Tuesday, September 15, 2009

Hanya 4 Hari Lagi


Setelah dewasa begini perjalanan Ramadhan terasa sangat laju berbanding zaman kanak2 dulu. Apakah kerana masa akhir zaman ini sudah mengecut atau kerana disibukkan oleh pelbagai hal dunia. Apa yang nyata Ramadhan kali ini hanya berbaki 4 hari saja lagi. Hari2 yang berlalu tidak akan kembali lagi.

Maka yang berbaki ini bak kata Ust Azhar pada Kuliah Subuh ahad lepas mestilah kita pulun habis. Qur'an yang belum dikhatam itu baca terus tuan2 sampai khatam. Zakat fitrah kalau belum langsai tu segerakan. Sedekah jariah dan infak di jalan Allah perbanyakkan. Solat2 sunat tu lebih2kan. Iktikaf, bertaubat sungguh2 dan mohon keampunan. Zikrullah sepanjang masa. Pergi memburu Lailatul Qadr "Sesiapa yang berjaga dan solat pada malam Lailatul Qadr kerana ketaqwaan dan mengharapkan ganjaran, dosa2nya yang lalu akan diampunkan" (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bulan Ramadhan adalah bulan dimana Al-Qur'an telah diturunkan bahkan kitab2 yang terdahulu juga diturunkan di bulan Ramadhan. Bagi mereka yang membaca Al-Qur'an pahalanya sangatlah lumayan seperti sabda Rasulullah SAW "Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan tiap2 kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."

Apabila kita membaca Al-Qur'an dan memahami isi kandungannya, kita akan menikmati kehidupan yang penuh kebahagiaan dan kejayaan kerana:


  1. Kita akan dapat membezakan di antara jalan yang benar dan yang salah seperti difirmankan oleh Allah SWT "...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan2 mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)." (Baqarah: 185)

  2. Ia membebaskan kita dari perbuatan syirik, kepercayaan karut dan amalan2 bida'ah: "Kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji." (Ibrahim: 1)

  3. Ia membongkarkan rahsia dan tipu helah musuh ketat kita; Syaitan dimana objektif utamanya untuk memastikan kita menyertainya di neraka jahannan. Allah berfirman "Syaitan itu memberikan janji2 kepada mereka dan membangkitkan angan2 kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipu belaka."

Al-Qur'an menuntut kita membaca, memahami, menghayati dan mengamalkannya. Harapan kita semoga selepas pemergian Ramadhan tahun ini amalan yang baik iaitu membaca Al-Qur'an akan sentiasa menjadi sebahagian daripada rutin harian hidup kita. Marilah kita mulakan hari kita dengan membaca Al-Qur'an kalam Allah sebelum membaca apa2 pun dari kalam manusia.

Pada tazkirah malam tadi, Ustaz Fauzi dari Kedah menyatakan hari yang paling bahagia baginya ialah apabila mendapat panggilan telefon anaknya yang berusia 12 tahun yang memberitahu berjaya khatam hafazan 30 juzuk Al-Qur'an. Betapa beruntung seorang bapa yang punyai peluang mendapat syafaat dari anak penghafal Al-Qur'an di akhirat kelak.

Ustaz yang punyai pengalaman berceramah di seluruh negara juga ada menyelitkan sebuah kisah di perkampungan orang asli di daerah pendalaman Dabong semasa beliau berceramah di sana. Tok Batin di situ adalah seorang yang celik Al-Qur'an dan beliau yang hafiz 20 juzuk mengimani solat dengan bacaan yang sunggah indah dengan lagu Imam besar Masjidil-Haram Abdul Rahman Sudais hingga berjaya menitiskan airmata para jemaah sekelian termasuklah Ustaz.

Tok Batin ini menceritakan pada satu hari dia telah berkunjung ke Bandar Kuala Krai untuk membeli TV kerana di kampungnya tak ada TV. Jadi setelah balik dengan teksi dan berjalan masuk ke perkampungannya membawa TV maka anak buah semuanya datang berkumpul ke rumahnya untuk melihat TV. Dia pun berkata "hah...tengoklah...TV9 ada Tv3 ada Tv1 ada.....tengok2 semua..." cuma satu masalahnya, kampung tu takde bekalan letrik lagi...ha hah. Itulah ibarat nya kata Tok Batin yang cerdik tadi jika kita memiliki Al-Qur'an tetapi tidak membaca dan mengamalkannya. Tajam tu.

Baiklah dalam detik2 kita untuk berpisah dengan Ramadhan tahun ini yang entah dapat berjumpa entah tidak lagi dengan Ramadhan yang akan datang, maka marilah gandakan amal soleh kita dalam baki dan sisa2 yang ada ini. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan "bahawa Nabi Muhammad SAW beruasaha lebih gigih dalam ibadahnya pada sepuluh hari terakhir Ramadhan berbanding dengan waktu2 lain, solat, membaca Al-Qur'an dan berdoa." Marilah kita sama2 mengikuti jejak junjungan besar kita itu.

Allah berfirman "Tiap2 yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu..." (Ali-Imran: 185)

Allah menghantar kita di dunia ini dengan tujuan kita mengumpul ganjaran yang telah disediakan supaya kita dapat membina satu kehidupan yang bahagia di akhirat. Dunia ini diibaratkan sebagai tempat untuk menabur benih sahaja dan hasilnya menanti di akhirat kelak.

Jadi wajarlah kita menggunakan masa yang singkat ini dengan menaburkan sebanyak mungkin benih2 yang baik dan berfaedah supaya hasil yang diperolehi kelak adalah hasil yang akan menempatkan kita di makam yang tertinggi di sisi Allah.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...