CLICK n GO

Thursday, July 26, 2012

Bonus Hari Raya Setengah Bulan Gaji

Terpapar di dada-dada akhbar hari ini, PM mengumumkan kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Bayaran khas RM500 diberi kepada semua pesara kerajaan. Pembayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini dan akan memanafaatkan 1.27 juta penjawat awam dan 657,000 pesara kerajaan. Bayaran itu akan membabitkan anggaran perbelanjaan RM2.2 bilion. Ini sebagai menghargai sumbangan dan dedikasi mereka melaksanakan program pembangunan negara.

Alhamdulillah untuk rezki ini yang akan diterima pada bulan Ramadan al-Mubarak. Begitu seronok kita mendapat berita gembira yang diumumkan oleh ketua kerajaan Malaysia. Maka sepatutnya berlipat ganda lagilah seronoknya dan terujanya kita mendengar segala tawaran dan bonus hebat sepanjang bulan Ramadan ini yang di gezetkan oleh Ketua Kerajaan Langit dan Bumi iaitu Allah SWT, yang kita sudah sedia maklum.

Hari ini sudah masuk hari ke-6 Ramadan. Harapnya kita masih peka pada segala tawaran dan ganjaran yang Allah pemilik alam ini janjikan kepada seluruh umat manusia yang taat kepada-Nya dan fokus pada dedikasi untuk melaksanakan segala gerak kerja dan plan bertindak bagi mencapai matlamat yang diharapkan. Tempoh sah tawaran ini ialah 1-29 Ramadan 1433H bersamaan dengan 21/7/12-18/8/12, selama 24 jam sehari semalam di lokasi seluruh dunia untuk setiap hamba Allah yang beriman.

Apa sumbangan dan dedikasi yang diperlukan itu? Antara yang utama ialah Zikrullah, Bersahur, Qiamullail, Zakat fitrah, Puasa wajib, Solat fardu, Menuntut ilmu, Berbuka puasa, Sedekah jariah, Iktikaf di Masjid, Solat terawih dan Tadarrus al-Qur'an.

Apakah tawaran menarik, hadiah dan bonusnya? Antara yang utamanya ialah jimat belanja, sihat tubuh badan, rezki mencurah, doa dimakbulkan, lailatul qadr, bonus 1000 bulan, tingkatan taqwa, keampunan Allah, keredhaan Allah, dan kemuncaknya ialah balasan Syurga Allah. Apa lagi yang kita inginkan melainkan kesudahan yang cemerlang gemilang dan terbilang iaitu hidup yang kekal abadi menikmati kenikmatan dan kesempurnaan hidup dalam Syurga Allah. Segala nikmat dan keseronokan yang sementara di dunia ini akan menjadi sangat tidak begitu penting lagi.

Maka benarlah bagi orang yang faham agama, Ramadan adalah peluang sekali seumur hidup untuk menjadi kaya raya bukan saja di dunia tetapi berbahagia terus hingga ke Akhirat yang kekal abadi. Maksud Hadis Nabi SAW: Sekiranya umatku tahu kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan, nescaya mereka inginkan semua bulan menjadi Ramadan.

Namun manusia masih mengejar bonus dan hadiah yang di tawarkan oleh sesama makhluk yang bersifat sementara itu dan membiarkan hadiah dan tawaran daripada Pemerintah segala makhluk di langit dan bumi dan segala isinya, berlalu begitu sahaja. Masa di bulan Ramadan ini terus juga dihabiskan dengan lena tidur yang panjang, kerja yang tidak produktif, dan meneruskan juga perkara2 yang tidak baik yang boleh mendatang dosa dan mensia-siakan ibadah puasa yang dijalani.

Sudah enam hari berlalu dan tidak akan di perolehi lagi. Yang tinggal ialah 23 hari lagi yang berbaki untuk tawaran mega daripada Allah. Itu pun kalau umur panjang. Muhasabah diri, renung dan fikir. Apa matlamat hidup ini? Sekadar seronok hidup yang sebentar. Atau matlamatku Syurga Allah yang kekal itu?

@@@

2 comments:

Temuk said...

Assalamu'alaikum
Tawaran bonus dari-Nya pastilah amat mahu diraih. Peringatan dari SOT amat dihargai. Semoga kita semua memperolehi keuntungan dari segala tawaran AAlah yang hebat itu.

Bonus dari PM tentulah juga satu nikmat. Nikmat dunia yang boleh pula kita tukarkan menjadi nikmat di akhirat dengan menginfaqkannya. Insya-Allah. Selamat meneruskan perjuangan Ramadhan.

School Of Tots said...

TQ Tuan Temuk. Semoga bonus berganda ini akan berjaya diraih. Semakin meningkat iman dan ibadah hendaknya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...