Sunday, September 15, 2013

Taat Pada Allah

Apakah taat di sisi pandangan Islam? Apa makna taat itu? Saya tanya dan saya jawab. Taat itu ialah tunduk patuh. Taat ini terbahagi kepada dua iaitu taat mahmudah iaitu taat yang terpuji dan taat mazmumah iaitu taat yang dikeji.


Surah An Nisaa' ayat 59 dengan maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'Ulil-'Amri' (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada (Kitab) Allah (Al-Qur'an) dan (As-Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya."

Taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW merupakan taat yang mutlak iaitu taat mahmudah. Tiada keraguan di sana. Manakala taat kepada pemimpin dan ulama bukanlah taat yang mutlak kerana ia boleh jatuh samada dalam kategori taat mahmudah atau taat mazmumah iaitu samada perbuatan terpuji atau boleh menjadi perbuatan yang terkeji.


Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang taat kepadaku maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah, dan sesiapa yang derhaka kepadaku maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah."


Beriman kepada Rasulullah SAW menuntut beberapa kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Ia tidak cukup dengan hanya sekadar mengadakan majlis Maulidur Rasul setiap tahun, mengadakan ceramah mengenai kisah hidup Baginda atau membaca selawat. Kewajipan sebenarnya lebih daripada itu iaitu sejajar kedudukannya sebagai salah satu daripada Rukun Iman yang semestinya diyakini oleh setiap Muslim. Antaranya, mentaati Rasulullah SAW dengan tetap berpegang teguh terhadap sunnahnya, menerima segala keputusannya dan redha terhadap hukumnya.

Apa yang disuruh oleh Allah SWT, itu jugalah yang disuruh oleh Nabi SAW, begitu juga dengan perkara yang dilarang, maka sesiapa yang taat kepada Nabi juga taat kepada Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam Surah An Nisaa' ayat 80 yang tafsirnya: "Sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah SWT."


Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ketaatan secara mutlak (penuh). Mentaati Al-Qur'an bermakna mentaati Allah. Mematuhi suruhan dan larangan yang terkandung dalam Al-Hadis dan As-Sunnah bermakna mentaati Rasulullah. Hanya dengan mentaati ajaran Al-Qur'an dan As-Sunnah kita akan diberikan ganjaran syurga sebagaimana janji Allah dalam Surah An Nisaa' ayat 13: "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar."

Tiada ketaatan bagi makhluk yang derhaka kepada Allah SWT. Ada empat golongan manusia yang bisa menjadi sebaik-baik teman di dalam syurga Allah iaitu para Nabi, para Syuhada, orang Siddiq dan orang Soleh. 

Ada ulama mentafsirkan ciri orang soleh ialah pabila masa 24 jam yang Allah kurniakan itu digunakan 8 jam untuk ibadah, 8 jam untuk mencari rezki, dan 8 jam lagi untuk mencari ilmu dan mendidik anak didik. Bagaimana kita? Ada buat solat fardu dan solat2 sunat 8 jam sehari semalam? Rasanya tak sampai 45 min kot sehari semalam. Cuba bandingkan masa yang digunakan untuk ke pasar membeli lauk-pauk, menyediakan masakan dan memasak. Itu pun rasanya melebihi 2 jam. Jadi ada harapan ke kita ini untuk tergolong di kalangan orang2 soleh? 

Kesimpulannya untuk masuk kategori orang2 soleh bukanlah perkara mudah. Ia mungkin senang disebut di bibir sahaja. Maka rasanya ada harapan tak untuk layak masuk Syurga kerana menjadi orang soleh? Sudahlah tak soleh, pangkah pulak orang zalim jadi pemimpin dan taat pada orang zalim. Lagi haru gamaknya.

Satu jalan lagi untuk masuk Syurga Allah ialah dengan jalan mati Syahid di medan jihad. Definasi jihad ini amat luas. Syahid ini ada dua iaitu qubra dan subra iaitu jihad khusus dan jihad umum. Syahid qubra iaitu jihad khusus mati di medan perang menentang musuh Islam. Para syuhadah ini dapat memberi syafaat kepada 70 ahli keluarganya yang bakal menjadi ahli neraka untuk ditukar bagi melayakkan mereka masuk syurga selagi mana mereka tidak menyengutukan Allah. Antara jihad umum yang utama ialah menuntut ilmu. Seseorang yang mati tika menuntut ilmu juga dikira mati syahid.

Ketaatan selain kepada Allah dan Rasul ada batasannya iaitu selagi mana tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul. Maka taat anak kepada ibubapa, taat murid kepada guru, taat rakyat kepada pemimpin dan taat isteri kepada suami adalah terbatas kepada kepatuhan syariaat ini.

Taat kepada pemimpin walaupun bertentangan dengan syariaat kerana mengharapkan habuan dunia maka ia boleh membatalkan iman seseorang. Dia telah meletakkan taat tidak pada tempatnya. 

Taat yang mazmumah yang boleh membatalkan aqidah terbahagi kepada lima golongan iaitu orang kafir, orang munafik, orang yang zalim, orang yang tunduk kepada hawa nafsu, dan akhir sekali ialah orang yang menjadi pengikut iblis dan syaitan.

Kembalilah mentaati Allah dan Rasul. Muhasabah diri dan taubat kepada Allah dengan taubat nasuha iaitu sebenar-benar taubat. Semoga kita tergolong dalam golongan manusia yang di redhai Allah.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...