Saya kagum dengan pasarana masjid dua tingkat itu yang lengkap dengan dewan makan, pusat khidmat masyarakat, tempat persinggahan musafir, bilek mandi, tempat membasuh dan menjemur pakaian. Semasa solat Zohor itu saja saya congakkan ada kurang lebih 400 jemaah. Majoriti mereka berjubah puteh. Jarang kita jumpa masjid yang dikunjungi begitu ramai jemaah kecuali untuk solat Jumaat. Masjid ini dibina atas modal RM3 juta, ehsan derma orang ramai tanpa bantuan kerajaan atas ukhwah kekuatan jemaah tabligh itu sendiri. Inilah satu-satunya masjid di Malaysia yang tiada daun pintu dan tabung masjid. Tapi, bil bulanan elektrik and air ada saja yang membereskannya. Ia mampu menampung kapasiti 10 000 jemaah pada satu-satu masa dan setiap bulan akan ada jemaah keluar berdakwah di jalan Allah, 3 hari atau 40 hari keseluruh pelusuk tanahair malah melewati sempadan negara.
Semasa pembinaan masjid ini, sebagaimana yang diceritakan oleh Hj Munir yang di usia remajanya turut menyumbang tenaga, kesemua pekerja mestilah muslim yang tidak tinggal solat fardu. Atas keberkatan itulah agaknya masjid ini tersergam sebagaimana hari ini. Memang terkesan saya dengan suasana ini, pelajar2 tahfiznya dan amalan masjid yang sentiasa hidup.
Mengikut sejarahnya jemaah tabligh didirikan oleh Syaikh Maulana Ilyas bin Syaikh Muhammad Ismail Al-Kandahlawi Al-Hanafi (Rahimahullah) di benua India, tepatnya di kota Sahar Nufur. Beliau dilahirkan tahun 1303H di lingkungan keluarga yang mengikuti thariqat Al-Jitsytiyyah ash-Shufiyyah. Beliau orang yang hafidz (hafal Qur’an) dan menimba ilmu di Madrasah Diyuband setelah diba’iat oleh guru besar Thariqat, Syaikh Rasyid Ahmad Al-Katskuhi.
Pusat perkembangan jemaah tabligh ada di India, tepatnya perkampungan Nidzammudin, Delhi. Dakwah jemaah tabligh menyebar hingga ke Pakistan, Bangladesh dan negara-negara Asia Timur dan menyebar hingga ke seluruh dunia. Konsep berdakwah dari pintu ke pintu secara berdepan adalah modus operandi jemaah tabligh ini. Kini pusat tabligh berkembang ke serata dunia termasuklah Venezuela, Vietnam, Yugoslavia, Uzbekiztan, New Zealand, China, Filipina, Sweden, Mesir, Myanmar, USA, Hong Kong, Taiwan, Britain, Bolivia, Australia, Denmark dan Afrika Selatan.
Dalam halaqah.net ada di nyatakan: Agak sukar hendak ditinjau secara mendalam mengenai corak pemikiran dan ajaran jemaah tabligh kerana kekurangan sumber. Ini kerana jumlah buku-buku yang menjadi pegangan mereka amat sedikit. Tambahan pula mereka lebih mementingkan kegiatan amali daripada kegiatan menulis dan berteori. Ini agak bercanggah dengan nasihat Maulana Muhammad Ilyas sendiri kepada para karkun (ahli) yang jelas sekali sangat mementingkan penyampaian dakwah melalui penulisan. Malangnya nasihat ini kurang diperhatikan, maka terbentuklah sikap apatetis terhadap lapangan penulisan berunsur dakwah di kalangan ahli-ahli mereka.
Dalam konteks jemaah tabligh di Malaysia, pertama sekali tujuan wujudnya gerakan Jemaah Tabligh ini ialah berdasarkan dua ayat Al-Quran yang bermaksud:-
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung." (Al-Imran : 104)
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq." (Al-Imran :110)
Jadi selaras dengan gerakan ini sendiri, matlamat utamanya ialah untuk menjalankan tabligh atau dakwah yang mengajak manusia ke jalan Allah s. w. t. dengan menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Jemaah tabligh ini memberi penekanan kepada ajarannya sehingga perkara-perkara lain menjadi kurang penting. Ini tidak bermakna mereka mengabaikan perkara-perkara lain tetapi tujuan terpenting ialah melaksanakan tabligh ini biarpun para anggotanya kurang berilmu atau tidak berilmu.
Semuanya itu merupakan tujuan atau matlamatnya secara umum. Adapun secara khususnya, gerakan ini berpusat pada dua ajaran pokok: material dan spiritual. Dari segi materialnya, tujuannya ialah untuk mengadakan perjalanan tabligh secara berkumpulan dari satu tempat ke satu tempat . Sedangkan dari segi spiritualnya, ia bertujuan menghidupkan kembali semangat dan menyerahkan seluruh kehidupan kepada perintah Allah s. w. t., sebagaimana tersebut dalam al-Quran, surah an-Nisa (maksudnya):
"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka persilisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya."
Maka tujuan utama Jamaah Tabligh ialah melaksanakan perjalanan tabligh untuk menyeru dan mengamalkan Islam sebagaimana yang dijalankan oleh para Nabi dan Rasul. Jadi misi tabligh ini berjalan serentak dengan amalan iaitu teori dan praktiknya sekaligus. Di samping itu mereka belajar melalui kitab dan teladan.
Menurut ajaran Maulana Muhammad Ilyas, terdapat prinsip-prinsip ajaran yang tertentu yang harus dijadikan pegangan asas. Yang pertama sekali ialah prinsip Iman, atau disebut sebagai kalimah Tayyibah sahaja. Yang dimaksudkan dengan Kalimah Tayyibah di sini ialah "La ilaha iIlallah, Muhammad Rasulullah" iaitu tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah. Seseorang itu bukan sahaja harus melafazkannya selalu, malah perlu memahami pengertian dan falsafah yang terkandung di dalamnya. Dengan menyebutnya selalu dia bukan sahaja mendapat pahala, bahkan dapat mengelakkannya dari menyengutukan Allah dan perbuatan-perbuatan mungkar.
Melihat dari segi ini jelas sekali keutamaan Iman pada pandangan Muhammad Ilyas. Bagaimanapun selepas menyentuh tentang kepentingan dan keutamaannya, tidak pula dibahaskannya secara lanjut dalam hubungannya dengan realiti kehidupan umat Islam sebagai contoh di India pada ketika itu yang merupakan wilayah yang paling banyak tersebarnya kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik yang benar-benar mengancam kemurnian Iman dan Aqidah.
Muhammad Ilyas lebih gemar bercakap tentang kegiatan tabligh daripada menyentuh masalah syirik. Walaupun didapati beliau sama sekali tidak melayani permintaan untuk memberi azimat atau tangkal, namun beliau tidak pula menyebutkan dengan tegas bahawa azimat dan tangkal itu adalah amalan syirik belaka sebagaimana banyak tersebut dalam hadis-hadis sahih. Ringkasnya, keutamaannya kepada matlamat perjuangannya untuk bertabligh mengatasi persoalan-persoalan lain.
Mengiringi prinsip pertama ialah prinsip kedua, iaitu Solat (Namaz). Menurut Muhammad Ilyas, Kalimah Tayyibah dan Namaz ini merupakan dua prinsip yang asasi dan terpenting. Fadhilat Salat adalah terlalu banyak jika hendak diperhitungkan, apalagi jika ianya dikerjakan secara berjamaah. Ketika menyentuh tentang kepentingan Kalimah dan Namaz ini, Muhammad Ilyas telah berkata:-
"The principal aim and purpose of our endeavour is to teach the Muslims all the things the holy Prophet had brought with him i. e., to integrate the Ummat with the whole of the practical and conceptual structure of Islam. This is our primary object. As for the setting out of Jama'ats and Tabligh rounds, these are the elementary means to the realisation of that ends, while the teaching of the Kalima And Namaz are, so to speak, the ABC of our curriculum."
Penekanan kepada prinsip Namaz atau Solat ini berkait rapat dengan sikap Muhammad Ilyas sendiri terhadap suasana keagamaan pada zamannya. Baginya ketika itu penyakit umat Islam yang terbesar ialah kejahilan tentang agama terutamanya mengenai ajaran dan kewajipan yang paling asas. Sesuai dengan pandangan kesufian yang menguasai dirinya, maka tuntutan yang paling mendesak baginya ialah penanaman ilmu pengetahuan yang asas iaitu Solat atau Namaz.
Walau apa pun tabligh adalah satu lagi cabang dakwah antara ribuan cabang dakwah yang ada untuk meyeru umat ini kepada amal makruf nahi mungkar. Semoga segala usaha murni ini yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan kerana Allah akan membuahkan hasilnya di akhir nanti.
@@@
No comments:
Post a Comment