Tuesday, December 03, 2013

Buku Belajar Seni Politik Nabi Yusuf

Buku setebal 345 mukasurat ini telah selamat saya khatamkan semalam. Buku ini karya Amru Khalid terbitan Syabab Book Link cetakan 2012. Penulis telah memaparkan kisah Nabi Yusuf AS dengan sederhana sebagai teladan dan iktibar. 

Pelbagai hikmah dan pengajaran berdasarkan Surah Yusuf dihuraikan bagi manfaat umat. Juga untuk menggerakkan minda dan hati kita agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Penulis juga mengharapkan para pembaca dapat mencontohi akhlak dan teladan Nabi Yusuf yang cekal menghadapi pelbagai ujian. Juga supaya dihilangkan segala kegelisahan dan kesedihan di hati kita. 

Antara dugaan yang dihadapi oleh Nabi Yusuf ialah menjadi sasaran kedengkian adik-beradiknya, terpisah dari  keluarga, dicampakkan ke dalam perigi, menjadi hamba sahaya, digoda dan dirayu wanita, dituduh memperkosa, dipenjarakan, memperoleh kekayaan dan kenikmatan yang banyak, memaafkan saudara-saudaranya, dan menghadapi ujian yang berterusan.

Di mukasurat 201 diceritakan Nabi Yusuf dan kaedah berdakwahnya. Antara ciri utama  dalam berdakwah ialah akhlak yang terpuji, penampilan yang menarik, memanfaatkan potensi dan bakat, yakin kepada diri sendiri, menyayangi manusia lain dengan sepenuh hati iaitu berdakwah dengan kasih sayang sepenuh hati demi untuk mengajak manusia taat kepada Allah dan mencapai redha Allah. 

Kesediaan menyelesaikan masalah orang lain, sikap tidak memaksa, mudah didekati dan kemampuan menarik perhatian (emosi) orang, sering memperingatkan mengenai nikmat Allah, serta kepakaran dan pengetahuan untuk bercakap mengenai sesuatu dengan adab yang baik.

Di mukasurat 277, dinyatakan dua kriteria utama yang perlu dimiliki oleh seorang petugas atau pemimpin yang dimanahkan terhadap sesuatu tanggungjawab iaitu sifat amanah dan mempunyai pengetahuan yang tinggi. 

Sekiranya ia silap memilih pemimpin yang tidak mempunyai kedua-dua ciri tadi maka tugas yang hendak dipertanggungjawabkan itu akan menemui kegagalan dan tidak menepati sasaran yang diinginkan. 

Raja Mesir talah melantik Nabi Yusuf menjadi Menteri Kewangan untuk menjaga perbendaharaan dan hasil bumi Mesir.

"Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa." (Yusuf:56-57)

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...