Sunday, April 22, 2012

Siapa Majikan ku?


Tiap hari kita ke ofis untuk bekerja. Tak kira hujan atau panas. Tak kira lapang atau sibuk. Sihat atau kurang sihat. Kerana apa? Kerana rasa bertanggung-jawab. Kerana asbab bekerja ini, di berikan gaji setiap bulan. Terasa ada habuannya, ada upah pada segala tugasan atau kerja yang dibuat itu. Ada yang dapat RM2,000 ada yang dapat RM10,000, macam2 kategori. 


Pabila bos kat ofis memberi sesuatu assignment maka kita pun memberi tumpuan sewajarnya untuk melaksanakan dengan jayanya. Jika ada sesuatu mesyuarat yang dijadualkan maka kita akan peka dan bersedia. Seolah-olah sudah terpahatlah bahawa aku ini punyai tanggung-jawab kepada majikan aku. Tak boleh main2. Segala arahan dan larangan kena patuhi.


Begitu juga yang bekerja sendiri, jadi kontraktor ke, jadi peniaga ke, semuanya bekerja kuat dan bersungguh-sungguh. Yang nampak di kepala ialah keuntungan wang ringgit dan harta-benda. Itulah kebiasaannya. Siang malam pagi petang kita disibukkan mengejar kesenangan dunia.


Mengejar habuan dunia ini acap kali tidak lagi mengenal dosa pahala. Menjadi tanggapan umum, ada kelompok orang2 politik menggunakan kuasa dan pengaruh untuk juga mencari habuan dunia. Hinggakan mengambil hak orang lain atau hak rakyat jelata. Walaupun gaji sebagai wakil rakyat tidaklah seberapa kalau nak dibandingkan dengan ahli2 perniagaan tetapi mereka ini tetap memiliki harta jutaan ringgit. Semoga mereka menyedari kesilapan dan bertaubat kepada Allah.


Maka benarlah manusia ini mudah menilai sesuatu kebendaan di depan mata. Status manusia di ukur oleh soal fisikal dan material seperti banyaknya harta, mewahnya kereta, besarnya rumah, dan tingginya pangkat dan kedudukan. Sedangkan nilaian Allah tidak memandang kepada soal fisikal seseorang tetapi lebih kepada soal ruhani dan hati. Tiada bezanya antara manusia ini melainkan takwa kepada Allah. Takwa itu ialah sejauh mana takutkan Allah iaitu sejauh mana mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Contohnya mendirikan solat itu suruhan-Nya, dan makan rasuah itu larangan-Nya. 


Berbalik kepada kepatuhan kita pada majikan atau pekerjaan kita kerana dinisbahkan dengan ganjaran gaji dan kewangan, sebaliknya kita acap kali gagal menisbahkan segala nikmat yang Allah berikan ini dengan kepatuhan dan ketakwaan kita kepada Allah. Atau kita gagal menzahirkan kepatuhan atau ketakwaan kita itu. 


Kita masih ambil lewa dan tidak sampai tahap mesti lakukan 'by hook or by crook'. Contoh kita ini rajin ke  majlis2 ilmu di surau dan masjid, tapi bila ada dugaan hujan lebat maka kita dengan senang hati cancel niat untuk ke majlis ilmu tadi, tanpa ada rasa aku mesti pergi kerana aku bertanggung-jawab kepada Allah, pemberi nikmat aku, pemberi rezki aku. 


Seolah-olah ada double standard, pada satu segi kita sanggup redah hujan dan panas untuk memenuhi tanggung-jawab pada majikan yang akan memberi ganjaran gaji setiap bulan itu yang bukan banyak mana pun, tapi kita gagal dan tidak sanggup meredah hujan dan panas untuk ke masjid bagi memenuhi tanggung-jawab seorang hamba kepada Pencipta-Nya yang bukan sekadar memberi udara percuma, malah pacaindera, ilmu pengetahuan, akal fikiran, keluarga, kesihatan dan seluruh kenikmatan hidup.


Kuliah2 maghrib saban hari di Masjid as-Salam biasanya akan dihadiri purata seratus orang, namun setiap kali hujan purata yang hadir akan jadi separuh. Begitu juga kita lihat di surau dan masjid, jumlah jamaah yang hadir untuk solat berjamaah zohor dan asar sangatlah sedikit kalau nak dibandingkan dengan solat berjamaah maghrib, isyak dan subuh. 


Apakah hanya tiga solat fardu saja yang perlu solat berjamaah? Menjadi sebahagian dari adat gamaknya, hinggakan surau2 hatta masjid sekali pun begitu payah untuk melaksanakan fardu solat zohur dan asar berjamaah ini. Banyak surau2 yang tertutup terus tanpa azan zohor dan asar. Atau pak bilal yang melaungkan azan itu pula terpaksa mendirikan solat berseorangan kerana tiada jamaah yang datang ke surau walaupun laungan azan yang dapat di dengar sejauh telinga mendengar.


Pencipta manusia, pemilik manusia mengajak manusia ke rumah-Nya dengan panggilan sebanyak lima kali sehari semalam. Berapa kali manusia menyahut panggilan itu? Sedangkan manusia begitu patuh pergi kerja setiap hari memenuhi panggilan dari majikan. Siapa majikan sebenar? Majikan yang bukan sekadar memberi gaji dan harta benda tapi majikan yang memberi segala yang manusia miliki ini. 


Justru itu masih belum terlambat untuk kita sama2 memahami hakikat ini sebelum terus ditenggelami dengan kegagalan melalui segala ujian yang Allah berikan, ujian kekayaan dan kemiskinan, ujian kesihatan dan kesakitan, ujian harta dan pangkat. Bukankah hidup di dunia sekadar medan ujian Allah pada setiap hamba-Nya.  Kembalilah ke jalan yang lurus iaitu jalan orang2 yang beriman dan beramal soleh.


@@@

2 comments:

Cikli said...

gaji dibayar dengan pahala, matawang akhirat

School Of Tots said...

TQ Cikli kerana menjadi pogomen setia pada setiap coretan ambo. Kalaulah selok kocek lepas solat jamaah tu ada RM27 dan selok lepas solat solo cuma ada RM1, agak2 nya ramai dak orang solat berjamaah? Orang lebih nampak matawang dunia gamaknya...berbanding matawang akhirat (ketulan2 pahala).

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...