CLICK n GO

Friday, December 30, 2011

Countdown 2012


Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam 31 Dec 2011 7ptg - 12mlm - boleh dijadikan pilihan keluarga. Dimulakan pada pukul 7:00ptg dengan solat maghrib berjamaah yang akan imamkan oleh Ust Syed NorHisham. Seterusnya sembang santai di antara Ust NorHisham & Imam Muda Asyraf. Solat berjamaah Isyak pada pukul 8:30mlm. Selepas itu persembahan solo dari Sham Kamikazee. Sila bawa sejadah dan tikar masing2.

Disusuli dengan program soal-jawab agama kendalian penceramah tersohor masa kini iaitu Ust Azhar Idrus dengan dibantu oleh Zizan Raja Lawak. Seterusnya pada pukul 11:00mlm diadakan konsert oleh Akhil Hayy, Shahir AF dan Ust Azhar Idrus. Dan countdown detik 12:00mlm bersama sesi terakhir Ust Azhar Idrus. Anak saya yang menuntut di UIA akan konvoi 30 kapcai ke Shah Alam dari kampus UIA Gombak. Hati2 berkapcai anak muda.

Antara sambutan lara tahun baru yang diwartakan yang saya petik daripada akhbar theSun ialah - Countdown to 2012 at The Curve, Garden Explore My Fiesta at Seri Kembangan, Mystical Eve 2012 at Encorp Strand in Kota Damansara, 2012 Countdown Concert party at Surf Beach, Sunway Lagoon, dan New Year Countdown at Bukit Bintang-KLCC. Tidak ketinggalan program tardisi di Dataran Merdeka. Maka berpusu-pusulah manusia di malam itu. Berapa banyakkah botol arak dan anak haram yang akan dikorbankan agaknya?

Pilihan alternatif yang ada ialah mengunjungi program di masjid2 seperti di Masjid Wilayah Jln Duta atau ramai2lah kita berkunjung ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam (seperti yang di war2kan di atas). Usah biarkan diri dan keluarga dalam lara berpanjangan.

Setahun lagi berlalu, tahun baru akan muncul. Bertambah lagi umur setahun, maka makin pendek baki umur. Kematian ada di depan sana. Mungkin setahun, mungkin dua tahun atau sepuluh tahun lagi. Berapa kali sambutan tahun baru lagikah yang bakal di rayakan?

Blog Kereta Mayat berfalsafah tentang kematian dimana katanya semua orang akan menjadi mayat, anda tidak mampu mengubahnya. Dalam posting terbarunya Pepatah Kereta Mayat dimulakan dengan tagline "Mulakan azam tahun baru dengan ‘pepatah kereta mayat’ agar anda lebih dramatik dalam seni kehidupan-woha!" Terdapat 32 pepatah kereta mayat yang di senaraikan. Antara pepatah kerata yang mayat yang menarik perhatian saya ialah:
  1. "Tak kan lari kereta mayat di kejar."
    (Bermaksud, tak perlu kita tergesa gesa dalam semua perkara, sabar itu sebahagian dari imam)


  2. Terdengar siren kereta mayat, kereta sendiri di ketepikan"
    (Bermaksud, Mendahului orang lain itu amalan yang mulia, inilah salah satu sifat ikram muslimin)


  3. "Tarik mayat sorong mayat"
    (Bermaksud, jika saling tolong menolong, sangatlah mulia, fardu kifayah tu!)


  4. "Seperti mencurah air di badan mayat"
    (Bermaksud, perbuatan yang tidak sia sia, kerana mencurah air di badan mayat mendapat pahala)


  5. "Mayat berat sama di pikul, mayat ringan sama di jinjing"
    (Bermaksud, saling kerja sama, jika pikul keranda, mayat berat ke ringan, tetap dapat upah kain tuala-merujuk adat melayu)


  6. “Harapkan mayat, mayat makan tanah”
    (Bermaksud, jangan mengharap pada orang yang tak boleh harap)


  7. “Bagaikan mayat lupakan kereta mayat”
    (Bermaksud, orang yang sering lupakan jasa orang lain, nasib baik waris kau ada, boleh pakcik claim duit minyak)

Maka isikan 24jam nikmat nyawa yang Allah kurniakan ini untuk perkara kebaikan, supaya mati kita nanti tidak sia2 tetapi penuh makna. Tanamlah azam baru untuk berhijrah manjadi orang yang kaya iman dan amal di tahun baru 2012 ini. Sama2lah kita melangkah keluar dari belenggu kemiskinan iman dan amal. Semoga Berjaya.


@@@

**Update: Sambutan tahun baru di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi mencatat sejarah lingkungan 80,000 pengunjung yang 70% daripadanya adalah kelompok anak2 muda. Penampilan Ust Azhar Idrus dan Zizan sebagai sidekick cukup santai dan mendapat sambutan hangat para hadirin sekelian. Jangan lupa untuk menyaksikannya di You Tube anda !!



Monday, December 26, 2011

Sumber Ilmu Di Kuliah Maghrib

Dalam perbualan saya dalam kereta bersama isteri sekejap tadi sekembalinya kami dari majlis ilmu di Masjid As-Salam, saya berkata "Bagi orang awam rasanya Kuliah2 Maghrib di masjid dan surau saban malam itu adalah merupakan sumber ilmu yang paling sesuai. Cuma masalahnya malas nak pergi majlis, itu yang payah faham agama." Tambah saya lagi, "Cumanya memetik kata2 Ustaz Azhar Idrus, setakat belajar di Kuliah Maghrib tak bolehlah nak mencapai tahap nak jadi ustaz untuk mengajar orang. Tu kena mengadap tok guru dan usaha tadah kitab dalam pelbagai cabang ilmu."

Tiang dalam agama ialah memahami agamanya. Maka tidak boleh tidak kenalah kita mengaji dan menuntut ilmu. Jangan berputus harap. Cintailah majlis2 ilmu terutamanya kuliah2 maghrib. Kalau dapat hadir 5 kuliah maghrib seminggu Alhamdulillah...mantop.

Menuntut ilmu bermanfaat itu bakal mendekatkan diri pada Allah, menjadikan kita rasa seronok beribadah, akan terasa kerugian jika meninggalkannya, akan menambah sifat tawadduk dan rendah diri. Apa yang diketahui itu terlalu sedikit berbanding dengan ilmu Allah yang maha luas. Ilmu bermanfaat bisa membuka mata hati untuk kita muhasabah diri dan berusaha semampu mungkin untuk mengatasi kelemahan diri.

Barangsiapa yang diberi kebaikan selalunya Allah akan kurniakan kefahaman agama yang baik. Dengan kefahaman agama ini akan mendekatkan diri kepada ketaqwaan. Ramai lagi umat Islam termasuk blogger2 sekelian yang masih memberi ucapan selamat kepada sambutan hari kebesaran agama lain, sedangkan ini sangat ditegah. Hari2 perayaan ini merupakan kemuncak pengiktirafan tuhan mereka sekaligus syirik kepada Allah. Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agama aku, tiada kompromi perihal aqidah. Usah terperangkap dengan agenda masyarakat majmuk atau persoalan sosial, kalau ia menyentuh persoalan aqidah secara di sedari ataupun tidak. Allah itu Esa.

Fahaman golongan liberal dan kelompok pemikir bebas ialah menganggap semua agama itu sama. Setiap sesuatu ada tiang2nya ada batasan2nya. Tuhan hanya satu. Mana boleh semua agama itu sama. Syirik kepada Allah adalah dosa nombor uno yang tiada maaf bagimu. Ramai pemimpin2 muslim dunia masih zalim dan tidak amanah menjaga kepentingan rakyat kerana begitu takut kepada kuasa memerintah yang ada melebihi takut mereka kepada Allah yang Esa. Kefakiran ilmu agama bakal menyesatkan manusia. Mantapkan aqidah untuk selamat dunia dan akhirat.

Dalam menuju kemantapan iman, kita kena mencari ilmu terutamanya ilmu tauhid dan tasauf. Seterusnya bertaubat atas kesilapan dan dosa2 yang kita lakukan dengan sepenuh penyesalan, meninggalkan secara total kemungkaran itu dan tiada lagi niat untuk mengulangi perbuatan dosa berkenaan. Step ketiga ialah mengatasi halangan memanjang yang boleh menghalang ibadah kita daripada sampai kepada Allah SWT iatu halangan dunia, manusia, syaitan dan nafsu.

Janganlah cintakan dunia hingga melepaskan akhirat. Tidak salah mencari harta dan wang ringgit namun gunakanlah ke jalan Allah supaya dunia akan membawa faedah bernilai untuk akhirat. Zikrullah itu tampak seperti perbuatan yang membuang masa tapi hakikatnya hasil lumayan menanti untuk dikutip di akhirat. Manusia selalu bergaduh dan bercakaran kerana urusan dunia. Ada kita bergaduh soal akhirat?

Rintangan yang menghalang ibadah kita untuk sampai kepada Allah yang datangnya secara berkala pula ialah rezki, rasa khuatir, qada Allah, dan musibah. Persoalan rezki ini adalah dalam budget Allah sepanjang hayat kita. Rezki seseorang sudah termaktub di atas sana. Namun ia tidak menghalang kita berusaha mencari rezki di dunia ini semampu mungkin.

Khuatir pula ialah perasaan yang menyebabkan kita bimbang tidak tentu hala. Untuk melawan perasaan khuatir dan bimbang ini, kita kenalah buat apa yang Allah suruh sekaligus meninggalkan apa yang Allah larang. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Yang kaya dan yang miskin ialah qada Allah belaka. Ditakdirkan kita miskin maka bersyukurlah kerana Rasulullah lebih suka kepada orang miskin. Namun orang yang kaya iman ialah orang yang terhebat di sisi Allah. Ilmu Allah cukup lengkap, namun ia tidak menafikan hak untuk berusaha dan berikhtiar yang terbaik. Seterusnya berserah kepada ketentuan Allah. Man Jadda Wajjada. Sesiapa yang berusaha dia akan mendapat.

Musibah yang menimpa seseorang samada musibah kecil atau besar sebenarnya ialah tanda kasih sayang Allah. Maka kembalilah kepada Allah. Pada setiap musibah seperti kematian, kemalangan atau sakit adalah ujian daripada Allah, tanda kasih sayang-Nya.

Teruskan pencarian ilmu. Jangan putus harap untuk menjadi manusia yang lebih baik. Marilah berusaha dan berikhtiar untuk menjadikan segala perlakuan kita besok lebih baik daripada hari ini, insyaAllah.

@@@


Friday, December 23, 2011

Betulkan Yang Biasa & Biasakan Yang Betul

Kerja itu ibadah tapi bersyarat. Syaratnya ialah nawaitu kerana Allah dan bersungguh-sungguh membuat yang terbaik. Setiap kebaikan itu ibadah sebenarnya. Antara salah faham yang timbul ialah menganggap ibadah itu ialah pergi masjid atau solat, puasa, zakat & haji sahaja. Sebenarnya pergi kerja itu adalah satu amal yang merupakan satu ibadah juga.

Bukankah peranan utama manusia di dunia ialah menjadi hamba Allah sekaligus menjadi khalifah Allah? Maka ia menuntut pengabdian 100% kepada Allah 24 jam sehari semalam itu. Iaitu merangkumi semasa di masjid, di rumah, di pejabat, di jalanan, semasa beriadah atau bersosial. Islam itu ialah mentauhidkan Allah dan mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW.

Perkara baik yang sesuai pula dengan fitrah manusia adalah ibadah. Manakala perkara buruk yang memang bertentangan dengan fitrah manusia adalah maksiat. Ibadah ini adalah pengabdian dengan tunduk dan merendah diri pada Allah dengan hati yang ikhlas dan cara2 yang menepati syariat.

Ibadah dapat dibahagikan kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus itu ialah fardu ain seperti solat, puasa, zakat, haji dsb & fardu kifayah iaitu contohnya menjadi arkitek, doctor, urus jenazah, pilot, dsb. Ibadah umum pula ialah merupakan perkara harus yang diniatkan kerana Allah SWT termasuklah juga perkara2 sunat.

Kerja itu ibadah dan ia meningkatkan martabat insan. Letih kerana bekerja itu akan mengundang keampunan daripada Allah SWT. Soal berjaya atau tidak pada sesuatu pekerjaan bukan soal kita tetapi yang penting ialah berusaha untuk mencapai yang terbaik. Antara rukun2 pekerjaan yang mesti dipatuhi ialah orang yang bekerja itu baragama Islam, jenis pekerjaan yang halal, niat yang ikhlas, mulakan kerja dengan menyebut nama Allah, tekun, bersungguh, dengan unsur penyelesaian maslahah ummah. Pekerjaan yang haram hanya dibolehkan jika darurat. Contohnya upah tembak babi yang merusakkan tanaman di kebun itu halal hukumnya, tapi mengambil hasil dengan menjual babi yang ditembak itu haram hukumnya.

Kerja itu menjadi ibadah dengan ciri2 taqwa iaitu tidak menangguhkan perkara2 fardu, bekerja secara ukhwah, membuat keputusan dengan perbincangan dan syura, dan tidak melakukan pembaziran. Disertai pula dengan nilai2 peribadi seperti ikhlas, amanah dan jujur. Nilai2 ynag menguntungkan pelanggan seperti value for money, tidak mencekik darah dan melayan pelanggan dengan senyuman.

Kerja itu ibadah apabila diterapkan dengan nilai2 kepimpinan seperti adil, berani, syura dan tolong menolong termasuklah nilai2 professional dan produktiviti. Yang paling penting ialah nilai2 agama seperti syukur dan qonaah. Syukur dengan pekerjaan kita kerana ada orang yang tiada kerja atau menganggur sekian lama. Qonaah mengajak kita besederhana tapi sempurna.

Jadilah seperti tangan yang sentiasa tolong menolong. Tangan kiri buka paip untuk basuh tangan kanan. Tangan kiri angkat pinggan untuk tangan kanan letakkan makanan. Lepas makan tangan kiri gosok tangan kanan dengan sabun dan basuh sampai bersih. Bila masuk jamban, tangan kanan cucur air dan tangan kiri tolong basuh berak.

Bila dok bersiap, tangan kanan letakkan cincin zamrud yang harga rm900 ke jari di tangan kiri. Kemudian tangan kanan letakkan jam Tissot yang berharga RM780 tu ke tangan kiri. Walau nampak kerja tangan kanan lebih baik tapi tangan kiri juga berkongsi kebahagiaan. Begitulah semangat dan etiqa yang hendak kita pupuk agar sesuatu pekerjaan itu dapat berlangsung dengan baik mengikut syariaatnya.

Berbeza pula dengan tabiat kaki yang asyik berlumba-lumba melangkah. Pantang kaki kiri melangkah kaki kanan pun tak mau kalah. Bila tersepak batu hingga tubuh jatuh ke tanah, nasib baik ada tangan untuk menahan. Kalau tidak berdarah muka atau pecah hidung gamaknya terhantuk batu. Tangan yang luka sedikit itu di seluk kedalam poket supaya tidak nampak luka atau benjolnya. Begitulah kita ini pada urusan kerja atau rumahtangga, kalau ada sedilit sebanyak masalah atau kecacatan usahlah di hebah keserata tempat. Carilah penyelesaian secara berhemah. Kalau harapkan kaki tadi habis benjol kat muka, payah nak disembunyikan lagi. Setiap berjumpa orang terpaksa menceritakan apa yang berlaku tadi apabila ditanya, agak memalukan.

Ada seorang pemuda membeli kuih cucur udang RM1 daripada seorang pakcik. Bila balik ke rumah bengang dia kerana tak ada seekor udang pun pada cucur udang tadi. Maka dengan kebengangannya yang meluap-luap terus dia memecut kapcai RX5 nya ke gerai pakcik tadi. Dihamburkan kata2 yg kurang enak perihal dia rasa tertipu kerana kes tak ada seekor pun udang dalam cucur udang yang dia beli. Pakcik tadi pun panas cuping telinga juga.

Kata pakcik tadi, “ Engkau ni betullah tak bersyukur, kalau engkau nak udang cakap je, aku boleh bagi 4, 5 ekor tak ada masalah. Sepatutnya engkau makan je cucur udang tu, tentu dah kenyang sekarang. Ni dak datang ke sini marah2. Dahlah penat badan, abis minyak motor lagi…ish ish budak ni. Hang tau dak kuih cucur badak? Hang ada pernah jumpa badak kat kueh tu? Tak ada kan. Kalau hang pi Kelantan lagi la pulak…kueh taik itek, ada hang jumpa taik itek dalam kueh tu? Hang ni patut bersyukur la sikit. Hang beli pun RM1 je…hey budak ni, aku lepuk sebijik baru tau.”

Moral of the story kena banyak bersyukur dalam hidup. Kalau balik umah isteri belum masak nasi, relax je, kena bersyukur walau nasi tak ada. Yang penting isteri masih ada, kerana setengah orang tu isteri dah tak ada, dah mati atau dah lari.

Ada kawan tu bangun pagi nak pi kerja, tengok2 empat-empat tayar keretanya dah hilang, kena kebas malam tadi. Bengang betul dia. Tapi ada kutu sebelah tu sound, “Takpe la bang, nasib baik tayar je hilang, kalau depa kebas kereta sekali, lagi nayaa.” Betul jugak tu. At least pi kedai boleh cari tayar second hand. Jadi yang penting sabar.

Allah akan terus memberikan ujian demi ujian kepada orang yang beriman. Itu tanda sayang Allah SWT pada orang yang beriman. Semoga kita akan terus maju dan faham hakikat untuk mancapai tahap taqwa.

Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Apa maknanya? Saya bagi contoh mudah. Kalau kita ni biasa sampai ofis pukul 8:30 pagi. Kita kena betulkan yang biasa itu. Macamana kita nak betulkan? Datanglah awal sikit supaya sampai ofis sebelum pukul 8:15 pagi. Sebab waktu pejabat bermula pada pukul 8:15 pagi. Bila dah betul, maka biasakan dengan yang betul itu. Ada faham?

Betulkan yang Biasa & Biasakan yang Betul. Barokah akan tiba dalam setiap pekerjaan kita. Maka kerja akan jadi ibadah, insyaAllah.

@@@

Monday, December 19, 2011

Seronok Dapat Hadiah

Alhamdulillah hari ini mendapat parcel dari Pena Maya bersempena projek "Sudden Giveaway: Tiga Naskhah Terjemahan Al-Quran Percuma Untuk Tiga Orang Pembaca Bertuah! Jangan Lepaskan Peluang Ini! Mari Sertainya! " yg diadakan tempoh hari pada sebuah posting beliau. Beberapa syarat yang dikenakan agaknya telah dapat dipenuhi mengikut benchmark yg ditetapkan.

Penyertaan adalah melalui coretan pada ruangan komen.
Komen saya berbunyi begini: "Sejak saya mengikuti blog Pena Maya, banyak manfaat yg saya perolehi, dan dapat saya rasakan ada kesungguhan gerak kerja dlm setiap coretan dan posting itu. Saya dari generasi-X ini agak slow jadi blog Pena Maya dari generasi-Y banyak mendedahkan link2 dan video yg baik e.g. thedeeenshow.com itu mula2 saya tahu dari posting Pena Maya. Teruskan perjuangan dakwah ini demi mengajak manusia pada jalan Allah. Kalau rezki saya, terjemahan Al-Qur'an yg ditawarkan oleh Pena Maya ini ingin saya hadiahkan kepada anak bongsu saya yang berada di Tingkatan 4. Saya berharap ia dapat di manfaatkan secara optima. Dikesempatan ini juga saya mendoakan supaya usaha dan inisiatif Pena Maya ini akan mendapat sumbangan dana yang terbaik dari para pengunjung yg pemurah sekelian. Saya juga doakan agar Allah memberi segala kemudahan dan kejayaan kepada Pena Maya dalam pencarian dan penyebaran ilmu, insyaAllah. Jazakallah."

Dan sebagai mana yang dihajatkan, saya menghadiahkan Terjemahan Al-Qur'an yg indah ini kepada anak bongsu saya sebagai teman mencari panduan hidup sepanjang usia. Awal malam tadi beliau telah memulakan dengan muka pertama surah Al-Baqarah bersekali dengan terjemahannya, tasmik di depan ayahanda usai solat maghrib berjamaah. Penanda buku menjadi pemisah untuk kesenambungan mukasurat seterusnya, lagi dan lagi. Semoga anakanda istiqamah membaca dan memahami terjemahan kalam Allah ini, penunjuk jalan menuju kebenaran hakiki.


Al-Qur'an Mushaf Malaysia Dan Terjemahan ini diterbitkan pada tahun 2011 oleh Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam Selangor (www.restu-art.com) iaitu kompleks penyalinan dan penyebaran al-Qur'an dan Hadis yang terletak di Shah Alam, yang beroperasi semenjak tahun 2000.

Setiap muslim sebagai langkah pertamanya mestilah membaca dan mengkhatamkan Al-Qur'an. Seterusnya dia hendaklah merenung makna dan tafsirannya. Semoga keimanan kita akan bertambah kukuh dan mengamalkan al-Qur'an dalam kehidupan.


@@@

Sunday, December 18, 2011

Mesej Dakwah Telah Sampai Ke Setiap Isi Rumah


Kek Bezday Yang Anakanda Buat Untuk Mamanya


Hari ini saya ada jemputan kenduri kahwin. Maka saya telah syorkan kepada isteri untuk memakai jubah hitam yang baru di beli sebagai hadiah bezday dari anak2 di 'First Lady' wangsa maju semalam. Isteri mengomen, "Aish..takkan nak pakai jubah pi kenduri kawin kot." Kata saya apa salahnya. Sekarang wanita pergi acara2 rasmi ramai yang pakai jubah. Nampak anggun dan ekslusif. Yang penting pakaiannya yang sopan, feminin dan menutup aurat. Kita sudah hidup bukan di zaman jahiliyah lagi. Mesej dakwah sudah sampai ke setiap isi rumah.


Kawan saya mengadakan kenduri kawin buat anak sulongnya di masjid Serendah. Majlis akad nikah berlangsung pada pukul 10:00 pagi ini di dewan solat masjid, Alhamdulillah. Majlis jamuan kenduri di adakan di perkarangan masjid. Beberapa khemah besar didirikan dan perkhidmatan catering digunakan untuk urusan jamuan dan peralatan kenduri. Rasanya trend mengadakan majlis kenduri kawin di lapangan masjid ini sangat baik dan patut diberi sokongan. Masjid bukan sekadar diguna untuk majlis akad nikah dan urusan pengurusan jenazah semata-mata.

Banyak urusan bersangkutan soal kemasyarakatan harus ditumpukan di masjid sebagaimana di zaman Rasulullah dan para sahabat. Lebih-lebih lagi ruang masjid yang luas dan bahagian lamannya juga lapang. Masjid bukan sekadar untuk solat berjemaah yang sekadar satu saf setiap waktu itu saja, atau majlis ilmu kuliah maghrib yang dihadiri oleh 60-70 org ahli jamaah itu saja. Atau untuk solat fardu jumaat sekali seminggu. Masjid berperanan jauh lebih besar dari itu sebagai pusat aktiviti masyarakat dan pusat pendtadbiran negara.

Betulkah mesej dakwah sudah sampai ke setiap isi rumah? Dari segi logik sepatutnya begitulah. Kita ada radio IKIM. Kita dah ada TV Hijrah dan TV Oasis. Kita dah ada Pusat Islam dan Balai Islam. Kita ada MAIS, JAIS, MAIWP, MAIK, dan macam2 majlis agama negeri lagi. Kita ada You Tube yang menyiar video2 ceramah dari Uztaz2 dan pendakwah tersohor seluruh dunia. Kita ada channel2 TV internet Islam seperti Thedeenshow.com, Gainpeace.com dan Easydawah.com. Kita ada banyak channel2 radio Islam di internet. Semua ini bisa di access dari Moscow hinggalah ke Dublin hinggalah ke Tasmania.

Apa lagi alasan kita? Segala usaha dakwah ini terus menyelinap masuk melalui gelombang2 udara, internet, structred cabling dan wifi ke rumah dan premis2 kediaman. Tiada lagi tembok penghalang dalam dunia tanpa sempadan. Maka benarlah mesej dakwah sudah sampai ke setiap isi rumah, tiada alasan bodoh lagi di hadapan Allah.

Ini belum cerita usaha jamaah Tabligh dengan jaringan networking merata dunia bergerak setiap hari dari rumah ke rumah mengajak kepada Islam. Belum cerita gerakan2 Islam seperti Partai Islam Se-Malaysia, ABIM, IKRAM, Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahir dan yang sewaktu dengannya. Belum cerita pendakwah2 bebas dan berlesen yang saban malam menyampaikan kuliah maghrib pada jamaah masjid dan surau, yang kemudian di panjang2kan oleh jamaah kepada rakan2 dan ahli keluarga masing2. Kitab2 dan buku2 agama jangan cerita la kan, posting kat internet memang melambak. Pendek kata tak panjang, mesej dakwah telah sampai ke setiap isi rumah. Kecuali orang yang pekak dan buta mata hati.

Maka jika ada mamat tajaan petronas yang kawin dengan mat salleh siap pakai baju melayu lagi di majlis akad nikahnya di gereja Dublin, maka sangatlah dia seorang yang sesat. Kesian kepadanya kerana Allah telah lahirkan dia dalam Islam tapi dia yang memilih untuk lari dari Islam walaupun dikurniakan akal akademik yang agak canggih menjadi pelajar terbaik di sekolah wangsa maju. Kita sama2lah doakan supaya hidayah Allah kembali kepadanya suatu masa nanti.



Mesej dakwah telah sampai ke setiap isi rumah? Tapi kenapa masih ramai manusia yg semakin hari semakin rusak? Look around. Semalam saya lihat di KL-Festival Shopping Complex seorang isteri memakai baju 'one piece' ala-ala berkemban di sisi suaminya menyorong anak kecil mereka. Ramai lagi gadis2 dan pemuda2 yang memakai skirt atau seluar pendek walaupun di khalayak ramai disebuah shopping complex. Di video2 You Tube acap kali kita terserempak dengan klip2 adegan2 kerusakan akhlak masyarakat terutamanya anak2 muda.



Maka marilah kita sama2 muhasabah diri. Sama2 kita perbaiki diri supaya menjadi lebih baik. Sampaikanlah mesej dakwah dan risalah Islam semampu kita, mengikut cara kita masing2. We should compliment each other. Yang penting niat kita ikhlas kerana Allah untuk mencari kebaikan dan menyampaikan kebaikan.

Saya teringat kata2 seorang Ustaz, ikhlas melakukan kebaikan itu ialah melakukan sesuatu, nawaitu semata-mata kerana Allah tanpa mengharapkan balasan walaupun ungkapan 'terima kasih'. Usahlah mengharap balasan dari sesama makhluk. Letakkan pengharapan kita 100% untuk balasan baik dari Allah SWT semata.

@@@

Friday, December 16, 2011

Detik Waktu Semakin Pendek?

Selalu kita mendengar komen, "cepat sungguh masa berlalu". Maksudnya baru lagi rasanya hari jumaat, kini dah muncul hari jumaat balik. Rasanya baru sahaja tahun baru tapi kini kita di ambang tahun baru lagi. Setahun bagaikan setengah tahun, sehari bagaikan sekerat hari.

Apakah memang masa berjalan semakin pantas di akhir zaman ini? Apakah 24 jam duapuluh tahun dulu tidak sama dengan 24 jam pada hari ini? Rasanya jam Tissot di tangan masih berdetik sama seperti dulu, tiada beza. Maka teori bahawa detik waktu makin pendek atau makin cepat berlalu itu tidak betul. Boleh kita buat konklusi begitu?

Justru mengapakah kita ini merasakan bahawa "cepat sungguh masa berlalu" di mutakhir ini? Bukan kita saja merasa, malah kawan2 seofis juga merasa, manusia lain juga terasa begitu.

Ada juga saya dengar penjelasan iaitu detik waktu masih sama langkah laluannya cuma aktiviti harian atau urusan rutin manusia sudah padat dan banyak kalau nak dibandingkan dengan zaman dulu. Maksudnya kita disibukkan dengan kesibukan kerja, dan rehnah dunia ini dengan lebih banyak kalau dibandingkan dengan aktiviti atau urusan di kampung dulu. Kita telah disumbat dengan teknologi dan produknya, sistem kapitalis dan korupsinya, iklan dan perniagaan, media massa dan multi medianya serta sukan dan hiburan.

Ada yang memberi kategori iaitu manusia di larakan dengan kelompok 5 S iaitu Screen, Sport, Smoke, Sex dan Song. Itu agenda yahudi dan nasrani untuk menyesatkan umat dan menjauhkan diri dari Allah, kata mereka. Apapun masa yg berlalu hilang sudah. Masa2 yg berbaki ini kembalilah pada Allah dgn taubat nasuha. Islamkan diri kita sebelum ajal tiba di depan mata.

Terbaca saya sebuah posting di blog Pandangan Kasih perihal jangan bazirkan usia, yang menyeru supaya berdoa mohon Allah kurniakan keberkatan dalam umur kita, agar sisa-sisa umur kita terpenuhi dengan segala macam kebaikan sehingga lah kita sampai ke detik terakhir usia.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian."
(Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Tabiat suka tidur atau bangun lambat terutamanya buat anak2 muda, sangatlah merugikan. Dalam hadith di atas diperingatkan supaya manfaatkan masa muda tika tenaga masih kuat minda masih tajam kepada pencarian ilmu dan usaha2 pelaburan akhirat sebelum tiba hari tua tika penyakit sudah banyak, tenaga sudah lesu, dan upaya sudah tiada. Anak2ku ubahlah gaya hidupmu. Menyesal ketika tua nanti tidak dapat mengembalikan nikmat masa muda yang berharga itu.

Pernah saya sebut pada posting terdahulu bahawa jika 1 hari (24 jam=1,440 min) di akhirat itu bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia, makanya 100 tahun (agak2 umur maksima manusia mutakhir ini) umur di dunia bersamaan dengan sekejap sahaja umur di akhirat, iaitu sekadar 2 jam 24 min. Kita disibukkan dengan urusan dunia siang dan malam sedangkan pada hakikatnya segala pengisian masa di dunia itu bersamaan sedetik waktu di akhirat sahaja. Maka mana yang lebih utama hidup sementara di dunia yang fana atau hidup kekal abadi di akhirat yang baqa? Sendiri mau ingat. Sendiri cari jawapan yang tepat. Baru dapat skor straight A.

Detik waktu semakin pendek? Dalam erti kata detik kematian semakin hampir. Setiap pagi pabila kita bangun daripada tidur, istighfarlah dan muhasabahlah bahawa sesungguhnya umur aku ini pendek lagi sehari, dan mendekatkan aku sehari lagi pada sebuah kematian. Maka insaflah dan kembalilah meletak yang haq kepada tempat yang haq, yang batil kita humbankan ke lembah kebatilan.

Peringatan dari sebuah posting di blog Pena Maya perihal the do & dont's bagi seseorang yang membuat posting di blog masing2 bagi usaha dakwah dan mengajak kepada kebaikan sangat bermanfaat bagi saya untuk kita sama2 buat peringatan sebagai tips & panduan bersama. Katanya:


  1. Janganlah menulis kerana perkara lain, selain dari niat kerana Allah (Elakkan riak dan ujub atau nak cari populariti).

  2. Janganlah menulis berdasarkan semangat sahaja. Jangan menulis untuk meluah emosi memaki hamun orang sahaja. Tulislah sesuatu yang bermanfaat kepada orang ramai, terutamanya Umat Islam.

  3. Blog mestilah kemas (bukan carca-marba). Hendak berdakwah mestilah ada audiens. Jangan terlalu berat untuk load (maksudnya remove unnessary link bagi mencepatkan akses internet).

  4. Yang paling penting, kongsikanlah bahan-bahan yang sahih. Jangan jadikan blog sebagai medium menyebar fitnah. Jangan kongsikan hadis-hadis palsu (atau yang diragui), jangan kongsi riwayat2 palsu, jangan kongsi berita palsu dan yang sewaktu dengannya.

Detik waktu semakin pendek? Hari ini hari jumaat penghulu segala hari dalam seminggu. Marilah kita iltizam sama2 untuk mengisi setiap detik nikmat waktu nikmat masa yang Allah pinjamkan ini untuk berbuat ibadah kepada Allah. Kerja juga ibadah apabila nawaitu nya kerana Allah dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dengan menunaikan segala syarat dan tuntutan-Nya. Beruntunglah apabila 24 jam yang Allah pinjamkan setiap hari ini dapat kita isikan dengan aktiviti dan urusan yang dapat ditafsirkan sebagai kategori ibadah kepada Allah. Maka tidak sia-sialah detik waktu yang semakin pendek ini.


Semoga ketibaan hari jumaat penghulu segala hari dalam seminggu pada minggu hadapan ini akan menceriakan. Ceria kerana setelah di muhasabah diri, ibadah kita bertambah. Pahala jadi rebutan dan dosa tidak dipandang ringan lagi. See you next Friday !!


@@@

Monday, December 12, 2011

Hati Karat

Alhamdulillah saya mendapat anugerah daripada Allah untuk untuk berada di majlis taman syurga pada malam ini. Tak ramai orang yang mendapat anugerah ini. Ada juga yang dah masuk ke majlis ilmu tapi tak nampak sebab tertidur. Ada orang, rumahnya di tepi masjid tapi tidak mendapat anugerah ini.

Sudah agak lama saya tidak berkesempatan menghadiri majlis ilmu Ust Zahidi iaitu pengajian tasauf menggunakan kitab Penawar Bagi Hati. Pengajian malam ini pada mukasurat 72 baris 11 dari atas.

Hati kita ini berkarat. Hati kita sudah mati. Untuk hidupkan hati ialah ilmu. Maka kita kena sentiasa hadirkan diri di majlis ilmu. Ilmu menghidupkan hati. Supaya hati hidup. Hati yang dapat melihat yang mana baik dan yang mana buruk, membezakan dosa dan pahala. Mengenali mana makhluk dan mana Tuhan. Supaya makhluk itu dimakhlukkan dan Tuhan di Tuhankan.

Orang yang bodoh maka hatinya mati. Bodoh itu jahil. Bila sebut engkau bodoh, marah dia. Sebab bunyinya kasar. Bila sebut engkau jahil, tak marah dia. Walhal bodoh itu samalah dengan jahil. Bila sebut kafir marah dia. Bila sebut kufur tak apa pulak. Walhal kafir dengan kufur tu dua kali lima saja. Sebab itulah kena mengaji. Kena ada ilmu. Jauhi sifat bebal dan bodoh. Sesungguhnya kebodohan itu menghampirkan diri pada kekufuran.

Amalkan zikir Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim sebanyak 11x sebelum memulakan majlis ilmu sebagai pembersih hati nafsu. Supaya ilmu boleh masuk dan duduk bila hati nafsu bersih. Hati masih kasih dunia. Sebab itulah nak mengaji tak ada masa. Nak ibadat tak ada masa. Nak solat sunat tak ada masa. Nak solat fardhu pun tak sempat. Untuk Allah untuk agama tak ada masa. Bukan tak tau tutup aurat itu wajib tapi masih tetap dedah aurat. Hati berkarat. Ilmu akan kikis karat dan hidupkan hati.

Durian jatuh di tengah malam, boleh bangun kita ambil lampu suloh pergi suloh durian. Tapi nak bangun solat tahajjud malam mak datuk payah. Sebab kasih pada dunia. Ilmu dan amal itu adalah jalan menuju syurga. Jika tak ada jalan maka tak sampai. Jika ada jalan tapi menyesatkan pun tak guna juga. Dunia untuk diri sendiri senang. Tapi dunia dihalakan pada orang lain, belum tentu.

Dunia berubah tapi ibadah tak berubah. Solat sunat dua rakaat tak berubah, tak ada tambahan. Mengaji Qur'an malam jumaat je, tu pun surah Yaasin je, tak berubah-rubah. Dunia berubah, kos sara hidup pun berubah pangkat dah berubah gaji dah berubah, tapi sedekah ke tabung masjid tak berubah. Makan tu harus, tak makan pun tak apa. Tapi dah jadi wajib. Lauk apa pun tak kisah, ada lauk ke tak ada lauk, tapi soal lauk pilih macam-macam. Kasih kita pada dunia.

Di akhir zaman Allah sudah mengangkat nikmat cukup. Manusia lemas dengan sifat tak pernah cukup. Aku kalau ada motor buruk pun jadilah senang nak ke surau. Bila dah ada, aku kalau dapat kapcai sebijik best gak. Bila dah dapat, aku kalau ada superbike syok gak. Aku kalau ada kereta kancil pun jadilah, hujan tak basah. Dah ada kancil, nak pula wira, nak pula exora, nak pula inova. Manusia tak pernah cukup. Nikmat cukup sudah lama ditarik.

Bilakah manusia akan merasa cukup? Bila hati kata sudah memadai. Untuk itu hati yang berkarat mesti diasah siang dan malam. Hati yang mati kena dihidupkan dengan ilmu. Jika sanggup berkorban masa untuk Allah, sanggup meluangkan masa ke majlis2 ilmu, sanggup berkorban masa untuk agama, maka itu langkah pertama. Kemudian sanggup berkorban harta. Dan akhirnya sanggup berkorban nyawa untuk Allah dan agama. Tapi bila sifat tamak menjadi raja maka manusia akan sanggup berbohong dan sumpah dusta demi mengejar dunia. Nikmat rasa cukup sudah Allah tarik di akhir zaman ini.

Sebab itulah kena rajin ke majlis2 ilmu supaya diulang segala peringatan supaya hati yang berkarat dapat diasah berulang-ulang supaya karatnya hilang. Di asah dan di asah hingga tajam. Supaya menjadi manusia zuhud yang melihat akhirat itu agenda utama. Dunia sebagai medan ujian dan hiburan sahaja. Kalau orang bagi pujian, ucaplah Alhmdulillah. Kalau orang bagi kejian, sebutlah MasyaAllah.

Manusia yang zuhud melihat Allah yang berhak atas segala-galanya. Tiada pergantungan pada yang lain. Rezki yang Allah bagi itu bukan untuk disimpan atau bekal ke kubur tapi dibelanjakan macam air untuk manfaat dan saham akhirat. Bergantung harap hanya pada Allah. Rezki Allah yang maha luas. Tidak bergantung harap rezki dari makhluk tapi dari Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang punyai wang banyak tapi tak dapat makan kerana pelbagai penyakit. Namun berapa ramai manusia tidak punyai banyak wang tapi masih dapat nikmat makan hingga kenyang. Maka sangat benarlah kita hanya hamba yang lemah. Allah berkuasa atas segalanya. Bersihkan hati daripada segala karat itu, agar nampak jalan mencapai tahap taqwa dan menuju syurga Allah.

@@@

Friday, December 09, 2011

Sajak2 Pendek Pagi Jumaat


Makan Malam


Makan malam sambal udang
Terasa pedas pula di bibir
Petik rambutan di laman
Di makan sambil berzikir.


Fikir Dan Zikir

Tumbuhan Itu Makhluk Tuhan
Bertasbih Siang dan Malam
Memuji Keagungan Tuhan
Menyembah Pencipta Alam
Untuk Kita Jadikan Tauladan.


Di Ulik Mimpi

Igau Tidur Lena Semalam
Sudah Luput Dari Ingatan.


Kita Serupa

Aku Dengan Mu Sama
Tiada Yang Aku Punya
Cuma Menumpang Senafas Usia.


Nafas Cinta

Selagi Ada Nafas Cinta
Dalam Kita Meniti Usia

Entah Bila Entah Di Mana
Aroma Cinta Bergema Semula
Mungkin Tika Melutut Di Pusara.


Musim Bah

Timba Hanyut Dalam Perigi
Pagi-pagi Gosok Gigi
Musim Bah Datang Lagi.


Tempat Jatuh Lagi Di Kenang

Tempat Jatuh Terpahat Di Hati
Rindu Mengamit Syahdu Menjelma
Semuanya Samar Dalam Memori
Bawah Kelambu Berbau Asap Pelita.

Tempat Jatuh Bermain Di Jiwa
Abah Tercinta Sudah Lama Tiada
Kini Semuanya Sudah Tidak Sama
Yang Tinggal Hanya Kenangan Lama.


Arah Mana?

Haluan Mana Lagi Yang Di Cari?
Bukankah Kita Sepakat
Menuju Redha Illahi?



Musim Hujan

Harapan Pada Hujan
Turun Rahmat Tuhan.


Mencari Bahagia

Mencari Bahagia Entah Di Mana
Sedangkan Bahagia Ada Di Depan Mata.


Erti Rindu

Pimpinlah Tanganku
Kerana Aku Rindu Pada Mu
Berbicaralah Denganku
Kerana Aku Rindu Pada Mu

Bila Sudah Tiba Ajal Ku

Maka Tiada Lagi Aku Di Sini Menanti Mu.


Aku Tidak Takut Lagi

Lembu Ini Tidak Takut
Menunggu Kunjung Aidil Adha
Lembu Ini Bukan Penakut
Berkorban Nyawa Untuk Agama.


Sudah Lama Tak Jumpa

Pok Sudu Senor
Sudah Lama Tidak Berjumpa
Semoga Ceria Sokmo.


Syukur Nikmat

Anugerah Illahi Yang Banyak
Saban Malam Tidur Nyenyak.



**Inspirasi dari blog Sajak2 Pendek Zul Permatang Badak.


@@@

Friday, December 02, 2011

Koreksi Diri

Lewat malam tadi saya mendapat pesanan SMS dari rakan sekerja yang mengkhabarkan sebuah berita sedih kepergian ke rahmatullah anak tunggal kepada seorang pengurus di syarikat kami. Anak perempuan ini yang berumur 20 tahun asalnya koma kerana terjatuh pada akhir tahun lepas. Kemudian tiada berita dan saya ingat semuanya ok, hinggalah kematian arwah pada pukul 10:30 mlm tadi di sebuah hospital swasta.

Maka benarlah anak2 merupakan amanah Allah kepada kita, bukan hak mutlak kita. Ia sekadar pinjaman drp Allah kepada kita. Sampai masanya Allah tarik balik miliknya itu, maka kita kena redha. Isteri saya pagi tadi berpesan janganlah kita sering menyebut nasib baik kita ada 3 org anak, sedangkan si polan tu cuma dikurniakan seorang anak sahaja atau si polan itu tidak dikurniakn sebarang zuriat. Kerana hakikat anak2 kurniaan kepada kita itu adalah pinjaman semata, bukan milik mutlak kita, maka jika hendak tarik balik pinjaman itu Allah maha berkuasa. Walaupun anak ini sudah mencapai usia remaja atau dewasa.

Semasa berborak dgn kawan2 di kantin syarikat selepas balik dari solat jumaat tadi, Sdra Rosli membangkitkan persoalan ada pemimpin yang seolah-olah menyatakan bahwa dia berkuasa untuk menentukan kemenangan dalam PRU13 demi mempertahankan kuasa memerintah. Maka Sdra Rosli menyatakan bahawa penyataan itu boleh mengheret kepada syirik kepada Allah. Kerana Allah yang maha berkuasa, bukan manusia. Manusia hanya makhluk yang lemah.

Saya menambah di akhir zaman ini rupanya ramai yang bertuhankan sesama manusia, bertuhankan kuasa dan harta kekayaan. Tidakkah mereka takutkan Allah? Sehingga sanggup menipu atau mengeluarkan cerita itu dan ini demi menutup kemungkaran dan salahlaku. Manusia ini meraskan dirinya hebat sehingga boleh menipu sesama manusia sedangkan dia lupa bahawa dia tidak boleh menipu Allah.

Semasa menghadiri kuliah maghrib di Masjid As-Salam beberapa hari lalu, ustaz Zamani ada menceritakan beberapa ciri menuju taqwa. Antaranya ialah 3M iaitu Muraqabah, Mujahadah dan Muhasabah. Semasa berborak tadi, apabila saya bertanya Rosli, "Hang tau tak apa itu Muraqabah?" Dia mengelengkan kepala. "Hang tau apa itu Mujahadah?" Dia kata tak tau. "Muhasabah?" Yang ni dia tahu.

Balik kepada muraqabah tadi, antara definasi yang Ust Zamani sampaikan ialah rasa kehadiran Allah, rasa diri diawasi. Apatah lagi di kiri kanan kita bukankah di utus malaikat Raqib dan Atib sebagai pengawas? Segala perlakuan kita tidak akan terlepas dari pandangan Allah termasuklah apa yang terlintas di hati. Maka pada siapa kita hendak menipu atau bersembunyi sebenarnya? You cannot fool Allah. Ibarat CCTV with X-factor yang mengawasi manusia 24x7, merekodkan perlakuan fisikal dan mental, jasmani dan ruhani. Kesedaran bahawa diri ini sentiasa di bawah pegawasan Allah menjadikan manusia ini hamba ini dekat pada taqwa, sentiasa berwaspada kerana takut pada Allah. Memberi kekuatan dan keyakinan mantap bagi melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Mujahadah pula ialah berusaha sungguh2 untuk memperbaiki diri. Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan demi kesilapan. Namun yang penting kita bangkit untuk memperbaiki diri. Iman di dada juga kadang turun kadang naik. Yang penting setiap kali kita berada di bawah, maka kita berusaha sedaya upaya untuk bangkit mendaki semula ke atas. Tahap taqwa juga turun dan naik. Maka Mujahadahlah untuk peningkatan taqwa, insyaAllah. Jangan sekali-kali berputus harap memohon belas kasihan Allah memberi keampunan, membebaskan diri dari api neraka dan melayakkan kita berada bersama kelompok yang layak mendapat nikmat syurga-Nya. Yang penting berusaha kuat semaksima mungkin untuk menjadi manusia yang penuh kebaikan dan keimanan, manusia soleh, manusia alim yang berilmu dan faham agama.

Dikhabarkan Khalifah Umar Al-Khattab bermuhasabah diri pada setiap malam sebelum tidurnya. Muhasabah ini ialah proses koreksi diri, proses menyelidik keburukan dan kebaikan atas segala perlakuan kita. Hisab diri sebelum kita dihisabkan di hadapan Allah nanti. Post mortem bagi memperbaiki segala kelemahan. Jika hidup penuh lara maka segera muhasabah kerana kematian boleh datang bila2 masa. Manusia tidak boleh minta tangguh tarikh dan detik kematian masing2. Maka sebelum datangnya detik kematian, buatlah persiapan mencari dana Akhirat. Muhasabah diri akan mendekatkan kita kepada Allah.

Apabila Sdra Amaluddin pula membangkitkan soal usaha berubat untuk pelbagai penyakit. Katanya arwah anaknya yang mengalami kanser selvik meninggal dunia setelah 9 bulan di kesan, walaupun doktor yang merawatnya memberi harapan jangka hayat menjangkau 5 tahun. Ada seorang lagi yang pergi berubat hingga ke China, tetapi sejurus balik ke Malaysia, ajalnya menjemput. Maka saya menyatakan bahawa manusia ini tidak boleh lari dari detik kematiannya. Tiada doktor pakar, ubat mujarab atau mesin teknologi canggih yang boleh menyelamatkan manusia dari kematian. Ibarat tarikh luput yang sudah termaktub. Walau apapun helah atau cara untuk mengelakkannya, kematian tetap berlaku. Tidak sesaat lambat atau cepat.

Kini terdapat lebihkurang 6 Billion penduduk dunia. Manusia pertama di dunia ini ialah Adam dan Hawa. Kemudian manusia berkembang dan membiak. Saya bertanya Sdra Rosli, "Agak2 dari zaman Nabi Adam hingga ke hari ini berapakah jumlah manusia yang wujud?" Sudah berapa generasi manusia sebenarnya? Sekarang sudah kurun ke 20. Kalau kita ambik purata 2 Billion manusia pada setiap kurun, maka jumlah besar manusia ialah 40 Billion. Di padang Mahsyar nanti kesemua 40 Billion manusia ini akan dibangkitkan bertelanjang bulat dengan matahari sejengkal atas kepala. Perhimpunan 3 juta umat di padang Arafah saban tahun adalah trailer untuk kita hayati. Kesemua 40 Billion manusia ini akan di hitung amal baik dan buruknya. Kesemua 40 Billion manusia ini akan tahu untung nasib mereka samada hidup di Neraka atau d Syurga Allah. Itulah hakikatnya.

Pada pemimpin yang rasuah dan makan duit rakyat, ingatlah kamu hanya menempah azab neraka. Pada manusia yang melakukan kemungkaran, ingatlah balasan Allah amat pedih. Hidup tidak berakhir dengan sebuah kematian. Malah kematian itu adalah permulaan kehidupan yang panjang. Kita hijrah dari alam dunia ke alam barzakh, sebelum berhijrah pula ke alam Akhirat yang kekal abadi.

Sementelah kita masih bernyawa ini, masih belum terlambat untuk kita muraqabah, mujahadah dan muhasabah diri untuk mencapai level taqwa. Allah sudah memberi petanda supaya kita ambil perhatian. Allah menjadikan kematian demi kematian di depan mata kita supaya kita yang masih bernyawa ini mengambil iktibar. Allah matikan satu demi satu nikmat yang Allah pinjamkan. Nikmat mata yang dulunya terang benderang kini sudah mula kabur. Rambut dulunya lebat dan hitam kini jarang2 dan beruban. Kulit yang tegang sudah kendur.

Kita semua sedang menghampiri sebuah kematian. Renung dan fikirkan. Sempena Hijratul Rasul, marilah kita hijrah dari baik kepada yang lebih baik. Allah is watching all the time !!

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...