Alhamdulillah kita masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT di penghujung tahun hijrah 1429 bersamaan dengan tahun masihi 2008 ini untuk terus menghirup oksigen memenuhi rongga jantung kita bagi meneruskan kehidupan yang fana ini. Bersamaan hembusan CO2 menyumbang kepada putaran eko sistem sejagat dimuka dunia ini, kita dikejutkan dengan beberapa kejadian tanah runtuh bermula di Ulu Yam tempoh hari, disusuli dengan kejadian di Damansara dan minggu lepas di Bukit Antarabangsa. Ini tidak lain bahkan sebagai peringatan oleh Allah SWT akan kebesaran-Nya dan halusnya kita sebagai hamba-Nya. Untuk kita muhasabah diri, dan menilai kembali perjalanan hidup kita selama ini dalam menjadi pemegang amanah-Nya untuk mentadbir dunia ini sebagai khalifah-Nya.
Sudahkah kita menunaikan tanggung-jawab dan amanah itu mengikut sunattullah atau sekadar di pinggiran atau dengan tiada keikhlasan. Apakah nafsu dan harta-benda menjadi raja di mata? Sama-samalah kita tepuk dada dan menjawabnya dengan betul. Apabila segala amaran dan peringatan Allah telah kita abaikan dan kemaksiatan berleluasa, amanah dipecahkan, iman goyang dan jatidiri hilang maka lambat laun kemusnahan akan dijelmakan jua. Semoga pada tahun baru ini, kita akan lebih bersedia untuk mengubah hala tuju kehidupan kepada yang yang lebih baik, jalan yang lurus menuju redha-Nya. Perubahan itu bermula dari diri sendiri dulu. Setiap kita ada amanah untuk menjadi insan kamil, insyaAllah.
Doa dan pengharapan kita semoga tahun 2008 yang akan berlalu beberapa hari lagi ini dengan segalan kegiatan dan urusan kerja kita, keluarga dan masyarakat berjaya pula menagih kasihan belas Allah SWT untuk kita mendamba rahmat-Nya. Semoga dengan rahmat Allah SWT itu diberikan pula keampunan-Nya di atas segala dosa dan noda yang telah kita lakukan selama ini. Berkat ibadah penuh tawadduk, solat-solat fardu dan solat-solat sunat, qiyamullail, sedekah, tadarus, zikrullah, puasa, zakat, urusan kerja, sosial dan khidmat masyarakat itu melayakkan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah Yang Maha Esa. Dibebaskan kita semua dari azab Neraka-Nya. Harapan menggunung kita agar dapatlah apa kiranya kita ini tergolong ke dalam kelompok hamba-hamba-Nya yang berpeluang menikmati Syurga-Nya.
Kedatangan tahun 2009 ini ingin kita sambut dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran kerana berpuas hati dengan tahap amalan dan ibadah kita. Kita mesti sedar bahawa tahun ini akan penuh dengan cabaran. Keruntuhan sistem ekonomi global yang rata-rata berpaksikan riba yang diharamkan dalam Islam itu, sudah tentu akan mempengaruhi sentimen ekonomi negara. Namun insyaAllah kita yakin berkat usaha yang ikhlas, transformasi yang jelas, dan perancangan bisnes yang komprehensif akan dapat menyediakan kita semua untuk menghadapi tahun baru ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Jangan lakukan perbuatan jahat dan jangan balas perbuatan jahat dengan perbuatan jahat yang lain”, boleh kita jadikan pedoman dan amalan untuk kehidupan yang lebih baik. @@@
No comments:
Post a Comment