Sunday, August 12, 2012

Mencari Lailatul Qadar

"Teruskan juang anak muda. Jangan lesu. Ramadan tinggal sikit lagi. Amalkan iktikaf. Mohon Allah temukan Lailatul Qadar."

"Sibukkan dengan Lailatul Qadar. Bukan sibuk di Jalan TAR atau Kamdar."

"Fasa terakhir. Penuhi 10 terakhir ini dengan iktikaf, qiam, Qur'an, zikir & doa. Pencarian Lailatul Qadar bermula di siang hari. Usah lalai dan rugi lagi."

Antara mesej yang saya hantar kepada ahli keluarga dan sahabat.

Apakah itu mencari Lailatul Qadar?

Lailatul qadar adalah sesuatu hal yang besar yang perlu dicari oleh setiap orang yang beriman. Antara kelebihan malam ini disebutkan dalam sebuah hadis;


Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata : Ketika Ramadan tiba, Rasulullah saw bersabda: "Telah datang kepada kalian bulan Ramadan bulan yang penuh berkah. Di dalamnya Allah mewajibkan kalian berpuasa; di dalamnya pintu-pintu syurga dibuka lebar dan pintu-pintu neraka ditutup rapat dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, dan barangsiapa tidak mendapati malam itu maka ia telah kehilangan pahala seribu bulan." [9133] Sahih Riwayat Ahmad

***

Saya petik di blog
IKIM dinyatakan...

Pada malam tersebut Allah s.w.t telah melipatgandakan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin yang masih hidup dan juga kepada yang telah mati. Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya.


Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isya berjamaah sepanjang bulan Ramadhan sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isya.

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.

***

Petikan dari
blog ini pula menjelaskan tentang persediaan hati yang bersih dan suci sebagai pra-syarat untuk mencari dan menyambut pendaratan malam yang penuh kemuliaan itu...

Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

***

Kita sudah di war-warkan bahawa Lailatul Qadar ini ialah satu malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 4 bulan). Anugerah ini yang hanya terdapat dalam bulan Ramadan, Allah anugerahkan untuk umat Nabi Muhammad agar umat ini berpeluang menyaingi amal ibadah umat Nabi-Nabi terdahulu yang rata2 punyai jangka hayat yang lebih panjang mencapai ratusan malah ribuan tahun. Sekiranya umat ini mendapat Lalilatul Qadar sebanyak 10 kali sepanjang hayatnya (purata usia 60-70 tahun) maka ia sudah dapat menyamai kurang lebih nilaian 830 tahun, maknanya dapat menyaingi umat2 terdahulu. Allah Maha Adil.

Yang nyata mengikut banyak riwayat hadis, Lailatul Qadar ini letaknya pada salah satu dari 10 malam terakhir Ramadan terutamanya malam-malam ganjil. Malam ke-21 dan ke-23 sudah berlalu. Yang tinggal ialah malam ke-25, ke-26, dan ke-29.

Ingatlah sesuatu anugerah hebat perlukan usaha gigih, jerit payah dan pengorbanan bukan sekadar duduk mengharap dan meneka sahaja. Ayuh kita penuhi hari-hari Ramadan yang berbaki ini dengan amal soleh. Kita mohon dengan penuh pengharapan agar Allah temukan kita dengan Lailatul Qadar pada kali ini.

@@@

2 comments:

Cikli said...

Semoga kita semua tidak terlepas daripada kebaikan dan kelebihan malam penuh berkat ini dan bulan puasa keseluruhannya.

School Of Tots said...

TQ Cikli. Slamat menempuh hari2 yg gemilang.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...