Thursday, June 06, 2013

Sedikit Ketawa Banyak Menangis

Pada satu pencerahan majlis ilmu beberapa minggu lalu Ustaz ada menyebut pasal SMS. SMS pertama ialah "Susah Masuk Syurga". Kenapa? Kerana maksiat. Manakala SMS kedua pula ialah "Senang Masuk Syurga." Macamana? Senang buat ketaatan pada Allah.


Doa Iftitah
Hari-hari kita baca doa iftitah sebagai doa pembuka dalam solat. Cuba kita renung terjemahannya:


  • Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
  • Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
  • Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
  • dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. 
  • Sesungguhnya solatku,ibadatku,hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
  • Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam. 


Rindu syurga tapi sikap masih tidak taat pada Allah & Rasul. Ungkap pelbagai ikrar tapi bohong belaka. Seolah-olah merasakan Allah tidak nampak atau tidak tahu akan pembohongan dan segala pengkhianatan itu. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Benar? Atau bohong? Sendiri tanya sendiri jawab.

Bila engkar perjanjian dengan Allah maka akibatnya ialah dibakar oleh api neraka. Asbab kelalaian maka dihumban ke dalam neraka. Di bibir mengajak untuk taat kepada Allah. Bohong.

Salah satu asbab kamu dicampak ke dalam neraka Allah ialah gelak ketawa. Simple tapi kesannya cukup dahsyat. Orang yang ingat Akhirat tiada ruang untuk ketawa. 


Imam Hasan Al-Basri berkata: "Sungguh ajaib seseorang dapat tertawa pada hal dibelakangnya ada api neraka dan orang yang bersuka-suka sedang dibelakangnya maut."

Hasan Al-Basri bertemu dengan pemuda yang sedang tertawa, lalu ditanya: "Hai anak, apakah engkau sudah menyeberang titian sirat?" Jawabnya: "Belum." "Apakah engkau pasti engkau akan masuk syurga atau neraka?" Jawabnya: "Belum." "Lalu kerana apa engkau tertawa sedemikian itu?" Maka sejak itu pemuda itu tidak tertawa lagi. Nasihat Hasan Al-Basri meresap benar dalam hatiya sehingga ia bertaubat daripada tertawaan. 

Demikianlah nasihat dari ulama yang mengamalkan benar ilmunya, sangat berguna ilmunya dan berkesan nasihat-nasihatnya, adapun ulama-ulama sekarang kerana mereka sendiri tidak menjalankan ilmunya maka ajarannya kurang berkesan.

Orang yang banyak gelak ketawa dan sedikit menangis akan jauh dari Penciptanya. Maka jauhkan gelak ketawa. Kalau ada gelak ketawa masih ada maksiat yang dilakukan. Makin banyak ilmu kena makin banyak rasa ada maksiat. Bermunajat kepda Allah, suloh diri dan taubat. Kita dambakan akhir kehidupan sebagai insan beriman yang mendapat redha Allah untuk merasai syurga Allah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Umar RA berkata: "Pada suatu hari Nabi Muhammad SAW keluar ke masjid, tiba-tiba ada orang berbicara-bicara sambil tertawa, maka Nabi Muhammad SAW berhenti di depan mereka dan memberi salam lalu bersabda: "Perbanyaklah mengingati yang merosak kelazatan." Sahabat bertanya: "Apakah yang merosakkan kelazatan itu?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Mati." 

Kemudian Nabi Muhammad SAW keluar melihat orang-orang sedang tertawa gelak-gembira, maka Nabi Muhammad SAW bersabda kepada mereka: "Ingatlah demi Allah yang jiwaku ditangan-Nya andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui nescaya kamu sedikit tertawa dan banyak menangis." 

Kemudian dilain hari keluar pula dan melihat orang-orang sedang gelak ketawa sambil berbicara-bicara, maka Nabi Muhammad SAW  memberi salam dan berkata: "Sesungguhnya Islam ini pada mulanya asing dan akan kembali asing, maka untung bagi orang-orang yang asing pada hari kiamat." Ditanya: "Siapakah orang-orang asing itu pada hari kiamat?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Ialah mereka yang memperbaiki dimasa kerosakan manusia." (Yakni jika manusia telah rosak moralnya (akhlak) maka mereka tetap memperbaiki akhlak mereka.)

Imam Abu Hanifah berkata, "Saya pernah tertawa satu kali dan saya sangat menyesal atas kejadian itu iaitu ketika saya berdebat dengan Amr bin Ubaid Alqadari (Orang bermazhab Qodariyah yang tidak percaya pada takdir Allah SWT), ketika saya merasa menang lalu tertawa." Maka dia berkata, "Engkau bicara tentang ilmu dan tertawa, maka saya tidak akan berkata-kata kepadamu untuk selamanya." Maka saya sangat menyesal, sebab andaikan saya tidak tertawa nescaya akan dapat menundukkannya dengan kefahaman saya sehingga menjadi kebaikan bagi ilmu."

Ibn Abbas r.a. berkata: "Siapa yang tertawa ketika berbuat dosa maka ia akan menangis ketika akan masuk neraka." Orang yang lebih banyak ketawa didunia merekalah yang lebih banyak menangis diakhirat, dan orang yang banyak menangis didunia merekalah yang banyak tertawa diakhirat.

Justru itu pahatkan diminda dan zahirkan pada amalan SMS(Senang Masuk Syurga) iaitu tidak berbohong lagi dalam menunaikan akujanji doa iftitah yang dilafazkan setiap hari itu, "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam." Dan hayati pesanan Rasulullah agar sedikit tertawa dan banyak menangis.

@@@

Tuesday, June 04, 2013

Manusia Mudah Lupa

Abu Nawas masuk ke masjid meninggalkan keldainya di luar masjid. Selepas selesai urusannya di masjid beliau pun keluar dari masjid untuk pulang. “Aik mana keldai aku?”  tanya Abu Nawas kepada orang sekeliling. “Sudah di bawa lari agaknya, sebab Pak Abu tak tambat keldai itu,” sampuk seorang pemuda. “Alhamdulillah,” jawab Abu Nawas. “Kenapa Pak Abu ucap begitu?” pemuda tadi ingin tahu. “Ya lah aku bersyukur kepada Allah. Nasib baik aku tak ada atas keldai itu. Kalau tidak aku akan turut menjadi mangsa hilang entah ke mana.”

Pada satu hari, raja memanggil seluruh bijak pandai dalam Negara. “Siapa yang dapat mengira berapa jumlah bintang di langit akan Beta bagi hadiah yang lumayan.” Semua bijak pandai yang hadir mengeleng-ngelengkan kepala kecuali Abu Nawas. Raja pun memanggil Abu Nawas mengadap. “Hai Abu Nawas, adakah kamu dapat mengira bintang-bintang di langit?” Abu Nawas dengan relax terus menjawab, “InsyaAllah.” Maka Raja pun memberi ruang masa untuk Abu Nawas mengiranya. “Saya minta seekor biri-biri jantan di bawa kemari,” pinta Abu Nawas. Maka seekor biri-biri jantan di bawa oleh khadam istana ke hadapan Abu Nawas. “Mengikut perkiraan patek, jumlah bintang yang ada di langit sama banyaknya dengan jumlah helaian bulu yang ada pada kambing jantan ini.”

Pak Pandir membeli tiket kelas ekonomi Air Asia semasa musim cuti sekolah kerana berhajat untuk pulang bercuti ke Kota Bharu. Selepas check-in dia pun naik kapalterbang dan duduk di kerusi paling depan. Pramugari meminta Pak Pandir untuk pindah ke kerusi belakang kerana kerusi depan ini adalah untuk kelas bisnes, namun Pak Pandir tidak mahu berganjak. “Saya selesa di sini, terima kasih,” katanya dengan sopan. 

Beberapa lagi pramugari yang bertugas meminta Pak Pandir untuk pergi ke ruang penumpang kelas ekonomi tetapi semuanya gagal. Akhirnya pramugari berjumpa dengan pilot untuk menyelesaikan masalah ini. Pilot itu pun datang berbisik sesuatu ke telinga Pak Pandir. Beberapa minit kemudian Pak Pandir terus pindah ke kerusi di kelas ekonomi. Pramugari tadi terus bertemu dengan pilot bertanyakan rahsia dan helah pilot bila berdepan dengan Pak Pandir tadi. “Saya tanya dia hendak ke mana? Katanya hendak ke Kota Bharu. Jadi saya kata Kota Bharu kena naik kerusi belakang. Sebab kerusi depan ni untuk ke Penang.”

Pada satu malam yang kelam usai pulang dari masjid, semasa berjalan di tepi jalan Pak Pandir kehilangan beberapa keping duit syiling dari poketnya. Malam yang gelap menyukarkan dia untuk mengesan duit yang jatuh ke tanah itu. Lalu dia pun terus melangkah beberapa meter ke depan ke kawasan yang agak cerah oleh limpahan lampu jalan. “Cari apa tu Pak Pandir?” tanya seorang pemuda. “Cari duit aku yang terjatuh, tak jumpa-jumpa lagi.” Pemuda tadi pun menyertai Pak Pandir dalam proses pencarian itu. “Duit Pak Pandir jatuh kat mana?” tanya pemuda tadi untuk kepastian. “Kat sana tu?” jawab Pak Pandir  sambil menuding jari hantunya ke arah tepi yang jalan yang gelap. “Habis tu kenapa Pak Pandir cari kat sini?” tanya pemuda itu dengan bengang. “Kat sini kan cerah sikit,” jawab Pak Pandir penuh ikhlas.

Ustaz tempoh hari ada bercerita kisah dia dengan mata rabunnya. Ustaz masbuk solat maghrib berjemaah di sebuah masjid. Dia meletakkan kaca matanya di atas sejadah tempat solat. Bila Imam memberi salam Ustaz terus bangkit untuk sambung rakaatnya. Ada pula budak ni terpijak kaca mata Ustaz maka pecahlah kacanya. Ustaz pun redha cuma risau juga sebab Ustaz rabun. Tapi Ustaz teruskan juga kuliah maghribnya mengajar sirah dalam keadaan rabun itu. “Ustaz nampak ke nak drive untuk balik ni?” tanya Tok Siak yang prihatin usai kuliah maghrib itu. “InsyaAllah ok,” jawab Ustaz walaupun di hatinya agak kerisauan. Kita sering alpa dan tidak bersyukur atas nikmat yang Allah kurnia kepada kita hinggalah nikmat itu di tarik balik oleh Allah. Betul tak? “Malam itu saya teraba-raba nak pandu kereta kerana mata yang rabun. Akhirnya saya singgah di sebuah surau dan bermalam di situ menunggu subuh. Bila hari siang baru saya pandu kereta balik ke rumah.”

Ada kelompok manusia yang jadi sombong dan lupa bahawa segala yang ada padanya hari ini adalah kurniaan Allah belaka dan milik Allah belaka. Manusia lupa oksigen yang disedut itu milik Allah. Karbon dioksid yang dihembus keluar itu milik Allah. Daun-daun pokok menyedut karbon dioksid itu dan mengeluarkan oksigen kembali ke ruang udara untuk disedut oleh manusia dan haiwan. Betapa cantek dan sempurnanya sistem ciptaan Allah.

Ada seorang tua pengidap kusta di Sungai Buloh. Jari jemarinya tidak dapat di bengkokkan. Susahnya dia untuk menjalankan urusan hidup secara normal. Untuk makan dia kena guna sudu. Nak basuh berak pun payah. Maka syukurilah nikmat jari jemari yang dapat di gerak-gerakan pada setiap sendi itu. 

Gigi juga nikmat. Namun sayang ramai yang lupa hinggalah satu hari sakit gigi atau gigi sudah rosak atau goyang atau terpaksa dicabut. “Alangkah bestnya kalau saya ada gigi untuk kunyah kacang kuda ini.” Ramai yang baru fikir soal nikmat ini pabila nikmat itu sudah hilang. Sesal tiada guna lagi.

Sifat orang mukmin ialah memberi penghargaan dan terima kasih kepada pemberi nikmat itu. Penghargaan itu bukan sekadar ungkapan Alhamdulillah semata tetapi ialah dengan menzahirkan kelakuan dan amalan dengan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah ini untuk taat kepada Islam taat kepada Allah. Janganlah terlibat dengan perbuatan yang boleh meragukan orang kepada Islam.

Yang paling parah ialah orang yang munafik dan kufur dengan Allah dalam keadaan Allah bagi pelbagai nikmat kepadanya. Dia lupa dan lalai. Dia dapat sepasang mata yang begitu canggih daripada Allah tetapi depan mata itu pun dia terus kufur dan gagal mentaati segala perintah Allah  malah terus menerus bangga dengan adegan maksiat dan dosa.

“Ish ish anak sapa tu dok berdua-duaan dalam semak tu Pak Imam?” tanya Tok Siak kepada Pak Imam usai solat asar di beranda Masjid. “Eh, nampak susuk tubuh tu macam anak hang Tok Siak.” Terkedu Tok Siak menggaru kepalanya yang penuh uban. Haru kita bila anak muda yang kita sedang kutuk itu rupanya darah daging kita sendiri. Maka benarlah iman tidak boleh diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa. Iman juga tidak boleh dijual beli.

Allah bukan sekadar cipta kamu tapi ayah kamu dan datok nenek kamu malah seluruh infarstruktur alam maya ini. Dalam pada bumi ini bergerak berputar di atas paksinya, kita tak terasa pula pergerakan bumi itu malah terus rasa tegak berdiri di dataran yang terhampar. Bulan, bintang, seluruh planet dan matahari setia pada landasan masing2 bergerak penuh harmoni dalam sebuah sistem hebat reka cipta daripada Yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT.
Nikmat air yang turun dari langit, di kumpulkan di awan dan turun secara berdikit-dikit sebagai taburan hujan adalah tanda kehebatan ciptaan Allah SWT. 

Cuba bayangkan jika Allah memilih untuk menurunkan air dari langit secara direct. Sudah tentu hancur berkecai segala yang ada di bumi. Masih ingatkah kita beberapa tahun dulu satu kejadian di mana tangki air yang pecah di atas bumbung rumah pangsa menyebabkan air jatuh ke bumi secara direct ibarat hempakan batu besar yang telah menyebakan beberapa kematian kerana kesan hempap di kawasan parking rumah pangsa 20 tingkat itu. Sesungguhnya nikmat air hujan yang Allah turunkan itu adalah terlalu hebat dan agung sifatnya untuk orang2 yang mahu renung dan fikirkan.

Orang yahudi dan nasrani sebenarnya mengaku akan kewujudan Allah tapi mereka tidak mahu mengaku akan kenabian Rasulullah SAW pabila lahir Rasulullah bukan dalam kalangan kaum mereka. Begitu juga dengan orang arab Quraish yang menolak kenabian Rasulullah kerana merasakan diri mereka yang hebat dan tinggi darjatnya berbanding dengan Nabi yang yatim paitu, miskin dan buta huruf itu.

Islam tidak mengajar manusia untuk mengagungkan kaum, bangsa, keturunan dan warna kulit. Tidak salah untuk sayang kepada bangsa sendiri namun jangan pula sampai merendah-rendahkan atau sampai mengutuk dan mencaci kaum atau bangsa lain. Itu sombong namanya. Kamu bukan mulia kerana keturunan, pangkat  dan warna kulit kamu tetapi mulianya kamu kerana takwa.

Allah cipta manusia ini berpuak-puak, berkabilah-kabilah dan berbangsa-bangsa. Untuk apa? Supaya kamu saling berkenal-kenalan. Bayangkan kalau rupa kita ini sama dan sepesen sahaja, bukankah payah untuk membezakan antara satu sama lain dan susah kenal-mengenali. Fitrah manusia hendak berbeza. Hakikat manusia, kita berbeza. Yang utama kena tolong menolong dalam usha kebaikan bukan kepada keburukan dan perkara-perkara maksiat.

Manusia bila rasa dah lebih sangat dah besar sangat maka dia tindas orang lain. Dan sifat manusia pula ialah takut kepada pihak berkuasa melebihi daripada takut kepada Yang Maha Berkuasa. Seolah-olahnya segala kezaliman dan maksiat yang dilakukan itu terlepas daripada pengetahuan Allah Yang Maha Berkuasa. Maka dia kekal membuat maksiat dan dosa.

Akhirnya kita kena kembali ke pangkal jalan pada hakikat yang sebenar. Tolong hargai segala nikmat pemberian dan pinjaman Allah ini. Bagaimana? Iaitu dengan mengabdikan diri kepada Allah. Iaitu dengan bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah yang tidak terhingga banyaknya ini. Takut kepada Allah dan takut kepada bakaran api neraka Allah.

Ya Allah ajarkan kami apa yang kami jahil. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa.

@@@

Thursday, May 30, 2013

Fardu Ain



Tiada Istilah Rehat Dalam Menuntut Ilmu Allah




“Pakcik kenapa tak solat?” Tanya seorang pemuda kepada seorang Pakcik yang kelihatan mundar mandir di laman Masjid sejak tadi. “Kau tak mengaji ke?” jawab Pakcik itu. “Orang gila tak payah solat,” hujah Pakcik tadi dengan muka selamba rock.


Saya mendengar seorang Ustaz mengajar, “Kalau fardu ain belum lagi sempurna, setiap denyutan jantung dan nadi itu adalah masih dalam keadaan dosa.” Maksudnya tiada ruang untuk rehat daripada mengikuti majlis2 ilmu demi mendapatkan ilmu fardu ain itu.


Kekadang kita ungkapkan pelbagai zikrullah namun penghayatan maksud pengucapan kita itu tidak pula kita ambil peduli. Walhal sudah lama kita tuturkan zikrullah itu. Itulah pentingya menuntut ilmu. 

Apa maksud kalimah Alhamdulillah? Segala puji bagi Allah. Iaitu pertama Allah memuji akan diri-Nya (diri sendiri). Allah sangat layak untuk memuji akan diri-Nya sendiri sejak azali lagi.

Maksud kedua ialah, Allah memuji akan makhluk-Nya. Contohnya Allah memuji makhluk-Nya yang beriman, yang bertaubat, atau yang beramal soleh. Allah memuji Rasulullah akan akhlaknya yang baik. Atau Allah memuji para Nabi dan para sahabat dan meredhai mereka. 

Maksud ketiga, ialah makhluk memuji akan Allah. Seluruh makhluk termasuklah haiwan, tumbuhan, bukit-bukau, batu-batan tidak henti memuji Allah dan zikrullah. Kita henti berzikir maka hati jadi mati.


Yang keempat, makhluk memuji kepada makhluk dan kembali pujian kepada Allah pencipta dan pemilik segala makhluk. “Lawa kereta BMW Ustaz,” puji tok siak. “Alhamdulillah,” jawab Ustaz. Yang lawanya kereta BMW tapi yang dipuji ialah pemilik BMW itu. Yang dipuji kepada makhluk akan kembali kepada pemilik dan pencipta makhluk itu. Kucing cantek, pokok lawa, pantai yang indah. Siapa cipta? Allah.


Kenapa solat? Kenapa puasa? Kenapa haji? Jawabannya ialah kerana ia tuntutan Allah. Kena tutup aurat sebab Allah suruh. Kalau boss suruh kita buat. Inikan pula Allah yang suruh, lebih lagi kita patuh. Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka. Biar susah kini jangan susah kemudian. Seorang isteri dapat masuk syurga tanpa suami. Tapi seorang suami belum tentu dapat masuk syurga tanpa isteri kerana di khuatiri tanggung-jawabnya untuk mendidik isterinya dengan ilmu tidak dilaksanakan.


Kalau tidak faham atau arif tentang sesuatu permasalahan agama maka eloklah kita diam dari bicara dalam ragu yang boleh menyesatkan diri sendiri dan orang lain. Agama ini adalah cara hidup. Maka janganlah ambil agama daripada orang yang bukan ahlinya. Sekarang kita ini duduk di dunia manusiakah atau dunia Allah? Tak payah risau tentang manusia tetapi risau tentang murka Allah.


Dalam matematik moden 6 – 1 = 5. Dalam kaedah ilmu dalam agama, 6 tolak 1 jawabnya kosong. Rukun iman ada enam yang jika di tolak salah satu maka hilang dan terbatallah imannya.  “Aku kaya walaupun aku tak solat,” kata seorang pengusaha yang berjaya. Adakah ini nikmat atau bala Allah? Ia sebenarnya bala dlam bentuk istidraj iaitu nikmat yang tidak ada redha Allah. Dengan istidraj manusia kekal lara dalam kejahilan dan dosanya. Segala amalan baik bagi seorang muslim yang tidak solat tiada nilaiannya di sisi Allah.


Umur ini adalah modal kita untuk bertemu Allah. Setiap hari modal ini semakin mengurang. Bertuahlah orang yang mengenal Allah. Ianya satu nikmat yang sangat besar. Jenayah yang paling besar pula ialah syirik kepada Allah. Orang yang mencuri tabung masjid adalah lebih jahat daripada orang kafir kerana dia ini orang Islam kerana dia mencuri duit orang yang nak belanja ke jalan Allah.


Subhanallah itu maksudnya maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan yang ada pada makhluk.  Allahu Akbar membawa pengertian Allah yang maha besar daripada segalanya. Kerajaan Allah yang maha besar, kemuliaan Allah yang maha besar, ketinggian zat Allah yang maha besar. Allah maha kaya dan tidak memerlukan sesuatu pun daripada makhluk sedangkan makhluklah yang memerlukan segala sesuatu daripada Allah.


Yang penting istiqamah berada di majlis2 ilmu saban malam agar kita faham agama sebagai cara hidup. Usah rehat dalam mencari ilmu yang Allah redha. Kumpullah bekalan untuk kegunaan di Akhirat nanti. Dunia ini sekadar tempat mengumpulkan bekalan. Ia penuh ujian dan hiburan. Dunia ibarat penjara buat seorang muslim tapi ibarat syurga bagi orang kafir. Syurga kita di Akhirat sana. Itulah keseronokan, kebahagiaan dan kenikmatan yang hakiki.


@@@

Monday, May 27, 2013

Neraca Ilmu



Saya dan isteri sangat teruja dengan profil seorang Ustaz muda di masjid as-Salam malam tadi. Ustaz baru mencapai usia 32 tahun namun ilmu di dada tampak berisi dan banyak sekali. Saya lihat dia gemar menyampaikan apa yang hak tanpa segan pada odionnya yang acap kali memang terkena batang hidung secara langsung. 

Yang menarik lagi imbasan biodata anak muda ini ialah dia ini berkelulusan Chemical Engineer, kemudian melanjutkan pengajian ke Yaman. Kini disamping aktif berceramah dia miliki sekolah pondok sendiri dan punyai ramai pelajar.


Tika saya watsapp dengan anakanda kami di UIA selepas itu, saya menceritakan perihal ustaz muda ini sebagai pembakar semangat agar menjadi contoh seorang professional yang bukan sahaja berjaya dari segi akademik tapi yang lebih penting cemerlang di bidang agama dan menjadi pendakwah yang besar manfaat kepada masyarakat.


Neraca pengukur ialah pada ilmu. Tingginya darjat anak muda ini adalah pada tahap ilmunya. Maka jika seorang mahasiswa menjadikan segulung kertas sebagai matlamat perjuangan empat tahun di kampus maka setelah usai pengajian itu maka percayalah bahawa dia bakal menjadi hamba kepada segulung kertas ini dalam meneruskan penghidupannya. Sepatutnya mahasiswa terus berdamping dengan pengukuhan ilmu agama, sahsiah, dan networking disamping penumpuan untuk kejayaan akademik pada segulung ijazah itu.


Jika Barat menafsirkan tamaddun itu sebagai keagungan kebendaan maka Islam menetapkan ilmu dan akhlak sebagai wadah untuk membangunkan tamaddun bukan kebendaan semata. Kemudahan penduduk Madinah menerima dakwah Nabi ialah kerana di sana sudah wujud tamaddun ilmu. Islam mudah diterima di tempat yang ada tamaddun. Tidak hairanlah kalau di Barat kini Islam menjadi agama yang paling pesat berkembang. 

Begitu juga di Negara kita pada pola pengundian di PRU13 penduduk urban yang lebih terdedah kepada ilmu dan maklumat mudah untuk membuat perubahan dengan menerima perjuangan politik Islam dan menolak kebatilan pemerintahan sekular, perkauman atau kebangsaan.


Untuk mencipta masa depan yang gemilang kita kena lihat sejarah dan kena tengok apa yang Nabi buat. Bila dilihat sejarah maka semuanya ada kekuatan Islam. Ilmu dan iman berjaya memacu umat kepada kecemerlangan.


Pada masa Nabi di Mekah, Islam semarak berkembang di Madinah. Di Madinah yang dikenali pada masa itu dikenali sebagai Yathrib, orang2 yahudi sudah biasa bicara soal Nabi akhir zaman yang menjadi sebahagian daripada ajaran pada kitab taurat. 

Kita lihat selalunya orang luar yang selalu bersungguh-sungguh dalam setiap usaha. Maka hijrah itu selari dengan orang yang bersungguh-sungguh. Di Negara kita cuba lihat para pendatang daripada luar sangat bersungguh-sungguh mencari rezki di sini untuk menyediakan bekalan pulang ke tanah asal mereka nanti.


Maka benarlah status sebagai stranger (orang asing) dan traveler (pengembara) ini harus ada pada diri kita supaya menjadi bersungguh-sungguh pada setiap usha untuk hidup. Mana tempat asal kita? Syurga Allah. Bukankah datok kita Nabi Adam berasal dari sana. Itulah kampung asal kita semua. Oleh itu kita nampaknya kena usha sungguh mencari bekalan untuk balik ke tempat asal. 

Hidup di dunia ini hanya bersifat sementara sekadar sebuah persinggahan seorang pengembara dan lokasi sementara seorang pendatang asing. Kita bukan nak selamanya di dunia ini. 

Kita mulakan persediaan dengan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia. Persoalan pokok iaitu dari mana aku datang? Apa tugas aku di sini? Dan kemana aku akan pergi? Mestilah menjadi jelas. Nabi Adam di utus Allah sebagai Khalifah di muka bumi berpaksi pada kekuatan ilmunya bukan semangatnya.


Apa tiket untuk ke Syurga? Berapa harganya? Jika ingin menuju ke destinasi Syurga maka kenalah mencari bekalan bagi membeli tiketnya. Neraca pengukurnya ialah ilmu. Kita adalah pengembara yang cuma singgah sebentar di perhentian ini. Destinasi akhirnya ialah Syurga.


Jadilah orang yang berilmu. Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim. Tiada ruang rehat bagi seorang muslim dari menuntut ilmu sekiranya ilmu fardu ainnya masih belum sempurna. Setiap denyutan jantung, hembusan nafas akan menjadi dosa pabila gagal berada di majlis2 ilmu untuk menuntut ilmu fardu ain ini. Maka ubahlah tabiat melangkah keluar dari masjid usai solat maghrib berjamaah meninggalkan majlis ilmu yang bakal menyusul.


Dunia ini jambatan untuk ke akhirat. Dunia adalah penjara bagi seorang muslim dan syurga bagi orang kafir. Jejakilah perjalanan para ahli ibadah menuju Tuhan. Umur kita ini adalah modal untuk bertemu Allah. Ibarat sebuah perniagaan, gunakan modal ini untuk membawa keuntungan bukan kerugian apatah lagi kemuflisan di Akhirat.


@@@

Saturday, May 25, 2013

Nawaitu Kerana Allah



Bulatkan Niat
Nawaitu Kerana ALLAH


Saban malam bila ada kesempatan saya dan isteri akan mengambil tindakan untuk berada di majlis ilmu di Masjid khariah kami nawaitu kerana Allah. Bukankah selalu didengar bahwa majlis2 ilmu ibarat taman2 syurga? Maka tidakkah penting untuk seboleh mungkin berada di taman2 syurga pada setiap malam?


InsyaAllah semoga Allah memberi kelapangan masa dan segala kemudahan yang lain untuk kita sama2 meraikan majlis2 ilmu di Masjid terutamanya di Selangor ini yang begitu hidup dengan majlis2 ilmu. Hinggakan rakyat yang berilmu ini telah menolak segala dakyah dan propaganda dan digantikan dengan fakta dan kebenaran. Banyak bezanya antara orang berilmu dengan orang yang jahil.


Saya selalu membilang jemaah yang hadir duduk di majlis2 ilmu di Masjid ini. Purata yang saya perhatikan ialah dalam lingkungan 100 orang. Semasa solat berjemaah maghrib purata saf lelaki ialah 5 saf iaitu seramai 200 orang. Namun usai solat maghrib ada antaranya yang memilih untuk pulang meninggalkan Masjid dan tidak duduk dalam majlis ilmu iaitu seramai purata 100 orang juga. 

Maknanya 50-50 antara yang nak kat ilmu dan tak nak. Sedangkan hukum menuntut ilmu agama ini wajib. Pulang ke rumah nak buat apa? Antara jawabannya mungkin nak makan malam atau nak menonton TV yang bagi mereka hukumnya juga wajib. Rugi dan sangat rugi sebenarnya.


Ada sesetengah tempat nak cari majlis ilmu pun payah termasuklah negeri2 sekitar seperti N9, Pahang, Johor dan Melaka yang Masjid sekadar tempat mendirikan solat dan majlis ilmu sekadar purata sekali atau dua kali seminggu. Tapi di Selangor ini cukup mewah dengan majlis2 ilmu kerana ia menjadi agenda setiap malam, Alhamdulillah. Maka amat payah untuk warga Selangor untuk kelentong memberi alasan di hadapan mahkamah Allah di Akhirat besok, sekiranya dirinya masih jahil tika itu.


Yang hadir ke Masjid ini adalah manusia yang mendapat hidayah dan dipilih oleh Allah. Begitu juga manusia yang sabar untuk mengikuti majlis ilmu ini juga adalah yang dipilih Allah. Ia berlaku bukan secara kebetulan. Bukan kerana rumah dekat dengan Masjid kerana ramai yang rumah jauh dari Masjid tetap datang dan ramai pula yang rumah mereka dekat dengan Masjid tapi di hijab untuk datang. 

Bukan kerana ada kenderaan kerana ramai yang tiada kenderaan tetap datang berjalan kaki dan ramai yang punyai kenderaan termasuk kereta mewah masih gagal untuk ke Masjid. Bukan kerana masa terluang kerana ramai yang Allah bagi masa lapang untuknya tapi tetap memilih untuk tidak mengunjungi Rumah Allah.  Bukan juga kerana masalah kesihatan kerana masih ramai yang sakit pun datang dan yang sihat segar bugar nemun tetap memilih untuk ponteng lagi. Bukan juga kerana pangkat, jawatan atau tugasan. Maka benarlah yang hadir ke Masjid ini adalah insan2 terpilih. Tahniah.


Namun ada pula satu kelompok manusia yang hadir ke majlis2 ilmu ini punyai tabiat yang agak di luar tabii. Yang saya maksudkan ialah mereka ini gemar pula buka korum bicara sendiri. Ustaz sibuk menyampaikan ilmu di hadapan, mereka pula sibuk berceramah di belakang. Acap kali pula suara mereka ini mencapai tahap mengganggu jemaah lain yang ingin fokus pada bicara Ustaz. Kelompok ini celaru dalam nawaitu mereka. 

Apakah datang ke Masjid saban malam sekadar ingin bersosial atau lari dari hiruk pikuk rumah atau keboringan duduk berseorangan? Mereka ini insan2 yang rugi bukan sekadar merugikan diri mereka malah menarik orang lain juga untuk turut sama menjadi rugi. Kesian. 


Saya doakan agar ahli2 kelab bual ini membaca posting saya ini. Ini adalah sebagai teguran dan nasihat ikhlas saya supaya anda insaf dan kembali ke pangkal jalan meraikan status anda sebagai insan2 terpilih, yang dipilih Allah untuk berada di Masjid dan majlis2 ilmu. Jangan musnahkan anugarah hebat ini.
Terjemahan Surah Al-Asr:

“Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan KEBENARAN. Yang berpesan-pesan dengan KESABARAN.”

Sebagai konklusi marilah Tuan2 dan Puan2 muslimin dan muslimat kita ajak suami kita ajak isteri kita anak2 kita untuk berkunjung ke Rumah Allah menyahut jemputan Allah untuk menjadi tetamu-Nya.
Kalau kita ini sibuk dan disibukkan dengan urusan kerja dan segala mehnah dunia di siang hari maka apa kata kita peruntukkan satu ruang di malam hari iaitu pada slot solat Maghrib dan solat Isyak untuk kita tinggalkan segala persoalan dan urusan untuk digantung di pintu pagar Masjid dan kita langkah penuh hemah ke Rumah Allah, berniat iktikaf, mendirikan solat dan mengikuti majlis ilmu.

Dan yang paling utama dan perkara pokok ialah nawaitu kerana ALLAH tidak pada yang lain, tidak untuk berjumpa kawan, tidak untuk berbual, tidak untuk menghabis masa lapang, tidak untuk bersantai.


Nawaitu kerana ALLAH. Niat semata-mata kerana ALLAH. Semoga keberadaan kita di Masjid pada malam ini punyai nilaiannya di sisi ALLAH, Amiiin.


@@@

Friday, May 17, 2013

Keputusan UPU

Paparan Skrin
Laman Semakan Keputusan UPU
Kementerian Pengajian Tinggi

Semasa memandu ke ofis pagi tadi terdengar berita di radio menyatakan hari ini selepas pukul 12:00 tgh akan di siarkan keputusan UPU kemasukan ke IPTA untuk pelajar lepasan SPM 2012. Menjelang tengahari saya pun melayari   http://upu.mohe.gov.my/  untuk menyemak keputusan permohonan anak bongsu kami. 

Alhamdulillah anak kami berjaya mendapat tempat di pilihan pertamanya semasa apply UPU tempoh hari. Lima pilihan teratasnya ialah kursus ijazah di UIA iaitu bidang Seni Bina, IT, Ekonomi, Ilmu Wahyu, dan Bahasa Arab. Diikuti dengan UiTM bidang IT, dan akhir sekali pilihan ke-8 ialah bidang Pra-sekolah di UPSI. 

Alhamdulillah Allah perkenankan permohonan anak kami dengan memberinya peluang melanjutkan pengajian ke peringkat IPTA dalam bidang pilihan pertamanya iaitu Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia menjadi rekod keluarga kami kerana ketiga-tiga anak kami berjaya belajar di UIAM. Anak sulong kami belajar di bidang Mechanical Engineering. Manakala anak kedua belajar di bidang Accountancy.

Pada semakan keputusan permohonan kemasukan pelajar ke IPTA & Politeknik Premier sesi akademik 2013/2014 program pengajian lepasan SPM/Setaraf terpapar mesej, "TAHNIAH ! Anda telah berjaya ditawarkan program pengajian seperti berikut: Y0300 - Asasi Seni Bina Dan Reka Bentuk Alam Sekitar." Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Hati ini sangat teruja, gembira dan bersyukur.

Saya doakan semoga anak bongsu kami ini di permudahkan Allah dalam perjuangan seterusnya dan dikurniakan Allah hidayah dan suasana yang kondusif untuk membentuk dan melahirkan insan yang baik dan kuat jatidiri, kukuh akidah, menjaga aurat, berilmu serta faham agama, untuk menjadi profesional taqwa yang berjaya dunia dan akhirat, insyaAllah.

@@@

KONGSI KEK

Dalam konteks hari ini, saya ingin elaborate dan bawak berbincang isu2 yg dekat dgn rakyat dan suasana di negara kita sekarang ini.  Antara ...