Monday, August 19, 2013

Di Mana Che Pa?




Di mana Che Pa? Saya tercari-cari susuk tubuhnya. Saya perhatikan para jemaah di sebelah kiri ruang solat. Dia tiada di situ. Saya toleh ke sebelah kanan. Che Pa tidak kelihatan. Saya renung jemaah yang berada di depan yang sedang tekun mengikuti kuliah maghrib yang sedang disampaikan oleh Ustaz Yusrizal. Che Pa masih tidak kelihatan. Saya tengok ke belakang. Che Pa tidak hadir malam ini agaknya. 


Semalam usai solat asar saya menegur seorang pemuda. Kata saya, “Tak pergi Padang Merbuk?” Dia mengangguk sambil berkata, “Nak gi juga.” Dia pandang ke depan kepada beberapa orang pemuda. Katanya, “Mereka pergi dengan motor.” Kemudian saya lihat dia masuk ke kereta Wajanya. Agak sporti juga keretanya, maklumlah orang muda. Di depan kereta Waja itu saya lihat Pak Mat memasuki kereta Pesona putehnya. Pak Mat ini pun boleh tahan juga. Kereta Pesonanya tampak sporti juga. Melihat pada perwatakannya saya agak umur Pak Mat sudah mencecah 70an.


Pemanduan saya melalui lebuhraya PLUS hingga ke Tol Jalan Duta mengambil masa kira-kira 30 minit. Anak perempuan dan isteri saya ada bersama. Kami berniat untuk menghadiri Himpunan Munajat 100K anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) untuk mengutuk kekejaman rejim kudeta Mesir yang setakat hari ini sudah mengorbankan lebih 5,000 nyawa rakyat marhain yang berhimpun secara aman memprotes rampasan kuasa yang menggulingkan Presidan Mohamed Mursi yang dipilih sebagai Presiden Mesir melalui proses pilihanraya yang sah.


Setelah menurunkan isteri dan anak berdekatan dengan Padang Merbok, saya memakir kereta di hujung jalan kira-kira 100m dari lokasi. Saya pun bersedia untuk berjalan menuju ke lokasi himpunan. Kebetulan agaknya, pemuda tadi memandu keretanya dan pakir di belakang kereta saya. Dia berseorangan saja. Terdetik di hati saya, “Semangat juga anak muda ini.” Saya berpeluang berjalan beriringan dengan pemuda ini.


Maka saya pun sempat berkenalan. Dia memberitahu namanya ialah Che Pa. Nama sebenarnya agak panjang tapi orang memanggilnya Che Pa sejak kecil lagi. Saya berkata bahawa saya selalu nampak dia di Masjid. “Bagus kerana awak rajin ke Masjid,” puji saya. Dia menjawab, “Pergi time ada masa. Time kerja tak dapat pergi.” Saya tanya dia kerja di mana. Dia menjawab di sebuah syarikat swasta berdekatan.


Kami berpisah bila tiba di Padang Merbok. Saya bersama isteri dan anak mencari tempat di hujung padang. Itulah kisahnya perkenalan saya dengan seorang pemuda ahli Masjid yang bernama Che Pa. Di mana Che Pa? Mungkin dia tidak hadir ke Masjid malam ini kerana dia bertugas syif malam agaknya. Saya sering melihat dia di Masjid ini. Dia memang kaki Masjid. In sha Allah selepas ini dapat lagi bersembang dengannya di Masjid.

“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Hadis Riwayat: Abu Daud dan Ibnu Majah)
 


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...