Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID
"Baju hang tak basuh ke?" sapa seorang sahabat. Saya memandangnya dengan ragu. "Hang tak tau ke?" Saya merenungnya kembali. "Sekarang tak boleh pakai baju Bersih".
Semasa memandu ke ofis tadi, sempat mendengar bacaan berita di radio klasik nasional, menteri dalam negeri memberitahu sesiapa yang memakai baju kuning boleh ditangkap kerana ia bersangkut paut dengan sebuah perhimpunan haram. Segala sesuatu yang boleh dikaitkan dengan perhimpunan haram maka ia juga adalah haram.
Malam ni ada jamuan makan malam syarikat di tempat saya bekerja. "Yang, toksahlah pakai baju jacob kuning tu ye", pesan saya kepada isteri tercinta.
Dari segi bahasa bersih ni adalah satu nilai murni. Lawan bersih ialah kotor, comot atau bergelumang dengan najis. Dari segi lain pula lawan bersih mungkin juga penipuan, taktik kotor, atau main jahat.
Mungkin boleh disamakan dengan gerakan demonstrasi 'baju kuning' di Thailand yang menuntut perubahan. Atau gerakan kebangkitan rakyat yang menumbangkan kerajaan Mesir. Kebangkitan rakyat yang berjangkit ke Libya, Yaman, dan Syria.
*****
Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0 :-
1. Bersihkan senarai undi
- Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
- Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.
2. Mereformasikan undi pos
- SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
- Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
- Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.
3. Gunakan dakwat kekal
- Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.
4. Masa kempen minima 21 hari
- Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
- Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.
5. Akses media yang bebas dan adil
- RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
- Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
- Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.
6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.Contohnya :
- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
- Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
- Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
- Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
7. Hentikan rasuah
- Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
- Pembelian undi harus dihentikan! Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.
8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.
*****
Kalau diteliti, tuntutan NGO Bersih ini agak munasabah dalam membaikmutu sistem pilihanraya yang ada. Keadilan untuk seluruh rakyat jelata pendokong demokrasi.Logiknya ia harus mendapat sokongan semua pihak.
Saya ada mendengar dalam temuramah di radio 24, pengerusi SPR ada menyatakan bahawa beberapa tuntutan ini adalah diluar bidang kuasa SPR dan memerlukan perubahan perlembagaan. Namun rasanya SPR sepatutnya menjadi penggerak untuk perubahan perlembagaan itu sekiranya benar ia membaikmutu sistem yang ada.Pada permasalahan banyak nama pengundi didaftar pada alamat yang sama, SPR mengharapkan lapuran dibuat supaya ia boleh dikoreksikan. Masalah undi pos ialah seolah-olah pengundi 'dipaksa' untuk mengundi pihak tertentu dan kehadiran nombor siri pada kertas undi juga menguatkan anggapan undi itu boleh di kesan mengambarkan undi pos ini sebagai 'fixed deposit' pihak tertentu.
Memang benar jika ada myKad dan cukup umur 21 tahun maka boleh didaftar mengundi. Namun ketidakpuasannya ialah myKad yg diisu kepada rakyat pendatang misalnya. Penipuan dalam mendaftar pemilih misalnya. Orang yang balik mengundi itu bukan orang situ sebenarnya tapi kelompok pengundi 'pendatang' di atas misalnya.
Apabila ketidakpuas hatian ini tidak di beri penyelesaian sewajarnya atau tidak nampak ada inisiatif secara serius bagi menyelesaikannya maka apakah tindakan selanjutnya? Ke meja rundingan? Kalau ikhlas mencari penyelesaian insyaAllah itu adalah alternatif terbaik.
Elemen provokasi atau kawalan pihak polis dan pencegahan rusuhan yang tidak mahu memberi ruang untuk hak berkumpul secara aman kepada kelompok rakyat bagi menyuarakan sesuatu pandangan suara di anggap penyebab sebenar huru hara dan publisiti buruk pada perhimpunan lalu. Berkumpul secara aman ini adalah hak rakyat yang dijamin dalam perlembagaan negara. Mungkin benar bahawa jika diberi ruang maka ia akan merebak dan mempengaruhi kelompok rakyat ramai, maka ia mesti dihalang pada akal umbi kewujudannya. Jangan bagi peluang walau sedikit. Nampaknya itulah polisi yang diamalkan.
Persoalannya, mengapa sesuatu yang baik begini menjadi satu isu besar dalam negara? Apakah ada agenda yang tersembunyi yang mahu dikelirukan pada tanggapan ramai?
Kita harus kembali kepada realiti bahawa sokongan 50-50 undi popular yang wujud sekarang antara BN dan PR adalah situasi genting dalam menentukan kerajaan yang akan berkuasa. Kuasa adalah segalanya dalam politik.
Sahabat saya meberi komen, "Jika sistem pilihanraya yang lebih telus, sudah tentu pembangkang sudah menguasai Putrajaya." Kerana katanya akibat penipuan yang masih ada mungkin berbaki tidak sebesar dulu, tapi telah berjaya menyelamatkan kerajaan yang memerintah dari dijatuhkan. Itu teori dia. Dan mungkin itulah kegusaran sebenar, setelah melihat 5 negeri tumbang dan wilayah persekutuan dikuasai PR pada PRU-12 April 2008 yang lalu. Sesuatu yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
Kemustahilan pada suatu zaman dahulu sudah tidak mustahil lagi kini. Itulah ketakutan hakiki - kehilangan kuasa memerintah parti yang memerintah. Lautan kuning di tengah kotaraya tidak membantu dan menjadi igauan berat agaknya.
Unggun Bersih bakal padam atau membara terus?
No comments:
Post a Comment