Sunday, September 29, 2013

Khutbah Jumaat Power.

Hari Jumaat lalu saya mengikuti khutbah Jumaat yang memang power di Masjid Al-Ridhuan Ulu Klang. Ustaz Abdullah Khairi yang menjadi khatib menyampaikan khutbah tanpa teks dengan penuh bersemangat dan penghayatan dan ada jalan ceritanya. Para jemaah sekeliannya menumpu perhatian, tidak tertidur lagi. Itulah antara contoh terbaik seorang khatib menyampaikan amanat dan mesej dakwah di sebuah platfom penting iaitu mimbar Jumaat. 

Penting kerana pada tika slot Jumaat inilah berkumpulnya setiap minggu ribuan umat Islam di Rumah Allah. Alangkah rugi pabila Tuan Khatib hanya membaca teks tanpa ruh untuk menyampaikannya hingga ia menjadi lesu dan layu hinggakan para jemaah jadi hilang tumpuan malah ramai yang melayang fikiran mereka entah kemana kalau pun tidak terleap terus. Satu ruang terhidang di depan mata untuk mengajak ahli masyarakat insaf dan taat kepada Allah tapi di sia-siakan.

Menyampaikan khutbah adalah amanah Allah yang amat penting. Janganlah dipecahkan amanah itu. Ukur baju di badan sendiri. Masih ramai imam atau khatib yang sebenarnya gagal dalam tugasan menyampaikan amanat yang bermanfaat dalam slot khutbah Jumaat ini. Sampai bilakah para jemaah hendak disogokkan dengan watak yang sama. hinggakan ada seorang teman itu membuat lawak, "Jika hang ada masalah untuk tidur, maka pergilah dengar khutbah Jumaat di Masjid." Masjid Al-Ridhuan adalah antara salah satu masjid di Lembah Klang ini yang khutbahnya hidup kerana selalu mengundang khatib2 jemputan yang power dan berilmu yang berbisa penyampaiannya tanpa menggunakan teks.

Tajuk khutbah semalam ialah, "Apa milik kita?" Kita ini sibuk benar dengan urusan dunia mengejar pangkat dan jawatan, mengumpul harta dan wang berjuta, membesarkan keluarga, membeli rumah, kereta model terkini bertukar ganti, pelaburan dan perniagaan. Namun bila sudah mati tiada satu pun yang dikumpul tadi dapat di bawa bersama. Semua akan ditinggalkan untuk orang lain menikmatinya. Apa milik kita?

Bila berada di masjid terasa besar sungguh nilai wang RM50 sekeping. Sayang benar untuk berpisah dengan wang sekeping itu. Sedangkan jika kita melabur wang itu di tabung masjid, ia akan menjadi milik mutlak kita di akhirat nanti. Apa yang kita nampak ialah kehilangan wang itu dari poket, tapi hakikat sebenarnya itulah pelaburan yang hebat untuk mengumpul dana buat kegunaan di akhirat nanti. Syurga orang Islam di Akhirat sana. Sedangkan syurga orang kufur dan munafik ialah di dunia ini. Bila berada di pasaraya senang pula kita hendak berpisah dengan wang RM50 sekeping itu, seolah-olah tidak besar manapun nilainya. Itulah double standard kita dalam mengejar dunia dan melupakan bekalan akhirat. Apa milik kita? Jika kita berbelanja di pasaraya Tesco maka ia menjadi milik Tesco bukan milik kita.

Mati itu ialah pemutus hidup dunia tapi bukan pengakhiran sebuah kehidupan. Ia adalah permulaan pada satu kehidupan yang lain. Ini mesti kita bukan sekadar kena percaya tapi wajib yakin dengan sepenuh jiwa. Mati adalah permulaan kehidupan baru di alam yang lain pula iaitu alam barzakh. Kita akan hidup dengan penuh kepayahan atau dengan suasana kesenangan bergsntunglah kepada amalan kita semasa menjalani kehidupan di dunia. Bukan jangkamasa yang sebentar kehidupan baru itu. 

Kita ambil contoh datuk kita yang meninggal dunia 40 tahun yang lalu. Maka arwah datuk tadi sudah hidup di alam barzakh selama 40 tahun dan akan hidup sehinggalah ke hari kiamat. Jika ditakdirkan hari kiamat akan berlaku 1,000 tahun daripada sekarang, maka arwah datuk akan menjalani kehidupan di alam barzakh itu selama 1,040 tahun. Sedangkan arwah sempat hidup di dunia dulu sekadar 75 tahun sahaja. Nampak tak? Rupanya kehidupan di alam baru itu jauh lebih panjang sebenarnya.

Tiadalah yang dapat menolong seorang hamba Allah yang telah mati itu melainkan doa anak yang soleh, ilmu bermanfaat yang dia tinggalkan dan amal jariah yang dia telah buat. Apa milik kita? Amal soleh kita dan bantuan talian hayat 3 dalam 1 tadi. Sekarang sudah tahu, maka masihkah kita ini ingin lalai daripada mengingati kematian dan kehidupan selepas kematian itu?

Itulah penting kita mengaji ilmu agama supaya amal dan perbuatan kita di dunia ini tidak sia-sia. Yang  sadis lagi ialah bila sudahlah hidup di dunianya merana, hidup di akhiratnya pula lagi sengsara. Terlalu sibuk mengejar dunia yang tidak kesampaian hingga terlepas pula mencari bekalan untuk kebahagiaan di akhirat. Rugi double barrel iaitu rugi yang berganda dan bertimpa-timpa. Sudahlah jatuh ditimpa tangga, mukanya pula tersemban dalam longgokan tahi lembu lembik.

Ada orang rumahnya tepi masjid sahaja tetapi tidak pernah mahu jejak kakinya ke masjid. Ada orang duitnya banyak tapi tidak tergerak hatinya untuk bersedekah. Ada orang yang majlis ilmu di depan mata tapi tidak mahu dia hadir ke majlis ilmu. Majlis ilmu itu umpama taman2 syurga. Kalau sudah tidak sudi untuk berkunjung ke taman syurga, rasanya payahlah untuk masuk ke syurga nanti. Ada orang sanggup hadiahkan baju kurung tiga pasang berharga RM300 untuk isteri tercinta tapi tidak sanggup belikan tudung berharga RM30 untuk menyuruh isterinya menutup aurat. 

Dunia akhir zaman ini melahirkan manusia yang makin keliru. Keliru bila mana tiada ilmu agama di dada. Keliru bila malas ke majlis2 ilmu. Membuat sesuatu sekadar panduan akal dan nafsu diiringi bisikan syaitan yang sentiasa mahu melihat manusia menuju punah dan sesat. Yang disangka permata itu rupanya kaca sedangkan yang nampak macam zhulian itu rupanya emas 999 tulen.

Umat Islam perlukan khutbah jumaat yang power. Umat Islam tidak mahu lagi kepada khutbah jumaat yang lesu. Umat Islam mahu dijentik minda mereka supaya insaf akan perkara yang hak, tidak tertipu lagi kepda perkara yang lara. Wahai khatib, jika dirimu tidak dapat menyampaikan mesej dakwah yang real penuh manfaat pada penyampaian khutbah mu maka berundurlah. Janganlah memegang amanah Allah yang tidak lagi mampu engkau pikul. Berilah tugasan ini kepada para ustaz atau khatib2 jemputan yang berkaliber dan punyai skil itu. 

Para jemaah solat Jumaat ini perlu di beri dos suntikan pembakar semangat seminggu sekali sekurang-kurangnya di mimbar jumaat ini untuk mengajak mereka mebina kehidupan yang penuh makna di sisi Allah. Umat ini sudah lama lalainya dan sudah parah rusaknya. Cuba lihat program2 ilmu di Masjid Al-Ridhuan Ulu Klang kalau mahu diambil contoh dan iktibarnya.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...