Monday, March 31, 2014

Cinta Menundukkan Hati

Siapa kita yang melayakkan untuk dapat kasih Allah? Kita manusia yang cukup hina dengan maksiat dan dosa. Bila Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW perihal kenapa Rasulullah SAW begitu bersungguh-sungguh melakukan ibadah? Maka Rasulullah SAW menjawab salahkah aku menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah?

Siapa kita? Orang yang tidak pernah tambah ibadahnya. Orang yang jarang benar bangun untuk solat malam. Orang yang liat benar untuk puasa melainkan puasa Ramadan. Berapa ramai orang walaupun sudah tua yang masih tidak kenal masjid hingga ke saat ini? Masih sibuk dengan proposal dan kertas kerja mengejar projek itu dan ini. 

Kita orang yang banyak dosa. Tanya diri. Berapa kali kita beristighfar hari ini? Tahukah kita rukun2 dan syarat2 taubat? Tahukah kita rukun2 solat? Tahukah kita syarat2 sah pada setiap rukun solat itu? Begitulah taubat, punyai syarat2 pada setiap rukunnya.

Asalnya kita kena usha, ikhtiar dan mujahadah supaya dapat masuk kategori yang layak mendapat kasih sayang Allah. Tapi lemah benar kita ini, sentiasa gugur oleh panahan nafsu dan imarah apatah lagi godaan syaitan. 

Langkah berikutnya ialah dengan menumpang barokah orang2 soleh. Ibarat menempel dengan orang2 soleh. Kerana kita boleh muhasabah dan nilai kualiti amal ibadah kita yang lemah itu. Mana pergi hati kita tika solat itu?

Kita mohon pada Allah sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari dalam 17 rakaat solat2 fardhu kita, "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." 

Siapa orang2 yang telah Allah bagi nikmat ini? Itulah para solihin, shuhada dan para ambiya yang begitu kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW melebihi kasih kepada makhluk yang lain. Kita minta untuk menumpang mereka ini di jalan yang lurus menuju redha Allah.

Apakah mampu menjadi seperti seorang perempuan Ansar (Madinah) yang begitu kasih kepada Rasulullah SAW hingga tidak ambil peduli kematian suaminya, bapa, anak2 dan adik beradiknya yang gugur syahid di medan perang kerana begitu risau perihal nasib yang menimpa Rasulullah SAW. Baginya semua musibah yang Allah uji itu kecil sahaja kecuali musibah yang menimpa Rasulullah SAW. Maka selayaknya perempuan Ansar ini di kasihi Allah.

“Jika Allah SWT mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah SWT mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya akan menanamkan bagi mereka Dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam:96)

Begitulah besarnya cinta Allah. Namun bagaimana caranya untuk kita meraih cinta Allah, cinta yang hakiki nan abadi? terdapat tiga alamat besar tanda cinta seseorang kepada Allah iaitu:

  1. Banyak mengingati pada yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya. Apabila seseorang itu mencintai sesuatu atau seseorang, maka sudah tentu beliau kan sentiasa mengingatinya di hati atau menyebutnya dengan lidah. Oleh yang demikian, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa  mengingati-Nya dalam apa keadaan sekalipun sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Al-Anfaal:45)
  2. Tunduk pada perintah orang yang dicintainya dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Firman Allah : “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (A’li Imran:31)
  3. Mengutamakan Allah dan Rasul lebih dari keutamaan yang lain, Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).(at-Taubah:24)

Maka dapatlah kita simpulkan bahawa cintakan Allah dan Rasulullah SAW itu bukan hanya dengan lafaz semata-mata. Cinta itu hendaklah diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan sehingga seorang yang benar-benar cintakan Allah dan Rasul menjadi insan taat dalam kehidupan bersyariat. 

Bahkan mereka tidak senang dengan setiap pelanggaran terhadap syariat yang telah diturunkan oleh kekasih yang mereka cintai iaitu Allah. Mereka juga tidak akan mengkhianati cinta mereka dengan mengabaikan hak kasih kekasih mereka iaitu Rasulullah SAW.

Cinta mengumpul dua insan yang tidak pernah kenal. Semua yang jadi penghalang akan di atasi. Semua tidak diendahkan lagi kerana cinta. Cinta itu menundukkan hati untuk patuh taat kepada yang di cintai. Ya Allah aku zikir tapi hatiku lalai. Teruskan zikirmu.

Para sahabat cintakan Rasulullah SAW melebihi cinta kepada diri sendiri, maka ikutlah jalan ini supaya terpilih oleh Allah untuk kasih. Moga2 kita mendapat taufiq Allah, dibimbing Allah dan dipimpin untuk hampir kepada Allah dan di kasih oleh seluruh penduduk langit dan bumi. 

@@@

Tuesday, March 25, 2014

Tragedi MH370 - The Greatest Aviation Mysteries

Bersandarkan analisa terkini daripada satellite company Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB), penantian 17 hari tragedi MH370 berakhir dengan penyataan konklusif daripada PM malam tadi bahwa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi di baratdaya Perth di sebuah kawasan remote laut bergelora yang kedalaman airnya boleh mencapai hingga 7 km.

"The questions remain and will take a long time for full and complete closure to one of aviations's greatest mysteries." 
- TheStar(25/3/14)

Pelbagai persoalan masih belum berjawab berkenaan misteri yang terbesar dalam sejarah aviation dunia ini. Ia memerlukan penyiasatan terperinci yang complex daripada para pakar dan penguasa yang berkenaan, walau selama mana pun mengambil masa bagi mendapatkan jawaban yang sebenar kenapa tragedi ini berlaku?

Ucapan takziah kepada para waris mangsa yang bisa kita iringi bersama sedekah pahala bacaan surah al-Fatihah buat semua mangsa yang terlibat. Sebagai mana yang kita maklum seramai 239 penumpang dan crew yang terlibat, di mana 49 orang adalah warga Malaysia, 154 orang warga China, dan 36 orang dari 12  negara lain.

Pihak polis mengikut penyataan rasmi ketua polis negara terus fokus kepada empat aspek utama iaitu hijacking, sabotage, personal problems dan psychological problems dalam meneruskan penyiasatan terperinci. Semoga 'black box' yang menyimpan pelbagai data komunikasi itu bisa di temui dalam masa 13 hari yang berbaki ini memandangkan jangka hayat baterinya hanya dapat bertahan selama 30 hari sahaja.

Saya memetik beberapa posting twitter yang di siarkan di akhbar TheStar pagi ini:
  1. Aaron Aziz - "Ya Allah, this is beyond sadness. Ya Allah pls give utmost strength to the families of #MH370 Innalillah al-Fatihah."
  2. Rafizi Ramli - "From Him we come and to Him shall we return. Give the grieving family space. Thanks to everyone who has been involved in the SAR #MH370."
  3. DS Liow Tiong Lai - "My prayer & words of confort to families of passengers & crew of flight MH370. May they remain calm & strong in these difficult times."
Episod hitam negara ini telah mendapat perhatian dan publisiti meluas seluruh dunia, malah pelbagai negara telah menghulurkan bantuan mereka samada melalui penggunaan aset strategik atau input profesional kepakaran yang ada. 

Kes ini juga di anggap sangat unik dan tersendiri yang belum pernah berlaku sebelum ini. Kawasan coverage yang begitu luas untuk operasi SAR banyak kali berubah bermula di Laut China Selatan sehinggalah akhirnya terjurus ke kawasan koridor selatan iaitu di selatan Lautan Hindi. 

Banyak yang kita belajar daripada tragedi MH370 ini. Sesungguhnya kita ini lemah. Segala teknologi sains ciptaan manusia yang berada di tahap tertinggi itu rupanya masih sangat kekurangan dan tidak sempurna sifatnya. 

Sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Dialah pemilik sains dan segala ilmu itu. Dialah pencipta dan pemilik alam ini. Apa yang berlaku ini sudah pasti mengundang pelbagai hikmah dan pengajaran termasuklah mencipta benchmark baru yang bakal merubah standard dan lanskap sistem aviasi dunia.

Satu soalan yang bermain di minda saya pada saat ini perihal segala motif dan misteri yang ada ialah kenapa MH370 terbang via koridor selatan ini? Mencari salah juruterbang adalah alasan yang paling mudah, namun jangan nanti masyarakat dunia melihatnya sebagai cover-up semata pada hakikat yang sebenar. Sedangkan pelbagai cerita dan analisa dari pelbagai sudut sudah tersebar luas di internet untuk nilaian umum.

Sehingga suatu masa nanti...the greatest aviation mysteries remain. Wallahu'alam.

@@@

Thursday, March 20, 2014

Fitnah Dajjal

Hari ini sudah masuk hari ke-13 kehilangan pesawat MH370. Pada program berita di radio yang saya dengar dalam pemanduan kereta ke ofis tadi, di nyatakan tiada petunjuk baru dijumpai dan pencarian di teruskan dalam tiga zon utama yang akan disertai 26 buah negara yang sudah memberi persetujuan lisan. Sesungguhnya penantian suatu siksa yang tidak tertanggung oleh kita semua bak lirik lagu klasik nyanyian kumpulan Harmoni ini:

Penantian suatu siksa
Yang tidak tertanggung
Oleh tubuhku yang kering dan layu
Kepastian suatu penawar
Dalam suka dan duka
Yang meniti hidupku

Pada dunia akhir zaman ini fitnah Dajjal akan berlaku, satu makhluk yang Allah cipta untuk menipu daya manusia kepada kesesatan dan menguji tubi manusia beriman. Itulah fitnah Dajjal. 

Pada kuliah maghrib malam tadi Ustaz ada menceritakan perihal kedatangan Dajjal yang akan di dahului oleh makhluk Yakjud Makjud yang akan menyerap semua makanan dan minumun manusia. Dajjal nantinya akan muncul bersama timbunan makanan dan minuman setinggi gunung ganang dan sumber air segar di tangan kirinya dan api di tangan kanannya untuk memberi pilihan dan ujiannya kepada manusia. Wallahu'alam.

Saya memetik posting daripada sebuah blog yang menyatakan fitnah yang dilakukan Dajjal adalah banyak sekali di antaranya ialah:
  1. Bersamanya ada syurganya dan nerakanya . Daripada Hudzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda: " Dajjal cacat matanya yang kiri, keriting rambutnya, bersamanya syurga dan nerakanya. Nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka . " (HR Muslim no.2934)
  2. Membunuh satu jiwa kemudian menghidupkannya kembali .Rasulullah SAW bersabda: " Keluarlah pada hari itu seorang yang terbaik atau di antara orang terbaik. Dia berkata: ' Aku bersaksi engkau adalah Dajjal yang telah disampaikan kepada kami oleh Rasulullah SAW. ' Dajjal berkata ( kepada pengikutnya ): 'Apa pendapat kalian jika aku bunuh dia dan aku hidupkan kembali apakah kalian masih ragu kepadaku? ' Mereka berkata : ' Tidak. ' Maka Dajjal membunuhnya dan menghidupkannya kembali .... " (HR Muslim no.2938)
  3. Menggergaji seseorang kemudian membangkitkannya kembali . (HR Muslim no.2938/113)
  4. Memerintahkan langit untuk menurunkan hujan lalu turunlah hujan. Dari An - Nawwas bin Sam'an RA: Rasulullah SAW bersabda: " ... Dia datang kepada satu kaum mendakwahi mereka. Mereka pun beriman kepadanya  menerima dakwahnya. Maka Dajjal memerintahkan langit untuk hujan dan memerintahkan bumi untuk menumbuhkan tanaman, maka turunlah hujan dan tumbuhlah tanaman .... " (HR Muslim no.2937). Adapun kaum yang tidak beriman dan tidak menerima dakwah Dajjal, tidak ada sedikit harta pun tersisa pada mereka .
  5. Akan diikuti perbendaharaan harta. Dalam hadis An-Nawwas bin Sam'an ra disebutkan , Rasulullah SAW bersabda: " ... Dia mendatangi reruntuhan dan berkata : ' Keluarkanlah perbendaharaanmu . ' Maka keluarlah perbendaharaannya mengikuti Dajjal seperti sekelompok lebah . " (HR Muslim no.2937)
  6. Bersamanya air , sungai , dan gunung roti , api , dan air .Rasulullah SAW bersabda: " ... Sesungguhnya bersama dia ada syurga dan nerakanya, sungai dan air, serta gunung roti. Sesungguhnya surganya Dajjal adalah neraka dan nerakanya Dajjal adalah syurga . " ( HR Ahmad Asy - Syaikh Al - Albani rahimahullahu berkata: Lihat Qishshatu Masihid Dajjal )

Daripada ' Uqbah bin ' Amr RA, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Dajjal: " Sungguh Dajjal akan keluar dan bersamanya ada air dan api . Apa yang dilihat manusia air sebenarnya adalah api yang membakar. Apa yang dilihat manusia api sesungguhnya adalah air minum sejuk yang segar. Barangsiapa di antara kalian yang  mendapatinya hendaknya memilih yang dilihatnya api, kerana itu adalah air segar yang baik . " (HR Muslim no.2935 )

Jika seorang mukmin telah mengetahui dan beriman akan keluarnya Dajjal dengan membawa fitnah yang demikian dahsyat, hendaknya dia mengamalkan beberapa sebab untuk menjaga dirinya dari Dajjal dan fitnahnya. 

Antara yang Ustaz anjurkan mengikut wasiat para ulama' ialah dengan mengamalkan membaca surah Al-Kahfi setiap hari. Jika tidak mampu menghabiskan surah yang agak panjang ini maka amalkan sekurang-kurangnya membaca 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir. Amalan ini inshaAllah akan membantu diri untuk membuat pilihan yang tepat dan tidak tertipu oleh muslihat tipu daya Dajjal nanti.

@@@

Monday, March 17, 2014

Misteri MH370 Berterusan

Alhamdulillah setelah kita di timpa kemarau dan tiada hujan sudah agak lama, hampir dua bulan lebih maka bersyukurlah hujan renyai2 sudah mulai turun semenjak petang sabtu lalu. Malah bila saya memandu ke ofis pagi ini, jalan agak jem mungkin kerana jalan yang basah. Masalah jerebu juga sudah beransur baik.

Namun sifat manusia ini mudah lupa, mudah di goda hawa nafsu dalam jiwa. Semasa begitu mengharap hujan turun tempoh hari kerana sudah tidak tertahan dengan ujian kemarau panjang ini, kita dirikan solat hajat, solat istisqa minta hujan dan panjatkan doa memohon hujan. 

Bila Allah mendengar rintih rayu kita itu dan sudi melimpahkan rahmat hujan ini, banyak pula kita ini tidak pun merasa berterima kasih sangat2 kepada Allah atas kurniaan Allah yang tidak ternilai ini. Malah ada ramai yang terus menerus dengan agenda dosa dan maksiat mereka. Inilah golongan yang celaka kerana mereka inilah yang menjadi asbab sebenarnya turunnya bala Allah. 

Sepatutnya kita semua berebut-rebut memenuhi ruang masjid setiap kali azan dilaungkan untuk solat fardhu berjemaah. Sewajarnya majlis2 ilmu yang diadakan free of charge saban malam di masjid2 dan surau2 menjadi tempat peberet majoriti manusia bertandan. Itu baru nampak ada tanda2 manusia bersyukur. 

Tapi tidak rupanya. Dikala negara berduka dengan pelbagai musibah yang menimpa, kita dikejutkan pula dengan program maksiat skala besar yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Di paparkan anak2 muda sampah bangsa terkinja-kinja dirusak minda mereka dengan muzik, bergaul bebas lalaki perempuan, bebas minum arak, dan bebas guna najis dadah. Di sebuah tempat bertaraf nasional? Apa yang tidak kena dengan ini gambar? Inikah generasi muda yang mahu ditonjolkan menjadi barisan pelapis harapan negara nanti?

Kapalterbang MH370 masih hilang penuh misteri. Sudah masuk hari ke-10 pencarian namun hasilnya belum ada. Di saat kita meminta rakyat semua untuk solat hajat, berdoa dan berdoa demi keselamatan MH370 ini, kita dikejutkan dengan enam anak muda yang mati dalam program maksiat konsert Future Music Festival Asia (FMFA) termasuk 4 anak melayu disyakki kerana overdose penyalahgunaan dadah.  Program yang khabarnya mendapat endorsement daripada Kementerian Pelancongan Malaysia. Terlalu banyak dosa dan maksiat yang manusia lakukan di muka dunia ini untuk mengundang bala Allah. 

Berbalik kepda kes MH370, bila mengikuti liputan media dan penulisan di internet setakat ini, saya berpendapat ada beberapa pilihan dan harapan yang mungkin masih relevan:

  1. Harapan saya MH370 ini telah di hijack. Kemudian ia telah selamat mendarat di sebuah lokasi rahsia tanpa dapat di kesan oleh radar dan setelit. Namun entah apa silapnya tiada tuntutan dibuat dan tiada pihak yang mengaku bertanggung jawab. Tapi yang penting semua 239 penumpang dan crew selamat. 
  2. Kerana setakat ini tiada kesan kapalterbang terhempas anywhere. Ini bagi saya menguatkan teori no.1 di atas. MH370 still kicking & alive.
  3. Pilihan ketiga ialah, ya tragedi MH370 terhempas telah berlaku. Tapi mana lokasinya? Di lautan luas atau di daratan? Selagi tiada bangkai kepalterbang dan kotak hitamnya dijumpai maka misteri berterusan.
  4. Akhir sekali, MH370 hilang ke alam ghaib. Atau seperti kejadian 'Brimuda Triangle', simply gone into another world.

Namun saya yakin misteri kehilangan MH370 ini akan terungkai jua dengan konklusif dalam sekejap waktu lagi. Khabarnya penglibatan 14 negara dalam search & rescue operation ini sudah meningkat kepada 25 negara dalam multi-national efforts. Semoga Allah makbulkan doa di kalangan orang2 soleh antara kita agar di temukan MH370 dengan kesudahan yang baik. Jika sains gagal mengesan maka kita bergantung haraplah kepada pencipta sains.

Kita sering mendengar kata2 motivasi, "Adalah baik menjadi orang penting, tetapi adalah lebih penting menjadi orang yang baik," dan "Buat sehabis baik." Para ulama mengatakan, "Kebaikan dalam Islam ialah apa yang dipandang baik dari kaca mata syariat Islam. Manakala keburukan pula apa yang dipandang buruk oleh syariaat."

Nak jadi orang baik, ada beberapa sifat yang dipandukan oleh syariaat. Antaranya ialah:

  1. Berbakti kepada kedua orang tua 
  2. Belajar Al-Qur'an dan mengajarkannya
  3. Orang yang paling diharapkan kebaikannya dan paling jauh keburukannya 
  4. Orang yang ketiadaannya dicari, kehilangannya dirindui dan kematiannya ditangisi
  5. Bukan ketiadaannya disyukuri, kehadirannya dibenci, kehilangannya dikenduri dan kematiannya cepat2 dilupai
  6. Menjadi seorang suami yang paling baik terhadap keluarganya
  7. Tidak culas untuk melunaskan hutang piutang sehingga lari dari pemiutang atau tidak rasa bersalah berhadapan dengan pemiutang
  8. Orang yang suka memberikan makanan
  9. Tidak mensia-siakan waktu
  10. Orang yang panjang umur dan baik amalannya
  11. Bukan orang yang uban dah berterabur, mata dah kabur, gigi dah gugur, kekuatan pun dah luntur, badan dah tak subur, jalan pun boleh diukur, dengar kuliah pun asyik tertidur, tapi masih tak bersyukur, minta dipanjangkan umur, bahkan kufur, masih ingin lagi berhibur dengan gadis genit yang menggiur, masih rajin beratur di kedai nombor ekor. Lupa...rumah kata pergi, mari sini kata kubur !
  12. Orang yang paling bermanfaat bagi manusia.


Sebagai kesimpulannya menjadi baik ini sangat mudah tapi manusia menjadikannya payah lalu memilih untuk menjadi jahat hingga ditimpa pula pelbagai bala dan musibah. Semoga Allah lorongkan kita kepada keredhaannya dengan sentiasa melakukan kebaikan. 

Misteri MH370 berterusan...namun harapan masih ada dengan izin Allah.
   
@@@

Sunday, March 16, 2014

Cari Kekasih

"Tuan kerja di mana?" tanya saya. "Saya dah bersara. Sekarang dapatlah pergi majlis2 ilmu. Nak buat apa lagi." jawabnya. "Ya betul. Kalau dulu sibuk dengan perkara2 yang akan kita tinggalkan," sampuk saya. "Ya sibuk dengan parkara dunia, kejar pangkat dan harta," tambahnya. "Sekarang elok benarlah kita cari benda yang nak di bawa masuk ke alam kubur pula," kata saya lagi. "He he betul tu." Itu antara dialog saya dengan seorang kenalan di Majlis Cinta Rasul yang saya hadiri pagi tadi.

Semasa pulang dari majlis berkenaan saya mengajak isteri di sebelah melihat awan di langit. "Nampak awan mendung macam nak hujan," kata saya. Kemarau panjang di daerah ini rasanya hujan dah tidak menjengah hampir dua bulan lebih. Apakah berkat majlis yang menyemarakkan mahabbah cinta kepada Rasullah tadi telah mengundang barokah dan rahmat Allah secara langsung begini? Titisan hujan yang begitu payah jatuh selama ini. Apakah hujan akan turun akhirnya di daerah ini? 

Dalam cuaca panas begini, tika air sedang di catu oleh pihak Syabas, tika semak, rumput dan hutan terbakar di merata tempat, yang mengundang jerebu yang memedihkan mata memandang, maka tiba2 ada titisan hujan yang bakal membasahi bumi. Oh, alangkah nikmatnya air hujan ini. Baru kita mengerti nikmat air yang Allah kurnikan secara percuma atas dasar Pengasih dan Penyayangnya kepada seluruh makhluk kehidupan. Baru tersedar kita oh alangkah nikmatnya air itu selama hari ini. Di musim kemarau panjang ini Allah telah menyedarkan hati2 karat manusia yang ingin sedar.

MasyaAllah, tabarakallah...asbab masih adanya hamba Allah yang taat akan perintah-Nya dan bersungguh-sungguh merayu kepada-Nya, Berkat doa orang beriman, Alhamdulilah hujan telah turun. Kemudian mesej daripada sahabat2 Darul Muhajirin mula masuk dalam Whatsapp. Pada 4:36pm, "hujan mula turun di KKB." 5:17pm. "indahnya hujan di Rasa....turun beriringan dengan azan asar." 5:54pm, "di Ulu Yam pun hujan." 5:56pm, "di Bukit Sentosa pun hujan." 6:41pm, "Shah Alam pun dah hujan." Alhamdulillah. Engkau yang Maha Berkuasa, Ya Allah. Manusia tiada daya tiada upaya hatta untuk membuat setitis air hujan pun. Syukur Ya Allah atas nikmat air hujan yang turun ini. 

Majlis Maulid Akbar Cinta Rasul Darul Muhajirin ini di penuhi dengan tausiayah daripada para asatizah dan di selangi dengan alunan Qasidah bimbingan Ustaz Azli. Majlis berjalan lancar dengan pengisian yang padat. Kasih sayang adalah ketentuan Allah. Dia yang menyatukan antara hati2 manusia. Seruan agar manusia bersatu-padu dan berkasih-sayang, mestilah berpaksikan kembali kepada Allah. Mana dia orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah?

Iman yang ada di dada tapi jauh daripada sempurna. Justru hati ini mestilah di didik dengan ilmu, dikuatkan dengan amal hanya kerana Allah. Ada orang begitu kasih kepada keretanya, hartanya, pangkatnya, anaknya, isterinya, atau kaum kerabatnya. Alang-alang mencari kekasih untuk berkasih-sayang, carilah kekasih yang sanggup kekal hingga ke alam kubur. 

Paling2 orang kasih kepada seseorang, maka dia ziarah tika orang itu sakit, atau mengiringi hingga ke birai kubur tapi akhirnya dia akan berpaling pulang. Tinggallah si mati bersendiri di dalam kubur itu. Ada tak kekasih yang sanggup menemani kamu sepanjang berada di alam kubur itu? Siapa makhluk istimewa itu? Itulah makhluk yang namanya amal soleh. Justru bukankah berbaloi untuk mengejar si amal soleh ini? Hanya amal soleh yang sanggup dampingi tuannya ke lubang kubur. Maka aku jadikan amal soleh ini sebagai kekasihku.

Sibukkan diri mencari bekal ke alam selepas alam dunia yang sementara ini. Allah ciptakan dunia ini untuk memudahkan kita beribadah kepada-Nya. Misi hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Begitu banyak nikmat dunia yang Allah anugerahkan ini ialah supaya kita ini bersyukur dengan beramal, bukan bersyukur dengan sekadar melafazkan kalimah Alhamdulillah semata. Buktikan kesyukuran itu dengan beramal soleh. 

Cinta bukan sekadar kata2 atau perasaan hati, tapi kena zahirkan dengan iman dan amal. Rasullah pernah ditanya oleh Aisyah perihal Rasulullah yang bersusah payah mendirikan solat malam hingga bengkak-bengkak kakinya. Maka Rasulullah menyatakan apakah tidak layak Baginda sebagai hamba untuk bersyukur kepada Allah?

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Bagaimana rasa kematian itu? Penuh kasakitan. Ia pemutus nikmat. Maka berakhirlah kehidupan dunia dan bermulalah kehidupan di alam kubur. Hari kiamat yang tiba akan menjadi pemutus dan manusia akan dibangkitakan ke Alam Mahsyar. Orang yang mencapai kejayaan ialah yang berjaya menghindari diri daripada terhumban ke dalam api neraka Allah. Itu benchmark kita semua untuk sebuah kejayaan hakiki.

Sebagai pembersih diri, kita mati lah nanti dengan iman yang penuh yang tidak tercemar dengan syirik dan sifat2 munafik. Berakhlak baik sebagaimana kita mahu orang berakhlak baik kepada diri kita. Perhatikan sifat keburukan orang itu sebagai menjadi sempadan untuk kita hindarinya. Yang utama jadikan Rasulullah sebagai role model dan pakar rujuk kita.

Walau kumpulan ta'alim, usrah, tarikat atau muzakarah apa pun yang kita sertai sebagai wadah ilmu dan amal bagi bekalan akhirat ini, titik pertemuannya ialah kita punya Rasul yang sama. Cintai Rasul ialah ubat kepada umat yang sakit. Kembalilah mengaji, menghayati dan mengamalkan sunnah dan segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. 

Kita bukan cari masyhur di kalangan makhluk. Utamakan untuk masyhur di sisi Allah. Semarakkan mahabbah cinta Rasul dalam diri. Janganlah kita membatalkan tiket yang ditempah untuk bertemu dengan Rasulullah di Akhirat nanti. 

@@@

Wednesday, March 12, 2014

Misteri MH370

Nampaknya misteri kehilangan MH370 masih belum terungkai walaupun sudah masuk hari ke 5 kejadian. Pada kuliah maghrib di Masjid as-Salam malam tadi Ustaz ada membincangkan satu hadis peristiwa akhir zaman iaitu hadis ke-23 daripada Hadis 40 Peristiwa Akhir Zaman. 

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW. bersabda. "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (Riwayat Ibnu Majah) 

Keterangan hadis di atas ialah Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga tandus di segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. 

Kita berada di akhir zaman iaitu zaman hilang moral dan adab2 agama. Pabila Allah turunkan bala maka semua orang akan mendapatnya bukan sekadar orang jahat sahaja. Sudah lama hujan tidak turun, kita di landa kemarau dan jerebu dan kini kita dikejutkan dengan kehilangan penuh misteri pesawat MH370 pula. Perbuatan kita yang penuh maksiat dan dosa mengundang bala Allah.

Namun apakah kita sedar diri akan segala peringatan demi peringatan Allah ini? Tidak, kita terus berlaku zalim dan mengundang murka Allah. Gejala fitnah terus berlaku. Manusia yang tidak bersalah dihumban ke penjara. Perbuatan demi perbuatan yang terus mengundang bala Allah. Selagi kita jauh daripada Allah maka selagi itulah hidup kita terus celaru.

Allah suruh kita dekat dengan Nya. Taqwalah kamu kepada Allah walau dimana kamu berada. Dulu kita sibuk hutan di Sumatera terbakar dan membawa bahana jerebu ke Malaysia. Maka kini hutan kita pula terbakar. Hari ini pada perjalanan saya melalui lebuhraya PLUS ke tempat kerja, saya lihat hutan berdekatan plaza tol Sg Buaya masih terbakar dan mengeluarkan asap tebal. Hutan2 di sekeliling kita terus terbakar setiap hari. Allah turunkan bala ini kepada kita pula.

Saat ini Islam perlu bersatu, kembali kepada Allah. Pabila sudah banyak dosa maka baliklah kepada iman. Jalan nak buat dosa memang banyak namun jalan nak buat baik tak banyak. Tanya diri, kenapa aku dengan Allah terlalu jauh? Siang hari fitnah orang. Malam hari hilang kapalterbang. Ini peringatan Allah. Manusia bangga hebat dengan teknologi canggih namun tidak boleh lawan kuasa Allah. Kita ini paling banyak buat dosa dengan Allah. Lihat sekeliling maka kita akan tengok judi, arak, riba, zina, fitnah, bunuh, rompak, macam2 jenayah berleluasa.

Ini saat akhir zaman bila terlalu nipis iman kita kepada Allah. Sedarlah kita bahawa tugas makhluk ialah tunduk patuh menyembah Allah. Jangan jadi seperti Iblis yang tidak mahu mengikut perintah Allah. Pegang teguh kita dengan tali Allah iaitu al-Qur'an dan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah. 

Hadis di atas mengingatkan kita pada era akhir zaman akan berlaku kemarau panjang, zaman tandus. Akan timbul kaki2 dusta yang di kata benar. Manakala orang2 benar pula dikata pendusta. Para pengkhianat di suruh pegang amanah. Manakala orang yang amanah pula di kata pengkhianat. Sesungguhnya kamu lalai dan kamu menyimpang. Yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibdhah iaitu golongan yang kerdil, hina dan tak faham masalah orang ramai. 

Di akhir zaman akan timbul Dajjal iaitu makhluk perusak yang Allah jadikan untuk sesatkan manusia. Peranan orang beriman ialah kembali ke jalan yang benar. Antara ciri2 orang yang lalai ialah cenderung kepada nafsu, mengetahui yang zahir dalam kehidupan dunia namun yang batin dia tidak peduli. Dan akhir sekali orang yang lalai ini terus menerus ikut jalan yang sesat. Orang yang lalai, natijahnya rugi. Bila kita lalai Allah akan kunci pintu hati, takut2 mati nanti dalam kafir. Sekiranya kamu laku kejahatan maka segeralah lakukan kebaikan. Fitnah besar di tutup dengan cerita sensasi lain. 

Berbalik kepada misteri kehilangan MH370 iaitu pesawat Boeing 777-200 bersama 239 penumpang itu terus menjadi tanda tanya. Maka timbullah pelbagai pendapat, andaian, analisa, lapuran, dan spekulasi. Itu memang normal selagi misteri kehilangannya tidak terungkai. Jika terhempas mana bangkainya? Jika di hijack mana tuntutannya? Jika sudah landing mana lokasinya? Ia mengundang pelbagai tafsiran akal untuk menjelaskan atau mencari jawaban kepada segala tanda tanya itu. Allah kurniakan akal untuk kita sama2 renung dan fikir.

Saya mendapat satu kiriman whatsapp yang bagi saya agak menarik. Mungkin kita kongsikan untuk penialaian bersama. Analisa daripada seorang Juruterbang berpengalaman:
  1. Agak mustahil untuk sebuah kapal terbang terputus isyarat atau komunikasi kerana setiap pesawat ada 3 peringkat komunikasi dan ketiga-tiga ini memang berkualiti.
  2. Agak mustahil untuk kita katakan pesawat mengalami total 'electrical shutdown' dan sekiranya berlaku sekalipun, pesawat ada masa yang sangat cukup untuk buat pendaratan. Bukan sahaja itu, setiap pesawat mempunyai banyak bateri dan bateri ini mampu menjana tenaga untuk pesawat.
  3. Di udara, setiap pesawat akan dapat baca pesawat lain, yang berdekatan.
  4. Setiap laluan yang dilalui oleh mana-mana pesawat, adalah juga laluan yang dilalui oleh pesawat lain. Laluan utama. Jadi mustahil laluan di situ boleh memutuskan bacaan dan komunikasi dengan menara kawalan.
  5. MAS adalah syarikat penerbangan terbaik dari segi 'maintainance' kerana menurut kapten, Amerika Syarikat juga meminta MAS bantu dari segi ini.
  6. Kualiti juruterbang MAS juga adalah yang terbaik, bahkan menurut Kapten, juruterbang MAS sering "diculik" oleh syarikat penerbangan lain.
  7. Seorang juruterbang itu akan buat SEHABIS BAIK selagi ada harapan, untuk selamatkan pesawatnya, walaupun gunung ada di depan. Bukan semudah itu untuk mereka putus asa.
  8. Setiap pesawat boleh terkena petir, itu biasa, namun aliran arus elektrik itu akan mengalir mengikut bentuk pesawat dan keluar ke belakang.
  9. Akhir sekali, sebagai penutup, beliau menyatakan bahawa, Kapten Zaharie adalah antara juruterbang terbaik yang beliau pernah kenal selama kurang lebih 30 tahun.

Pesan Ustaz malam tadi ialah orang ramai dengan kepakaran masing2 punya hak untuk berbincang dan memberi pandangan mereka tersendiri supaya mungkin ada pendapat2 bernas ini bisa membantu kepada permasalahan yang timbul. 

Saya juga ada melihat temuramah TV3 dengan juruterbang Kapten Noruddin yang menyatakan kita sebagai orang beriman kenalah yakin bahawa semua kejadian adalah di bawah pengetahuan Allah, maka katanya in shaa Allah MH370 bisa ditemui iaitu dengan meminta bantuan kepakaran orang2 soleh yang hampir dengan Allah dan juga doa penuh ikhlas waris terdekat para penumpang. Mungkin teknologi terkini sains masih gagal mengesan MH370, maka kembalilah bergantung harap kepada pemilik sains itu iaitu Allah SWT. Kita sekadar hamba yang lemah. Allah yang Maha Berkuasa.

Harapan kita tragedi kehilangan MH370 yang kini sudah menjadi fenomena akan terungkai dalam sedikit masa lagi. Semoga segala persoalan akan terjawab jua. Semoga segala spekulasi akan terpadam. Yang timbul ialah fakta bukan auta. Simpati dan doa kita kepada seluruh penumpang dan crew yang terlibat serta seluruh ahli keluarga mereka. Pray for MH370.

@@@

Friday, March 07, 2014

Ujian Kemarau

Dalam musim kemarau tak ada air ini ada pula manusia yang ambil kesempatan pi tadah air kat surau dan masjid. Pada tazkirah jumaat tadi Ustaz Dato Kamal bagitau amalan ini sangatlah tidak wajar kerana air di surau dan masjid itu untuk kepentingan awam, maka pabila di ambil untuk kegunaan peribadi maka itu sudah menyalahi syariat. Setiap perlakuan ada perkiraannya di Akhirat nanti maka eloklah peka dan berhati-hati.

Memanglah masalah ketiadaan air merupakan kepayahan yang nyata namun kita kenalah ambil langkah yang luarbiasa. Salah satu langkah ialah mengambil wudhuk dengan air yang secukupnya bukan berlebih-lebihan sebagai mana biasa. Nabi SAW telah menunjukkan cara yang tepat kadar air yang wajar digunakan iaitu sekadar secupak sahaja untuk berwudhuk dan sekadar segantang air saja untuk mandi wajib.

Khusyuk dalam solat akan ternafi tanpa wudhuk yang sempurna. Contoh pembaziran tika berwudhuk ialah menyedok air kolah tiga kali untuk basuh kaki. Memanglah sunat basuh kaki sebanyak tiga kali, tapi tak payah lah sampai tiga kali cedok. Memadailah dengan sekali cedok untuk basuh kaki tiga kali itu. Berjimat cermat dalam mengambil wudhuk adalah ciri-ciri kesempurnaan wudhuk. Wudhuk yang sempurna merupakan penyumbang penting untuk mendirikan solat yang sempurna, dan zon atau tetap keyakinan tinggi melebihi 75% dalam melakukan ibadah.

Pada hakikatnya setiap detik kehidupan kita ini, kita sedang bertemu dengan Allah. Mata yang Allah pinjamkan ini tidak ada pengllihatan tanpa izin-Nya, maka pada setiap mata yang melihat itu ada Allah. Telinga yang Allah pinjamkan ini tiada pendengaran tanpa izin-Nya. Maka di sana ada Allah bersama kita pada setiap pendengaran telinga ini. Semua nikmat yang kita kecapi ini adalah kurniaan Allah belaka. Tanda2 kebesaran dan kekuasaan-Nya kenalah kita ambil fikir.

Kita lihat gelap malam itu bertukar menjadi terang dengan datangnya siang. Siang yang terang benderang untuk kita bertaburan di bumi Allah ini mencari rezki dan melakukan pelbagai pekerjaan dan urusan. Begitulah juga dengan terang siang itu akan berganti dengan gelapnya malam, satu waktu yang boleh kita beribadah, berehat, tidur dan sebagainya. Itu gunanya akal yang Allah kurnikan ini untuk kita renung dan fikir akan Allah yang Maha Besar, Allah Maha Berkuasa. Bukan pandang kosong macam lembu memandang bukit.

Kita ini suka buat tak perasan, buat2 tak nampak akan hebat ciptaan Allah, akan kebesaran Allah. Ingatlah setiap denyut jantung kita ini akan ada perhitungan dan perkiraannya di sisi Allah. Setiap kita ini akan di tanya kepada apa kita habiskan segala nikmat Allah ini. Maka kenalah ambil kira apakah perbuatan aku ini mendatangkan dosa atau pahala. Mendapat redha atau murka Allah?

Ustaz Kamal Azhari tempoh hari menyatakan dirikan solat dengan khusyuk bukan mudah. Kena banyak bersabar. Ada majikan yang tidak benarkan staf mereka break untuk solat kerana takut produktiviti merundum. Tu dia, mereka sangat bersangka buruk pada Allah. Bukan Allah minta rezki daripada kamu, bahkan Allah yang memberikan rezki kepada kamu. Solat itu adalah penghubung utama seorang hamba dengan Tuhannya. Mana ada keutamaan yang lebih tinggi daripada itu. Rezki itu Allah limpahkan atas belas ehsan dan rahmat-Nya.

Ujian kemarau yang di timpakan Allah ini sangat patut kepada kita yang penuh maksiat dan dosa ini. Sangat sedikit kita syukur berbanding sangat banyak hingga tidak terhitung nikmat yang Allah kurniakan pada setiap detik. Namun manusia tetap degil dan angkuh hingga tidak menganggap segala pemberian Allah ini sebagai nikmat yang mesti disyukuri sangat2. Manusia lupa nikmat air yang Allah bagi. Manusia anggap itu hak semulajadi mak bapak dia. Bila ditimpa bala kemarau panjang baru tersengih-sengih macam kerang busuk. Siap gi curi air kat masjid.

Kita semua akan mati, tapi ramai yang berkelakuan macam orang yang tak ingat mati. Tahu akan mati tapi masih melambat-lambatkan taubat. Masih pasang angan2 satu hari nanti akan dapat hidayah atau peluang taubat. Tapi aksi tak ada. Hidup terus-terusan alpa dan leka malah bergelumang maksiat dan dosa. Di usia maghrib tapi masih tak tahu waktu maghrib, masih sibuk dok bakar sampah di kebun time maghrib. Dah berkumandang azan di corong surau, dia masih lagi di kebunnya. 

Orang lain sibuk bersiap nak ke masjid. Dia masih berpeluh tak berbaju, panas katanya. Maklumlah musim kemarau, dah dua bulan lebih tak hujan. Dia lupa api neraka lagi panas. Marilah mendirikan solat. Marilah mencapai kejayaan. On the way katanya. On the way sokmo. Tunggu punya tunggu tak muncul-muncul juga. Tapi satu hari ke masjid juga dia. Tika itu dia dah jadi jenazah. Itu pun di usung orang ke masjid. Harapkan dia, tak datang lagi kot. Bukan dia tak tahu mati itu pasti.

Solat itu sifatnya full time, anytime dan overtime. Solat bukan bersifat part time, sometime atau no time. Takutlah kamu akan Allah. Apa yang dipersiap untuk hari esok? Hari esok ialah alam kubur. Bagaimana keadaan kamu mengadap Allah nanti? Kalau masa periksa peringkat SPM, Ijazah, Master dan PHD dulu beribu-ribu soalan dapat di jawab hingga lulus periksa, maka agaknya di alam kubur nanti dapat lulus tak bila di tanya soalan? Bukan banyak pun hanya enam soalan sahaja, itu pun soalan bocor semuanya.

Exam besar PAK (Peperiksaan Alam Kubur). Kamu pasti hadapi exam besar yang ada enam soalan sahaja ini. Destinasi sebenar seorang manusia ialah Akhirat. Perjalaanan masih jauh. Ada kehidupan selepas kematian, bermula dengan hidup di alam kubur. Jangan takut dan gentar. Tentu dapat jawab enam soalan mudah ini dengan lancar dan jelas. Tak ada persiapan? 
  1. Siapa Tuhan Kamu?  Allah Tuhanku
  2. Apa Agama Kamu?  Islam Agamaku
  3. Siapa Pegangan Iktikad Kamu?  Al-Qur'an Pegangan Ikutanku
  4. Siapa Nabi Kamu?  Muhammad SAW Nabiku
  5. Apa Kiblat Kamu?  Kaabah Baitullah Kiblatku
  6. Siapa Saudara2 Kamu?  Seluruh Orang Beriman itu Saudara2 ku
Kami sudah bekalkan kamu mata untuk membaca ayat2 Allah, memandang Ustaz2 dan Tok2 guru, melihat ciptaan Allah. Kami sudah bekalkan kamu telinga untuk mendengar ayat2 Allah ditafsirkan, hadis2 Nabi dijelaskan, nasihat2 ulama' dibentangkan. Masih lagi berangan-angan, "Kalau aku kaya..."

Datanglah ke masjid. Dirikan solat fardhu berjemaah, bertakruf, dan turut serta dalam program2 masjid. Bagaimana nak mengadap Allah? Macamana nak jawab soalan? Moga2 memantapkan kita mencari bekalan untuk akhirat. Dan carilah bekalan sebanyak-banyaknya untuk negeri akhirat itu dengan menggunakan segala kelebihan yang Allah kurniakan kepada kamu. Gunakan untuk mengaji, imarahkan masjid dan surau, dan usha kebaikan umat ini. Beringat nikmat dunia untuk kebaikan akhirat. Berbuat baiklah sebagaimana Allah banyak berbuat kebaikan kepada kamu.

Ujian kemarau ini hanya sekadar untuk mencetus sedar pada diri kamu yang lara dengan dunia dan lupa kebesaran Allah, ampunya alam semesta ini. Kamu sangat kerdil, tiada daya dan upaya melainkan dengan kudrat dan iradat Allah semuanya. Bahkan untuk menurunkan setitis air hujan pun kamu tidak mampu. Tapi masih angkuh bila mengaku hujan yang turun itu hasil usha pembenihan awan di situ dan di sini. Masih menafikan turunnya hujan sejenak itu adalah rahmat Allah, bukan untuk kamu sebenarnya kerana dosa dan maksiat kamu yang banyak itu. 

Hujan itu Allah turunkan kerana belas kasihan Allah kepada empat golongan makhluk yang tiada upaya yang sentiasa bergantung harap pada Allah iaitu anak kecil yang menyusu, binatang ternakan, orang tua yang tekun beribadah, dan wanita yang lemah. Kamu hanya mendapat tempias daripada rahmat Allah kepada mereka ini. 

Insaflah. Renung dan fikirlah perihal ujian kemarau panjang ini dengan matahati untuk cetus sedar. Bergantung harap pada Allah pada setiap sesuatu untuk menjadi manusia bertakwa yang boleh meluluskan kita daripada setiap ujian Allah ini.

@@@

Monday, March 03, 2014

Ingat Mati

Manfaatkan teknolgi yang ada. Zaman ini ialah zaman facabook, whatsapp, telegram, twitter, wechat, youtube dan macam2 lagi. Sebarkan perkara yang mendatangkan manfaat.

Saya terima satu kiriman dalam Whatsapp yg merupakan sebuah poster ringkas yang mengandungi enam pesanan Imam Ghazali.


  1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? Mati
  2. Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini? Masa Lalu
  3. Apa yang paling besar di dunia ini? Nafsu
  4. Apa yang paling berat di dunia ini? Amanah
  5. Apa yang paling ringan di dunia ini? Tinggal Solat
  6. Apa yang paling tajam di dunia ini? Lidah
Keadaan kemarau berpanjangan kini banyak mengundang kebakaran semak dan hutan. Semalam anak bongsu saya ada bercerita kisah kawannya yang kematian bapa secara mengejut di Johor. Bapanya ini masih muda dan tidak punyai masalah kesihatan. Arwah mati dalam sebuah kebun yang terbakar. 

Khabarnya dia menolong untuk padamkan api yang marak membakar kebun tanaman dikampungnya. Kali pertama dia berjaya masuk ke kawasan kebakaran dan keluar dengan selamatnya. Namun pada kali keduanya dia masuk untuk membantu memadamkan kebakaran itu, dia gagal keluar. Mungkin terperangkap atau lemas dalam asap tebal. Orang kampung menjumpai mayatnya dalam keadaan bersujud. Semoga kematiannya termasuk dalam khusnul khotimah iaitu kematian yang mulia. Marilah kita sama2 sedekahkah pahala bacaan surah al-Fatihah buat arwah. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang yang bertaqwa.

Pagi tadi pula saya menerima perkhabaran daripada isteri saya akan berita kematian abang sulongnya yang menetap di bumi kenyalang. Arwah di masukkan ke hospital kerana komplikasi jantung. Al-Fatihah buat arwah dan mohon Allah kurniakan kesabaran untuk ahli keluarganya sekelian. Semoga ruh arwah dicucuri rahmat. Sesungguhnya ajal maut sudah menjadi ketentuan Allah dan tidak mempercepat atau melewatkan walau sesaat.

Imam Ghazali memberi pesanan apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini ialah kematian. Namun majoriti umat manusia sebenarnya terus menerus menganggap mati itu sesuatu yang sangat jauh lagi. Mati hanya berlaku kepada orang lain sahaja. Manusia lupa bahwa sebuah kematian itu begitu hampir malah sesuatu yang paling dekat sekali. 

Namun di akhir zaman ini situasi sebegini sudah menjadi kebiasaan, iaitu manusia begitu sayang dunia dan takut untuk mati. Manusia tidak gemar bercerita tentang mati. Manusia terus-terusan mengejar dunia. Mengejar sesuatu yang pasti mereka tinggalkan. Manusia terus-terusan di sibukkan dengan kerja, keluarga, hiburan dan kebendaan termasuklah menjadikan 3-Ta sebagai objektif kehidupan iaitu Takhta (kuasa), Harta & Wanita. Sebaliknya manusia gagal menyibukkan diri untuk mencari bekalan akhirat iaitu sesuatu yang pasti mereka bawa nanti.

Hidup di dunia ini sangat sementara. Saya ada menerima satu lagi kiriman Whatsapp perihal data umur para Nabi. Antaranya usia Nabi Adam 1,000 tahun, Nabi Noh 950 tahun, Nabi Shoaib 882 tahun, Nabi Saleh 586 tahun, Nabi Zakariyya 207 tahun, Nabi Ibrahim 195 tahun, Nabi Sulaiman 150 tahun, Nabi Ismail 137 tahun, Nabi Musa 125 tahun, Nabi Isa 40 tahun dan Nabi Muhammad 63 tahun. 

Rata-rata umat akhir zaman kini umurnya sekitar 60-80 tahun sahaja. Saya berkongsi sebuah petikan daripada blog JAIS - Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. 

Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati. Kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh.  Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.
  1. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."( Surah Ali Imran:185 )
  2. "Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun " (Surah al-A'raf:34 & Surah an-Nahl:61)
  3. "Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh." (Surah an-Nisaa':78)                                               

Mengingat kematian akan melahirkan sifat-sifat terpuji. Antaranya adalah sebagai berikut yang saya petik daripada sebuah bicara agama:

  1. Ingat mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas dosa-dosa dan kesalahan kita. Besarnya nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan itu tidak akan dilayan apalagi dituruti. Abu Hazim Salah bin Dinar berkata: “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli." Daripada Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur (mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia dan seisinya." (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)
  2. Ingat mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai menundukkan hawa nafsu. Cara hidup yang kita jalani menjadi lebih efektif kerana berasaskan, Begin with end in mind. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati." (HR al-Tirmizi)
  3. Ingat mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif. Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu berusaha untuk meraihnya. Ramai orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali. Sebaliknya, amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.
Sungguh beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti. Sewajarnya kita bertindak segera untuk menghadapi detik kematian yang akan menjadi titik permulaan kehidupan di alam Barzakh pula. Ingatlah perjalanan masih jauh. Kita bakal meninggalkan dunia yang fana ini dan berhijrah ke beberapa fasa kehidupan di alam lain yang setia menanti iaitu alam barzakh (kubur), alam mahsyar, alam mizan, alam sirat, sebelum berpindah ke syurga atau neraka Allah.
  1. "Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya." (HR al-Bukhari)
  2. “Apabila bila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga (3) perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, anak soleh yang mendoakannya” (HR Muslim). 
Kita muhasabah dan semak pesanan Imam Ghazali di atas untuk peka pada mati dan bersiap siaga untuk menghadapi hari dalam sejarah itu mulai saat ini. Usah lagi bazirkan waktu kerana ia sesuatu yang sangat berharga dan masa yang berlalu itu tidak dapat di tebus lagi walaupun dengan pangkat melangit dan harta berjuta. 

Nafsu pula ibarat duri dalam daging yang sentiasa tidak putus asa untuk menjurus kita pada perkara lara dan maksiat belaka. Maka pandai2lah mencari skil dan ilmu untuk mengawal nafsu ini. Jangan sampai ia mengheret ke lembah kehinaan di sisi Allah.

Ramai orang berebut untuk mengejar pangkat, darjat dan jawatan. Sedangkan semua ini datang dengan amanah dan tanggung-jawab yang besar. Malah sebagai bapa atau ibu juga memegang amanah yang sangat besar untuk membentuk anak didiknya untuk taat kepada Allah SWT. Tunaikan amanah dengan bersungguh-sungguh tulus ikhlas kerana Allah. Jangan sekali-kali pecah amanah atau gagal jujur kepada Allah dalam setiap urusan yang diberikan.

Saya pernah mendangar maklumat ada menyatakan 80% rakyat Malaysia yang mengaku beragama Islam tidak mendirikan solat fardhu. Benarlah pandangan Imam Ghazali bahawa perkara solat sudah dianggap paling ringan dalam kehidupan untuk di tinggalkan begitu mudah tanpa rasa takutkan dosa dan laknat Allah. Ramai hanya Islam sekadar namanya berbau Islam di IC. Apalah nilai mengaku menganut agama Islam tanpa mendirika tiang agama Islam itu sendiri iaitu solat?

Dan akhir sekali persoalan menjaga lidah yang kata Imam Ghazali makhluk paling tajam di dunia ini. Pepatah melayu pun ada mengatakan lidah tidak bertulang yang membawa erti bebas bercakap jika tidak dikawal boleh membawa mudarat berat. Tabiat lidah untuk mengumpat misalnya boleh mengheret empunya diri menjadi bahan bakaran api neraka Allah, kerana bukankah mengumpat itu lebih bahaya dari jenayah membunuh? 

  1. Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa (takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah guna). (HR Tirmizi)
  2. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?” (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)
Sebagai konklusi, orang yang untung ialah orang yang sentiasa peka soal kematian, mencari pengajaran dan tidak memandang sepi erti kematian, selalu muhasabah diri dan ingat mati dan membuat persiapan yang banyak untuk menempuh kehidupan selepas detik kematian itu. Semoga kita semua tergolong ke dalam kelompok manusia yang cerdik lagi beruntung ini.

@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...