Masjid Putrajaya banyak tiang dari orang |
Sdra Zul Fattah seorang pengunjung blog saya memberi
komen pasca Ramadan pada posting saya bertajuk Kekalkan Anjakan Takwa,
"Macam biasa tuan, seperti tahun2 lepas, masjid jadi kosong bila Ramadan
berakhir.. sekarang dah berlaku di tempat saya."
Saya termenung sejenak dan membalas komen beliau, "TQ Zul Fattah. Apakah kita ini ibadah untuk Ramadan? Ramadan itu makhluk. Perbetulkan niat untuk amal soleh kepada pemilik makhluk iaitu Allah SWT. Kita sama2 doa supaya dibuka pintu hati dan diberi hidayah oleh Allah SWT supaya para jemaah kembali memenuhi ruang surau dan masjid untuk solat fardu dan majlis2 ilmu. In Sha Allah."
Perkara sebegini seolah-olah memang dijangkakan oleh ramai. Malah para Ustaz yang memberi tazkirah Ramadan tempoh hari pun ramai yang mengulangi fenomena melimpah ruah para jemaah di awal Ramadan dan mula berkurang menjelang akhir Ramadan dan seterusnya akan terus berkurang pabila musim Raya dan hari-hari mendatang selepas itu. Kata pakar2 motivasi kalau kita dok ulang benda negatif maka akan termakbul sebagaimana yang kita dok ulang itu.
Sebaliknya kalau kita dok ulang dan minta dan doa benda2 yang elok maka In Sha Allah, Allah SWT akan makbulkan jua. Maka adalah afdal kita semua terutamanya para Ustaz ulang lagi dan lagi benda2 positif agar masyarakat dapat berubah kepada suasana yang positif. Bukannya dimomokkan dengan budaya negatif hingga diterima pakai oleh majoriti sebagai perkara biasa atau dah jadi sebahagian daripada adat.
Janganlah kita dok tiru taktik surat khabar arus perdana yang asyik cari tajuk sensasi untuk dipaparkan saban hari walaupun kebanyakannya negatif dan menonjolkan keaiban dan kepincangan masyarakat sokmo demi untuk melariskan jualan akhbar mereka tanpa peduli kesan pada masyarakat.
Perasan tak trend akhbar2 ni? Kalau musim buang anak maka hari2 dok cerita pasal kes buang anak. Depa dok korek jugak sampai ke lubang cacing. Kalau musim tanah runtuk ke tanah gondol ke maka itulah cerita yang di ulang tayang. Zaman kes ragut maka kes ragutlah jawabnya. Kes liwat, kes bunuh, kes rogol, kes dera takyah cerita la kan. Tempoh hari sensasi kes tembak, tu dia hari2 muncul kes tembak. Naik loya aku.
Maka para Da'ei dan para Ustaz, please lah janganlah dok jadi alat penyebar cerita negatif pada masyarakat. Cukuplah. Kita nak didik masyarakat untuk menuju era baru, iaitu perkara2 yang diunjurkan syariat bukan perkara2 adat. Kita nak perkara biasa jadi luarbiasa, bukan perkara luarbiasa jadi biasa.
Kalau hari2 jalan jem kita rasa itu biasa. Tapi yang sebenarnya adik kakok, jalan jem ni perkara luarbiasa asalnya. Hinggakan bila jalan tak jem, kita pula heran, "Eh apasal tak jem hari ni?" Itulah analoginya kalau hari2 dok dengar atau mengalami benda yang negatif hinggakan minda separa sedar kita ini sudah terpahat bahawa itu perkara biasa. Ini sebenarnya ajaran sesat bro, kita kena betulkan balik.
Solat berjemaah penuh masjid dan surau itu ialah perkara biasa bukan luarbiasa. Penuh melimpah majlis2 ilmu di surau2 dan masjid itu perkara normal bukan abnormal. Usah diperlekehkan ia. Ini tidak, asyik dok make fun, duduk buat lawak, asyik ejek, asyik sindir. Sekarang bila berlalu Ramadan surau dan masjid kembali sunyi, padan muka kita semua. Itu yang kita semua nak gamaknya. Kembali jahil dan tukil. Hijrah yang gagal.
Pada pengamatan saya sepanjang Ramadan yang lalu di Masjid mukim saya, pada awal Ramadan Alhamdulillah mencapai 15 saf lelaki dan 8 saf perempuan iaitu total anggaran jemaah dalam lingkungan 1,000 orang. Allah SWT janjikan Rahmat-Nya di 10 pertama Ramadan.
Kemudian dipertengahannya jumlah jemaah lelaki susut sedikit kepada 12 saf dan perempuan kepada 6 saf menjadi jumlah keseluruhan jemaah dalam lingkungan 900 orang. Allah SWT janjikan pengampunan-Nya pada 10 kedua Ramadan.
Pada penghujung Ramadan Alhamdulillah jumlah jemaah lelaki di masjid kami ini masih bertahan sekitar 9 saf dan perempuan sekitar 4 saf. Alhamdulillah, maknanya dalam lingkungan 650 orang jemaah kekal istiqamah. Bagi saya ini satu prestasi yang baik. Kalau nak dibandingkan dengan sebelum Ramadan di mana jumlah yang hadir untuk solat maghrib sekitar 5 saf iaitu lingkungan 250 orang dan yang duduk di majlis ilmu sekitar 100 orang secara purata.
Qiyamullail dianjurkan oleh pihak masjid di adakan pada dua hari hujung minggu bermula awal Ramadan. Qiyamullail di tingkatkan kepada frekuensi setiap malam pada 10 terakhir Ramadan. Sahur disediakan. Alhamdulillah saya perhatikan sekurang-kurangnya ada satu saf iaitu dalam lingkungan 50 orang pada setiap malam. Menjelang akhir Ramadan khasnya malam 27 dan 29 saya lihat ia meningkat kepada tiga saf. Solat subuh berjemaah pula sangat hidup dengan tidak kurang daripada 8 saf setiap hari. Alhamdulilah.
Format di masjid ini ialah teraweh 4 rakaat, tazkirah 30minit oleh Ustaz2 jemputan yang power2 semuanya, dan diteruskan teraweh 4 rakaat dan witir 3 rakaat. Alhamdulillah ia berjaya mengundang 550-900 orang pendatang baru untuk mengikuti majlis2 ilmu yang diadakan saban malam dalam bentuk tazkirah pendek itu. Moga2 ia akan mengundang hidayah Allah agar terbuka hati untuk terus menjadi ahli masjid.
Saya tak mahu menaruh harapan tinggi melangit. Cukup sekadar 10% yang mendapat hidayah Allah, maknanya dalam lingkungan 55-90 orang muka baru yang akan hadir ke kuliah2 maghrib di masjid kami selepas ini. Makanya harapan itu ialah 100 muka lama di campur 55-90 orang muka baru akan membentuk odion sekitar 155-190 orang. In Sha Allah.
Pasca Ramadan pada malam tadi iaitu 6 Syawal, saya perhatikan ada 3 saf untuk solat isyak (135 orang) dan hanya 3 orang jemaah wanita. Kuliah maghrib nampaknya masih cuti. Saya ingin syorkan pada Nazir masjid, majlis ilmu ini hendaklah diteruskan dengan kadar segera. Hukum menuntut ilmu ini kan wajib? Teruskan. Kalau Ustaz2 regular masih cuti raya, kita usahakanlah Ustaz2 tempatan yang tinggal di persekitaran kita ini. Kenapa mahu cuti? Teruskan memomentum amal soleh mengajak masyarakat taat pada Allah SWT.
Jom kita muhasabah diri. Pasca Ramadan satu analisa diri sendiri. Apakah aku berjaya atau gagal pada tarbiyah Ramadan yang lalu? Apakah hari raya kembali menenggelamkan aku dalam kepura-puraan dunia? Apakah segala amal soleh aku terhenti sudah? Apakah sudah tidak menjaga lidahku, pendengaranku, pandanganku dan tingkah lakuku lagi? Pasca Ramadan satu analisa diri untuk kembali istiqamah dalam amal soleh. In Sha Allah.
@@@
No comments:
Post a Comment