Monday, September 24, 2012

Senyum Hingga ke Syurga


Tempoh hari saya terserempak dengan seorang Pakcik tua. Dia tersenyum dan mengundang saya ke rumahnya. Beberapa orang pemuda Indon ada di laman rumahnya. Rupanya kerja2 renovation rumahnya sedang rancak berjalan. 

Orang tua itu mempelawa saya melihat sekeliling rumahnya. Bahagian belakang dan tepi rumah di sambung beskala besar. Bilek tidur dan bilek air di tambah. Dapur juga di besarkan. Saya anggarkan kos renovation ini mungkin melebihi kos Pakcik ini membeli rumahnya. Bila dicampur, kos rumah ini mungkin sudah mencapai angka setengah juta rasa saya.

“Wa besar rumah Pakcik ya”, sapa saya. “Alhamdulillah”, jawabnya. “Anak2 dok ngan Pakcik ke?” tanya saya. “Taklah, kami tinggal berdua je.” Hmmm…pelik pula rasanya, rumah bungalow sebegini besar hanya akan dihuni oleh mereka berdua cuma. 

Isterinya yang nampak sebaya umur dengannya kelihatan kepenatan menuruni tangga dari tingkat atas untuk bertemu kami. Terlintas pula di hati, sudah tentu sukar baginya untuk menyelenggara rumah besar ini. Tapi ada orang gaji agaknya. Rasa saya kalau Pakcik ini tidak renovate rumah asal pun sudah cukup besar untuk mereka berdua. Terfikir pula berapa lamakah agaknya pasangan warga emas ini bisa menikmati kehidupan di rumah mereka yang tersergam sebelum ajal menjemput?

Saya berpendapat adalah lebih afdal untuk membelanjakan harta yang ada pada usia sebegini untuk kekayaan kekal di akhirat nanti. Contohnya infaq harta untuk membina surau dan masjid. Namun senang bercakap daripada membuat. Jikalah Allah memilih untuk menguji diri ini dengan kekayaan harta dunia belum tentu sanggup berkorban harta itu untuk infaq ke jalan Allah dan beramal jariah untuk kebaikan ummah dan mencari redha Allah, belum tentu.

Justru saya terus bersangka baik. Mungkin niat pasangan warga emas ini untuk menginfaqkan bungalownya kepada pusat tahfiz pada suatu masa nanti. Amal Jariah Bekalan Akhirat.

Saya terbaca dalam beberapa petikan blog mengenai hakikat bekalan harta yang berkekalan untuk kita kongsi2kan bersama agar memahami mana itu senda gurau kehidupan dan  mengenali pula apa itu kebahagiaan yang kekal abadi...

Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang salih yang ditinggalkan, Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir di perjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini berupa wakaf yang berkekalan untuknya)." -Hadith riwayat Ibnu Majah


Kematian adalah suatu yang pasti dihadapi oleh setiap insan bernyawa. Namun, kematian yang mendatangi manusia itu tidak diketahui detik, masa dan tempatnya. Semua itu termasuk antara rahsia Allah SWT. Firman Allah bermaksud: “Dan tidak ada satu diri pun yang akan mati melainkan dengan izin Allah pada suatu waktu yang akan ditentukan.” 
(Surah Ali Imran, ayat 145)

Luqman al-Hakim pernah berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Urusan yang tidak engkau ketahui bila ia akan menemuimu. Bersedialah sebelum ia datang kepadamu. Ia adalah kematian yang datangnya tidak pernah diundang.” 

Kematian ialah proses terputusnya hubungan di antara roh dan jasad. Kematian itu ialah proses terhentinya jasmani seperti nafas, perjalanan darah, gerak fikiran, perasaan, tenaga dan lain-lain daripada berfungsi seperti biasa. Kematian adalah batas sempurnanya roh dalam hidup makhluk.

Kematian bererti menghilangkan seluruh daya selama roh itu berada dalam genggaman Allah. Kerahsiaan detik kematian itu adalah rahsia Allah untuk memberi peringatan supaya manusia membuat persediaan setiap masa sebelum kematian datang menjelma kerana ia akan muncul secara tiba-tiba. Lantaran itulah setiap manusia digalakkan beramal sepanjang masa sebagai bekal pahala yang akan dibawa ke alam barzakh.

Persediaan pahala perlu dibekal sebanyak mungkin bagi menjamin keselamatan dan keselesaan hidup di alam sana. Pokok persoalan yang ingin diketengahkan adalah bekalan pahala berpanjangan bagi si mati walaupun telah menempuh alam kematian. 

Hanya tiga perkara yang akan mengikuti jenazah ke tanah perkuburan, iaitu amalannya ketika hidup, kaum-kerabat dan sanak-saudara serta harta peninggalannya. Namun, hanya satu yang akan tetap setia sanggup bersama dan bersemadi dengan si mati di dalam kubur, iaitu amalannya.

“Carilah rezeki dengan bersedekah.” Saidina Ali RA pernah menyatakan. Pesanan ini menerangkan kepada kita bahawa dengan bersedekah, rezeki seseorang itu dimurahkan.

Hadis berikut ini pula menyeru kita agar rajin bersedekah kerana Allah akan memberi kita rezeki dan kesenangan melalui bersedekah. “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” -H.R Ibnu Majah.

Allah telah berfirman yang bermaksud: “Dan apa-apa suatu yang kamu belanjakan, maka Dia akan menggantikannya; dan Dia adalah sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Saba’: 39)

Amalan bersedekah juga berkekalan hingga ke akhirat, seperti mana terdapat keterangan dalam hadis, “Apabila telah meninggal anak Adam, maka putuslah segala amal perbuatannya, kecuali tiga perkara: Pertama, sedekah jariah; kedua, Ilmu yang bermanfaat dan yang ketiga adalah anak yang solih yang mendoakan (kedua-dua orang tuanya yang telah meninggal).

Sebaliknya pula bagi orang yang tidak mahu bersedekah atau kedekut, Allah telah menyediakan balasan berupa kesukaran dan azab. “Dan adapun orang-orang yang kedekut dan merasa dirinya cukup (bebas), dan mendustakan pahala yang terbaik, maka untuknya Kami akan menyiapkan  (jalan) yang sukar. Sedang hartanya tidak berguna baginya apabila dia binasa.” (Al-Lail: 8 – 11)

Walau bagaimanapun hendaklah kita bersedekah dengan ikhlas kerana berdasarkan firman Allah yang bemaksud: “Dan janganlah engkau memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak.” (Al-Mudathir: 6.)

Marilah kita mengambil iktibar dari ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhamad SAW tentang kebaikan bersedekah dan lazimkanlah diri kita untuk bersedekah. Sebagai maklumat dan pengetahuan kepada kita, orang Melayu yang terkaya di Malaysia pada waktu ini menurut maklumat yang diperolehi, telah mendirikan 12 buah masjid sebagai sedekah dan amal jariah. Alhamdulillah.

@@@


No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...