Basahkan bibir dan keringkan lidah dengan zikrullah terutama ketika memandu kereta berseorangan pergi dan balik dari tempat kerja. Nawaitu keluar rumah kerana Allah untuk mencari rezki. Banyakkan melafaz kalimah toyyiba, beristighfar memohon keampunan Allah dari segala dosa, merayu rahmat Allah, jangan lupa memohon Allah bebaskan dari azab neraka-Nya. Dan akhirnya merayulah rahmat dan redha Allah untuk menempatkan kita dalam kelompok hamba2-Nya yang layak untuk mendapat nikmat syurga-Nya.
Pesan Ustaz tempoh hari, apabila ke bazar Ramadan belilah juadah dari peniaga yang solat. Eloknya tanya dia awak solat ke tidak? Belilah dari peniaga yang menjaga aurat. Kerana apa? kita tidak mahu juadah yang masuk itu menjadi penyebab kurang atau hilang pahala ibadah puasa kita. Kena berhati-hati pada soal makan dan minum ini. Lebih afdal lagi masakan dari air tangan isteri tercinta, bukan bibik atau yang lain. Ustaz juga menyatakan bazar Ramadan ini lebih banyak mengurangkan pahala puasa kita di bulan Ramadan ini. Apa tidaknya dengan pembaziran, dengan bercampur gaul lelaki perempuan, pendedahan aurat, dan serakah melayan nafsu makan. Elok lagilah kalau dapat elakkan terus bazar Ramadan ini. Dengar cerita 'ayam golek' berharga RM16 seekor sekarang, tu dia. Kat Kelantan lagi teruk depa habaq mai sampai RM19 seekor, ish ish ish.
Tingkatkan ibadah menuju Lailatul Qadar. Usaha sungguh2. Tawaran super duper Allah SWT untuk umat yang beriman. Janganlah menyerah kalah sebelum berjuang. Mohon sungguh2 agar Allah SWT ketemukan kita dengan malam istimewa ini. Iktikaf semampu mungkin. Usah hilang fokus. Hidupkan malam, zuhud di hadapan Allah SWT.
Ustaz menceritakan perihal seorang ahli ibadah yang sujud kepada Allah sahaja menjangkau 500 tahun, yang apabila Allah SWT bersetuju memasukkannya ke dalam Syurga dengan rahmat-Nya, dia cuba menyatakan pendirian bahawa aku ini masuk syurga kerana amal ibadahku. Maka Allah pun memerintahkan malaikat untuk mengira segala amal ibadahnya dan kontra dengan nikmat yang Allah SWT kurniakan selama hidupnya. Malaikat mula mengira nikmat sebelah mata kiri yang Allah kurniakan, itupun sudah melebihi dari pahala ahli ibadah itu bersujud selama 500 tahun itu. Itu tidak di kira nikmat mata kanannya. Maka Allah SWT memerintahkan malaikat tadi untuk membawa ahli ibadah itu ke neraka-Nya.
Menunjukkan sehebat-hebat ahli ibadah itu tidak dapat melayakkan dia untuk mendapat nikmat syurga Allah. Apatah lagi kita yang level ibadah yang masih di peringkat yang tidak konsisten ini, sekejap buat sekejap tak buat. Jauh panggang dari api. Muhasabah diri, ada kita solat 100 rakaat sehari? ada kita zikrullah 1,000 kali sehari? ada kita bersedekah dan infaq ke jalan Allah setiap hari? ada kita berdakwah dan berjihad di jalan Allah seminggu sekali? Maka menangis dan merayu-rayulah ahli ibadah yang zuhud yang telah menghambakan seluruh hidupnya untuk beribadah kepada Allah untuk di kembali rahmat Allah kepadanya dan belas ehsan Allah dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya untuk dia mendapat nikmat syurga Allah SWT. Dia sudah sedar betapa ciputnya ibadah seumur hidupnya itu kalau hendak dibandingkan limpah rahmat dan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepadanya selama hari ini.
Malam tadi saya solat di Surau AU2 Keramat yang ber 'aircond' itu. Minggu lepas saya solat juga di situ. Terawihnya 20 rakaat, tiada di selang seli dengan tazkirah. Apa yang saya nak cerita ialah perbezaan minggu lepas dengan minggu ini. Minggu lepas saf jemaah melimpah keluar. Tapi minggu ini saf hanya ada di dalam saja. Satu pengurangan bilangan jemaah yang sangat ketara. Fenomena ini terus berlaku saban tahun di majoriti masjid dan surau. Daya tahan menuju puncak layu di tasik madu.
Ayuh insan kamil. Kita istiqamah. Jangan rugi lagi di Ramadan yang masih berbaki ini. 15 hari yang sudah berlalu itu tidak akan kembali lagi walau kita menangis air mata darah dan nanah sekali pun. Ia sudah jadi sejarah dan kenangan pahit yang tak payah dikenang. Di hadapan kita terbentang luas jalan menuju redha Allah, mencapai keampunan-Nya, untuk membebaskan diri dari bakaran api neraka Allah. Apa lagi yang di cari. Inilah kemuncak sebuah perjuangan. Jika tergapai kejayaan membebaskan diri dari bakaran api neraka Allah yang maha dahsyat itu, maka tiada apa lagi di dunia ini yang bisa merobek kemuncak kebahagiaan itu. Itulah the ultimate goal. Kejuaran Piala Dunia yang sementara ini untuk menjadi cagaran hidup bahagia selama-lamanya di akhirat yang kekal hingga infiniti masa itu.
Bukan menuju puncak akademi fantasia, tetapi kejayaan hakiki, bukan tipu2, bukan seronok2, bukan sekadar hiburan lara penyedap jiwa kacau. Yes guys, Go For It !! Pecutan menuju puncak redha dan rahmat Allah SWT. Be The Best That You Can Be !! NOW or Never !!
@@@
2 comments:
kan kan soal makanan
penting kn..mesti tnye kn..
huh thanks sharing ehhh
=)
TQ Far8 - istiqamah jadi budak baik.
Post a Comment