaitu pada slot solat Maghrib dan solat Isyak untuk kita tinggalkan segala persoalan dan urusan untuk digantung di pintu pagar Masjid dan kita langkah penuh hemah ke Rumah Allah, berniat iktikaf, mendirikan solat dan mengikuti majlis ilmu.

Dan yang paling utama dan perkara pokok ialah nawaitu kerana ALLAH tidak pada yang lain, tidak untuk berjumpa kawan, tidak untuk berbual, tidak untuk menghabis masa lapang, tidak untuk bersantai.


Nawaitu kerana ALLAH. Niat semata-mata kerana ALLAH. Semoga keberadaan kita di Masjid pada malam ini punyai nilaiannya di sisi ALLAH, Amiiin.


@@@

Friday, May 17, 2013

Keputusan UPU

Paparan Skrin
Laman Semakan Keputusan UPU
Kementerian Pengajian Tinggi

Semasa memandu ke ofis pagi tadi terdengar berita di radio menyatakan hari ini selepas pukul 12:00 tgh akan di siarkan keputusan UPU kemasukan ke IPTA untuk pelajar lepasan SPM 2012. Menjelang tengahari saya pun melayari   http://upu.mohe.gov.my/  untuk menyemak keputusan permohonan anak bongsu kami. 

Alhamdulillah anak kami berjaya mendapat tempat di pilihan pertamanya semasa apply UPU tempoh hari. Lima pilihan teratasnya ialah kursus ijazah di UIA iaitu bidang Seni Bina, IT, Ekonomi, Ilmu Wahyu, dan Bahasa Arab. Diikuti dengan UiTM bidang IT, dan akhir sekali pilihan ke-8 ialah bidang Pra-sekolah di UPSI. 

Alhamdulillah Allah perkenankan permohonan anak kami dengan memberinya peluang melanjutkan pengajian ke peringkat IPTA dalam bidang pilihan pertamanya iaitu Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia menjadi rekod keluarga kami kerana ketiga-tiga anak kami berjaya belajar di UIAM. Anak sulong kami belajar di bidang Mechanical Engineering. Manakala anak kedua belajar di bidang Accountancy.

Pada semakan keputusan permohonan kemasukan pelajar ke IPTA & Politeknik Premier sesi akademik 2013/2014 program pengajian lepasan SPM/Setaraf terpapar mesej, "TAHNIAH ! Anda telah berjaya ditawarkan program pengajian seperti berikut: Y0300 - Asasi Seni Bina Dan Reka Bentuk Alam Sekitar." Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Hati ini sangat teruja, gembira dan bersyukur.

Saya doakan semoga anak bongsu kami ini di permudahkan Allah dalam perjuangan seterusnya dan dikurniakan Allah hidayah dan suasana yang kondusif untuk membentuk dan melahirkan insan yang baik dan kuat jatidiri, kukuh akidah, menjaga aurat, berilmu serta faham agama, untuk menjadi profesional taqwa yang berjaya dunia dan akhirat, insyaAllah.

@@@

Wednesday, May 15, 2013

Barang Naik

Semalam saya dapat satu eMail, "Hari ini Pihak Pengurusan Pasaraya GIANT telah mengeluarkan notis kepada semua rakyat yang melanggan di semua Pasarayanya bahawa mulai hari ini setiap pembelian akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6%." Biar betul? Apakah sindrom Barang Naik (BN) sudah melanda.

Pada hari sabtu lalu saya ke pasar bersama isteri. Masa nak beli ayam tu saya tengok kat label harga ayam di dinding kedai, "RM 7.50 se KG." Hmmm...last week saya ingat lagi harganya RM7.00 se KG. Apakah sindrom BN sudah melanda negara?

Malam tadi selepas pulang dari masjid saya singgah sebentar di sebuah pasar mini untuk beli sekotak air minuman Seamaster. Isteri saya terkejut sebab harga dah naik jadi RM7.00 sekotak. Biasanya RM6.50. Naik 50 sen. Agak banyak tu. Bila isteri saya tanya, Apek towkey kedai jawab, "Itu supplier naik harga 50 sen, jadi saya pun naiklah 50 sen. Itu la you undi lagi itu BN, sekarang semua barang naik harga sapa susah?" Ada makcik sebeleh tu masam mencuka (penyokong tegar BN kot).

Ada pula rumors perihal saman AES akan dikuatkuasakan dan di agresifkan untuk kutip dana nak tampung dana pilihanraya yang hangus tempoh hari. Harap jangan lah rakyat menanggung sengsara.

Teringat kuliah maghrib semalam. Setiap orang yang memperjuangkan agama Allah, maka dia menang di dunia dan di akhirat walaupun di istihar kalah di dunia ini. Jika dia tidak memperjuangkan agama Allah, maka dia kalah di dunia dan di akhirat walaupun dia diistihar menang di dunia.

Apakah hukum menipu? Haram. Apakah hukum orang yang menipu dalam pilihanraya? Haram. Apakah hukum orang yang menyokong pemimpin yang menipu? Haram. Pemimpin yang menipu tadi, gajinya haram. Setiap daging yang tumbuh hasil duit yang haram? Haram. Orang yang menyokong wakil rakyat yang menipu? Haram. 

Setiap pemimpin yang dilantik kemudian dia menipu rakyat maka dia duduk dalam api neraka. Maka pabila mati dalam keadaan belum sempat bertaubat, masih dalam keadaan menipu maka haram syurga untuknya. Nak syurga? Maka kena jauhkan daripada perkara2 yang mendekatkan kepada neraka. Kenapa penipu masih menang? Sebagai istidraj untuk dia hanyut dalam kelalaian dan kemurkaan Allah. Juga kerana pejuang Islam tadi masih belum sedia untuk menang.

Apa hukum orang atas pagar? Di akhirat tiada istilah atas pagar. Hanya ada syurga atau neraka. Jika bertindak itu kerana tidak faham dan dalam keadaan tidak tolak Islam maka dimaafkan. Tapi sekiranya berniat untuk tolak Islam maka berdosa. Mesti sokong Islam. Jika keliru atau dikelirukan dan jika takut undi orang jahat maka lebih baik dan dibolehkan untuk tidak menyokong mana2. 

Hukum mengundi ini ada tiga iaitu wajib, harus dan haram. Katalah ada kes sebidang tanah dicadangkan untuk bina masjid atau tempat maksiat maka wajib mengundi untuk memastikan terbina masjid bukan tempat maksiat. Jika cadangan nak cat masjid dan kena undi nak pilih cat warna apa, maka di sini hukum mengundi itu harus, tak undi pun tidak apa, yang penting masjid itu akan di cat baru tak kisah warna apa. Hukum haram mengundi jika jelas pemimpin yang hendak dipilih itu menyokong maksiat dan menentang hukum dan syariat Islam.

Pencerahan ustaz dalam suasana pasca PRU13 yang masih hangat mungkin agak relevan dan dapat dihubungkait sebagai pengajaran dan peringatan. Semoga kita dapat sama2 membina kekuatan dalam perjuangan menegakkan agama Allah dan mengajak manusia taat kepada Allah dengan pengukuhan saf jemaah dan banyakkan doa sebagai senjata utama umat ini untuk terus yakin bergantung harap kepada Allah dan bukan pada makhluk. Sekiranya Allah nak memberi kemenangan maka tiada kuasa yang dapat menghalang. Semoga mati kita dalam menyokong Islam bukan menyokong kemungkaran walau dalam apa bentuk pun.

@@@

Monday, May 06, 2013

Nama Besar Yang Gugur Di Medan PRU13


BN menang PRU13, Najib mahu semua parti bertanding hormati keputusan rakyat. PR masih kuasai Selangor, P,Pinang dan Kelantan. 

"Frust nya ya Allah," keluhan seorang Ustazah yang juga petugas PAS di Hulu Bernam. "Hari ni tak ada mood nak masak," tambahnya lagi semasa berborak dengan isteri saya. 

Saya stay tengok lapuran keputusan di TV Hijrah sampai 2:30 pagi. Isteri saya pula give-up dan masuk tidur awal malam tadi kerana kecewa melihat lapuran keputusan BN yang sudah menang 112 kerusi menjelang 12 tgh malam. Memang kecewa tahap fed-up tak nak mengundi lagi dah. Sebab bertungkus lumus giler pun masih gagal menumbangkan BN dan segala muslihat pilihanrayanya. Kami marathon duk ikuti ceramah politik pada lima malam terakhir menjelang PRU13 secara berturut-turut di sekitar Lembah Klang dengan semangat membakar dan harapan memuncak. Namun berkecai jua. Apa kan daya.

Kawan saya tempoh hari begitu risau juga kalau PR dapat menubuhkan kerajaan persekutuan. Dia risau sebab PR nak turunkan harga kereta. Dia risau sebab kereta Peugeot yang dia beli dengan harga RM120k tahun lalu itu nanti terpaksa di jual murah-murah atau tak laku dijual sedangkan dia terpaksa menanggung installment RM1,500 sebulan untuk 6 tahun lagi. Itulah kerisaun dia sebab orang dah tak nek beli kereta second hand, semua nak beli kereta baru yang lebih murah. Mungkin dia lega sekarang sebab PR kalah...he he. Baginya tiada istilah kerajaan rasuah vs kerajaan amanah. Yang dia risau soal kereta dan soal periuk nasi dia. Ramai juga kelompok manusia sebegini.

Ada seorang kawan memberi komen, tiga perkara yang boleh meruntuhkan negara - Rasuah, Maksiat, dan Blackout. Oh ya agak banyak juga kejadian blackout malam tadi semasa proses pengiraan undi. Kenapa ya? Khabarnya ada 15 blackout dan banyak juga kejadian hilang peti undi dan jumpa peti undi. Dengar cerita pihak BERSIH dok tengah kumpul bukti segala kecacatan dan keraguan yang berlaku.

Antara tokoh popular yang gugur di medan juang PRU13 semalam termasuklah:
  1. Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka - Parlimen Bukit Katil
  2. Datuk Abdul Ghani Othman (Menteri Besar Johor - BN - Parlimen Gelang Patah)
  3. Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri - BN - Parlimen Lembah Pantai)
  4. Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri - BN - Parlimen Lumut)
  5. Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri - BN - Parlimen Alor Setar)
  6. Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri - BN - Parlimen Temerloh)
  7. Dr Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri - BN - Parlimen Batu Pahat)
  8. Datuk Seri Mohd Zin Mohamed (Setiausaha BN Selangor - Parlimen Sepang)
  9. Mohamad Sabu (Timbalan Presiden Pas - Parlimen Pendang)
  10. Datuk Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas - Parlimen Arau)
  11. Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR - Parlimen Kulim-Bandar Baharu)
  12. Salahuddin Ayub (Naib Presiden Pas - Parlimen Pulai)
  13. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas - Dun Jengka)
  14. Datuk Husam Musa (Naib Presiden Pas - Parlimen Putrajaya)
  15. Dr Badrulamin Bahron (Pemimpin pusat PKR - Parlimen Silam)
  16. Mustaffa Kamil (Pemimpin pusat PKR - Parlimen Pasir Salak)\
  17. Datuk Ibrahim Ali (Presiden Perkasa - Bebas - Parlimen Pasir Mas)
  18. Zulkifli Nordin (Timbalan Presiden Perkasa - Bebas/BN - Parlimen Shah Alam)

Saya ada melihat satu video di YouTube kenyataan Zulkifli Nordin selepas dia dicalonkan bertanding di PRU13 tempoh hari yang berbunyi sangat angkuh dan sombong, "... Selangor will be returned to BN. No if. I'm 101% confident. After 5 Mei I will be the MP of Shah Alam...no if." Sifat takabburnya itu terjawab pabila dia mendapat kekalahan teruk di tangan Khalid Samad dengan majoriti 10,939. Tapi orang macam ni bukan jenis tau malu punya...no if.

Saya terbaca satu ungkapan semangat daripada seorang pemimpin PAS, "Mungkin ada di antara kita yang bersedih dengan kekalahan ini, bahkan mungkin ada yang kecewa dengan politik dan sudah tidak mahu lagi terlibat dengan politik. Ini mungkin kali pertama kita all out untuk memenangkan PAS dan kali pertama kecewa dengan penipuan mereka sedangkan mereka TG Nik Aziz, TG Hj Hadi, dan TG Haron Din dan ramai lagi yang berbelas-belas kali all out dan berbelas-belas kali juga berdepan dengan penipuan mereka. Jika mereka boleh terus istiqamah dan terus tetap dalam perjuangan ini, janganlah pula antara kita yang kecewa dan meninggalkan perjuangan ini. Ketahuilah antara penyakit orang yang gugur dalam perjuangan adalah isti'jal (tergopoh-gapah)." 

@@@

Sunday, May 05, 2013

Kerajaan Baru Pakatan Rakyat


Hari ini 5 Mei 2013 adalah hari untuk rakyat Malaysia membuat pilihan di peti undi dalam sistem domokrasi negara. Apakah kerajaan BN yang sudah memenangi 12 PRU sebelum ini secara berturut-turut akan berjaya di kalahkan?

Tepat jam 12 malam tadi berakhirlah tempoh kempen 15 hari yang telah ditetapkan oleh SPR. Saya berkesempatan menghadiri ceramah PR di Selayang Baru. Sambutan sangat hebat daripada rakyat berbilang kaum. Politik matang memecahkan sempadan perkauman. Melayu, cina, india terus sepakat menyokong politik baru. Jelas terpancar harapan mereka. Sedangkan BN masih tidak jemu memainkan politik perkauman. BN sangat ketinggalan dalam aspek ini. 

Saya ingatkan ceramah akhir ini akan di adakan di lokasi yang lebih besar dan selesa contohnya di Stadium Selayang dan mempersoalkan di dalam hati mengapa di adakan di satu lokasi iaitu tapak pasar Selayang Baru yang rasa saya bukan satu lokasi yang ideal untuk grand finale kempen PRU13. Kemudian tanggapan negatif saya itu hilang pabila melihat 10,000 rakyat berbilang kaum yang hadir di celah2 bangunan rumah kedai dan pasar itu. Tergambar harapan tinggi di raut wajah setiap rakyat di sini. 

Rupanya PR sangat ingin dekat dengan rakyat, bukan bermuka-muka atau tidak berpijak di bumi nyata sebagaimana kerajaan BN. Rupanya PR bercakap benar untuk memenuhi harapan rakyat. PR ingin duduk bersama rakyat di celah2 rumah kedai dan tempat2 kediaman rakyat di Selayang Baru ini untuk menghayati dan merasai denyut nadi kepayahan rakyat marhain. Mula jelas mesej ini di minda saya. Maka tepatlah grand finale penutup kempen 15 hari PRU13 ini diadakan di satu kejiranan penduduk setempat di tapak pasar Selayang Baru ini.

Penceramah pertama ialah Khalid Samad bercakap dengan penuh hemah memberi fakta dan senerio politik semasa dan menyeru rakyat membuat pilihan tepat. Pabila juruacara yang juga ketua pemuda PAS Gombak mengumumkan ketibaan TS Muhammad Taib, para odion bergemuruh meraikan beliau. TS Muhammad Taib menceritakan kenapa dia memilih PAS sebagai wadah untuk kembali ke pangkal jalan kerana perjuangan PAS yang berstruktur jelas untuk membawa negara kepada negara yang Allah redha. Beliau kagum dengan barisan kepimpinan yang ada dalam PR yang baginya lebih berwibawa kalau nak dibandingkan dengan kepimpinan dalam UMNO. 

Bagi saya TS Muhammad Taib punyai karisma dan kredibiliti dan berjaya menyentuh hati nulari rakyat terutamanya orang melayu termasuklah dari kelompok UMNO untuk muhasabah diri dan menilai kembali perjuangan untuk kembali ke pangkal jalan jika sudah jauh sesatnya di hujung jalan.

Seterusnya giliran calon N15 Taman Templer Hj Zaidiy Abdul Talib, seorang anak muda ahli fizik yang cerdik dan petah pidatonya berjaya menyampaikan mesej isu2 setempat seperti kejayaan PR menyelesaikan isu Bukit Botak dan menyampaikan dengan jelas falsafah perjuangan PAS yang professional, amanah dan sejahtera untuk membela nasib rakyat dan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan berkebajikan. Ini pertama kali saya mendengar pidatonya dan saya teruja, penuh dengan poin dan lancar penyampaiannya. Inilah contoh standard dan mutu tinggi barisan calon2 yang diketengahkan oleh PR terutamanya PAS.

Beliau berkongsi pengalaman bahawa kerja pertamanya pada tahun 1997 sebagai pensyarah di L&G Twin College mendapat gaji RM1,800 sebulan dan ada kawan2nya yang mendapat antara RM1,500-RM1,700 sebulan. Kini setelah 16 tahun berlalu keadaan tidaklah menjadi lebih baik malah mungkin lebih teruk pabila adik2 kita lepasan Universiti tidak mendapat pekerjaan setimpal dan terpaksa bekerja di McDonald, Tesco dan sebagainya. Gaji pokok juga masih kekal di tahap lama sekitar RM1,500-RM1,800 itu. Sedangkan harga barang terus naik dan naik tak pernah turun, maka ini menjadi beban kepada rakyat. Calon parlimen Selayang dan DUN Batu Caves juga menyusul meberikan ucapan yang penuh semangat dan harapan.

Ketibaan sdra Rafizi Ramli sejurus selepas itu mendapat tepukan bergemuruh penuh semangat dari para hadirin sekelian. Katanya momentum kebangkitan rakyat menyokong PR kali ini sudah tidak dapat dibendung lagi oleh Umno BN. InsyaAllah setakat malam tadi 120 kerusi Parlimen sudah menjadi milik PR.  

Kekayaan negara akan di urus dengan baik untuk manfaat rakyat. Harga minyak akan kita turunkan tepat 10 pagi pada 6 Mei nanti. Kita akan mansuhkan bayaran Tol dari Perlis hinggalah ke Johor. Dengan penurunan kos pengangkutan insyaAllah akan membantu penurunan harga barang. Kerajaan BN (Barang Naik) akan sama2 kita kuburkan.

Cukai kereta juga akan dikurangkan secara berperingkat selama 5 tahun dan ini akan merealisasikan hasrat penurunan harga kereta. Sdra Rafizi juga menjelaskan kepentingan hak mendapatkan pendidikan percuma bagi rakyat sekelian. Sebagai contoh dirinya yang berasal dari keluarga miskin sudah tentu tidak berpeluang melanjutkan pelajaran dengan belanja RM100,000 jika tidak mendapat bantuan kerajaan. Mungkin dirinya kini akan bekerja sebagai nelayan di Besut jika tidak mendapat peluang itu. 

Maka sangatlah penting untuk tidak meniagakan sistem pendidikan di negara ini kerana nantinya hanya orang berkemampuan sahaja yang layak mendapat pendidikan bermutu tinggi. Justru insyaAllah bila PR berjaya mengambilalih Putrajaya segala hutang PTPTN yang di tanggung oleh anak muda sekelian akan dipupuskan. Pendidikan percuma bermula dari peringkat tadika hingga ke peringkat Universiti untuk rakyat akan jadi kenyataan.

Sebagai konklusi rakyat menaruh harapan tinggi kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mentalkinkan kerajaan Umno BN pada tengah malam hari ini. Manifesto PR jelas original dan berwawasan jauh untuk menjaga ekonomi rakyat, persaudaraan rakyat dan kesejahteraan rakyat. Ini Kali Lah untuk UBAH. Pangkahlah calon PR di peti undi hari ini untuk merealisasikan harapan rakyat banyak untuk melihat negara yang maju dan berdaya saing yang punyai ruh bukan kosong, sakit dan kotor. 

Saya dan anda adalah penyumbang kepada sejarah. Sejarah tertubuhnya kerajaan baru PAKATAN RAKYAT. InsyaAllah.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...