CLICK n GO

Sunday, February 26, 2012

UAI di Masjid Tasik Puteri

Santai Tapi Ilmu Sampai
Masjid Tasik Puteri Rawang

Alhamdulillah malam tadi berpeluang ke majlis ilmu Ustaz Azhar Idrus di Masjid Baru Tasik Puteri Rawang bersama ribuan yang lain. Seperti biasalah majlis ilmu UAI di sekitar Selangor ini sentiasa mendapat sambutan hangat, hingga melimpah ruah ke tempat parking masjid.


Ustaz memulakan pengajian Kitab Anak Kunci Syurga, perihal kita ini mengaku Islam tapi tak kenal Allah. Tidak membawa rasa takut kerana sekadar kenal nama tapi tidak begitu mengenal sifat2 Allah. Yang sempurna itu Allah, yang kekurangan itu kita. Barangsiapa mengenal Tuhan maka dia kenal diri.


Allah mendengar, melihat dan berkata-kata. Namun tidak sama dengan dengar, lihat dan berkata-katanya makhluk. Allah tunjukkan kekuasaaan dengan kesempurnaan pada setiap ciptaan-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Allah mendengar, layak dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya. Kita mendengar juga tapi tidak sama pada hakikatnya. 


Asal kita dulu tak dapat melihat, tak boleh mendengar, dan tak dapat berkata-kata. Tapi Allah belah mata kita supaya boleh melihat. Allah tebuk telinga kita supaya boleh mendengar. Dan Allah bagi suara supaya boleh berkata-kata. Allah punya semua. Kita tidak ada apa. Datang kita bertelanjang bulat. 


Kalau rasa kita ini hebat, cuba banding dengar kita dengan serigala yang dapat mendengar sehingga jarak 3km. Kalah kita walaupun dengan seekor haiwan. Mata kita melihat tapi makin lama makin rabun hingga terpaksa pakai spek. Cuba banding dengan kambing. Ada kambing kena pakai spek? Mata kambing hebat lagi rupanya. Banding lari kita dengan kucing, kalah juga kerana kita sekadar 35km/jam tapi kucing boleh lari 67km/jam. Nak banding dengan antelop 85km/jam, cheetah 115km/jam. Lemah benar kita. Binatang lagi power rupa2nya. Gagah? Tak payah banding dengan gajah, dengan kerbau pun kalah. Jadi nak bangga apa? Hina kita. 


Kita kalah dengan semua jenis binatang. Taraf kita di bawah binatang pada segala hal. Cuma Allah bagi kelebihan akal. Maka dapatlah kita cari ilmu, buat kajian, cipta teknologi dan peralatan dengan izin Allah. Kita menang dengan akal sahaja. Dengan akal itu, Allah turunkan wahyu, untuk kita belajar kebesaran Allah. Hakikat sebenar kita ini buta, pekak dan bisu. Tapi mengapa angkuh menentang kebesaran Allah? Menentang perintah Allah?


Sekarang ni dengar, dulu pekak. Sekarang ni lihat, dulu buta. Sekarang bijak berbicara, dulu bisu. Akhirnya kembali buta, pekak dan bisu. Bila mati, buta balik, pekak balik, bisu balik. Ibarat BMW 7series, canggih giler, selesa macam duduk atas angin, tapi potong satu wayar, terus tak dapat gerak. Begitulah hakikat hebat manusia ini, bila potong nyawa, mati, tak ada hebat mana dah. Semua kena tinggalkan hatta harta berbillion ringgit.


Justru kena belajar mengenal Allah. Allah yang maha sempurna dan kita yang maha lemah. Tak kenal Allah maka tak kenal diri. Bila tak kenal diri, maka lupa diri. Siapa aku? Aku juara pidato kebangsaan. Medal dan piala kemenangan banyak mencecah bumbung rumah, tapi bila mati sepatah perkataan pun tak mampu dituturkan. Bisu balik sebagaimana asal dulu semasa dalam perut ibu.


Kalau Allah nak beri, plastik pun boleh bercakap. Pasang CD bacaan Qur'an Abdul Rahman As-Sudais. Sedap sungguh kita dengar. CD tu plastikkan? Mana lagi hebat bacaan kita ke bacaan plastik? Bila kita dapat bercakap ingatlah itu kurniaan Allah. Kita tiada upaya. Upaya kita ini hanya atas ehsan Allah. Tapi kenapa kita masih lawan tentera Allah, Kitab Allah, Nabi Allah? Maka belajarlah segala ilmu agama supaya faham terutamanya ilmu2 fardu ain, tauhid, feqah, dan akhlak (tasauf). 


Orang yang mendapat kefahaman agama merupakan manusia2 terpilih yang Allah sayang dan kasih. Semoga kita tergolong sebagai manusia alim yang faham agama.  


Allah Maha Pemurah. Murahnya Allah memberi nikmat kepada manusia walaupun manusia yang terang2an menentang dan syirik pada Allah. Manusia pemurah juga tapi tidak untuk selama-lamanya, pemurah mengikut keadaan dan suasana. Tapi pemurah Allah hinggakan setiap permintaan makhluk apabila ditunaikan tidak akan sedikitpun menjejaskan keluasan perbendaharaan kekayaan Allah SWT. Ibarat melempar sebatang jarum ke dalam laut luas, tidak sedikit pun terjejas.


Allah yang kaya. Orang kaya itu tidak kaya pada hakikatnya. Kerana lahir dulu berbogel. Mati pun berbogel dan papa kedana. Dua kali manusia dibogelkan. Supaya kita ingat bahwa kita ini fakir dan tidak kaya. Sedangkan cuba kita lihat manusia fakir di dunia ini, ada tak yang berbogel tak ada baju atau seluar untuk di pakai? Itulah peringatan supaya kita ini berfikir bahawa akhirnya aku ini jadi bukan setakat fakir dan miskin, tapi papa kedana dan hina sehina-hinanya.


Tujuan belajar ilmu ini ialah untuk jadi orang. Apa guna Allah bagi akal yang membezakan kita daripada makhluk haiwan, kalau kita tidak mahu berfikir? Dengar tapi buat2 tak dengar. Nampak tapi buat2 tak nampak. Jangan nampak hensem tapi bodoh macam kambing. Mata tak melihat. Telinga tak mendengar.


Hakikat kewujudan manusia bermula semasa terciptanya Nabi Adam. Setiap ruh manusia dikeluarkan daripada tulang sulbi Nabi Adam untuk hidup di alam ruh. Umur seluruh umat manusia dari dulu, kini dan selamanya adalah sebaya sahaja di alam Ruh ini. Bila lahir ke dunia, umurnya berbeza-beza. 


Di alam Ruh ini, seluruh manusia sudah berjanji dan membuat MOU di hadapan Allah, siapa Tuhan kamu? Ya Allah, Engkaulah Tuhan sebenar dan kami tidak akan tunduk melainkan kepada-Mu sahaja. Kita sudah berjanji. Nabi diutuskan untuk mengingatkan kembali akan janji yang termaktub ini. Al-Qur'an menceritakan semua ini. Sesungguhnya Al-Qur'an itu adalah sumber sejarah yang terhebat.


Jadi tolonglah agama Allah. Walaupun kita ada beribu kitab tapi ilmu tidak boleh dibeli untuk masuk ke dalam dada. Ilmu mesti dituntut. Itu hak kita. Taqwa boleh dibeli? Tidak sama sekali. Kerana kasih sayang Allah, kita semua dapat hadir ke majlis ilmu. Maka istiqamahlah menuntut ilmu supaya dapat kenal dosa pahala, dapat kenal Allah. 


@@@

Menghampir Diri Kepada Allah

Dunia yang menghampir kepada Allah, itulah yang terpuji manakala dunia yang dhina ialah yang membawa lalai kepada Allah. Makin bertambah harta, pangkat dan nikmat, makin jauh pada Allah maka itu adalah dunia yang dihina. Sepatutnya semakin banyak nikmat Allah maka semakin menghampirkan dan semakin mengingatkan diri kepada Allah.


Sebagai hamba, sangatlah elok untuk sentiasa mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukurlah kerana Allah pilih kita untuk berada di Rumah Allah, menunaikan solat maghrib berjamaah, dan dapat menadah telinga di majlis ilmu. Nikmat itu adalah anugerah yang wajib disyukuri. Ramai manusia di luar sana yang tidak mendapat nikmat itu. Malah ramai manusia tidak solat maghrib, tidak berpeluang ke majlis ilmu kerana disibukkan dengan urusan dunia yang tidak putus2.


Imam Bukhari sanggup berjalan berhari-hari demi mendapatkan satu ilmu. Kita pula Allah bagi mudah, majlis ilmu ada tiap2 malam, masjid selesa siap dengan kipas, dengan karpet dengan lampu, dengan speaker. Rasulullah SAW mendoakan orang yang menuntut ilmu dikurniakan Allah panjang umur, sihat dan rezki yang di jamin. InsyaAllah balik rumah nanti dapat makan nasi. Rezki yang dijamin.


Tidak dilarang kaya, tetapi jadilah orang kaya yang baik. Jika tidak baik dikhuatiri akan tersangkut. Maklumlah kalau bawa beg yang banyak maka check yang lama, silap hari bulan kalau ada barang yang dibawa itu barang larangan maka sangkut di checkpoint. Berbeza dengan orang yang satu atau dua beg, agak cepat untuk habis checkingnya. 


Maka benarlah orang kaya pun masuk syurga tapi agak lambat berbanding dengan orang miskin. Jadikanlah harta itu membantu bukan harta menjadi beban di Akhirat nanti. Sebab itu kalau tengok para sahabat yang kaya raya tidak mereka sayang untuk berpisah dengan harta mereka demi mencari redha Allah. Kita lihat hartawan seperti Khadijah, Abu Bakar, Usman Affan dan Abdul Rahman Auf, semuanya zuhud dan tidak cinta dunia. Rela infaq harta mereka pada setiap kesempatan ke jalan Allah.


Setiap dua rakaat solat sunat yang didirikan adalah lebih baik dari harta seisi dunia. Allah menjauhkan neraka sejarak tiga parit. Setiap parit itu jaraknya 300 tahun perjalanan. Berdoalah supaya mati dalam iman. Jangan kasih dunia tapi kasihlah kepada Empunya dunia. Jika kasih dunia menghalang kebajikan malah membawa kepada laknat Allah, maka kaya tiada guna. Ada harta, tak ada harta, sama. Kaya tapi tak kasih pada kekayaan itu. Mudah berpisah dengan harta. Kelemahan kita jangan ditonjol apatah lagi berbangga dengan kelemahan. Yang penting kehendak hati untuk berubah jadi baik. Nak berhenti merokok? Senang saja. Jangan hisap rokok. Tanya kehendak hati.


Ada sahabat yang berpusing-pusing mengelilingi masjid sebelum masuk. Kenapa? Kerana Rasulullah SAW berpesan setiap langkah ke Masjid itu dapat satu pahala. Si alim yang ada ilmu akan membawa kepada kemuliaan. Namun si alim yang tiada kemuliaan maka tidaklah ada gunanya. Ilmu yang didapat itu kenalah diamalkan, barulah mendapat kemuliaan, insyaAllah. Mudah berilmu tapi nak pelihara ilmu itu susah. Mudah beramal tapi nak pelihara amal, nak istiqamah itu payah.


Tanda harap seorang hamba ialah tidak tinggal usaha. Mengaku kebodohan, ya Allah aku ini bodoh. Tidak mengaku diri itu bodoh, sombong namanya. Orang bodoh akan selalu mencari ilmu. Ilmu untuk diamal. Ilmu untuk disampai2kan. Jangan jadi orang yang tak tau, tapi buat2 tau. Rajin2lah ke majlis2 ilmu.


Tanya diri. Kenapa tak cukup? Kerana tak memada. Kerana tak mencukup. Berniaga dapat RM60, Alhamdulillah, cukup, memada. Asuh diri untuk memada apa yang ada. Harta itu ibarat ayam liar, makin di kejar makin lari. Kalau tak kejar, insyaAllah datang. Jangan loba, cukuplah sekadar hajat. Mukmim hidup memada apa yang ada. Mana yang dapat cukup, barulah ada masa untuk baca Qur'an, ke majlis ilmu, dan muhasabah diri. Ada masa untuk Allah. Kadang2 baca Qur'an, tapi makan ada kadang2? Tidur ada kadang2? 


Kenapa ada mata tapi tak nampak? Ada telinga tapi tak mendengar? Kerana terhijab oleh dosa. Masjid depan rumah tapi tak nampak. Qur'an dalam rumah tapi tak nampak. Jadilah orang yang manis dengan agama. Sentiasa rindu pada masjid. Sentiasa cinta majlis2 ilmu, majlis taman2 syurga. 


Dah ibadah tapi tak selalu? Jadi kena iktikad di hati mula saat ini untuk tingkatkan ibadah. Jadikan 24jam sehari semalam itu sebagai ibadah, dari tidur malam, kesibukan kerja, urusan keluarga, masyarakat dan ummat sebagai ibadah. Nawaitu kerana Allah. Bukan nawaitu kerana makhluk.


@@@

Tuesday, February 21, 2012

Wasatiyyah Dalam Kehidupan

Alhamdulillah saya berkesempatan menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah di PWTC pada 18-19/2/12. Objektif konvensyen berkenaan ialah:
  • Mendedahkan masyarakat kepada pendekatan sederhana (wasatiyyah) dalam kehidupan seorang muslim dari segala aspek.
  • Memberikan garis panduan asas dan menyeluruh kepada masyarakat dalam beragama.
  • Menjadikan program ini platform kepada masyarakat untuk berhubung langsung dengan para ilmuan.
Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah:
  1. Wasatiyyah Dalam Akidah: Ust Dr Zulkiifli Mohamad al-Bakri dan Ust Mohd Aizam Mas'od
  2. Wasatiyyah Dalam Dakwah: Ust Mohd Zamri Mohd Zainuddin, Ust Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dan Xifu Abdul Naser Abdul Rahman
  3. Wasatiyyah Dalam Turath/ Kefahaman Khazanah Ilmu Islam: Ust Ahmad Fauwaz Fadzil dan Ust Abdul Basit Abd Rahman
  4. Wasatiyyah Dalam Muamalat Harta: Ust Dr Zaharuddin Abd Rahman dan Ust Muhd Ramadhan Fitri Elias
  5. Pidato Ilmuan Antarabangsa: Sheikh Mufti Menk
  6. Wasatiyyah Dalam Penyucian Jiwa/ Tazkiyatun Nafs: Ust Mohammad Nidzam Abd Kadir
  7. Wasatiyyah Dalam Ibadah: Ust Ahmad Husni Abd Rahman dan Dr Roslan Mohamed
  8. Wasatiyyah Dalam Kefahaman Teks Al-Qur'an Dan Hadis: Ust Abdullah Bukhari Abd Rahim, Ust Dr Zahzan Mohamad dan Ust Mohd Sukki Othman
  9. Wasatiyyah Dalam Siasah/ Politik: Ust Dr Maszlee Malik dan Ust Mohd Khairuddin Aman Razali
  10. Wasatiyyah Dalam Gaya Hidup: Imam Muda Asyraf dan Ust Mohd Izhar Arif Mohd Kashim.

Alhamdulillah barisan 21 Asatizah (Ustaz dan Ilmuan) yang hebat belaka. Bagi saya konvensyen ini adalah wacana yang berjaya memberi pengisian yang mantap pada para peserta semua yang berjumlah 3000 lebih itu.. Wasatiyyah ilmu yang harus di sebarluas kepada umat seluruhnya. 


Ust Dr Zaharuddin Abd Rahman selaku Penasihat Konvensyen Fiqh ummah 2012 pada kata2 aluan di booklet aturcara program menjelaskan, "Fokus kami lebih kepada membincangkan kaedah untuk memperkenalkan satu kefahaman ilmu2 Islam berteraskan disiplin yang sederhana pada penghayatan namun jitu pada prinsipnya."


Saya petik ungkapan di mukasurat 3 pada kertaskerja Wasatiyyah dalam akidah, Maksud wasatiyyah secara istilah ialah:

  1. Al-I'tidal - kesederhanaan
  2. Al-Khairiyyah - kebaikan
  3. Al-Inshaf - keadilan
  4. Ar-Rif'ah - ketinggian
dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang tidak terlalu rigid (ifrath) dan tidak terlalu longgar (tafrith).

Apabila istilah wasatiyyah disandarkan kepada umat Islam, maka ia membawa maksud: Umat Islam yang mencapai sifat2 mahmudah yang terbit daripada kedudukan syariaat Allah dalam kesederhanaan, kebaikan, keinsafan, dan ketinggian yang menjadikannya sebagai penghulu segala umat, ketua segala bangsa dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari Kiamat.

Justeru, wasatiyyah bukan bermaksud seseorang itu berada pada tingkatan sederhana dalam ibadah, amalan atau akhlaknya, atau sederhana dalam ilmu atau pekerjaan sehingga tidak menjadi seorang yang terkehadapan atau cemerlang dalam kehidupannya. Bahkan makna wasatiyyah adalah yang benar, yang terbaik, paling utama, paling sempurna dan paling adil sesuai dengan ungkapan sebaik-baik perkara ialah pertengahannya bererti yang paling adil.

Surah al-Baqarah ayat 143 maksudnya: 

"Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat wasathan." 



Iaitu 'udulun khiyaran, bererti adil dan terpilih atau terbaik.


*****
Saya petik dari blog Ust Zaharuddin perihal pendekatan yang diambil adalah seperti berikut:
Pendekatan atau pemikiran wasatiy yang ingin disebarluaskan ini hampir semuanya diambil dari kefahaman ulama salafussoleh dan kontemporari iaitu:
  1. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA penyeru kepada mazhab yang terlalu sempit ( sehingga seolah yang selainnya adalah sesat dan salah) DENGAN mereka yang menyeru agar tiada perlu bermazhab untuk berpegang terus kepada teks Al-Quran dan Al-Hadis dengan tafsiran sendiri tanpa panduan mazhab.
  2. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA pengikut tasawwuf yang tidak mengambil kira walau wujud penyelewengan DENGAN mereka yang memusuhi tasawwuf walaupun sebahagiannya masih menuruti ajaran Islam sepenuhnya.
  3. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA golongan yang hanya menghukum menggunakan aqal hatta bercanggah nas qat’ie DENGAN kumpulan yang menolak hampir sepenuhnya fungsi aqal (literalis) dalam memahami nas yang anjal bentuk pelaksanaannya.
  4. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menafikan dalalah ilham secara mutlaq DENGAN mereka yang berlebih-lebihan dalam mengunapakainya sehingga menjadikannya sumber utama hukum Islam.
  5. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu berkeras hatta dalam perkara cabang dan ranting DENGAN mereka yang mengajak kepada tasahul ( mengambil mudah) hingga dalam hal berkaitan usul dan kuliyyat.
  6. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu memuliakan khazanah penulisan silam (turath) sehingga seolah menafikan kekurangan kemanusian seseorang manusia ( walaupun seorang ulama terhebat) DENGAN mereka yang berusaha menghilangkan terus relevansi khazanah silam, walaupun ternyata jelas kehebatan dan kejituan huraiannya.
  7. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang terlalu obses dengan teori idealis sehingga kelihatan tidak mengambil kira praktikaliti dan suasana semasa DENGAN mereka yang terlalu mementingkan suasana semasa sehingga tidak mahu melihat langsung kepada yang ideal.
  8. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada falsafah liberal yang seolah menyucikan hak individu sehingga meninggikannya atas hak komuniti DENGAN mereka yang menyeru kepada falsafah sosialisme yang terlalu menyucikan komuniti sehingga menzalimi hak individu.
  9. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada kemestian menuruti apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi walau dalam hal cabang dan medium urusan muamalat DENGAN mereka yang menyeru pembangunan dan pengubahan walau dalam hal asas dan prinsip Islam.
  10. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang menyeru kepada tajdid dan ijtihad sehingga dalam urusan Usul Agama dan hal Qat’iyyat DENGAN mereka yang menyeru sepenuhnya kepada taqlid dan memusuhi ijtihad, walaupun dalam isu-isu semasa yang tidak pernah disentuh oleh ulama silam (kerana belum wujud).
  11. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang mengabaikan nusus yang thabit dengan dakwan menjaga maqasid shariah DENGAN mereka yang mengabaikan pertimbangan Maqasid al-Shari’ah dengan dakwaan ingin menjaga nusus secara seratus peratus.
  12. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menyesat dan mengkafirkan DENGAN mereka yang terlalu bermudahan hingga kepada hal kemurtadan yang jelas terang dan mencabuli kehormatan Islam serta berkerja untuk musuh Islam.
  13. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menghukum haram atas perkara, sehingga hampir tiada  yang boleh dianggap halal di atas dunia ini DENGAN mereka yang  melampau dalam mengharuskan perkara, sehingga seolah tiada yang haram.
  14. Pertengahan atau sederhana DI ANTARA mereka yang tenggelam dalam suasana lampau tidak menyedari perkembangan terkini DENGAN mereka yang melupakan sejarah seolah mahu memadamkan terus pengajaran lampau.

@@@

Sunday, February 19, 2012

Bayar Cash

"Kejayaan itu adalah melalui iman yang sahih dan amal yang soleh," begitulah antara isi penting bayan Sdra Firdaus di Masjid malam tadi. "Tanpa iman, ilmu tak yakin untuk diamal. Kenapa ilmu tak dapat diamal kerana yakin kita kurang. Orang yang tak ada iman dan yakin akan buat benda yang Allah larang."


Rasulullah dan para sahabat bersusah hal agama. Kena ada pengorbanan dalam perkara agama. Sebab itu yang Allah maukan. Kalau Allah berhajat memberi kemudahan kepada Rasulullah dalam perjuangannya sudah tentu Allah boleh memberikannya, tetapi Allah maukan Rasullullah dan para sahabat bersusah hal agama. Jadi begitulah kita sebagai umat Nabi SAW kenalah sanggup bersusah perihal agama ini. Usaha dakwah ini menjadi tanggung-jawab setiap muslim hinggalah ke hari kiamat.


Dalam perjalanan pulang dari masjid, isteri saya memberitahu seorang muslimah yang bersolat di masjid telah kehilangan beg yang diletaknya di dinding belakang ruang solat wanita. Antara barang penting di dalam itu ialah telefon tangan. Isteri saya membantu beliau mencari di sekeliling tetapi hampa. Jelas kelihatan kesedihan di raut wajah muslimah ini. Saya memberi komen, "Itu ujian daripada Allah. Tentu ada hikmahnya. Mungkin nak suruh beli handset baru." Isteri saya hanya mendiamkan diri.


Kami singgah di stesen Petronas untuk mengisi minyak kereta. Kemudian ke tempat isi angin tayar sebelum pulang ke rumah. Sesampai di rumah saya tercari-cari dompet duit, tapi tak ada. Alamak tercicirkah? Cari lagi dalam rumah dan dalam kereta tapi tiada. Ini kali pertama dalam hidup saya kehilangan dompet duit. Saya pun bersama anak saya keluar memandu kereta ke stesen minyak tadi dan mencari dengan harapan dapat jumpa dompet itu. Akhirnya saya ke Balai Polis membuat lapuran kehilangan. Selesai key-in lapuran dan dicetak, polis itu menasihati saya untuk menunggu sehari dua, kerana katanya mungkin orang terjumpa dompet ini akan memulangkan ke alamat rumah atau menyerahkannya ke Balai Polis.


Sesampainya di rumah saya minta anak saya mendirikan solat hajat. Saya juga mengambil wudhuk dan bersolat hajat memohon pada Illahi agar dipulangkan dompet berkenaan. Banyak barangan penting ada dalam dompet itu. Isteri saya juga tidak putus-putus berdoa pada Illahi semenjak bermula kejadian tadi. Kepala saya berserabut memikirkan masalah ini kerana besok saya ada program penting menghadiri Konvensyen Fiqh di PWTC. Silap haribulan saya terpaksa batalkan untuk menyertai program itu. Ish ish malang sungguh fikir saya sambil berbaring di katil kerisauan. Ini ujian dari Allah.


Sejurus kemudian kira2 pukul 12 mlm, isteri saya memanggil saya menyatakan ada orang memberi salam di depan gate rumah kami. "Tuan, ada kehilangan barang?" terdengar orang tadi bersuara. Saya pun terus membuka gate sambil menjawab, "Ya benar." Kelihatan 3 orang Hamba Allah dari jamaah tabligh yang berkunjung dan salah seorangnya terus menghulurkan dompet saya yang tercicir itu. "Alhamdulillah."


"Kami singgah di stesen minyak untuk mengisi angin tayar. Saudara kita ini terjumpa dompet yang tercicir ini. Kemudian kami ke Masjid untuk mesyuarat mingguan jamaah tabligh. Selepas mesyuarat kami mencari rumah berpandukan alamat di IC ini. Lama juga kami berpusing-pusing," jelas En Mustafa mewakili dua orang lagi sahabat. "Terima kasih banyak," ucap saya penuh syukur kerana ada lagi manusia2 jujur di luar sana. 


"Kami keluar 3 hari, 40 hari, dan 4 bulan itu sebenarnya untuk mewujudkan ukhwah kasih sayang sesama umat dan mengajak untuk mendekatkan diri pada Allah. Dengan usha di jalan agama ini mendidik kami untuk kasih dan sayang pada saudara seagama," katanya. "Kami datang cari rumah Tuan kerana menyedari ukhwah dan kesusahan saudara se Islam ini."


Saya pun menjelaskan bahawa saya bersama isteri tadi baru balik dari Masjid dan sempat mendengar bayan jamaah tabligh yang diberikan oleh Sdra Firdaus, dan di hati saya memang berhajat untuk keluar 3 hari dalam usha dakwah dalam masa terdekat ini sebenarnya. Apakah ini kebetulan atau perancangan Allah dengan menghantar 3 saudara yang mulia di tengah malam ini. Isteri saya menghadiahkan se 'tupperware' homecook muffin sebagai cenderahati dan tanda terima kasih.


Isteri saya muhasabah dengan saya dan menyatakan bahwa komen saya dalam kereta semasa dia bercerita perihal musibah yang menimpa muslimah yang kehilangan beg, agak tidak kena dan berbunyi agak sinis dan tidak begitu simpati atau memahami perasaan muslimah yang dalam kedukaan itu. Mungkin kerana itu Allah timpakan musibah saya kehilangan dompet sebagai pengajaran secara cash agar saya merasai sendiri betapa pedihnya kedukaan apabila kehilangan sesuatu yang berharga begitu. Hmmm...saya agak terkedu. 


Setelah Allah memberi pengajaran berguna itu, dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya, Allah kembalikan dompet saya itu melalui insan-insan terpilih ini. Isteri saya menambah mungkin ini petanda untuk saya meneruskan hajat untuk menjalan sedikit usha agama bersama jamaah tabligh ini. Sebagai kesenambungan usha saya mewakilkan anak sulong saya keluar 3 hari pada bulan lepas. 


Allah telah timpakan musibah secara cash dan memberi penyelesaian secara cash juga kerana bergantung harap kepada-Nya, berjaya meninggalkan kesan dalam memberi pengajaran dan pengalaman berguna.




@@@

Thursday, February 16, 2012

Kepompong Kejahilan

Bebaskan Diri Daripada
 Kepompong Kejahilan
Musuh utama ialah kejahilan. Maka jihad kita ialah keluar dari kepompong kejahilan ini. Bagaimana? Kena menuntut ilmu. Kena rajin hadir ke majlis ilmu. Majlis2 ilmu cukup banyak di masjid2 dan surau2 serata tempat terutamanya di Selangor ini. 


Inilah antara nikmat Allah kepada kita. Sangat rugilah jika kita tidak mengambil peluang keemasan yang terhidang di depan mata ini. Peluang untuk membebaskan diri dari kepompong kejahilan.


Bila tak mengaji memang tak tahu. Kena faham Islam betul2. Ramai yang tak tahu apa yang dia tak tahu, tapi dia tak mahu mengaji. Ada yang tahu apa yang dia tak tahu, lalu dia pergi belajar. Ada juga yang tak tahu apa yang dia tahu, pakai bantai saja. 


Selalulah berdoa, "Ya Allah kurniakan aku kebijaksanaan dan kefahaman ilmu. Berilah aku kefahaman agama dan kebijaksanaan yang luar biasa." Minta diberi kefahaman agama, insyaAllah yang lain2 akan beres.


Doa ada tiga kategori. Pertama Allah tunaikan secara cash. Nak bagi Allah makbulkan doa, kena banyak doa untuk orang lain. Tiap2 kali solat setiap bacaan itu adalah doa. Kalau kita nak dihargai maka hargailah orang lain. Yang kedua, Allah perkenan doa kita pada bentuk yang lain. Contoh kita minta murah rezki, Allah tukar gantikan dengan kesihatan yang baik. 


Yang ketiga, kita mintak2 Allah tidak bagi cash tapi Allah tangguhkan. Allah juga tidak tukar pada bentuk yg lain. Allah tangguhkan. Kita minta anak yang soleh. Allah tangguhkan. Kita akan terus berdoa. Kalau kita faham agama, tak sama dengan orang yang tak faham agama. Daripada 24 jam yang Allah bagi, kita luangkan 1 jam untuk memperbaiki jiwa dengan menghadiri majlis ilmu. 


Jalan-jalan cari makan, bila makan sudah kenyang. Makan minum makan minum, tidur. Mengikut satu kajian di Malaysia untuk purata umur 60 tahun hidup, kita telah tidur selama 30 tahun, 15 tahun urusan makan, dan untuk mengaji hanya 2.5 tahun. Katakanlah setiap malam kita hadir kuliah maghrib, maka dapat 30 jam iaitu bersamaan dgn sehari suku setiap bulan. Iaitu 365 jam setahun yakni bersamaan 15 hari, kita mangaji ilmu. Itu kalau hari2 kita mengaji. Nak mengaji kena cari jalan. Jangan jadi mati mengaji. Kalau 3 hari tak mengaji, hati jadi mati.


Penamat kebaikan hidup dunia ialah istiqamah dalam ibadah. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, bukan yang ragu tentang Islam. Amalan kena sama dengan perkataan. Kalau kita kata tiada yang berhak di sembah melainkan Allah, tapi tiba2 kita sembah juga selain Allah maka itu bukan istiqamah namanya.


Amalan kita akan terhijab akibat perbuatan syirik. Kalau kita kata hanya Allah yang berhak disembah tapi kenapa kita tidak laksana hukum Allah? Amal-amal mereka ibarat fatamorgana. Nampak macam ada gelombang air, tapi bila sampai tak ada air. Buat ibadah tanpa aqidah yang betul, sayang sungguh sebab hanya sia-sia, tiada nilaian di sisi Allah. 


Justru itu berusahalah sedaya upaya agar kita keluar dari kepompong kejahilan dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan beramal dengan ilmu, nawaitu kerana Allah. Jangan mati melainkan dalam Islam dan beriman dengan Allah.


@@@

Minda Stress


Kawan saya masuk wad kerana stress. Saya nasihatkan dia supaya jangan stress. Dia tanya macamana? Pastikan tidur sebelum pukul 12 malam. Saya juga kata lupakan masalah, alihkan tumpuan pada perkara lain. Mana-mana manusia pun ada masalah. Fikir bahawa masalah orang lain lagi teruk daripada masalah aku. Fikirkan kalau aku rakyat Etiopia, betapa ramai manusia mati kerana kebuluran, betapa payah nak cari sesuap nasi atau seteguk air. Masalah mereka ialah masalah untuk hidup. Masalah kita apalah sangat kalau nak banding dengan mereka betul tak?

Manusia ini layak punyai masalah dan mampu membuat silap dan salah dalam kehidupan. Sebab kita ini manusia bukan malaikat. Namun kena ada 'preventive maintenance' iaitu mengambil langkah untuk mencegah berlakunya masalah yang sama. Saya teringat nasihat nombor ong 88888 oleh Menteri Kesihatan, katanya kena makan malam sebelum pukul 8, kena berhenti makan bila 80% kenyang, kena minum 8 gelas air sehari, tidur 8 jam sehari semalam, dan berjalan 8,000 langkah sehari sebagai senaman. 

Kalau kita membuat rutin atau perkara yang sama tetapi mengharap keputusan yang berbeza, maka sebenarnya kita 'tak betul' kalau pun bukan gila. Kenalah cuba sesuatu yang baru untuk mendapat keputusan yang berbeza, insyaAllah. 

Dalam Islam sangat dianjurkan untuk bangun solat malam, antara rahsianya ialah untuk menjaga kesihatan bagi jasad dan ruhani. Puasa sunat Isnin dan Khamis adalah satu lagi amalan yang antara hikmahnya ialah ketenangan jiwa dan menjaga kesihatan. Banyak lagi yang patut dicuba dan di amalkan secara istiqamah seperti amalan zikrullah, solat2 sunat, dan mengaji al-Qur'an. Yang bukan saja memberi ketenangan minda dan mengelakkan stress, tetapi memberi ruang untuk kita muhasabah diri dan mengerti hakikat sifat seorang hamba kepada Pencipta. Hakikat bahawa seorang hamba itu hina, lemah, tiada daya dan upaya melainkan dengan ehsan dan kasihan belas daripada Allah SWT.

Seorang rakan seofis yang badannya agak obesiti, mengadu stress bila beban kerja naik mendadak pada minggu ini. "Aku sakit kepala dan otak berserabut", katanya. Masalah yang dia bawa itu acap kali pula menjadi tempias kepada rakan2 yang lain. Nasihat yang mampu saya beri ialah supaya membuat senarai tugas yang hendak dibuat dan setkan prioriti, iaitu membuat satu persatu dengan perkara yang utama didahulukan. Elakkan dari membuat banyak perkara pada sesuatu masa yang akhirnya satu pun tidak beres. Tidak guna juga untuk sekadar mengeluh atau komplen jika plan bertindaknya tiada.

Saya agak serabut semalam selepas bekerja hingga larut malam menyiapkan urusan tender. Kalau nak diikutkan banyak lagi kerja yang menanti, namun saya 'take a break' supaya jiwa kembali tenang dan fikiran kembali waras. Saya pun 'take a walk' ke tingkat atas dan lepak dengan seorang kawan, berbual-bual tentang perkara-perkara yang selain dari soal kerja. Bicara perihal keluarga, sukan, masa depan dan tidak ketinggalan bicara soal agama. 

Kawan saya ini seorang pakar teknikal CCTV. Kata saya hukum menuntut ilmu dalam Islam ialah wajib. Tidak salah untuk kita sibuk dengan belajar perkara2 teknikal atau akademik, namun yang ditekankan disini ialah Ilmu Agama. Bilakah kali terakhir kita menuntut ilmu agama? Ramai yang kali terakhir menuntutnya pada zaman sekolah menengah dulu, dah 20 tahun berlalu.

Maka ilmu yang ada kalaulah masih kekal dalam ingatan ialah yang dipelajari zaman sekolah dulu. Itupun banyak yang dah lupa kerana tujuan belajar masa itu ialah untuk lulus SPM. Ramai manusia terlupa untuk meneruskan pengajian agama ini. Lara dan hanyut dengan persoalan lain. Hinggakan soal agama ini tiada dalam agenda kehidupan. Agama menjadi perkara adat. Adat untuk diguna pakai pada 3 keadaan iaitu ketika kelahiran anak, upacara akad nikah, dan ketika berlaku kematian. Agama menjadi terasing, tidak disebatikan sebagai 'way of life'.

Saya mengsyorkan supaya kita luangkan masa untuk pergi ke majlis2 ilmu. Ruang yang paling afdal bagi orang awam untuk menuntut ilmu mengikut pandangan saya ialah slot kuliah2 maghrib di surau2 dan masjid2 di sekeliling kita ini. Di sana ada penyampaian yang pelbagai oleh para ustaz yang menyentuh banyak skop ilmu seperti feqah, tasawuf, sirah, tafsir Qur'an, tafsir hadis, dan ilmu tauhid. Majlis2 ini punyai aura dan keberkatan tersendiri kerana dihadiri bukan sahaja oleh manusia tetapi jin2 Islam dan para malaikat yang akan mendokan kesejahteraan kita. Yang penting ialah penambahan dan pemahaman ilmu yang seterusnya perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Porak perandanya masyarakat ialah apabila manusia sudah tidak lagi di pandu arah oleh Agama. Hidup ini hancur tanpa agama. Saya teringat bicara bersama seorang kawan semasa saya menumpang keretanya untuk makan tengahari di depan Masjid Keramat. "Aku nak tukar balik pinjaman perumahan secara Islam kepada konvensioanal supaya bayaran bulanannya lebih murah", katanya. "Sekurang-kurangnya aku dapat jimat RM300 sebulan."

Saya kata, "Ia persoalan halal dan haram. Ibarat hang pi Supermarket untuk beli ayam. Ada dua pilihan. Satu berharga RM8 seekor yang di pek segar dan menarik. Satu pilihan lagi ialah ayam yang packagingnya tidak begitu menarik denga harga RM12 seekor." Masalahnya satu tu ayam yang tak sembelih iaitu 'ayam katok' dan satu lagi tu ialah ayam Halal. Di sini sudah tiada pilihan melainkan memilih yang Halal. 

Satu analogi lagi ialah teman wanita hang, di mana haram untuk disentuh atau diapa-apakan kerana belum ada ikatan perkahwinan. Apabila sudah 'akad nikah' perempuan yang sama sudah menjadi Halal untuk hang sentuh hatta tiduri. Yang membezakan di sini ialah akad tadi, iaitu satu syariaat Agama. Sebab itulah dinyatakan bahawa tanpa Agama manusia ibarat haiwan yang tidak bisa mebezakan yang mana halal dan yang mana haram, yang mana dosa dan yang mana pahala. Ramai manusia yang sudah tiada agama dalam hidup mereka, berbuat sesuatu berdasarkan naluri, akal dan adat semata.

Berbalik kepada persoalan pinjaman perumahan tadi, "Jelas di sini ialah hang kena kekalkan pinjaman secara Islamik kerana ia Halal dan dibenarkan oleh syariaat. Sedangkan pinjaman secara konvensyional itu haram kerana ada elemen riba. Sekarang sudah ada pilihan untuk memilih produk yang Islamik, maka bukan keadaan darurat lagi."

Kawan saya tadi mengangguk tanda setuju. "Betul, aku tidak patut memilih produk yang haram. Lagipun RM300 yang aku dapat jimat itupun, sekejap sahaja akan lesap", katanya sambil tersenyum. "Betul tu, hang jangan risau. Allah akan balas balik RM300 kepada hang melalui sumber rezki yang lain, insyaAllah. Yakinlah."

Minda stress ini ada banyak sangkut pautnya dengan cara kehidupan kita. Apabila kita jauh dari Agama terutamanya apabila tidak minat untuk ke majlis2 ilmu atau malas baca buku2 dan bahan2 agama, maka tiada peningkatan dalam ilmu kita. Segala amal ibadah menjadi agak kosong tanpa kualiti dan penghayatan. Jasad diberi makan tapi ruh dibiar kelaparan. Maka sudah tentu hidup tidak sihat. Antara penyakit yang biasa melanda ialah minda stress. Jadi penyelesaiannya ialah rajin2lah ke majlis ilmu, cintailah masjid, belajar dan beramal nawaitu kerana Allah SWT. 

@@@

Monday, February 13, 2012

Harap Kasih Allah

Alhamdulillah pada pengajian kitab Penawar Bagi Hati sebentar tadi, Ust Zahidi mengajak kita sekelian sempena bulan Rabiulawal iaitu bulan kelahiran junjungan besar Nabi SAW untuk sama2 menyambung perjuangan Rasulullah yang penuh ujian untuk mengajak manusia kepada Islam. Kita mesti tunjukkan sungguh2 kasih pada Rasulullah dengan membenarkan segala apa yang dibawanya, mendampinginya agar mendapat kasihnya dan istiqamah berselawat kepadanya. 


Mari kita suloh diri masing2, berapa kali hari ini kita berselawat kepada Rasulullah dengan kasih. Kita patut malu kerana perihal urusan dunia, urusan nafsu kita peruntukkan berjam-jam masa, tapi untuk mengingati Allah, mengingati Rasulullah tak sampai sejam pun. 


Mana2 tempat, mana2 hati, mana2 individu yang berselawat khususan kepada Rasulullah SAW maka insyaAllah akan dihindar dari kemarau, penyakit, kebakaran, bala-bencana, kebencian, dan kecurian. Di permudahkan untuk menjawab soalan Munkar dan Nakir. Akhirnya dapat berada di tempat yang mulia di sisi Allah. Istiqamahlah berselawat 1000 x sehari semalam. Paling malas pun 100 x. Bertindak sekarang. Jangan tunggu lagi. Jangan tertipu lagi oleh helah dunia. Tunjukkan kasih kepada Nabi SAW.


Ustaz meneruskan pengajian kitab pada m/s 73 perihal zuhud iaitu tiada kasih dunia dalam hati. Bukan tak nak harta tapi tidak kasih harta dalam hati. Tidak kasih harta tetapi kasih kepada pemilik hakiki harta iaitu Allah SWT. Sedekah apa yang kita kasih. Ada harta tapi jangan kasih harta.


Zuhud kerana takut api neraka Allah. Zuhud kerana gemar pada nikmat Akhirat. Dan harap2 dapat nikmat Akhirat. Orang puji tak berubah. Orang hina tak berubah. Yang diharap puji Allah. Agama bukan semua orang suka. Ramai yang hanya buat suka2. Yang kita bimbang Allah tak suka. Yang kita risau jauh dari rahmat Tuhan.


Makam pertama berbuat ibadah nampak pahala. Makam kedua buat sesuatu harap kasih Allah, tinggal dosa  harap kasih Allah. Makam ketiga ialah nampak Allah dalam setiap sesuatu. Pandang laut nampak Allah, pandang gunung nampak Allah. Ibadah orang yang mengharap lebih afdal berbanding dengan ibadah takut. Lebih sebati. Bila tak bangun solat malam rasa sangat dukacita, rasa kekosongan, rasa tak cukup. Abu Hurairah RA tak akan tidur sebelum tasbih 12,000 x. Kita tak solat dhuha hari ni ada rasa apa2 tak?


Imam Bukhari nak belajar satu hadis terpaksa berjalan berhari-hari. Kita sekarang majlis ilmu ada di serata tempat. Menuntut ilmu itu wajib. Setiap langkah kita ke majlis ilmu akan di beri ganjaran pahala, para malaikat mengiringi dan ikan2 di laut mohon keampunan untuk kita. Tuntutlah ilmu daripada para ulama pewaris nabi, iaitu ulama yang takut Allah. Jangan beguru dengan ustaz kastad, iaitu ustaz yang mengikut acuan dan ramuan, sekejap boleh jadi donut, sekejap jadi roti canai atau tose.


Bukan Tuhan jangan dituhankan. Ada pula guru mengajar tauhid tapi tidak mentauhidkan Allah. Bersihkan hati. Selain Allah, hina. Segala-galanya Allah. Baru timbul pengakuan di hati, aku ini lemah, aku ini lalai, aku ini bodoh, aku ini fasik, aku ini hamba, aku ini hina. Maka bergantung harap hanya pada Allah. Aku tidak ada apa2. Semuanya Allah. Selamat berusaha menuju zuhud, mengharap redha Allah, harap kasih Allah.


@@@ 

Friday, February 10, 2012

Berjaya Kerana Agama



Kalau hendak berjaya, kena ada agama. Allah telah tetapkan kepada manusia untuk berjaya di dunia dan akhirat, kemuliaan hanya dalam agama. Jika nak berjaya kena ambik agama. Allah tidak letak kejayaan dalam dunia, harta dan pangkat. Boleh mati kalau tidak ada dunia, tidak ada keluarga tapi jangan mati tanpa ada agama dalam kehidupan kamu. Orang dulu2 bagi faham agama, Allah bagi dia faham agama. Jadikan dirimu untuk akhirat. Pada hari akhirat, harta banyak mana, keluarga dan waris-warah tidak dapat menolong.


Dunia ini sementara. Sebaik2perhiasan dunia ialah perempuan solehah. Dunia sebagai infradi. Adapun agama setiap orang kena buat usha atas agama, sebab ia istimain. Perempuan solehah kena buat 4 perkara - jaga solat, puasa, aurat dan ketaatan pada suami. Org perempuan solehah sibuk dgn amalan2. Jadikan rumah kamu kiblat dan dirikan solat, jangan jadi kubur, tidur sokmo.


Nabi anjurkan jaga amalan2 kerana itu pintu rezki yg sebenar. Nak dapat harta yg banyak. Jika wanita solehah dia akan lebih baik dari 70 org lelaki soleh. Ibadat dituju kpd semua umat. Allah lebihkan umat ini dengan dakwah. Umat ini sambil jaga ibadat kena ada dakwah. Nabi usha dakwah selama 23 tahun. Tugas dakwah Allah letakkan di bahu umat ini sehingga kiamat.


Baitullah dijadikan untuk semua mansia. Al-Qur'an dijadikan untuk seluruh umat ini. Sebab itu Allah bagi umur kita pendek, supaya bukan untuk beribadah semata tetapi untuk usha dakwah. Allah muliakan kita kerana dua tugas iaitu ibadah dan dakwah. Agama tidak datang dengan senang. Ribu2 nabi kena korban. Allah tidak tengok dunia. Sebab dunia manusia jadi punah. Tetapi agama sebagai asbab selamat, mulia, tinggi, dekat dgn nabi, dekat dgn Allah. Allah cinta pada agama lebih pada yang lain.


Dunia ada racun. Ramai yg rusak oleh dunia. Allah sentiasa tengok kamu, setiap detik, apa yg kamu buat? Maka hendaklah kamu takut pada dunia, takut pada perempuan yg bukan solehah. Perempuan solehah jadi ubat bukan penyakit. Banyak kena tipu dgn org perempuan yg mabuk pada dunia.


Agama mari dgn susah. Sesiapa yg Allah cinta maka Allah bagi susah dgn agama, hatta nabi kita, Allah bagi susah. Supaya kita cinta agama lebih pada yg lain. Nabi Ibrahim tinggal isteri dia 4 tahun lebih. Kemudian dia  balik melawat, Allah perintah nabi ibrahim tak turun daripada unta. Siti hajar sembunyi airmata dgn basuh dengan air zam-zam. Nabi keluar berdakwah. Lepas 4 tahun baru balik dan Allah perintah korban anaknya Ismail pula.


Siti Khadijah korban harta dan segalanya untuk agama. Seorang perempuan punya banyak kekuatan. Usha Nabi berjaya. Seorang budak di zaman Rasullah, Aklab tanya mana ayahnya? Tanya ibunya. Ibunya menangis. Ibu bagitau tanyalah Rasulullah. Di manakah ayahku? Rasullah bagitau Aklab, sesungguhnya ayah kamu meninggal di jalan Allah semasa kamu dlm kandungan, dan ayah kamu menunggu kamu di pintu Syurga. Aklab azam untuk keluar di jalan Allah untuk bela agama. Minta izin ibu. Ibu kata dia akan hidup seorang, tapi kerana agama, pergilah.


Aklab berada disamping Rasulullah dalam perang. Dia nampak orang kafir lempar lembing ke dada Rasulullah. Aklab telah berlari menahan lembing dgn dadanya. Aklab mati syahid mempertahankan Rasulullah. Katanya, supaya sampaikan salam pada ibunya dan berpesan dia dan bapanya akan menunggu ibu di pintu syurga.


Suatu masa Rasulullah turun dari mimbar untuk mendekati cucunya yang tidak mahu berhenti menangis. Rasulullah kucup Hasan dimulut dan Husen Rasulullah kucup di tengkuk. Apabila ditanya Fatimah, Rasulullah bagitau Hasan akan mati di racun, Husen akan mati   dipenggal dileher. Fatimah sangat sedih dan minta Rasulullah 'doa mustajab' untuk mohon keselamatan mereka. Doa mustajab ini aku tak rasa nak guna kerana tidak seteruk kisah aku di Taif. Allah sudah buat ketetapan mati. Bila sampai ajal dia kena mati juga. Aku rela tengok. 


Aku simpan doa mustajab ini untuk umat aku di padang mahsyar, kerana kerja berdakwah berterusan hingga hari kiamat. Kesusahan nabi, keluarga nabi mati kena bunuh berlumuran darah belaka,untuk sempurna agama. Rasulullah cintakan umatnya, melebihi cinta pada ahli keluarganya sendiri.


Orang solat di masjid, amalan masjid hidup 100%, dalam rumah telah jadi madrasah, hidup taklim, anak2 jadi hafiz, org soleh, org takwa. Janji Allah untuk bagi hidayah. Walaupun Abu Talib kamu kasih, kamu tak boleh bagi hidayah.
  1. Allah hantar Nabi
  2. Allah hantar Qur'an 
  3. Baitullah
  4. Masjid
Siratallazi...17x sehari dalam fatihah. Orang solat berjuta2 tapi masih ikut cara hidup orang yahudi. Sesipa yg bermujahaddah dgn harta dan diri mereka di jalan Allah, Allahakan buka jalan hidyah. Agama mari dgn mujahaddah susah payah. Dengan pengorbanan, Allah boleh tukar nizom.


Kejayaan sebenar dalam hidup ialah kejayaan kerana Agama. Jadilah manusia alim yang berilmu dan faham agama. Dunia ini sekadar hiburan. Destinasi akhir ialah kehidupan Akhirat. Dunia di jadikan Allah untuk manusia, namun manusia dijadikan untuk Akhirat.


@@@ 

Ada Hikmah Pada Setiap Ujian

Ujian Batuk
Saya ditimpa batuk kronik selama 3 minggu. Agaknya cuaca panas dan kering kala ini menjadi salah satu asbab. Namun yang penting ialah hakikat bahawa itu adalah ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.  Allah yang memberi batuk itu, maka Allah sahaja yang akan menyembuhkannya. Tidak bermakna saya tidak boleh berusha untuk mencari penawar kerana itu adalah sebahagian dari sunatullah yang boleh menjadi salah satu asbab kesembuhan daripada Allah. 


Saya berkunjung ke Klinik Amar pada kali pertama dan mendapat beberapa jenis ubat. Saya juga diberi MC satu hari. Ubat dan antibiotik yang diberi habis saya makan selama beberapa hari itu, namun kesembuhan daripada Allah masih belum tiba. Saya tidak dapat tidur lena sebagaimana biasa. Batuk yang dipaksa berlaku, bermula dengan rasa gatal di kerongkong yang kering menjadi simpton yang merobek tidur malam yang lena. Batuk di waktu pejabat juga menyumbang gangguan buat rakan2 yang lain.


Setelah seminggu suara saya menjadi serak2 basah. Kemudian bertukar kepada serak2 kering. Hingga satu tahap suara saya seakan-akan hilang, mungkin 80%. Fikir saya hebat ujian Allah kepada saya kali ini. Hendak menjawab panggilan telefon pun sudah agak janggal. Hendak order makanan di kantin pun agak lain macam bunyinya. Maka di sana ada hikmah tersembunyi. Saya dapat rasakan kepayahan seseorang yang tidak punya nikmat suara. Sesungguhnya segala nikmat yang ada ini milik Allah semuanya. Dulu memerhati kepayahan itu secara teori, tapi kini Allah beri peluang saya melaluinya secara praktikal, Alhamdulillah.


Masuk minggu kedua, batuk terus mengganas. Dada jadi sakit akibat batuk yang dulunya diiringi dengan sedikit kahak sebagai pelincir, tapi kini tiada kahak lagi. Batuk yang kering. Dentuman batuk yang menghentak dada memberi  kesan sampingan. Maka kunjungan kedua saya ke Klinik Amar rasanya sesuatu yang agak munasabah. Untuk berjumpa seorang doktor yang ada kepakaran perihal penyakit yang saya hadapi ini sebagai satu lagi usha dan ikhtiar. Saya terpaksa menunggu hampir dua jam. Ramai pula pesakit hari ini.


"Masih belum baik, mungkin virusnya agak kuat," begitulah komen Dr Amar apabila saya membuka mulut dan meluahkan suara yang tak mahu keluar itu. Dr Amar meneliti fail rekod perubatan saya. Kemudian dia mengambil bacaan tekanan darah saya, seterusnya meminta saya berbaring dan di analisa pula pergerakan jantung di dada dan belakang. Katanya normal. Apakah itu rutin rawatan atau memang boleh mencari punca penyakit, tidaklah saya pasti. "You wanna jab?" tanya Dr Amar. "Bolehlah", jawab saya yang memang agak tertekan dengan simpton yang degil ini. 


Seterusnya saya dibekalkan dengan beberapa jenis ubat yang lain, mungkin yang punyai dos kimia atau dadah yang lebih. Ubat batuknya pula saya perhatikan agak pekat sedikit.  Saya diberi sehari cuti MC walaupun saya tidak minta, mungkin pada analisa Dr Amar saya tidak fit untuk ke ofis, atau boleh mengganggu alam sekitar. Maka berehatlah saya di rumah, tapi batuk kering yang datang berkala setiap 5 minit tidak banyak memberi ruang kerehatan yang diingini itu. Virus terus mengganas mengorek kerongkong bagi menimbul rasa gatal dan perit yang memaksa saya batuk. Saya dipaksa some how...teringat lagu top 80an 'Kerna Terpaksa' nyanyian Fran.


Apalah sangat sakit batuk kalau nak dibanding dengan pelbagai penyakit kronik di luar sana, bisik saya dalam hati cuba menghayati ujian yang Allah berikan ini.


Pada dua minggu ini, saya sering terjaga dari tidur dan acap kali terpaksa tidur sendirian di sofa bagi melegakan batuk dan sakit di dada. Allah kejutkan saya dengan batuk ini pada pukul 2, 3 atau 4 pagi. Maka saya terpaksa bangun. Kemudian saya baring di sofa. Terlelap dan terjaga semula. Masuk ke bilik tidur, kemudian dikejut balik dengan asbab batuk. Bangun dan baring di sofa. Begitulah rutin malam sejak kebelakangan ini.


Saya ini agak lambat menerima biasan hakikat. Tapi bila saya sendirian di malam yang kelam merenung pusingan kipas syiling, saya mula perasan rupanya Allah nak melatih saya bangun malam. Rupanya sedar tak sedar saya sudah begitu liat bangun malam, tidak seperti sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Pada ujian ini Allah menyelitkan hikmah itu. Allah menghantar makhluknya yang bernama batuk untuk memberi sedikit pengajaran pada hamba-Nya yang sering lalai dan banyak alpa itu. Alhamdulillah.


Apabila direnung lebih dalam, maka terserlahlah segalanya iaitu nikmat yang maha banyak yang Allah kurniakan pada diri ini. Rezki isteri dan anak2 misalnya. Rezki rumah tempat berlindung. Rezki laman rumah, kehijauan tanaman dan kesegaran udara yang dihirup. Rezki air yang segar diminum. Rezki makanan yang dimakan. Rezki buah2an. Rezki akal dan fikiran. Rezki ilmu pengetahuan. 


Rezki kesihatan. Rezki pancaindera dan seluruh anggota badan termasuk segala organ2 dalam. Rezki wang ringgit, harta benda, pekerjaan dan jawatan. Rezki kereta proton saga. Rezki masa yang begitu berharga. Rezki boleh membaca dan menulis. Rezki tidur lena. Rezki menghadiri majlis2 ilmu di surau dan masjid. Rezki boleh melihat, mendengar, bercakap, merasa, berinteraksi dengan sesama makhluk. Rezki untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah SWT. Subhanallah.


Saya boleh meminta nasihat dan pelbagai ubat-ubatan dari Dr Amar, namun saya mesti yakin bahawa Dr Amar tidak sekali-kali dapat menyembuhkan saya. Buktinya setelah tiga minggu, batuk saya masih tidak sembuh. Hanya Allah yang dapat memberi kesembuhan itu. Itulah hakikatnya.


Sempena hari Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari. Marilah kita banyakkan berselawat kepada Rasulullah. Sesungguhnya Allah SWT sangat suka hamba-Nya berselawat kepada Rasullullah. Pada setiap selawat ini Allah akan membalas dengan 10 kali selawat. Buatlah sesuatu yang Allah suka kita buat. Terlalu banyak nikmat Allah untuk kita. 


Benarlah ada hikmah pada setiap ujian Allah. Beruntunglah orang yang sentiasa Renung dan Fikir akan segala nikmat dan kebesaran Allah. Ingatlah pada setiap lintasan hati untuk berbuat kebaikan dan kebajikan, Allah sedang berbicara secara khusus dengan mu. Teruslah berbuat kebaikan dan kebajikan itu. Teruslah bersegera meninggalkan sesuatu kemungkaran dan dosa. Jangan berputus harap kepada Allah SWT. Mohonlah taubat lagi dan lagi tanpa jemu kepada Allah yang Maha Pengampun walaupun dosa sebesar gunung Tahan atau seluas Laut Mati.


@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...