Gendang Perang Sudah Di Palu |
Hidayah Allah bukan semua dapat, maka beruntunglah orang yang mendapat hidayah Allah. Orang yang tidak mendapat hidayah Allah, pabila di ajak ke jalan Allah dan Rasul maka di alih hati mereka ke jalan yang lain. Mereka ini masih tidak nampak kezaliman? Mereka yang patuh dan sokong kezaliman adalah tergolong dalam kelompok orang yang kufur. Orang yang bantu kezaliman, Nabi tidak mengaku umat. Cenderung kepada kezaliman pun tak boleh.
Menyokong orang yang menyokong kezaliman ialah orang yang zalim. Maka menjadi tanggungjawab setiap orang untuk memilih pemimpin yang boleh bantu tegakkan Islam bukan memilih pemimpin yang membawa jauh daripada Islam. Tangan yang pangkah menjadi saksi di hadapan Allah nanti.
Manusia diminta untuk saling ingat mengingati dengan kebenaran dan kesabaran. Saling ingat bahawa di hadapan ada kecelakaan dan azab menunggu. Saling ingat bahawa di belakang ada pengajaran dan iktibar yang perlu diambil. Setiap perlakuan manusia di muka bumi akan di hitung dan dikira, tidak ada satu yang terlepas hatta walaupun sebesar zarah. Semuanya dilabelkan samada kategori dosa atau pahala. Orang sering berlaku zalim ialah orang yang tidak ambil peduli soal dosa pahala. Hidup persis haiwan yang tiada pedoman. Kalah dengan nafsu dan pujuk rayu syaitan.
Islam itu membawa rahmat. Justru Islam memerlukan kekuasaan untuk memerintah bukan diperintah. Islam ibarat batu yang jatuh ke dalam air membentuk gelombang iaitu rahmat. Lagi besar saiz batu itu maka lagi besarlah impak gelombang itu yang bila sampai ke pantai akan membersihkan pantai daripada segala kekotoran, sampah sarap dan najis, hingga pantai menjadi puteh bersih. Islam yang kecil akan membawa impak yang kecil namun Islam yang besar akan membawa rahmat yang cukup besar ke serata alam.
Demokrasi ini adalah satu alat atau cara untuk mendapat kekuasaan memerintah. Gunanya ialah untuk membawa manusia dekat kepada Allah. Jika dipimpin oleh kelompok yang zalim maka dia akan mengheret manusia jauh daripada taat kepada Allah dan mendekatkan kepada kezaliman dan kehancuran. Agama itu asas dan kekuasaan memerintah itu ialah pengawasnya. Sesuatu tanpa asas akan hancur.
Pemerintah, rumahtangga, perniagaan, perpadauan atau apa saja yang tidak berasas kepada Islam akan terumbang-ambing dan musnah. Kerana tiada pengawas yang mencegah yang haram. Syariat Islam berada di satu lembah sedangkan undang2 yang diguna pakai nun berada jauh di satu lembah yang lain. Kita kena bangkit untuk meruntuhkan pemimpin yang tidak mendaulatkan hukum Allah malah secara terangan menolaknya dengan pelbagai alasan.
Gendang perang sudah dipalu. Hari penamaan calon sudah berlalu. Medan jihad sudah di depan mata. Sesiapa yang berjuang untuk menegakkan Agama Allah maka ianya ialah jihad fisabilillah. Orang beriman tidak melarikan diri dari pergi berperang. Pilihlah pemimpin yang baik agar kebaikan itu dapat dinikmati oleh rakyat sekelian.
Pemimpin ibarat drebar. Drebar pulas stereng ke kiri penumpang mengereng ke kanan. Drebar pulas ke kiri penumpang mengereng ke kanan. Drebar tekan emergency break penumpang tersungkur ke depan. Kalau drebar bas mabuk maka para penumpang sebaik mana pun akhlak mereka mungkin tak dapat sampai ke destinansi yang di tuju kerana mungkin akan terhumban ke dalam gaung bersama drebar yang mabuk todi tadi. Begitulah ibaratnya jika mendapat pemandu yang baik walaupun penumpangnya lara belaka tapi insyaAllah akan selamat sampai ke destinasi yang di tuju.
Dalam usul feqah menjelaskan bahawa bila ada pekebun anggur jual buah anggurnya kepada towkey buat arak yang akan menggunakan buah anggur yang di beli borong itu untuk buat arak maka pekebun tadi mendapat dosa sebagaimana pembuat arak itu juga. Seorang tuan tanah yang memajak tanahnya kepada seorang pembuat todi yang menggunakan tanah yang dipajak itu untuk membuat todi maka tuan tanah tadi juga berdosa sama.
Begitulah juga bagi seorang pengundi yang memilih seorang perompak yang merompak kekayaan negara untuk diri dan kroninya maka dia akan turut sama berdosa dan akan mendapat azab Allah di akhirat nanti. Perompak yang merompak minyak di Kelantan dengan menidakkan royalti kepada rakyat Kelantan selama lebih 10 tahun selayaknya dihumban keluar dari tampuk pemerintahan negara. Usah lagi bersekongkol dengan perompak kerana nanti terpalit dosa sama.
Seorang tok imam balik dari masjid melihat seoarang ahli khariah terlompat-lompat nak jolok buah mangga kat pokok tepi jalan. Maka tok imam pun bantu dengan membongkok supaya mamat tadi dapat pijak bahu dia dan dapatkan buah mangga curi tu. Maka dengan besekongkol dalam kerja maksiat itu walaupun niat tok iman nak menolong maka tetap berdosa, bahkan tok iman dapat dosa kering dan mamat tadi dapat dosa basah sebab dia dapat buah mangga.
Jutru itu perkemaskan diri untuk berjuang dan berjihad di medan juang PRU13. Akan banyak cabaran dan ujian akan ditempuhi tapi ingatlah 20 orang pemuda beriman yang sabar bisa menewaskan 200 orang musuh. Begitu juga 100 orang pejuang yang beriman dan sabar akan dapat mengalahkan 1000 orang musuh, insyaAllah.
Pesan para ulama yang pertama ikhlaskan niat nawaitu kerana Allah dalam perjuangan ini. Penyokong mesti wala' (patuh) kepada pilihan pemimpin dengan menyokong calon2 yang telah ditentukan dalam PRU13 ini. Bila dah istihar dalam penamaan calon tempoh hari maka kena patuh dan memberi sepenuh sokongan. Jangan letak unsur2 keduniaan dalam hati. Jangan lupa Allah.
Pesanan yang kedua untuk para petugas dan pejuang sekelian ialah jaga solat berjemaah. Jangan abaikan solat dalam sibuk gantung bendera atau poster dan berkempen. Lagi kuat kerja maka lagi kuat solat. Tak solat maka tak berjaya. Seruan azan saban waktu mengingatkan kita akan janji Allah, "Marilah dirikan solat, Marilah menuju kejayaan." Jangan lupa dirikan solat sunat dhuha dan tahajjud walaupun sekadar dua rakaat. Begitu juga teruskan amalan baca al-Qur'an walupun sekadar dua mukasurat setiap hari.
Asah senjata dengan banyakkan doa kerana doa adalah senjata umat Islam. Bukan sekadar banyakkan bendera dan poster tapi yang lebih utama banyakkan berdoa untuk mendapatkan pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Berkuasa. Ini Kalilah InsyaAllah untuk UBAH kepada kebaikan dan nyahkan kebatilan dan kezaliman. Tangan yang pangkah jadi saksi.
@@@
No comments:
Post a Comment