Sunday, August 28, 2011

28 Ramadan

Para salafus soleh semuanya bersedih mengenangkan Ramadan akan pergi. Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.



Imam Shadiq a.s. bersabda:”Ya Allah jangan jadikan dia (malam terakhir Ramadhan) sebagai akhir puasaku untuk bulan Ramadhan dan aku berlindung kepada-Mu dari terbitnya fajar malam ini kecuali dosaku telah Engkau ampuni.”


Syaitan akan kembali bebas. Syaitan mahaguru dan manusia muridnya. Apakah 3 semesta pengajian intensif di madrasah Ramadan itu sudah merubah manusia jadi baik, taat pada Allah. Atau kembali tahu dosa tapi buat juga? Tahu salah tapi pulun juga? Kalau ikut cara ke neraka, mengapa diminta untuk ke syurga?


Pada dua hari yang berbaki ini, jangan putus harap. Teruskan perjuangan. Jangan tersungkur di pintu syurga. Semoga Allah memandang aku dengan pandangan rahmat-Nya. Dosa aku, belum tentu Allah ampun. Amal aku, belum tentu Allah terima. Aku jangan puas. Aku kena buat pembersihan pada saat2 akhir ini. Lakukan pembersihan lahiriah pada dalaman rumah dan laman rumah agar rumah kecil terasa besar kerana barokah, bukan rumah besar terasa kecil dan rimas kerana dihiasi patung atau dicemari najis. Sediakan selipar di bilek air dan tandas.


Pembersihan pada makanan & minuman. Kebersihan pakaian. Kebersihan Ruh dengan memohon kemaafan dari ibubapa secara khusus pada sesuatu dosa atau kesilapan yang telah dilakukan suatu ketika dulu. Mohon kemaafan bukan di pagi raya tetapi sebelum Ramadan berakhir. Suatu kesilapan ialah sudah menjadi adat memohon maaf secara general dan ibubapa juga selalunya memberi kemaafan secara general. Sedangkan masih ada sesuatu perkara atau insiden yang masih tidak dapat dilupakan atau masih terbuku di hati. Mohon maaf pada yang itu. Jangan mendapat kemaafan pada 'tip of the iceberg' sahaja. Kerana yang terlindung dan tersirat itu masih banyak. Perlu dikorek dan ditimbulkan ke permukaan untuk pembersihan ruh yang lengkap dan sempurna. Itu pesan Ust Sabri pada tazkirah Ramadan malam tadi.


Tunjukkan keberkatan kita bersolat terawih & witir 11 rakaat sepanjang Ramadan itu dengan istiqamah mendirikan solat2 sunat rawatib 17 rakaat selepas Ramadan ini. Berjaya menjadi ahli manusia taqwa. Taat pada segala perintah Allah tanpa ada ingkar lagi. Syukur atas segala nikmat Allah yang tidak terkira banyak ini tanpa sedikit sifat kufur nikmat lagi. 12 bulan untuk bertemu Ramadan di tahun depan adalah jangkamasa yang panjang. Sesuatu mungkin berlaku pada jangkamasa itu. Ajal maut bukan di bawah kawalan kita.


Pada dua hari yang tinggal ini, terus mengharap dan merayu diampun segala dosa dan noda. Bergantung harap pada Allah agar dilimpahi rahmat-Nya dan diberi keampunan-Nya. Semoga pada semesta akhir Ramadan ini kita graduate dengan mendapat sijil pelepasan dari azab api neraka Allah. Semoga berjaya menempatkan diri pada kelompok manusia yang layak untuk mendapat nikmat syurga Allah. Amiiin.


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...