(Gambar Tandas Masjid Sultan Mizan, Putrajaya)
Di Zaman Rasulullah, Masjid berfungsi sebagai pusat masyarakat. Orang Islam atau bukan Islam tidak ada masalah untuk ke masjid dan menggunakan kemudahan masjid. Masjid menjadi tempat tumpuan bukan tempat asing.
Semoga kita kembali mengikuti sunnah Rasulullah dalam soal pengurusan masjid ini. Saya setuju sangat Masjid kena 'musafir friendly'. Untuk musafir tumpang tidur pun boleh sepatutnya.
Kalau masalah jenayah atau kecurian yg mahu dicegah, mungkin ruang utama masjid di kunci tapi bahagian anjung dan tandas usahlah dikunci. Apa yg nak dicuri di situ? Lagi satu, elok ditampal label warna merah darah, "AWAS Kalau Mencuri - Hukum Allah Potong Tangan" sebagai peringatan yang berniat baik untuk menyelamatkan bakal2 pencuri dari bakaran api neraka Allah.
Satu lagi soal kebersihan masjid, saya ingat dah sampai masa kita mengupah pekerja professional mungkin dengan gaji RM800-RM1,200 sebulan. Collection hari Jumaat pun purata dah RM12,000 sebulan. Tak termasuk collection tabung bergerak kuliah maghrib setiap malam. Dah kena maju ke depan kot, takleh nak harap tok siak je soal kebersihan masjid ni. Perasan tak kat ofis kita, tandas bersih giler. Rupanya cleaner tu cuci dua kali sehari beb, padanlah bersih.
Jadi Masjid pun kita cuci la dua kali sehari jugak, baru la bersih menciut-ciut, betul tak? Ni Tok Siak dok cuci sekali seminggu mana aci. Kalau upah cleaner professional (atau tok siak professional) ni make sure SOW complete termasuklah vacuum carpet, mop tiles, cuci tandas, cuci tingkap, susun kitab, lap mengelap, sapu dan buang sampah kawasan masjid. Amacam ada berani?
Sejadah2, telekung, dan kain sembahayang kat masjid tu pun kenalah hantar dobi sekali sebulan. Zaman bau hapak ni sepatutnya dah lama berlalu. Langsir2 tu pun boleh hantar dobi kot 3 bulan sekali. Kebersihan adalah perkara asas dalam Islam. Tunjukkan tauladan yang baik kepada umat sejagat dengan kebersihan Masjid.
Saya petik teks khutbah bersangkutan perkara ini bertarikh 16 Syawal 1421H :-
Apabila kita menyingkap sejarah perkembangan kegemilangan umat Islam khususnya di zaman baginda Rasulullah SAW , masjid merupakan pusat ibadat, muamalat, penyebaran Islam, pemerintahan dan pentadbiran.
Masjid juga menjadi pusat pembentukan keperibadian insan serta kegiatan yang dapat memberikan faedah serta mendatangkan manfaat kepada Islam dan penganutnya. Masjid merupakan lambang syiar Islam dan kedaulatan, ia merupakan pusat yang menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan manusia bersama penciptanya.
Rasulullah SAW mengambil langkah yang berkesan bagi meluaskan fungsi dan peranan masjid bagi mewujudkan perpaduan yang kukuh dikalangan umat Islam di Madinah dengan meletakkan dasar ketakwaan di dalam kehidupan mereka.
Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 108 yang bermaksud :
‘Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa ( Masjid Kuba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang yang ingin membersihkan diri dan Allah menyukai orang-orang yang bersih’ .
*****
Beberapa lagi poin penting yang saya dapati dari blog BicaraMuslim untuk dikongsikan berkaitan topik ini :-
Sekiranya kita berjaya mengembalikan peranan dan fungsi masjid secara berkesan, cekap dan berkualiti pastinya masyarakat Islam dapat melihat dan mengecapi suasana kehidupan yang harmoni. Manakala perpaduan masyarakat dan pengembangan dakwah Islam secara menyeluruh bagi memperkasa dan memartabatkan umat berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. dapat dijayakan.
Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud :
‘Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.'
Masjid juga bukan untuk tatapan dan ibadat sembahyang pada hari dan waktu tertentu saja. Sebaliknya, ia adalah pusat dan nadi kegiatan ummah, sama ada dari segi kerohanian atau keduniaan seperti kegiatan yang menyentuh perhubungan antara manusia dan pencipta (Allah). Begitu juga, perhubungan manusia sesama mereka sendiri dalam menguruskan hal ehwal keagamaan, ekonomi, sosial, keilmuan dan pentadbiran negara. Ia adalah tempat melaksanakan segala kegiatan manusia yang mencerminkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.
Masjid tidak dilihat dari segi peranannya yang khusus saja, malah dari segi pembangunan dan perkembangan ummah seperti yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan sahabat. Di antara fungsi masjid pada zaman Rasulullah ialah:
- Tempat ibadat, terutama sembahyang berjemaah.
- Tempat pembentukan peribadi umat Islam atau dalam erti kata lain masjid adalah pusat pendidikan Islam.
- Pusat perkembangan ilmu pengetahuan kerana masjid tempat ilmu pengetahuan disampaikan baik dalam bidang akidah, syariat dan akhlak.
- Tempat wahyu diturunkan dan sebagai tempat wahyu disampaikan kepada sahabat.
- Pusat kegiatan kesusasteraan dan persuratan Islam. Ada sahabat yang menyampaikan syairnya dalam masjid.
- Pusat kegiatan sosial dan kehakiman dalam perkara yang berkaitan dengan nikah kahwin dan penyelesaian masalah umat Islam.
- Tempat letaknya Baitulmal negara.
- Tempat persinggahan musafir dan tempat menyambut tetamu.
- Lambang persaudaraan dan perpaduan umat Islam kerana setiap hari lima kali umat Islam bertemu dengan tujuan yang sama tanpa mengira kedudukan dan keturunan.
- Tempat membuat perisytiharan kepada umat termasuk perisytiharan pelantikan khalifah (Abu Shuhbah, al-Sirat Nabawiyyat Fi al- Qur'an Wa al-Sunnat jld: 2 hlm: 31).
Antara sebab masjid pada zaman silam mampu berperanan sedemikian luas ialah:
- Keadaan masyarakat yang bersatu padu dan berpegang teguh kepada nilai keagamaan dan kebudayaan.
- Kemampuan pembina masjid menghubungkan aspek sosial dan keperluan masyarakat dengan kegiatan masjid.
- Manifestasi pemerintahan terlaksana di dalam masjid.
Di sesetengah masjid di negara ini, fungsi dan peranan masjid sebagaimana pada zaman keagungan Islam dulu tidak lagi dilaksanakan. Namun ia tidak bererti bahawa institusi masjid tidak mampu berperanan dalam hal berkenaan. Dalam muktamar Risalah al-Masjid di Makkah pada 1975, soal peranan dan fungsi masjid dibincang dan disepakati bahawa masjid boleh berperanan dengan baik apabila memiliki peralatan dan ruangan yang memadai untuk:
- Ruang solat yang memenuhi beberapa syarat keluasannya.
- Ruang khusus untuk wanita yang memudahkan mereka untuk keluar masuk masjid tanpa bercampur gaul dengan lelaki. Ini termasuk ruang solat dan pendidikan.
- Ruang bagi sebarang pertemuan dan bilik perpustakaan.
- Ruang klinik dan ruang untuk memandi dan mengkafankan jenazah; dan
- Ruang untuk beriadah bagi remaja Islam.
*****
Majlis2 ilmu yang berlangsung setiap malam di Masjid kita rekodkan dan 'upload' ke blog dan website untuk dikongsi dengan saudara kita yang lain di serata dunia contohnya capaian pelajar kita di Russia atau Jepun. Dengan itu mesej dakwah ini akan terus berkembang tanpa sempadan lagi di muka dunia Allah ini.
Sebagai konklusi, kita hendaklah maju ke depan dalam mengoptimumkan fungsi masjid dalam masyarakat setempat. Paparkan tauladan dan model Islam yang baik bermula dengan soal yang paling asas seperti kebersihan dan kemudahan tandas. Seterusnya mengembang luas kepada syiar dakwah dan penyampaian risalah Islam ke seluruh pelusuk negara. Lebih dari itu kita juga perlu punyai wawasan dalam era dunia tanpa sempadan untuk menjangkau seluruh umat ini dan menyampaikan nur Islam untuk menyuluh umat manusia pada cahaya kebenaran Islam.
@@@
8 comments:
mashallah,penulisan yg bermanfaat....
TQ Anak Pendang Sekeluarga. Kena ada anjakan pardigma supaya lebih berjiwa besar dlm menyebar luas syiar Islam. Terlalu banyak soal remeh yang perlu kita semua hapus terus, agar Islam itu indah dan wangi selalu.
terasa lemah apabila khatib baca khutbah yang terangan mengampu pemerintah.
tulisan yang baik tuan sadiq... eh tuan sot
salam sot,
masjid adalah Rumah Allah. Masing-masing kenalah tahu adab apabila bertamu di rumah Allah.
salam iduladha buat tuan serta keluarga...
TQ Cikli. Kebanyakan khutbah jadi ubat tidur para jammah...tak mencapai matlamat. Sedangkan itu platform penting untuk 'touch base' & menyampai reminder penting kpd umat supaya taqwa kpd Allah. Namun jgn putus harap. Sama2 kita usha & doa agar kebaikan muncul jua pada setiap permasalahan.
TQ abah aman sudi komen. Kita dambakan masjid yg hidup. Hidup dgn majlis ilmu & muhibah masyarakat. Sama2 kita beri sumbangan, insyaAllah. Sekurang2nya sumbangkan cadangan ke dalam peti2 cadangan.
Selamat menyambut Aidil Adha pada abah aman sekeluraga, semoga terus berkorban untuk agama.
bila la saya dapat tulis mcm tuan ye.. sungguh informative.. nk juga tukar persepsi org terhadap masjid nh..
TQ Hidayatullah. Salah satu golongan yg akan mendapat lindungan Allah di Akhirat kelak ialah anak muda yg hatinya sentiasa mencintai Masjid. Masjid itu Rumah Allah dan kita diseru ke Rumah-Nya sekurang-kurangnya 5x sehari. Berapa kali seharikah seruan ke Rumah Allah itu bersambut? Sendiri kena jawab.
Post a Comment